
Rita Rudaini bangga anak pecah rekod kebangsaan MRSM 110 m lari berpagar, titip penghargaan buat guru.
Pelakon Rita Rudaini tidak dapat menyembunyikan rasa bangga apabila anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin, berjaya mencipta sejarah dengan memecahkan rekod acara 110 meter lari berpagar pada Kejohanan Olahraga MRSM Kebangsaan 2026, sekali gus mengharumkan nama Selangor.
Menerusi beberapa hantaran di Instagram, Rita berkongsi momen manis menyaksikan Airit menerima pingat dan bergambar bersama rakan sepasukan kontinjen Selangor. Lebih bermakna, kejayaan itu hadir pada tahun terakhir penyertaan anaknya dalam kejohanan tersebut.
Rita Rudaini Bangga Anak Pecah Rekod 110m Lari Berpagar


Rita turut meluahkan rasa syukur melihat segala usaha dan pengorbanan Airit sepanjang bergelar atlet akhirnya membuahkan hasil.
“Alhamdulillah… Every hurdle was worth it. No time to slow down… SPMRSM Trial, here we come!” tulisnya.
Menurut Rita, Airit telah mewakili kontinjen Selangor di Kejohanan Olahraga MRSM Kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut. Namun, tahun ini meninggalkan kenangan paling istimewa buat dirinya apabila berpeluang berada di sisi anaknya menyaksikan detik bersejarah tersebut.
“Masa Tingkatan Tiga, masa Tingkatan Empat mommy tak pergi. Tahun akhir ini menjadi kenangan terpilih mewakili kontinjen Selangor untuk MRSM Semalaysia. Alhamdulillah, terima kasih guru-guru pembimbing yang membawa dan melatih Airit. Tiga tahun berturut-turut, memori untuk kami simpan,” kongsinya.

Dalam masa sama, Rita tidak lupa merakamkan penghargaan kepada insan-insan yang banyak berkorban dalam membentuk kejayaan anaknya, khususnya guru-guru pembimbing.
“Di belakang seorang juara, pasti ada guru yang tidak pernah jemu membimbing. Mereka tidak meminta nama mereka disebut, cukup melihat anak didik berdiri megah di podium. Itulah kebahagiaan seorang pendidik,” tulisnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Izwan dan Cikgu Zarul yang menjadi tulang belakang kepada perjalanan Airit sehingga berjaya mewakili Selangor dan mencipta rekod baharu dalam kejohanan tersebut.

Selain latihan di sekolah, Airit juga berpeluang menimba pengalaman bersama jurulatih pecut dan lari berpagar terkenal, Coach Herman Majid, yang disifatkan Rita sebagai satu pengalaman cukup berharga buat anaknya.
Anda mungkin berminat dengan
“Sempat menimba ilmu bersama idola Coach Herman Majid. Pengalaman berharga, banyak yang dipelajari. Looking forward to next session, Coach,” katanya lagi.
Perkongsian Rita itu menerima pelbagai ucapan tahniah daripada peminat dan rakan selebriti yang turut berbangga dengan pencapaian Airit. Ramai menyifatkan kejayaan tersebut membuktikan hasil disiplin, kerja keras serta sokongan berterusan daripada keluarga dan guru mampu melahirkan atlet muda yang cemerlang.


Kejayaan Airit Rayyan bukan sahaja menjadi kebanggaan Rita Rudaini sebagai seorang ibu, malah membuktikan bahawa di sebalik setiap kejayaan seorang anak, sentiasa ada guru dan keluarga yang menjadi kekuatan terbesar dalam perjalanan menuju puncak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

