Kalau anda jenis kurang selera nak makan waktu sahur bolehlah cuba buat Sambal Kentang Puan Famyra Omar ini, rasanya pedas dan rangup pembuka selera.
Apa yang menarik, mak-mak boleh letak ikan bilis, kacang atau tempe kalau suka tetapi kalau nak buat kentang saja pun boleh. Dan pastikan letak dalam bekas kedap udara untuk tahan lama, ya. Nak lagi sedap pilih bilis yang mahal sikit, barulah rangup kruk krak kruk kraaakkk!
Bahan-bahannya:
4 biji kentang size besar
10 tangkai cili kering (boleh tambah) buang biji dan rebus
8 ulas bawang putih
1 sudu mkn udang kering rendam air panas, bila dah kembang toskan airnya
1 batang serai
5 helai daun limau purut hiris halus
4 sudu mkn gula pasir
Garam
Bawang goreng
Cara membuat:
Kentang disagat halus kemudian basuh hingga air basuhan jernih supaya tak melekat bila digoreng.
Ads
Toskan hingga kering.
Panaskan minyak yang banyak hingga betul-betul panas kemudian goreng kentang hingga garing keperangan (kacau 2-3 kali). Angkat dan toskan.
Cili kering, bawang putih, udang kering dan serai diblender guna sedikit minyak (JANGAN guna air) kemudian ditumis hingga naik bau.
Masak hingga gula larut, masukkan daun limau purut. Kacau hingga sedikit pekat, rasa masinnya kalau kurang tambahkan garam. Tutup api dan biarkan sambal sejuk.
Masukkan kentang goreng dan bawang goreng dan gaulkan dengan sambal hingga sebati. Simpan dalam bekas bertutup rapat.
NOTA:
Boleh makan dengan nasi putih panas-panas dan bubur nasi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Macam-macam teknik perniagaan yang digunakan oleh pengusaha restoran dan kedai makan untuk menarik pelanggan ke datang ke kedai mereka. Salah satunya menyediakan memberikan makanan dan minuman percuma kepada para pelanggan namun dengan syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi.
Sebuah restoran di Shandong, China menawarkan promosi diskaun kepada pelanggan sekiranya mereka mampu melepasi pagar logam yang sempit. Yang lebih menarik perhatian, pemilik restoran terbabit, Zhao Lang, berkata promosi tersebut bertujuan menggalakan kesedaran dalam kalangan orang ramai bagi menjaga pemakanan dan berat badan.
Semenjak promosi ini dilakukan, ramai pelanggan yang beratur untuk mencuba cabaran ‘Pagar Logam’ ini. Menurut beliau lagi, lebar pagar berbeza menentukan jenis diskaun yang bakal diterima pelanggan, sekiranya berjaya melepasi pagar berukuran hanya 15 sentimeter (sm) lebar , pelanggan akan mendapat makanan dan minuman percuma.
Bagi pagar selebar 18 sm, pelanggan akan mendapat 5 tin bir manakala lebar 25 sm menawarkan satu tin bir.
“Boleh dikatakan seorang pelanggan mampu melepasi lebar paling sempit setiap hari.
“Mereka terdiri daripada pelanggan wanita,” ujar pemilik restoran yang dibuka pada 2016 itu.
Memang menarik idea ni kan , mungkin restoran-restoran di Malaysia pun boleh mencontohi idea kreatif macam ni. Bukan je bagi makan dan minum percuma tapi boleh menggalakkan orang menjaga pemakanan dan amalkan gaya hidup lebih sihat.
Amalan bersahur menjadi suatu kelaziman ketika didalam bulan Ramadan.Alang-alang dah berniat untuk bangun sahur, rebut ganjaran extra ikut sunnah nabi dengan melewatkan waktu bersahur ini.Mengantuk dan letih tidak boleh dijadikan alasan untuk malas bersahur kerana sahur dapat membantu memberikan tenaga dalam mengerjakan ibadat puasa pada siang hari.Bahkan,banyak hikmah yang menanti buat orang bersahur ni.
