Paruppu Vadai merupakan sejenis kudapan ringan yang berasal dari India selatan.Kuih vadai ini bukan sahaja dinikmati oleh kaum India malah turut popular di kalangan berbilang kaum di Malaysia.
Rasa lemak kacang dhal dengan aroma rempah ratus dan daun kari memang mampu membuka selera seisi keluarga. Kudapan ringan namun penuh berkhasiat ini sesuai dinikmati sebagai hidangan minuman petang bersama keluarga tersayang. Cara membuatnya pula tidaklah tidaklah sesukar mana. Jom kita cuba resipi istimewa ini.
Bahan-Bahan:
4 cawan kacang dhal – rendam semalaman atau minimum 4 jam
4 biji bawang besar – dicincang halus
2 biji cili merah (dicincang halus
2 biji cili hijau – dicincang halus
3 tangkai cili kering – dicincang halus
1 sudu besar jintan manis – ditumbuk kasar
2 tangkai daun sup dan daun bawang – dicincang halus
1 tangkai daun kari – dicincang halus
2 sudu besar tepung gandum
1 biji telur
Sedikit garam
Minyak secukupnya untuk menggoreng
Serbuk perasa
Cara Membuat:
1. Kisar 3 setengah cawan kacang dhal dengan telur dan 1 senduk kecil air.
2. Kemudian,campurkan baki setengah cawan kacang dhal didalam kacang dhal yang telah dikisar tadi.
3. Setelah itu, masukkan bahan-bahan seperti bawang merah, cili merah,cili hijau,cili kering, daun sup dan daun kari, kacau sebati.
4.Masukkan pula jintan manis, tepung gandum, garam dan serbuk perasa secukupnya.
5. Panaskan kuali dengan api perlahan dan kepal-kepalkan bentuk bulat, masukkan perlahan-lahan dalam minyak dan goreng hingga kekuningan.
Sumber: Aneka Resipi Kuih Muih
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Enaknya Makanan Segar, Buat Peminat Tegar Steamboat dan BBQ
Peminat steamboat, BBQ dan grill pastinya anda tidak mahu melepaskan peluang menikmati hidangan di Pak John Steamboat & BBQ. Tatkala melangkah masuk ke dalam restoran ini penulis berasa teruja kerana para pekerjanya begitu ramah. Memiliki dua cawangan restoran, Pak John Setamboat & BBQ terletak di eCurve Mutiara Damansara dan IOI City Mall, Cyberjaya.
Di restoran ini juga disediakan lima jenis kuah steamboat. Antaranya Sup Tomyam, Sup Udang, Sup Miso, Sup Ayam dan Sup Kari. Paling menarik perhatian penulis keenakan Sup Tomyam yang pedas dan cukup rasa.
Lebih dari 160 pilihan makanan untuk bahan-bahan steamboat dan BBQ yang disediakan seperti seperti fishball, fishcake, isi ketam, sosej dan banyak lagi.
Selain itu pengunjung juga boleh memilih pelbagai sayur-sayuran seperti salad, cendawan, tauhu dan banyak lagi. Bagi mereka yang suka kepada mi, ramen atau udon bolehlah ke kaunter mi yang disediakan.
Pelbagai Pilihan Makanan
Bukan sekadar steamboat semata-mata tetapi restoran ini juga menyediakan BBQ Grill yang boleh dinikmati pada waktu makan tengahari, minum petang mahupun makan malam. Bukan sekadar makanan untuk steamboat, BBQ dan grill restoran ini juga menyediakan makanan buffet yang lazat seperti Nasi Goreng, Spaghetti Carbonara, Sayur Campur Goreng, Sambal Sotong, Ayam Masam Manis dan juga pelbagai makanan sejuk beku bergoreng.
Paling istimewa disediakan juga bahan-bahan segar untuk grill antaranya itik, ayam, daging lembu dan kambing. Antara daging yang boleh didapati di restoran ini ialah Australian beef slices, New Zealand Beef Slices, New Zealand lamb slices, dan juga smoked duck breast slices. Setiap pilihan daging premium yang disediakan dijamin segar dan boleh dinikmati tanpa had.
