Sakitnya rindu pada yang tiada. Bukan mudah mahu zahirkan kerinduan itu. Setiap kali teringat kenangan lama, pasti air mata akan mengalir laju. Puas ditahan sebak, rasanya tetap sama.

Setiap orang miliki cara tersendiri lepaskan kerinduan sama ada menatap gambar, berkongsi cerita lama dengan ahli keluarga yang masih ada. Kemudian beramai-ramailah mengigati kenangan lalu yang pernah hadir dalam jiwa.

Begitu juga dengan Markom Nora, dirinya punyai cara tersendiri untuk mengimbau kenangan bersama arwah ibu dan abang-abangnya semasa dia masih kecil.

Ikuti perkongsian Markom Nora :

INGAT
Sejak meningkat usia, saya selalu digamit rindu. Mungkin saya kurang kasih sayang yang saya mahukan.

IKLAN

Kalau saya teringat arwah emak, saya akan beli air kotak perisa laici yang disukainya. Anak-anak pun hairan kerana tahu saya kurang suka air berperisa. Tapi selepas saya terangkan kenangan air tersebut untuk saya, mereka mulai faham.

Oh, ya! emak juga pandai buat kuih vadey. Dia akan tumbuk kacang dal dan kepal-kepalkan untuk digoreng. Saya tak rajin macam mak, jadi sesekali saya akan beli vadey di tepi jalan. Saya kunyah perlahan-lahan sambil mengimbau kenangan membuat vadey bersamanya.

IKLAN

Abang Sulung Suka Makan Mi

Kalau saya teringat arwah abang sulung, saya akan beli atau masak mi goreng mamak atau nasi lemak. Jangan tak tahu, abang sulung saya kecil saja orangnya tetapi sangat pandai memasak. Dia pernah ada kedai makan. Ketika itu saya bersekolah rendah. Maka, setiap hari pasti saya bawa bekalan nasi lemak yang juga bahan jualannya di kedai.

Abang kedua Suka Nasi Goreng

Kalau saya teringat arwah abang kedua merangkap anak ketiga dalam susunan adik beradik, saya masak nasi goreng. Suka sangat dia goreng nasi sambil ketuk-ketuk tepi kuali dengan sudip. Mulutnya pun riuh menyanyi macam-macam. Yang geramnya, sayalah nanti tukang mengemasnya. Saya tak simpan marah lama-lama kerana dia selalu benarkan saya ambil upah cabut uban dari poket seluarnya yang disidai tepi tingkap. Saya apa lagi … selalu ambil lebih. Dia tahu tapi tak pernah marah.

IKLAN

Mungkin saya dah menuju usia senja. Banyak makanan sudah dirasa. Akhirnya, hanya beberapa pilihan yang diambil untuk kelangsungan hidup. Selebihnya dinikmati untuk mengingat detik-detik bersama orang yang memberi makna dalam perjalanan usia.

Apa cerita laksa Teluk Kechai dan cendol? Cerita lain kalilah.
#ceritacikgunora

MW: Oleh itu hargailah masa bersama keluarga tercinta. Tatkala tiba masanya mereka buat pergi buat selamanya, hanya kenangan yang mampu memujuk jiwa. Sesungguhnya rindu pada yang tiada, tak akan pernah berpenghujung.

Sumber: Markom Nora

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI