Umum sedia maklum, rawatan estetik semakin mendapat tempat di kalangan wanita yang ingin mengekalkan ‘rahsia awet muda’, tampil anggun dan jelita. Tidak dinafikan, teknologi rawatan estetik memperlihatkan perkembangan teknologi yang semakin canggih dari semasa ke semasa selaras dengan permintaan dan perkembangan dunia kecantikan estetik di seluruh dunia.
Atas inisiatif tersebut, Klinic Nara, salah satu peneraju dalam industri estetik dan kecantikan baru-baru ini telah meraikan ulang tahun ke-14 penubuhannya dengan menganjurkan majlis rumah terbuka yang meriah bertempat di Bangsar Shopping Centre.
Menurut Dr. Nadzri Abdul Mokhtar, acara ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia yang telah menyokong pertumbuhan dan kejayaan Klinik Nara sepanjang penubuhannya. Sejak dari tahun 2010, Klinik Nara berpegang teguh pada falsafah bahawa ‘kecantikan bermula dari dalam’.
Melalui komitmen tersebut, Klinik Nara telah berjaya menyediakan pelbagai penyelesaian estetik revolusioner yang bertujuan untuk meningkatkan penampilan dan keyakinan diri setiap individu.
Ads
Baru-baru ini, Klinik Nara memperkenalkan beberapa inovasi terkini dari BTL Aesthetic Malaysia termasuk EMFACE, EXION, EMSELLA, dan EMSCULPT NEO.
Inovasi ini merupakan kemuncak kemajuan teknologi, yang tidak hanya memberikan hasil yang memukau tetapi juga didukung oleh tahun-tahun penyelidikan dan pembangunan.
Ads
Dr. Nadzri Abdul Mokhtar yang juga merupakan pakar perubatan anti-penuaan terkemuka turut memperkatakan mengenai perjalanan klinik yang mengagumkan.
“Saya amat bersyukur dan menghargai dukungan pelanggan kami sepanjang 14 tahun ini. Kami selalu berusaha untuk menyediakan rawatan terbaik yang sesuai dengan keperluan individu,” jelas Dr. Nadzri.
Dr. Nadzri Abdul Mokhtar
Pengalaman Lebih 20 Tahun
Berbekalkan pengalaman lebih dari 20 tahun dalam bidang kecantikan, Dr. Nadzri berkata dia memulakan karier di Nara Medispa pada tahun 2006, sebelum membangunkan Klinik Nara di Bangsar.
Ads
Fokus utama klinik adalah pada rawatan anti-penuaan dan integratif, menawarkan pendekatan holistik terhadap kecantikan yang mengintegrasikan penggunaan bahan-bahan semulajadi dan memperhatikan faktor-faktor seperti hormon, toksin, dan virus.
Di samping itu, Dr. Nadzri turut menekankan tentang keberhasilan teknologi baru mereka, Personalised Oxygenation Delivery System (PODS), yang kini membolehkan oksigen diserap secara semulajadi melalui kulit.
Teknologi ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan Asia Tenggara, dan sudah terkenal di Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat.
Acara rumah terbuka tersebut turut dihadiri oleh beberapa VVIP termasuk bekas Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Muhammad Yassin, dan Dato’ Seri Utama Haji Mukhriz bin Tun Dr. Mahathir, menandakan pengakuan dan sokongan terhadap pencapaian Klinik Nara.
Untuk lebih lanjut tentang Klinik Nara dan rangkaian rawatan yang mereka tawarkan, silakan kunjungi laman web mereka di www.clinicnara.com atau hubungi mereka di +603 2282 9299.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Azmi Saat kongsi cabaran jaga anak, “paling mencabar bila nak beri makanan pertama di usia 6 bulan. Bagi ibu bapa yang normal, pasti tidak susah untuk mengasuh anak sulung. Namun bagaimana dengan pasangan suami isteri yang diuji dengan masalah penglihatan?
Azmi Saat yang juga penyanyi utama Kumpulan Caliph Busker berkongsi cabaran besarkan anak sulungnya, Khalisa yang kini sudah memasuki usia 6 bulan. Antara yang paling mencabar bagi pasangan suami isteri yang diuji dengan masalah penglihatan ini ialah cabaran memberikan makanan pertama buat anak.
“Bagi saya, ianya agak mencabar. Bermula fasa baru untuk kami iaitu fasa nak bagi Khalisa makan. Agak mencabar juga. Nak sediakan makanannya, nak menyuap dalam keadaan dia belum pun kenal erti makan dan nak pastikan dia betul-betul dapat makan dengan baik,” katanya berkongsi pengalaman membesarkan anak sulung mereka selepas lebih 10 tahun mendirikan rumahtangga.
Kongsi Azmi, antara soalan yang banyak ditanyakan pada kami tentang anak adalah siapa yang tolong jaga? Bila kami jawab kami berdua sahaja yang jaga sendiri, biasanyamereka akan terkejut. Mereka terfikir bagaimana keadaan saya dan isteri yang dua-duanya langsung tak boleh melihat menguruskan anak.
Memang betul. Saya dan isteri jaga Khalisa berdua sahaja. Malah kami bukanlah pasangan buta pertama yang berbuat demekian. Ramai lagi kawan-kawan senasib saya buat perkara yang sama walaupun kebanyakannya salah seorang dari pasangan boleh melihat sedikit.
Saya bersyukur dapat isteri yang memang kuat semangatnya untuk menjaga anaknya sendiri. Memang sejak awal perkahwinan kami dial sudah suarakan hal itu. Dia tak mahu seperti mereka yang tinggalkan anak di kampung dan ambil semula setelah pandai mengurus diri.
Jujurnya memang ada risau juga. Terutamanya hal yang berkaitan keselamatan. Namun, kami serahkan semuanya pada Allah. Kami selalu saling mengingatkan agar baca bismillah sebelum buat apa sahaja. Mudah-mudahan Allah jauhkan dari hal yang tak dingini.
Selain itu, kami juga bersyukur ada keluarga dan kawan-kawan yang selalu bertanya khabar. Walaupun kami boleh jaga sendiri bukan bermakna langsung tak perlukan penglihatan.
Ada juga beberapa perkara yang kami minta orang lain untuk tolong seperti mencari semula pasangan baju dan seluar yang bercampur waktu dicuci dan tengokkan kalau-kalau ada ruam atau apa-apa pada badan Khalisa yang tak mampu dirasa dengan jari.
Syukurnya, tak ada satu pun dari mereka yang mempersoalkan cara kami menjaga anak. Mereka hanya bantu apa yang kami perlu sahaja.
6 Mei ini Alhamdulillah genap 6 bulan umur Khalisa. Bermula fasa baru untuk dia dan kami iaitu fasa nak bagi dia makan. Agak mencabar juga. Nak sediakan makanannya, nak menyuap dalam keadaan dia belum pun kenal erti makan dan nak pastikan dia betul-betul dapat makan dengan baik.
Selain itu, Khalisa dan Ibu juga akan belajar berpisah kerana perlu menghantar Khalisa ke rumah pengasuh. Bulan Jun Si Ibu sudah kembali bekerja. Dah berapa kali dia suarakan kesedihan bila terpaksa menghantar Khalisa pada orang lain.
Begitulah kawan-kawan. Hidup adalah perjuangan. Kita semua ada perjuangan masing-masing. Menang atau kalah adalah bermula dari impian. Bila ada impian barulah adanya kekuatan.
Sama-sama kita berjuang dengan cara kita sendiri. Kita ada Allah yang akan sentiasa beri yang terbaik untuk hambaNya. Selalulah bersangka baik dengan Allah. Mudah-mudahan kita selalu dalam kasih-sayangNya.
Hisyam Hamid sah bercerai, “jalan terbaik adalah dengan tidak lagi menjadi suami isteri.” Spekulasi tentang status rumah tangga pelakon Hisham Hamid akhirnya terjawab apabila jejaka kacak ini membuka mulut mengenai desas desus keretakan rumah tangganya dengan isteri, Rosmawati Hanafi.
Memetik Oh Bulan, Hisyam bagaimanapun enggan mendedahkan tarikh perceraian mereka. Hisyam atau nama sebenarnya Hazmi Hisyam Abdull Hamid, berkata dia dan Rosmawati sudah sah bercerai namun enggan mendedahkan tarikhnya.
“Buat masa ini kami selesa berkawan baik. Lebih daripada itu saya tak pasti, masa yang akan tentukan.
“Saya tak nak sebab satu titik hitam yang berlaku, musnahkan segalanya. Masing-masing dah minta maaf. Buat masa ini, jalan terbaik adalah dengan tidak lagi menjadi suami isteri.”
Hisyam yang berusia 39 tahun mengakui dia dan bekas isterinya ingin melupakan perkara yang terjadi selain mahu meneruskan kehidupan masing-masing.
“Dia adalah ibu kepada anak-anak saya. Hampir 20 tahun kami bersama, sepanjang 20 tahun itu tak semua negatif dan banyak perkara baik yang berlaku.
“Itu adalah pengorbanan besar yang paling besar bagi seorang wanita melahirkan anak-anak.”
Sebelum ini Hisham mengambil keputusan untuk tidak mengulas lanjut berhubung isu rumah tangganya. Tindakan ini dilakukan kerana banyak perkara yang perlu dipertimbangkan terutama anak-anak.
Untuk rekod, Hisyam mendirikan rumah tangga dengan Mel pada 2006 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata, Nurish Syameliah, 17, dan Haydeen, 15.
Peguam syarie kongsi isteri kena penjara 7 hari, “lebih 80 kali sengaja ubah tempat pertemuan bekas suami & anak. Kes seorang ibu yang di penjara oleh Mahkamah Tinggi Syariah kerana dengan sengaja tidak beri kebenaran kepada bekas suami bertemu anak agak memeranjatkan.
Ini kerana kita biasa mendengar ada lelaki yang di penjara kerana gagal membayar nafkah anak tetapi kali ini ia melibatkan seorang isteri yang didapati lebih 80 kali dengan sengaja mengubah tempat pertemuan anak dan bapanya.
Ikuti perkongsian dari peguam syarie, Fahmi Ramli dari Tetuan Khairul Fahmi & Associates mengenai hal ini.
Penjara kerana anak
Pada asalnya, saya bercadang untuk kunci mulut terlebih dahulu sehinggalah ada fakta kes yang jelas diketahui. Sebab keadilan ini mesti datang dengan keterangan dan pembuktian.
Ramai orang kecoh dan menghentam keputusan Mahkamah Tinggi Syariah apabila memenjarakan seorang ibu yang telah melanggar perintah Mahkamah berkaitan dengan hak jagaan anak.
Ramai yang mencemuh katanya mahkamah zalim, bapa zalim dan sampai satu tahap ada yang mengkritik Islam itu zalim. Nauzubillah.
Percayalah, Islam tak pernah zalim.
Yang zalim apabila kita tidak mengikut apa yang telah ditentukan syarak dan undang-undang serta tidak meletakkan sesuatu perkara betul pada tempatnya.
Saya menyeru untuk semua follower yang membaca untuk bertenang, dan nilaikan sendiri dengan akal yang waras.
Apakah perintah asal berkaitan jagaan anak?
Bagi suami isteri yang bercerai, salah satu isu yang bakal timbul di Mahkamah adalah berkaitan dengan hak jagaan anak. Semua orang yang selalu saya terangkan akan faham, saya selalu cakap, bab jagaan anak adalah bab kebajikan anak.
Dan keutamaan biasanya diberikan kepada ibu kerana hak jagaan disisi undang-undang dan syarak akan diutamakan kepada ibu mengikut Seksyen 81 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.
Tapi, yang paling baik bila ada pertikaian berkaitan hak jagaan anak adalah diputuskan melalui Persetujuan. Kes pihak-pihak adalah Perintah Jagaan yang diputuskan bukan melalui paksaan Mahkamah, tetapi melalui Persetujuan pihak-pihak.
Maka, bekas suami dan isteri, sangat perlu menghormati perjanjian apatah lagi bila ia melibatkan Perintah Mahkamah.
Apabila sesuatu perkara itu telah menjadi Perintah Persetujuan ia tetap dikira perintah Mahkamah. Setiap pihak-pihak yang terlibat sangat perlu mematuhi perintah.
Jika salah satu pihak melanggar perintah, ia boleh dianggap sebagai satu kesalahan. Dan pihak yang dianiaya tersebut, berhak, untuk memohon supaya perintah tersebut dikuatkuasakan.
Jika, bekas isteri atau suami rasa terbeban dengan perintah tersebut, mereka sepatutnya boleh membuat tuntutan Ubah Perintah di Mahkamah yang sama keluarkan perintah tersebut.
Tidak. Mahkamah Syariahlah yang paling kurang bagi penjara meskipun melibatkan kes-kes jenayah syariah yang walaupun dah termaktub setiap kesalahan yang ada hukuman penjara.
Apatah lagi nak hukum penjara keatas wanita yang bergelar ibu dan isu yang berkaitan dengan Perintah Hak Jagaan Anak.
Permulaan kepada kes Komital (Hukuman Penjara) perlu bermula dengan satu Permohonan di Mahkamah Syariah. Ia mesti dibuktikan sekeras-kerasnya apakah pelanggaran yang berlaku.
Mengikut fakta, si bapa ini diperintahkan untuk berjumpa di Kuala Lumpur, tapi si ibu dengan sengaja mengubah lokasi ke Kajang iaitu satu tempat yang bertentangan dengan perintah yang mereka persetujui.
Ini bukan kali pertama. Lebih daripada 80 kali perkara tersebut berlaku seorang bapa dinafikan haknya untuk berjumpa dengan anak-anak.
Mahkamah tidak zalim. Mahkamah beri peluang kepada si ibu untuk bela diri kenapa berbuat demikian apabila mengeluarkan satu Notis Tunjuk Sebab pada 17 Januari 2019. Lebih daripada 20 orang Peguam Syarie bertukar ganti untuk bela si ibu.
Melalui perbicaraan dan keputusan Yang Arif Hakim, pihak si ibu telah gagal membuktikan alasan yang munasabah dan ada pengakuan sendiri si ibu yang dia ingkar perintah tersebut dengan alasan yang tidak munasabah.
Pengalaman kes saya sendiri?
Dahulu, saya ada satu kes yang lebih teruk berlaku kepada si ibu. Mahkamah Tinggi Syariah telah putuskan hak jagaan kepada si ibu dan si bapa diberikan hak untuk melawat pada bila-bila masa yang munasabah.
Tapi, perintah ini jadi sia-sia apabila anak-anak dibawa lari dan disembunyikan tanpa jejak. Jenuh saya naik turun Mahkamah untuk dapatkan pula Perintah Penguatkuasaan untuk dapatkan kerjasama pihak berkuasa.
Tapi, masih lagi belum berjaya.
Hinggalah ke peringkat Akhir, kita dapat menjejaki si bapa, saya segera dapatkan Notis Tunjuk Sebab namun banyak halangan yang masih dilalui hanya untuk dapatkan keadilan serta jagaan anak tersebut.
Kes ini makan masa lebih daripada 3 tahun. Si ibu dinafikan haknya di Mahkamah.
Namun, pada tahun keempat, akhirnya berjaya dibawa si bapa ke Mahkamah dan kuasa Allah pada ketika itu, anak-anak juga dibawa ke Mahkamah.
Adakah Mahkamah terus jatuhkan hukuman penjara? Tidak. Mahkamah tegaskan dan berikan amaran sekeras-kerasnya kepada si bapa supaya Jangan Hina Perintah Mahkamah.
Dan si ibu juga memaafkan peristiwa lalu. Si bapa akhirnya dilepaskan dari segala waran tangkap sebab keadilan telah diperoleh.
Kesimpulan,
Masih kejamkah Mahkamah Syariah apabila memerintahkan penjara 7 hari kerana pelanggaran perintah melalui perbuatan sendiri?
Saya selalu berpesan, seorang bapa, jika jahat atau teruk macam mana sekalipun, selagi dia adalah Bapa Kandung, selagi itu, dia berhak untuk berjumpa dengan anak-anaknya.
Begitu juga dengan si ibu, teruk macam mana sekalipun, bab jagaan anak, ibu tetap ada hak untuk berjumpa dengan anak-anaknya.
Islam tidak pernah zalim. Islam diturunkan untuk membela hak Lelaki dan Wanita. Penjara bukan untuk lelaki sahaja. Hukuman dalam Islam juga bukan untuk lelaki semata-mata.
Berlapang dada. Fahamkan dahulu asas kes sesuatu. Baru menilai. Hormatilah undang-undang, apatah lagi perjanjian yang kita lakukan sendiri.
Hijab Uniqlo cetus perdebatan netizen selepas iklan produk itu dipersoalkan kerana cara pemakaian model. Ini pandangan kedua-dua pihak mengenai isu berkenaan.