Disebabkan daging dihiris nipis, ia tidak memerlukan jangka masa yang lama untuk dimasak. Antara yang menjadi kesukaan ramai New Zealand Lamb Slices kerana rasa daging kambing yang sangat manis disamping tesktur daging yang begitu enak.
Selain dari hirisan daging, restoran ini juga menghidangkan daging-daging yang diperap seperti black pepper beef, sweet soya chicken, spicy chicken dan banyak lagi. Makanan-makanan laut segar seperti kepah, lala dan sotong juga ada untuk peminat-peminat makanan laut.
Pencuci Mulut
Selepas selesai menikmati makanan utama dan memanggang daging atau kambing bolehlah memilih pencuci mulut yang bersesuaian. Terdapat ABC, Fruit Cocktail, Jelly Summy, Cendol Santan, Kek, Aiskrim atau Waffle.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mini Crunch Choco Jar, Guna Tiga Bahan. Buat Niaga Laku Keras Ni!
Isi Kandungan
ToggleMini Crunch Choco Jar memang diminati ramai tak kira usia. Rasa lemak dan manis coklatnya sangat mengujakan bila dinikmati. Ia juga amat digemari oleh anak-anak terutamanya. Fuh, satu balang kecil tu boleh sekali hadap.
Baca artikel lain di sini:
3 Versi Resipi Kek Milo Viral, Baik Kukus, Bakar Atau Derhaka Mana-mana Pun Sedap!
Resipi Biskut Famous Amos SEDAP, Makan Sekali Hadap Terus Habis!
Harga Boleh Tahan Juga…
Biasanya kalau nak beli, harganya boleh tahan juga. Bayangkan kalau anak-anak ramai. Pitam juga nak membelinya. Bukan cukup sebalang. Mauny berbalang-balang.
Mungkin ada yang rasa nak buatnya susah dan renyah. Ha..resipi yang dikongsikan kali ini sangat mudah. Bahan pun hanya tiga saja. Memang jimat dan rasanya juga cukup sedap. Coklatnya cairnya molek berkilat. Kalau nak buat niaga pun boleh laku keras ni. Selamat mencuba!
BAHAN-BAHAN MINI CRUNCH CHOCO JAR:
3 keping coklat Cadbury
500gm mini crunch (boleh beli di kedai bakeri)
1 cawan minyak jagung/minyak masak
Sedikit dark chocolate – pilihan
CARA MEMBUAT MINI CRUNCH CHOCO JAR:
Pertama, bakar mini crunch selama lima minit di dalam oven dengan suhu `150 Darjah Selsius. Setelah siap, keluarkan dan ketepikan.
Masak secara ‘double boil’ coklat dan minyak. Untuk kurangkan rasa manis, boleh tambahkan sedikit dark chocolate ke dalamnya. Masak hingga semuanya mencair. Kena pastikan coklat betul-betul sejuk barulah dimasukkan ke dalam bekas. Masukkan mini crunch Chocolate ini ke dalam bekas. Siap! Super mudah kan? Selamat mencuba!
Sumber: FB Fainda Farahin Faindah Farahin
Jangan lupa follow kami di:
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Puding Raja Tok Mak, Pernah Jadi Santapan Yang Di Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong
Isi Kandungan
ToggleBersua wajah dengan personaliti yang memenuhi ruangan Gaya Hidup VIP, Datin Fadzilah Mat Idin, 59, atau lebih selesa dengan panggilan Tok Mak, terserlah sifat keibuan.
Suaminya yang juga Pegawai Khas kepada Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Riayatudin Al Mustafa Billah Shah ibni Sultan Ahmad Shah, Dato’ Hj Jamaluddin Hj Ahmad, 68, juga tidak keberatan merestui pertemuan bagi sesi temubual ini.
