Rindu Kehidupan Berkeluarga Esma Daniel Nikah Kali Ketiga. Tahniah diucapkan buat pelakon senior Esma Daniel, 55 yang baru saja menamatkan zaman dudanya dengan wanita bernama Nur Atira Mazlan, 31.
Esma yang sebelum ini pernah dua kali gagal dalam perkahwinan akui dirinya begitu rindukan kehidupan berkeluarga.
Untuk rekos Esma pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Sherie Merlis pada 1992 dan dikurniakan dua cahaya mata sebelum bercerai pada 1997.
Kemudian dia berkahwin dengan Nitra Sari Omar pada 2002, namun bercerai pada 2016. Hasil perkahwinan itu, Esma dan Nitra dikurniakan enam cahaya mata.
Rindu Kehidupan Berkeluarga Esma Daniel Nikah Kali Ketiga Wanita Usia 31
Menerusi perkongsian di akaun Instagramnya, Esma Daniel turut melahirkan rasa bersyukur.
“Syukur kehadrat Allah swt, aku mengakhiri zaman dudaku dengan menikahi Nuratira Mazlan @rara_rowdy sebagai isteriku” tulisnya.
Sementara itu menerusi perkongsian di Berita Harian Online pula, Esma menyatakan Nur Atira merupakan kakitangan sebuah bank. Malah pernikahannya juga dipermudahkan dan hanya dengan sekali lafaz Esma bergelar suami kepada Nur Atira.
“Kami dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Mazlan Abd Malik. Walaupun gementar, tetapi saya bersyukur hanya sekali lafaz sahaja.
Ads
“Perkenalan bermula dalam media sosial. Ketika itu, kerajaan sedang melaksanakan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Selepas diberi kelonggaran, barulah kami keluar ‘dating’. Dari situ, saya sudah nampak keserasian walaupun Nur Atira lebih muda daripada saya.
“Sebelum ini, saya pernah berkawan dengan wanita berusia, tetapi tiada keserasian dan hubungan tidak berpanjangan.
“Alhamdulillah, dengan Nur Atira, semuanya dipermudahkan dan keluarga terutama anak-anak saya merestui hubungan kami,” luah Esma.
Cadang Resepsi Serentak Dengan Anak Kedua
Menurut pelakon Andai Itu Takdirnya itu juga memandangkan anak keduanya akan berkahwin pada Ogos depan, dia bercadang untuk mengadakan resepsi serentak dengan anaknya itu.
Ads
“Lagipun, anak kedua akan berkahwin pada Ogos depan. Saya bercadang mahu mengadakan majlis resepsi serentak dengan anak.
“Hanya selepas itu barulah saya akan fikirkan untuk pergi berbulan madu. Mungkin dalam Malaysia sahaja,” luahnya.
“Sebagai Isteri Saya Kena Kuat, Baik Buruk, Dia Adalah Suami Saya,” Datin Arianie. Tiada yang lebih bermakna, apabila suami isteri saling menyokong dan tetap teguh mempertahankan antara suatu sama lain apabila ditimpa ujian.
Isteri Datuk Hattan, Datin Arianie Abidin mahu terus berada di sisi suami biarpun penyanyi itu teruk dikecam susulan insiden menempelak seorang penyampai berita dalam siaran langsung di sebuah stesen penyiar, baru-baru ini.
Arianie melalui hantaran di Instagram Story (IGs), semalam, berkata, situasi menimpa Hattan benar-benar memberi kesan kepadanya sehingga menitiskan air mata.
Namun, Arianie tetap berpihak kepada suaminya.
“Untuk makluman, saya yang jaga IG suami. Saya yang muat naik video dan sekarang saya ‘private’ IG suami. Saya tak mahu anda semua tambah dosa. Suami saya memang tidak baca pun.
“Kalau nak komen, itu pilihan anda dan komenlah di ruang yang sedia ada.
“Menitik air mata saya apabila baca komen. Tetapi sebagai isteri, saya kena kuat, saya sentiasa berada di belakang suami tak kira apa pun. Baik buruk dia, dia adalah suami saya.
“Semoga kita semua ambil iktibar. Tiada siapa pun yang sempurna. Setiap manusia ada buat kesalahan.
“Janganlah kita berkata komen hingga menimbulkan fitnah. Takut yang dianggap salah yang dapat pahala… Kita pula dapat dosa,” katanya.
Arianie mendedahkan suaminya juga menerima pelbagai mesej berbaur hinaan dan ugutan di IG susulan insiden berkenaan.
“Jarang-jarang saya luahkan perasaan kat IG saya. Hari ini saya nak jadi netizen yang meluahkan perasaan di IG Story mengenai kes suami saya yang viral dikecam, dihentam, dicaci, dimaki, dihina, disumpah, diugut dari netizen yang sangat mulia dan begitu baik budi bicara.
“Walaupun ramai yang kata bagilah pencerahan, tetapi, bagi saya, tidak perlu sebab saya pasti kalau saya berkata-kata pasti ada yang kata ‘ala suami dia, mestilah dia pertahankan’, tak begitu?
“Tak apalah, biarlah saya simpan cerita sebenar. Hanya keluarga dan saya saja yang kenal dia,” katanya.
Semalam, Hattan atau nama sebenar, Mohd Shukri Shahabudin memilih tidak memberi komen terhadap isu berkenaan dan mengambil keputusan sama berhubung gesaan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.
Malah, seorang teman rapat Hattan, Salimey Abu Bakar menerusi video penjelasan dalam TikTok mendakwa, Hattan tidak tahu ia adalah temubual secara langsung.
Terdahulu, menerusi rakaman video yang tular, Hattan atau dihubungi oleh penyampai berita wanita menerusi siaran secara langsung untuk mendapatkan pandangan mengenai lirik lagu kumpulan XPDC yang dikatakan ‘makan dalam’.
Soalan diajukan kepada penyanyi Memburu Rindu itu susulan pemergian vokalis kumpulan XPDC, Allahyarham Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael yang menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor, akibat sesak nafas kira-kira jam 8.41 malam, Khamis lalu.
Bagaimanapun, keadaan menjadi agak tegang apabila Hattan bertanyakan semula penyampai berita itu mengenai sejarah dan siapa yang menulis lirik lagu kumpulan itu.
Dalam nada serius, Hattan mengulangi semula soalan dan menegur penyampai berita yang didakwanya tidak membuat persediaan.
Lebih memburukkan keadaan apabila penyampai berita itu menyebut nama komposer lain sebagai penulis lagu kumpulan XPDC.
Kecewa dengan situasi itu, Hattan sempat ‘sekolahkan’ penyampai berita itu sebelum bertindak mematikan talian.
Mingguan Wanita:Tiada manusia yang sempurna dan tidak pernah membuat kesalahan. Berlapang dadalah kita. Terbaik sikap isteri sebegini, sentiasa disamping suami, menerima baik dan buruk suami.
Kaya belum tentu bahagia. Selalu bila kita tengok orang kaya, mulalah berkata-kata ‘kalau aku kaya macam dia’. Sedangkan kita tak tahu kehidupan mereka itu.
Kita fikir, bila kaya tentu bahagia dan orang miskin, hidupnya penuh dengan onak durinya. Janganlah mudah nak bandingkan semua itu.
Ingat, kaya belum tentu bahagia dan miskin belum tentu sengsara. Masing-masing ada cara tersendiri untuk bahagia.
Dalam perkongsian oleh Zul Ariff ini turut mengingatkan kita untuk tidak bandingkan dan bersyukurlah dengan apa yang ada.
Sekali saja dalam hidup cuba kau jangan bandingkan kebahagiaan kau kecapi dengan kebahagiaan orang lain. Bahagia ni sangat subjektif. Setiap orang punya keinginan bahagia yang berbeza.
Boleh bahagia ke kalau nampak kaya? Orang yang kaya pon belum tentu nak tunjukkan kekayaan mereka. Cuba lah dalam hidup ni ” sekali saja ” cari bahagia untuk diri sendiri, bila diri kau dah bahagia baru la kau boleh bahagiakan orang lain.
Hidup kita ni biar bahagia ikut cara kita bukan cara orang. Lagi pun bila kita ni hidup cara kita tak adalah semak otak kau nak ambil tahu itu ini, nak bandingkan sana sini, nak kritik atas bawah semua.
Nak hidup tenang cuba tips ni:
Sekali Saja korang tolong cuba tengok cermin, dan tanya diri korang apa yang kita ingin kan dalam hidup. Bila dah tahu keinginan korang tu, cuba korang belajar untuk capai impian tu, tanpa perlu buat apa apa perbandingan.
Sekali saja tolong lah jangan ikut perasaan atau keinginan disebabkan kau nak nampak hebat. Percayalah bila kau ikut perasaan ni bukan hebat yang kau dapat tapi malapetaka. Sebab apa, bila kau nak nampak hebat kau mula buat benda tanpa gunakan akal fikiran yang logik.
Sekali saja aku ingatkan korang bersyukur la atas apa nikmat yang korang ada, tak perlu nak compare, nak jelous dengan hidup orang lain, mesti one day nanti korang akan rasa nikmat kehidupan yang tenang.
Cuba sekali saja korang hargai segala di sekeliling korang, sebab itu semua adalah kebahagiaan tapi biasa lah manusia seperti pepatah melayu semut seberang sungai kau boleh nampak tapi gajah depan mata kau tak nampak.
Mingguan Wanita : Tak perlu nak bandingkan diri kita dengan orang lain. Bahagilah cara kita.
Perjuangan anak syurga terbela di dunia, peguam ulas kes Bella & ucap terima kasih kerana satukan ramai insan hebat.
Semalam ramai mengucapkan syukur di atas kemenangan yang berpihak kepada remaja down sindrom, Bella yang didera dan dianiaya. Mahkamah juga telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Siti Bainun dan dirinya sudah dihantar ke Penjara Kajang mulai semalam.
Kes ini mendapat liputan meluas kerana ramai yang ternanti-nantikan apa pengakhirannya kerana bukan saja rakyat biasa tetapi juga Tengku Mahkota Johor dan isteri turut memberikan perhatian ke atas kes ini hingga menghantar peguam pemerhati.
Peguam terkenal, Nor Zabetha turut mengulas kes ini dari sudut perundangan dan mengucapkan terima kasih kepada adik Bella kerana menyatukan banyak pihak untuk melihat dirinya terbela di dunia. Ya, perjuangan anak syurga ini sudah meraih kemenangan di dunia dan pastinya di syurga, dirinya kembali bersenang lenang.
Ikuti perkongsian dari Nor Zabetha dari Tetuan Nor Zabetha Chinna @ Co.
Pagi tadi saya ke mahkamah untuk menghadiri keputusan kes Bella, sebagai tanda sokongan kepada Bella dan kesemua orang yang memperjuangkan keadilan bagi Bella.
Setelah beberapa lama kita semua menunggu keputusan Bella.
Dari pagi lagi, di antara kami berlegar-legar di kepala, jika disabitkan kesalahan. Berapa lama agaknya keputusan yang akan dijatuhkan? Atau berapa denda? Atau berapa lama khidmat masyarakat?
Maksimum penjara bagi kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak adalah 20 tahun. Masing-masing menanti.
Keputusan dibacakan oleh Tuan Hakim terang dan jelas dalam mahkamah terbuka. Alasan penghakiman yang dibaca turut merujuk kepada Seksyen dan Akta, rujukan kepada kes undang-undang terdahulu dan prinsip undang-undang.
Saya ringkaskan dan rumuskan berdasarkan apa yang dibaca oleh Tuan Hakim di mahkamah terbuka tadi.
Dalam kes Bainun ini, terdapat dua pertuduhan. Bermakna ada 2 perbuatan jenayah yang dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) oleh Bainun terhadap Bella.
Pertama dia dituduh mengabaikan Bella sehingga Bella mengalami kecederaan emosi dan fizikal.
Perlu faham maksud abai iaitu cuai atau tidak ambil tahu atau tidak peduli sehinggakan Bella cedera dan mengalami kecederaan emosi dan fizikal. Isunya bukan siapa yang pukul atau bagaimana cedera tetapi pengabaian sehingga Bella cedera.
Pertuduhan kedua, menganiaya sehingga Bella mengalami kecederaan emosi dan fizikal. Maksud aniaya adalah menyakiti atau menyeksa atau menindas atau menzalimi.
Bagi dua pertuduhan abaikan dan menganiaya Bella, mahkamah perlu menilai keterangan saksi-saksi dari kes pendakwaan dan pembelaan serta meneliti hujahan team pendakwaraya dan pembelaan Bainun.
Mahkamah mengupas satu demi satu isu.
Isu bahawa sama ada Bella mengalami kecederaan emosi?
Mahkamah mempertimbangkan saksi pembelaan Bainun dan juga pendakwaraya iaitu saksi pakar yang hadir bagi menerangkan berkenaan dengan kecederaan emosi.
Mahkamah berpendapat bahawa pembuktian pendakwaan bahawa Bella mengalami emosi adalah kukuh dan tidak disangkal oleh pembelaan Bainun. Maka, telah dibuktikan bahawa Bella mengalami kecederaan emosi.
Seterusnya, isu sama ada Bella mengalami kecederaan fizikal?
Dalam pembelaan Bainun, dia menafikan mendatangkan kecederaan kepada Bella. Malahan mengikut pembelaannya, kecederaan berlaku sewaktu dia di tempat kerja.
Namun demikian, isu berkaitan bahawa kononnya Bella terkena air panas disebabkan bergaduh dengan Balqis , hanya dibangkitkan kepada saksi pembelaan dan tidak pernah ditanyakan kepada saksi pendakwaan dari peringkat awal. Oleh yang demikian, ianya hanya satu pemikiran terkemudian.
Maksud pemikiran terkemudian bermakna sebelum ini tidak ada pun tapi baru direka-reka dan dibangkitkan. Maksudnya, kalau benar, kenapa soalan-soalan mencadangkan kejadian air panas oleh Balqis ini tidak ditanya pada peringkat awal oleh team pembelaan Bainun.
Malahan pendakwaraya ada tawarkan saksi Aida dan Balqis kepada team pembelaan untuk dipanggil. Namun demikian, tidak dipangil.
Isu alasan bahawa kecederaan akibat termos juga tidak boleh diterima kerana luka yang dialami adalah menyeluruh di tubuh badan Bella dan bukanlah kerana air tertumpah dari termos yang sepatutnya pada bahagian tertentu sahaja.
Mahkamah juga mengambil kira keterangan dari pakar-pakar perubatan berkaitan luka-luka yang dialami Bella.
Berdasarkan keterangan dari SP2 iaitu doktor di bahagian Kecemasan dan Trauma HKL bahawa terdapat banyak kecederaan dan parut lama di badan Bella sewaktu diperiksa. Keterangan ini disokong juga oleh saksi doktor lain bahawa terdapat banyak parut dan kecederaan terdahulu yang dialami Bella. Bermakna jelas bahawa Bella sering mengalami kecederaan sebelum kejadian air panas ini.
Mahkamah juga turut menyentuh bahawa Bainun memperolehi penjagaan Bella melalui perintah mahkamah. Hak penjagaan diperolehi oleh Bainun.
Oleh yang demikian, sekiranya terdapat sebarang kecederaan kepada Bella, Bainun perlu memaklumkan kepada SP12 iaitu Encik Imran, pegawai pelindung Bella.
Kejadian air panas itu berlaku pada 6 hingga 9 Mei 2021. Namun Encik Imran hanya dimaklumkan melalui whatsapp pada 24 Jun 2021 (hampir sebulan setengah) iaitu ketika Bella dibawa ke hospital.
Mahkamah berpendapat bahawa pembelaan Bainun tidak boleh dipercayai dan gagal menimbulkan keraguan kepada dakwaan.
Mahkamah menjatuhkan Bainun bagi pertuduhan pertama iaitu mengabaikan selama 10 tahun dan 12 tahun bagi menganiaya. Hukuman dijalankan secara serentak.
Bainun juga dikenakan hukuman khidmat masyarakat selama 200 jam selepas 6 bulan dari pemenjaraan dan bon kelakuan baik sebanyak RM5,000 bagi tempoh 5 tahun. Permohonan bagi menangguhkan pemenjaraan Bainun juga ditolak oleh Mahkamah.
Tahniah team pendakwaan. Puan-puan pendakwaraya yang hebat, merangka strategi, menyoal saksi, melakukan penyelidikan undang-undang, membuat hujahan dan berhujah.
Terima kasih dan tahniah kepada saksi-saksi yang tabah memberikan keterangan-keterangan demi keadilan untuk Bella. Terima kasih dan tahniah mereka yang memperjuangkan Bella seperti Mommy Zurianty Sudin , Mona Din , Alif Ahmad, Peguam Mahmud Jumaat , Peguam Megat Syazlee, team peguam pemerhati Tengku Mahkota Johor, kesemua NGO yang terlibat dan kesemua yang sentiasa di belakang Bella. Kesemua warga net dan rakyat Malaysia yang tidak henti-henti menyokong.
Buat Bella, terima kasih kerana menyatukan kami semua.
Khiban atau khimar bandana menjadi trend hijab baharu dalam kalangan hijabi moden. Gabungan gaya sopan, praktikal dan edgy menjadikannya pilihan popular pencinta modest fashion.