1. Sahur Itu Adalah Sunnah
Sekalipun ia tidak diwajibkan, namun ia amat-amat digalakkan. Bahkan ia membezakan antara puasa orang muslim dan puasa Yahudi.
Sabda Nabi s.a.w : “Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Maka, kita berpuasa kerana ingin mengabdikan diri kepada Allah dan kita berlumba-lumba melakukan perkara yang disukai Allah pada bulan Ramadan ini, maka ikutilah sunnah Nabi s.a.w termasuk dalam bersahur. Besarnya rahmat Allah, sehingga seseorang yang bangun bersahur agar dia bertenaga esok harinya ketika berpuasa, dihitung sebagai ibadah yang diberi ganjaran.
2. Allah Berikan Keberkatan Dalam Bersahur
Sabda Nabi s.a.w : “Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Barakah adalah sesuatu yang mustahak dalam kehidupan ini. Insan mungkin memiliki berbagai perkara, tetapi jika ianya tidak diberkati Allah, maka segala kebaikan yang diharapkan akan hilang. Mencari keberkatan adalah suatu yang teramat penting dalam hidup ini. Dalam sahur itu ada keberkatan buat puasa yang bakal dilaksanakan dan kehidupan individu yang berpuasa secara umumnya.Bahkan, waktu sahur juga adalah waktu yang paling mustajab untuk berdoa kepada Allah S.W.T.
3. Bersahur itu terhasil dengan memakan apa-apa makanan yang halal, atau meminum apa-apa minuman yang halal. Malah Sahur itu juga boleh dilakukan walaupun cuma seteguk air.Berdasarkan hadis, kita digalakkan bersahur dengan tamar/ kurma.
Sabda Nabi s.a.w : “Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Maka dengan ini, kita bukan sahaja digalakkan berbuka puasa dengan tamar, kita juga digalakkan untuk bersahur dengan tamar. Maka, ambillah sekurang-kurangnya sebiji tamar semasa bersahur semoga mendapat pahala tambahan.
4. Waktu bersahur ialah bermula pada pertengahan malam hingga terbit fajar, namun disunatkan untuk mengakhirkan waktu bersahur iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Maka, apabila seseorang bangun bersahur dan didapati waktu subuh belum masuk sekalipun hanya tinggal beberapa minit, dia tetap boleh memakan sahurnya sehinggalah masuknya waktu subuh.
5. Kita disunnahkan untuk melewatkan sahur. Perkataan sahur itu sendiri merujuk kepada akhir malam atau sepertiga akhir malam. Bersahur terlalu awal bukanlah sesuatu yang digalakkan sebaliknya disunnahkan melewatkannya.
Kata Zaid bin Thabit: “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”.
Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”.
Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan bahawa betapa lewatnya Nabi s.a.w. bersahur. Jika 50 ayat dibaca, kadarnya lebih kurang beberapa minit. Di tempoh itulah Nabi s.a.w menghentikan sahur untuk bersiap menuju solat.
6. Bersahur di samping membantu kita untuk lebih cergas semasa berpuasa, ia juga mendidik seseorang untuk bangun pada sepertiga yang akhir malam. Ini kerana waktu tersebut adalah waktu yang mempunyai kelebihan untuk ibadah dan dimustajabkan doa serta istighfar.
Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Ternyata bukan mudah buat seorang suami untuk menjalani hari-hari mendatang apabila isteri yang dikasihi terlantar sakit selepas tiga bulan melahirkan cahaya mata pertama mereka.
Secara Tiba-Tiba
Baru sahaja mengecap kebahagiaan saat dikurniakan anak kembar lelaki setelah empat tahun menunggu zuriat hasil perkongsian hidup bersama, Mohd Nizam Zolkefli, 34, sekali lagi diuji apabila isteri tersayang Nor Hafizah Yulisailani, 34, disahkan mengalami saraf otak tidak berfungsi (mati otak) sejak hampir dua tahun lalu.
“Saya masih ingat hari pertama Nor Hafizah diserang penyakit ini iaitu selepas tiga bulan melahirkan anak kembar kami yang kini berusia dua tahun. Pada malam kejadian, isteri minta saya untuk menjaga anak-anak kerana dia mahu tidur sebentar. Ketika itu dia masih sihat seperti biasa,” ujarnya menceritakan perihal isterinya yang tiba-tiba diserang sakit.
Tambahnya lagi, lebih kurang jam 2.30 pagi, ketika mahu mengejutkan isterinya untuk menyusukan anak mereka, tiba-tiba isterinya mengalami kekejangan otot dan kemudian terus terdiam.
“Pada ketika itu saya hanya mampu memikirkan untuk membawa isteri ke hospital dan apabila tiba di Hospital Batu Gajah, doktor memberitahu denyutan nadi isteri saya sudah terhenti dalam tempoh 45 minit dan kemudian kembali berdenyut namun agak perlahan. Isteri saya kemudiannya dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh selama tiga minggu sebelum dipindahkan ke wad biasa selama tiga bulan,” katanya.
Keadaan Tak Berubah
Selepas beberapa kali berpindah hospital dan wad, keadaan isteri Mohd Nizam tidak banyak berubah. Justeru anak-anak mereka yang masih kecil terpaksa dihantar kepada ahli keluarga yang lain untuk dijaga sementara Mohd Nizam menumpukan sepenuh perhatian kepada isteri tercinta.
“Sebelum ini kami tinggal di Batu Gajah kerana isteri bekerja sebagai Pembantu Tadbir Kewangan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Ipoh namun selepas jatuh sakit, kami berpindah ke rumah mak saya di Kampung Changkat Banjar ini. Alhamdulillah, ahli keluarga termasuklah mak ayah saya dan mak ayah mentua serta adik-beradik banyak membantu saya menjaga anak-anak serta menguruskan isteri.
“Ketika mula-mula isteri jatuh sakit saya langsung tidak boleh bekerja kerana memberi sepenuh perhatian kepada isteri dan ketika ini ahli keluarga begitu banyak membantu termasuk dari segi kewangan,” ujarnya.
Sehingga kini, mereka sekeluarga masih belum mengetahui punca sebenar penyakit yang menimpa isteri Mohd Nizam. Apa yang boleh dikatakan Nor Hafizah kini lumpuh sepenuhnya dan memerlukan bantuan untuk menguruskan diri.
Empat tahun menunggu zuriat
Setelah empat tahun berkahwin, barulah pasangan ini dikurniakan rezeki yang diidam-idamkan oleh setiap pasangan yang berkahwin. Kegembiraan berganda apabila anak yang dikandung disahkan kembar. Penantian selama ini berbaloi dengan rezeki kurniaan Ilahi.
“Sebenarnya kami menunggu selama lebih kurang empat tahun untuk mendapat zuriat dan apabila isteri saya disahkan hamil anak kembar memang kami sangat teruja. Ketika itu dia dalam keadaan sihat dan tidak ada sebarang masalah namun ketika hamil dia mengalami tekanan darah tinggi hingga memaksanya untuk bersalin awal melalui pembedahan ketika usia kehamilan lebih kurang tujuh bulan lebih.
“Namun selepas itu keadaannya kembali normal dan sihat seperti biasa termasuklah ketika dalam pantang dan selepas habis pantang. Ketika mula-mula diserang penyakit itu, Nor Hafizah masih lagi dalam tempoh bercuti kerana dia mahu melanjutkan cutinya bagi menjaga anak-anak kami yang masih bayi,” katanya.
Siapa yang tidak terkejut dengan keadaan yang sebegitu. Isteri yang sihat tanpa sebarang penyakit, kini terlantar tidak lagi seperti dahulu. Hati lebih sayu apabila melihat anak-anak yang masih kecil, belum pun sempat dimanjakan oleh ibu mereka yang mengandung dan melahirkan mereka. Namun sedar itu semua ujian dari Allah, Mohd Nizam menerima segala ketentuan ini dengan penuh reda.
“Mula-mula kami begitu gembira kerana mendapat cahaya mata yang ditunggu-tunggu selama ini namun sudah takdir isteri hanya mampu mengecap rasa bahagia itu sekejap sahaja. Sekarang anak-anak kami makin besar dan mereka boleh menyebut ibu walaupun dalam keadaan pelat. Saya dapat melihat Nor Hafizah seolah-olah seperti memberi respons dengan membuat bunyi tertentu apabila anak-anak memanggilnya ibu,” katanya penuh sayu.
Perbelanjaan perubatan isteri dan anak
Nor Hafizah kini perlu bergantung sepenuhnya kepada ahli keluarga memandangkan keadaan dirinya yang kini terlantar sahaja.
“Awal-awal dulu dia sering kejang atau sawan dan matanya juga tertutup namun kini matanya sudah boleh dibuka. Makan juga melalui tiub khas yang ditebuk di perut manakala lehernya ditebuk untuk membuang kahak,” cerita Mohd Nizam tentang keadaan isterinya kini.
Jelasnya lagi, sehingga kini isterinya perlu diberi susu khas dan mereka amat bertuah apabila mendapat bantuan susu itu daripada jabatan kerajaan tempat isterinya bekerja dahulu.
“Selain itu isteri ada mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan dan duit ini boleh juga menampung pembelian lampin pakai buang isteri yang bernilai lebih kurang RM160 sebulan.
“Namun begitu, perbelanjaan kami makin lama makin tinggi memandangkan anak-anak juga semakin membesar. Saya amat berharap agar dapat menyelesaikan masalah tuntutan gaji isteri yang sehingga kini tidak dapat diambil disebabkan masalah tertentu dengan pihak bank. Jika duit ini dapat diambil sekurang-kurangnya dapat membantu kami sedikit sebanyak kerana pada masa ini saya kadang-kala terpaksa bergantung kepada ahli keluarga,” katanya yang hanya bekerja kampung.
Walaupun sudah dua tahun Nor Hafizah terlantar sakit, kasih dan cinta Mohd Nizam terhadap isteri tersayang tidak pernah pudar. Selagi hayat dikandung badan, Mohd Nizam akan cuba menjaga isterinya itu sebaik mungkin.
“Saya sedih namun saya perlu terima hakikat ini dan akan terus menjaga isteri sebaik mungkin kerana ini adalah amanah untuk saya. Kini anak-anak (Muhmmad Amar Aqif dan Muhammad Aiman Aqif) menjadi kekuatan saya untuk menempuh kehidupan mendatang,” tambahnya.
Syawal yang mendatang bagaikan kurang serinya apabila isteri terlantar sakit dan tidak dapat bergerak. Bagi Mohd Nizam, sambutan yang dibuat hanya biasa sahaja. Kadang terbit rasa sedih apabila melihat rakan-rakan yang lain menyambut bersama isteri dan anak-anak.
“Dalam tempoh dua tahun ni bila tiba raya saya sambut macam biasa sahaja. Tapi tipulah kalau saya kata tak sedih bila lihat kawan-kawan lain yang meriah menyambutnya bersama keluarga tersayang. Saya masih belum berpeluang merasa keadaan itu. Saya teringin sangat nak keadaan kembali seperti dulu, tapi apakan daya ini takdir kami, Insya-Allah saya akan jalankan amanah ini dengan seikhlas dan setabah mungkin,”akhirinya dengan redha.
Kepada yang ingin menghulurkan bantuan untuk meringankan beban keluarga ini, anda boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Maybank Mohd Nizam Zolkefli 158118263466
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tular kisah seorang lelaki rebah di rukun Yamani ketika tawaf wada, tulis anaknya: "Abah saya, Hamdan Ahmad meninggal hari ini di depan Kaabah di Mekah. Masa tengah buat tawaf Wada’. Allahu akbar. Speechless."