Wanita yang bergelar suri rumah, aktif berniaga secara online dan guru personal kelas masakan ini sebenarnya sangat dikenali di laman sosial Facebook. Sebut saja menu popular air tangannya, Puding Raja Tok Mak pasti membuatkan ramai yang terliur dengan keenakan pencuci mulut istimewa ini.
Puding Raja Tok Mak Istimewa
Malah Puding Raja Tok Mak juga pernah menjadi hidangan buat santapan YDA dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Memandangkan suami bekerja di Istana Pahang lebih 40 tahun jadi Tok Mak pun sudah tinggal di kawasan Pekan selama itu. Walaupun Tok Mak ni orang Pahang (asal Kuala Lipis) sewaktu baru-baru berkahwin dengan suami, di kampung Tok Mak tak ada Puding Raja.
“Puding raja ini sangat istimewa kerana merupakan salah satu sajian istimewa yang terdapat di Pekan. Pada awalnya Tok Mak tak pernah terfikir dari telur kuning boleh menjadi jala emas. Jika singgah di Pekan, wajib merasai makanan ini kerana tidak terdapat di tempat lain. Kiranya dulu pencuci mulut ini hanya dihidangkan di istana saja dan kini ramai yang sudah komersialkan. Namun Tok Mak bersyukur kerana mendapat resipi istimewa Puding Raja ini daripada Dato Hanizah Dato Sri Ghazali yang juga Pengurus Icah Catering. Beliau merupakan guru yang mengajar Tok Mak buat Puding Raja. Tok Mak sangat berterima kasih kepada beliau. Malah beliau juga merupakan orang yang bertanggungjawab menyediakan santapan di raja Pahang dalam majlis-majlis rasmi dan personal,” ungkap Tok Mak.
Paling menggembirakan hati Tok Mak, Raja Permaisuri Agong juga pernah mencemar duli berkunjung ke kediamannya.
“Suami Tok Mak sudah bekerja dengan istana Pahang lebih 40 tahun jadi hubungan kami agak rapat dengan keluarga diraja. Raja Permaisuri Agong juga pernah mencemar duli ke rumah kami. Sambil menikmati hidangan Puding Raja yang Tok Mak masak, Raja Permaisuri Agong juga memberikan tips. Tok Mak juga sangat kagumi Raja Permaisuri Agong dan menjadikan bukunya, Air Tangan Tengku Puan Pahang-Masakan Tradisional Pahang sebagai panduan dalam masakan,” terang Tok Mak yang beruntung kerana sering mendapat tips masakan dari tukang masak istana.
8 Tahun Kongsi Resipi Di Facebook
Dek kerana ilmu masakan yang ada, sejak lapan tahun lalu, Tok Mak sudah berkongsi resipi masakan di FB miliknya. Pada awal hobi melayari laman sosial hanya sekadar mengisi masa lapang dan berhubungan lebih rapat dengan anak ketiganya yang melanjutkan pelajaran di Australia namun Tok Mak tidak menyangka penulisannya menjadi ikutan ramai rakan Facebook.
“Tok Mak tak sangka ramai yang menghargai perkongsian resipi masakan Tok Mak di Facebook. Bila Tok Mak ada masa lapang, akan kongsi resipi, gaya hidup Tok Mak yang ala kampung dan berkongsi cara mendeko meja makan. Paling tak disangkakan rakan yang ramai memberi maklum balas terdiri dari golongan ibu muda. Malah Tok Mak juga melayan rakan-rakan di Facebook seperti keluarga sendiri. Dimana Tok Mak menyantuni mereka dan beramah mesra dengan semua orang,” ungkap Tok Mak yang turut menurunkan ilmu masakan kepada anak keduanya Nurhafiza. Selain Puding Raja Tok Mak juga menghasilkan sendiri Rempah Soto dan produk tersebut ternyata mendapat sambutan.
Anggap Anak-Anak Sebagai Sahabat
Selepas mendirikan rumahtangga, Tok Mak bergelar suri rumah sepenuh masa. Jadual kerja suaminya amat padat, disebabkan oleh itu Tok Mak memberi segala perhatian dan mementingkan pendidikan anak-anak.
