sakit rengat

Sakit rengat ini sebenarnya rasa sakit macam sengugut atau rasa macam contraction. Rengat boleh terjadi disebabkan pengecutan peranakan ibu lepas melahirkan.

Lebih dikenali after birth contractions atau pon after pains, memang rengat terjadi lepas kita melahirkan anak tak kira lah anak ke berapa.

Nak tahu macam mana nak hilangkan sakit rengat ini, mak-mak lepas bersalin boleh ikuti perkongsian daripada Doktor Afiq Rahim ini…

Fahami Sakit Rengat Dulu

Mungkin ada yang pertama kali mendengarnya terutama kaum Adam.

Ketahuilah, mungkin ilmu ini boleh membantu anda saat isteri perlukan pertolonganmu selepas bersalin.

Sakit Rengat atau bahasa Mat Don ‘AFTER BIRTH PAIN” adalah sakit menyerupai senggugut selepas bersalin. Ada pihak mengatakan sakit ini lebih kuat daripada sakit kontraksi semasa hendak bersalin.

Ini adalah antara proses pengecutan rahim kepada saiz dan posisi asalnya.

Kesakitannya akan diamplifikasikan berlipat kali ganda apabila penyusuan ibu dilakukan sehingga ada ibu yang tewas melawan sakit ini.

Mengapa pula?

Penyusuan ibu merangsang penghasilan hormon oxytocin, hormon yang diperlukan si ibu untuk mengecutkan rahimnya segera.

Rahim yang lambat mengecut boleh menyebabkan berlaku TUMPAH DARAH seperti yang berlaku kepada pesakit saya semasa banjir 2014 (nak tahu kisah ibu tersebut, bolehlah dapatkan senaskah buku saya “I NEED A HELICOPTER, MY PATIENT IS DYING”).

Biasanya sakit ini hanya berlaku pada anak kedua dan ke atas dan jarang berlaku kepada ibu yang baru pertama kali menimang cahaya mata.

Durasi kesakitan pula sekitar 2-10 hari bergantung kepada keadaan.

Akan tetapi kebanyakkan ibu yang pernah melalui mengatakan durasinya bergantung kepada bilangan anak. Semakin banyak anak, semakin lama sakitnya.

Bagaimana menghilangkan sakit?

Ada kajian di PubMed yang menunjukkan assosiasi stress dan depresi kepada ibu yang kesakitannya gagal diuruskan dengan baik selepas bersalin.

Jadi penting menguruskan kesakitan ibu selepas bersalin dengan baik!

Kalau Cara Makan Ubat

Pilihan terbaik adalah penggunaan ubat penahan sakit NSAID yang telah terbukti secara kajian memang berkesan. Gabungannya dengan Ubat Paracetamol juga dilihat berkesan.

Teknik pernafasan atau hipnosis juga dapat membantu mengawal kesakitan.

Antara tips lain adalah sentiasa membuang air kecil untuk mengosongkan pundi kencing. Pundi kencing yang penuh antara punca menaikkan tahap sakit rengat selepas bersalin.

Petua Orang Lama

Petua tradisional juga boleh diamalkan seperti meletak tuku / batu panas ke atas rahim / losyen panas untuk mengurangkan sakit dan mempercepatkan proses pengecutan mengikut kadar yang disarankan sahaja dan tidak berlebihan.

Bagi yang bersalin secara pembedahan, perlulah mendapat nasihat doktor terlebih dahulu. Dibimbangi rawatan yang tanpa kajian boleh mengganggu penyembuhan luka dalaman.

Paling penting si ibu dan pasangannya perlu bersabar dan menguatkan semangat untuk melalui ujian ini.

Saya dan isteri juga baru menempuh episod baru seperti ini. Memang sakit yang teramat. Kasihan melihat isteri mengerang sakit rengat.

Jadi saya berharap artikel ini dapat membantu para ibu dan pasangannya untuk bersedia menghadapi saat tersebut.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI