Nilai barangan bukanlah menjadi satu keutamaan, namun kesungguhan menzahirkan kasih sayang sempena ulangtahun kelahiran isteri tersayang itulah sebenarnya hadiah yang paling berharga.

Hadiahkan Reban Ayam Baru

Kisah seorang suami menghadiahkan sebuah reban ayam sempena ulang tahun kelahiran isterinya kerana tidak boleh ke mana-mana sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) viral di laman sosial.

Mohd Nazri Ismail, 40-an, berkata, pada tahun ini dia mahu memberi kelainan dan turut membuat kek sendiri sempena hari lahir isterinya, Rashidah A Rahman. Bercerita lanjut, kata Mohd Nazri, dia tinggal di Felda Sungai Koyan Dua, Raub Pahang, kedudukan rumahnya agak jauh dari bandar.

“Nak beli hadiah lain memang tak boleh kerana PKP. Kami duduk kampung jauh nak pergi ke bandar. Lagi pun tak boleh keluar.

“Jadi saya cadang buat reban ayam baru untuk isteri. Lagipun dia suka bela binatang macam ayam, puyuh dan itik. Maka tahun ini, hadiah hari lahir lebih unik dari tahun sebelumnya,” katanya.

IKLAN

Doa Berbahagia Hingga Ke Syurga

Terdahulu, kisah pasangan ini yang tular di media sosial menarik perhatian ramai termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli menyifatkan kesungguhan menzahirkan kasih itulah hadiah yang paling berharga dan mendoakan pasangan ini berbahagia hingga ke syurga.

IKLAN

Biasa Memasak

Pandai membuat kek buatan sendiri untuk hari lahir isteri, Mohd Nazri yang bertugas di kapal dagang berpangkalan di Dubai berkata, dia tidak kekok untuk memasak kerana ketika berada di atas kapal, sudah biasa berbuat sedemikian.

“Saya tak pandai sangat masak tapi saya minat. Saya kerja di kapal, jadi kekadang di atas kapal masak sendiri, dari situ saya belajar.

IKLAN

“Lagipun ketika ini isteri mengalami keguguran dan pastinya di saat getir ini saya perlu menggalas tugas memasak untuk isteri termasuk dua orang anak,” ujarnya.

Selain memasak, sepanjang aktiviti PKP, Mohd Nazri juga akan berkebun dan membawa bapa mentua ke klinik kesihatan untuk menjalani rawatan dialisis. Menurut Mohd Nazri, dia sepatutnya berada di Cairo atas tuntutan kerja bagaimanapun pada hematnya keluarga lebih penting semasa PKP dan rezeki boleh dicari.

MW: Semoga pasangan ini berbahagia hingga ke syurga. Benar, nilai hadiah dan apa yang diberikan buat pasangan bukanlah yang utama, paling penting kesungguhan dan usaha menzahirkan kasih sayang.

Sumber: Sinar Harian, Mohd Nazri Bin Ismail