“Tok Mak lakukan yang terbaik untuk memberi didikan kepada anak-anak. Tok Mak melahirkan anak ketiga pada usia 25 tahun. Sebagai seorang ibu dalam baik ada garangnya. Tok Mak berusaha lebih iaitu 200 peratus untuk ketiga-tiga anak bijak dalam pelajaran. Tok Mak juga rajin hantar tuisyen, bila anak-anak masuk asrama Tok Mak tak pernah lalai menjenguk mereka.
“Tok Mak juga berkenalan dengan semua tenaga pengajar anak-anak. Tak pernah putus memberikan anak-anak didikan yang terbaik. Malah Tok Mak anggap anak-anak sebagai sahabat. Syukur alhamdulillah ketiga-tiga anak berjaya, yang sulung Nurlina bertugas di luar negara, yang kedua Nurhafiza sebelum ini pernah bertugas sebagai Pengurus di sebuah bank di Kuala Lumpur manakala anak yang ketiga Ahmad Jaffri kini merupakan Atlet Paralimpik Negara bagi Sukan Memanah. Anak lelaki Tok Mak sebelum ini normal, namun selepas mengalami kemalangan jalan raya sembilan tahun lalu dia lumpuh dan pernah melanjutkan pelajaran di Australia dalam jurusan Sains Sukan.
“Pada Tok Mak dalam mendidik anak-anak biarlah secara sederhana, walau banyak duit tapi kita makan apa saja yang ada. Selain itu Tok Mak juga tak nak anak-anak besar diri. Tok Mak juga kenal dengan semua rakan-akan anak namun Tok Mak tetap menghormati privasi anak-anak. Tok Mak juga anggap anak sebagai sahabat kalau marah biar mereka dengan secara santai,” sambung Tok Mak yang turut berbangga bergelar seorang ibu.
Jangan Cepat Sombong
Tatkala menyentuh tentang pesanan arwah ibunya yang paling diingati, suara Tok Mak bergetar dan dia kelihatan begitu sebak tatkala melontarkan kata-kata.
“Paling saya tak boleh lupa, arwah ibu suruh sentiasa berbuat baik dengan orang lain. Jangan cepat berasa sombong, tak rugi jika kita mengamalkan sikap berbaik-baik dengan semua orang. Tok Mak juga pupukkan perkara yang sama pada jiwa anak-anak. Tok Mak sendiri akui ramai kenalan di Facebook yang Tok Mak tak pernah jumpa. Dalam ramai kawan-kawan ada yang bukan calang-calang orang. Pada Tok Mak siapa pun kawan kita itu berbuat baiklah dengan mereka.
“Memandangkan Tok Mak berkahwin dengan lelaki yang lebih tua sembilan tahun dari Tok Mak. Ternyata banyak yang Tok Mak belajar dari Dato’ dan lebih mematangkan fikiran kita. Dato’ orangnya tidak suka makan di luar, jadi selepas berkahwin Tok Mak belajar memasak dan Dato’ juga banyak memberi pandangan dan idea untuk Tok Mak perluaskan ilmu memasak. Suami juga seorang yang sangat cool dan tidak banyak karenah. Antara menu yang menjadi kesukaan Dato’, Ikan Masak Taucu, Stew Ayam, Puding Raja dan Sago Gula Melaka,” luah Tok Mak.
Agak jarang bercuti ke luar negara namun Tok Mak dan suami akan pastikan akan curi masa untuk menghabiskan cuti bersama-sama.
“Memandangkan Dato’ sangat sibuk, jadi kami memang jarang bercuti apatah lagi ke luar negara. Sekali sekala kami akan ke Hong Kong menjenguk anak sulung kami yang bekerja di sana. Jarang sekali melancong, tetapi Tok Mak tak boleh lupakan pengalaman mengerjakan umrah bersama keluarga. Momen itu sangat berharga dalam hidup Tok Mak,” akhiri Tok Mak.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI