Nak masak nasi putih pun kena tahu caranya, silap gaya boleh jadi lembik atau terlalu keras. Dan kalau betul caranya nasi tu tak melekat, sedap dan lebih khasiat!
Apa rahsianya, mari godek rahsia masak nasi yang dikongsikan oleh Puan Azian Buaian Kuntum ini…
Makan nasi gebu panas-panas. Sebiji-sebiji nasinya… ok, beras apa ni?
Sebenarnya beras biasa-biasa je tapi cuba zoom tengok? Macam beras basmati pula…
Siapa bila masak nasi asyik berketul-ketul? Terlalu lembik. Bila sejuk jadi tepung pun ada. Bila tukar jenama beras lagiiilah!
Kadang-kadang jelantah sebab sukar nak pastikan banyaknya air untuk lain-lain brand beras, bila nak suruh anak-anak kecik masak pun teragak-agak kan.
Tu lah antara pengalaman saya masak nasi dulu kala.. sampai lah tahu cara masak nasi ni.
Alhamdulillah… saya terpandang encik yang saya tak ingat nama pun. Dah 3 bulan kot, Nasi Putih, beryiani, minyak, hujan panas dan lain-lain saya masak dengan CEMERLANG guna teknik ni.
Syukur sangat-sangat. Kot ada yang nak belajar masak nasi dengan saya, saya sedia kongsikan resepi.
Ads
Sebab selalunya semua dah belajar masak nasi dengan Mak masing-masing. Betul tak?
NASI PUTIH ni saya KUKUS. Dah beribu orang kot makannya sebab saya bisnes katering.
Cara masak nasi Kukus.
Yang ni saya bagi untuk NASI PUTIH je ye.
PANTANGNYA!
JANGAN DIBUKA PENUTUP PERIUK SELAGI TAK CUKUP TIME. PENDERHAKA AKAN DAPAT NASI MENTAH NANTI. INGAT NI..
Ads
Mula-mula panaskan pengukus, dalam airnya masukkan carikan daun pandan. Tutup tudung periuk pengukus. Nyalakan api, baru lah mula proses dibawah.
1. Beras cap apa pun tak apa.
2. Sukat beras macam biasa tapi guna pot saiz pot beras dan kecil dari tu.
2. Basuh beras macam biasa.
3. Masukkan air tinggi sikit je dari tinggi beras.. dalam 1~2 inci. Beras murah 2 inci, beras basmati dan lain-lain 1 inci je lebihnya ya.
Ads
4. Masukkan periuk beras tadi kedalam pengukus yang dah panas mendidih airnya dan tutup tudung periuk.
4.1. Dalam kes masak nasi kukus ni.. tudung periuk pengukus sahaja yang kita guna ye.
Cari or guna bekas yang boleh buat penutup kukus tutup dengan rapat na. Loyang kuih dan kek pun boleh je guna untuk masak nasi kukus ni. Senangkan??
5. Tengok jam ye. Kira 15 minit +5 minit utk setiap pot beras.
Contoh… jika masak 4 pot, 15+20 minit jadi lepas 35 minit boleh tutup apinya.
6. Buka penutup kukus tu 5-10 minit lepas matikan api.
7. Nasi ni tahan dan lambat basi dari nasi yang dimasak cara biasa. Paling best, tak berkerak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tahun 2018 nanti, tahun 6 tak lagi ambil UPSR. Tapi mereka bakal ambil peperiksaan PPSR. Apa pula kaitannya dengan anak yang gemuk? Lagilah ramai ibu bapa mulai risau. Tengok penerangan pun dah boleh buat biji mata berpinar-pinar.
Ini penjelasan mudah faham yang disampaikan oleh Cikgu Mohd Fadli Salleh. Semoga mak-mak dapat kurangkan kebimbangan yang bersarang dalam hati tu.
Risau la akak, anak akak Tahun 6 tahun depan. Kenapa kerap benar silibus bertukar? Macam mana ni cikgu nak hadapi? Kesian anak-anak kami jadi tikus makmal. Asyik jadi bahan eksperimen sahaja.
Baik. Kau orang tenang-tenang sahaja. Yang nak exam, anak kau. Bukan kau. Lagipun cikgu Korea kau ni takkan biarkan kau orang dalam dilema. Aku jelaskan satu-persatu.
Benda ni, kami dah ‘run’ lama dah. Sejak KSSR diperkenalkan pada 2011. Tahun ini, KSSR Semakan pula diperkenalkan. Silibus baru yang padat dan tinggi arasnya.
Namun, baru tahun ini kerajaan perkenalkan pada umum. Baru tahun ini result keputusan UPSR bukan sekadar sekeping slip semata-mata, bahkan ada satu fail pencapaian murid bersama-sama.
Tahun ini kita dah mula sebenarnya, namun secara tidak rasmi. Secara rasminya tahun depan.
Silbus baru lagi. Anak kami jadi eksperimen lagi. Kesian anak kami, cikgu.
Tidak. Silibus tidak bertukar. Masih kekal silibus terbaru, KSSR Semakan yang murid Tahun 1 dan Tingkatan 1 guna tahun ini. Silibus itu akan dibawa ke tahun dua dan tingkatan dua tahun depan.
UPSR macam mana cikgu? Ada ke mansuh? Kalau ada formatnya macam mana?
Format Peperiksaan UPSR tak berubah pun. Cuma keputusan UPSR tu bukan slip UPSR sahaja. Ia merangkumi semua penilaian. PPSR ini gabungan penilaian PBD, Psikometerik, PAJSK dan PP (UPSR).
Daripada keputusan PPSR nanti, senang ibubapa dan guru-guru nak lihat kecenderungan anak-anak kita nanti.
Secara tak langsung, bilamana ada ujian pajsk, psikometrik dan semua ni , guru boleh lihat kcenderungan murid dalam skill mana. Bila kenal kecenderungan, mudah ibu bapa dan guru mengasah bakat sedia ada mereka.
Kalau anak saya tidak aktif sukan akan mempengaruhi result dia ke cikgu? Katakan anak saya gemuk mempengaruhi juga ke?
Betul. Walau anak kau dapat 6A dalam komponen Upsr, tapi keputusan PAJSK, Psikometrik dan PBD tak seberapa, aktiviti Koko pula selalu tak hadir, tak banyak sumbangan diperingkat sekolah, daerah mahupun negeri, Ujian SEGAK tak buat, tahap kecergasan tak memuaskan, semua itu akan mempengaruhi keputusan PPSR. PBD (pentaksiran bilik darjah) adalah pentaksiran untuk semua mata pelajaran yang diambil oleh murid. Bukan hanya subjek UPSR sahaja.
Faham ke tak ni? Senafas aku tulis tu.
Cikgu, cikgu! Ni buat saya risau ni. Anak saya gemuk. Rendah la markah dia nanti.
Kau bawalah anak-anak bersenam setiap hujung minggu. Jaga pola pemakanan dia dengan lebih teratur. Kan bagus tu. Satu keluarga sihat sebab anak nak ambil PPSR.
Tapi cikgu, anak saya ni ada penyakit. Tak boleh kena panas, tak boleh bergerak. Dan tak boleh berpeluh. Macam mana cikgu? Kesian la dia, nanti markah dia rendah.
Pulak dah. Macam-macam betul anak kau ni. Baik, dengar sini.
Aktif ni bukan sahaja dari segi sukan bola sepak, ragbi atau olahraga. Dari segi aktiviti ko-akademik pun termasuk juga. Contohnya permainan catur, setem dan felatelli, kesenian dan kebudayaan (pantun, dikir barat, nasyid, boria ), seni visual, sahiba dan lain-lain.
Jika murid tidak mampu untuk bersukan yang lasak, minta mereka fokus pada aktiviti ko-akademik. Kalau itu pun mereka tak mampu, terimalah keputusan yang sedikit rendah.
Dah itu keupayaan anak-anak kita. Terimalah dengan rela. Asah lagi bakat mereka yang boleh kita asah. Sentiasa suruh mereka ke depan dalam setiap pertandingan dan program sekolah.
Didik anak dari rumah lagi. Pupuk kecenderungan mereka. Jangan harap semua benda cikgu nak bagi tumpuan pada anak kau orang. Senang bila kat sekolah nanti cikgu tahu dah apa kelebihan anak-anak kita.
Jadi, apa kesimpulan cikgu?
Tak payah nak simpul-simpul sangat lah. Berbelit nanti. Terus terang aku kata, PPSR ini satu penilaian yang lebih telus dan menyeluruh. Satu penambahbaikan yang bagus dari pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.
Terima kasih cikgu atas penerangan panjang lebar cikgu. Eh jap cikgu. DLP ni binatang apa pula? Kenapa semua pakat risau dengan DLP ni cikgu?
Sudah. Sudah. Penat dah aku menulis ni. Aku lapar nasi dah ni. Lain kali pula aku tulis pasal DLP tu.
Kau ingat aku tulis ini percuma? Belanja ah pizza ke, kepsi ke kalau terserempak. Takkan itu pun aku nak kena cakap. Hmmm, geram pula aku.
Nak bagi kau faham, aku yang tanya, aku yang jawab. Kahkahkah.
Sumber/Foto : Mohd Fadli Salleh
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ketika pelakon Izreen Azminda dikatakan akan membuat pengumuman khas mengenai status perkahwinannya, aktres itu rupa-rupanya telah berkahwin dengan pemuzik bebas rancangan Gegar Vaganza pada Ogos lalu. Bagaimanapun, pemuzik itu yang dikenali sebagai Uda atau nama sebenarnya Muhammad Radzi Wahid, 29, merupakan suami orang yang sudah beranak dua.
Dalam satu rakaman langsung oleh Utusan Online pada Khamis, isteri kepada pemuzik itu, Intan Liana Salih, 30, menerima seorang pelakon sebagai madunya dan ia dipercayai Izreen.
Wanita itu mendakwa dia mengetahui suaminya telah berkahwin dengan wanita berkenaan dua minggu lepas dan dia redha dengan keputusan suaminya untuk berpoligami.
Menurut laporan Mstar, isteri kepada Uda telah memberi kenyataan yang dia sedia menerima kehadiran Izreen sebagai madunya. Wanita yang dikenali sebagai Intan itu hanya mengetahui perkara tersebut dua minggu lalu dan redha dengan keputusan suaminya itu untuk berkahwin lagi.
Intan berkata pada awalnya diakui terkejut dengan keputusan suaminya itu kerana hubungan mereka selama ini hanya baik-baik sahaja.
“Saya terkejut apabila mendapat tahu perkara ini pada dua minggu lalu dan tidak sangka kerana hubungan kami baik sebagai suami isteri.
“Pada mulanya saya tidak terima namun disebabkan kasih sayang kepada suami dan anak, saya redha dan terima takdir yang telah ditentukan.
Intan telah mendirikan rumah tangga bersama Uda sejak empat tahun yang lalu serta dikurniakan dua orang cahaya mata masing-masing berumur tiga tahun dan baru 11 bulan. Dia juga tidak menolak kemungkinan apa yang berlaku ini berpunca daripada kekurangan dirinya sebagai seorang isteri.
“Dia suami yang baik. Kalau bab anak-anak, dia bertanggungjawab. Saya yakin dia mampu untuk berlaku adil.
“Susah nak terima. Mungkin salah saya, tak pandai jaga suami.
Sementara itu,memetik laporan Berita Harian Online, pemuzik yang dikatakan berkahwin dengan pelakon Izreen Azmindar, Mohd RadziAbdul Wahid atau Ude akhirnya mengaku menikahi dramatis itu selepas isterinya tampil membuat pendedahan. Ude ketika ditemui, hari ini turut mengaku wanita yang tampil membuat pengakuan itu adalah isteri pertamanya, Intan Liana.
Muhammad Radzi atau Ude berkata, dia dan Izreen berkahwin pada 8 Ogos lalu di sebuah lokasi dirahsiakan.
“Ya, kami sudah bergelar suami isteri sejak lebih dua bulan lalu.
“Buat masa ini, saya tidak akan memberikan kenyataan berhubung pernikahan bersama Izreen. Sebaliknya, ia hanya akan dikongsi pada majlis doa selamat yang dirancang pada minggu hadapan,” katanya yang mengulas kenyataan seorang wanita tampil melakukan pengakuan rela bermadu dengan seorang dramatis popular.
Rentetan tercetus isu berkenaan, nama Izreen dikaitkan sebagai isteri kedua pemuzik berkenaan.
“Wanita yang tampil membuat pengakuan itu ialah isteri pertama saya.
“Saya dan Intan Liana Saleh, 32, mendirikan rumah tangga sejak empat tahun lalu. Kami memiliki dua cahaya mata, Arish Muqri, 3, dan Ariq Muqri, 11 bulan,” katanya.
Mengulas dakwaan mengatakan rumahtangga bersama isteri pertama berantakan selepas berkahwin secara sembunyi dengan Izreen, Ude menafikannya.
“Banyak spekulasi yang timbul apabila isteri pertama memberi kenyataan, hari ini.
“Saya mohon hentikan kenyataan dan persepsi buruk yang boleh mempengaruhi emosi kedua-dua isteri saya.
“Saya mengharapkan pihak luar tidak mencampuri urusan rumah tangga saya. Intan dan Izreen adalah isteri saya.
“Saya menjadi ketua keluarga, jadi beri peluang untuk saya menguruskan dua isteri dan anak-anak saya. Doakan kehidupan kami bahagia seperti pasangan lain,” katanya ketika ditemui, malam tadi.
Ude berkata, dia mohon pihak media juga tidak mengganggu privasi keluarganya.
“Apa saja kenyataan biarlah saya menjawabnya. Jangan sentuh emosi dan menyalahkan Izreen atas takdir jodoh kami.
“Sebagai suami, saya sedaya upaya mahu menjaga hati kedua-dua isteri demi keharmonian rumah tangga,” katanya.
Gosip mengenai perkahwinan mereka mula diperkatakan apabila Izreen meletakkan namanya sebagai ‘Mrs Ude’ dalam akaun Instagramnya baru-baru ini.
Sementara itu, Pelakon Izreen Azminda, 32 pula meluahkan rasa sedih dan kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang cuba mengeruhkan keadaan melibatkan dirinya yang dikhabarkan sudah pun mendirikan dengan seorang pemuzik berstatus suami kepada dua cahaya mata baru-baru ini.
“Sejujurnya hal tersebut terlalu sensitif untuk dinyatakan pada umum. Bagaimanapun, sebagai selebriti, saya sedia faham setiap inci gerak geri akan menjadi perhatian. Malah sebagai orang sudah matang dalam industri, saya juga sedia faham kerja pengamal media.
“Namun bila hal ini berlaku di luar pengetahuan, saya jadi kesal dan sedih. Sebab kalau boleh, biarlah situasi ini diperjelaskan terlebih dahulu menerusi sidang media yang akan dibuat,” katanya kepada Media Hiburan.
Terdahulu bagi menjelaskan kedudukan sebenar mengenai apakah situasi yang berlaku, pelakon berusia 32 itu telah pun mengaturkan satu sidang media minggu hadapan di sebuah lokasi di Damansara.
Ditanya apakah intipati sidang media tersebut nanti, pelakon asal Kangar, Perlis itu memberitahu dia mungkin hadir ke sidang media berkenaan dengan individu dipercayai suami kepada aktres itu.
“Insya-ALLAH kami akan hadir bersama dan apa yang akan dijawab kami nanti, biarlah ia dijelaskan pada waktu itu saja. Buat masa sekarang, saya lebih selesa berdiam diri supaya tida menjatuhkan air muka mana-mana pihak. Banyak hati yang perlu dijaga dan kalau boleh, saya harap selepas sidang media itu nanti semuanya akan kembali neutral,”luah Izreen yang turut meminta doa dan sokongan semua.
“Fasa ini agak sukar untuk kami lalui, ditambah dengan pelbagai isu tidak benar yang mulai disebarkan. Doa yang terbaik untuk kami dan semoga sidang media itu nanti akan memperjelaskan segalanya,” jelas Izreen lagi.
Diharap agar Intan & Izreen terus tabah dan kuat menjalani kehidupannya selepas ini walaupun hidup bermadu. Semoga Uda dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami dengan baik dan berlaku adil kepada kedua-dua isterinya.
Walau apa pun yang terjadi, semoga ia pengakhiran yang terbaik buat semuanya.Doakan yang baik-baik sahaja. Ok!
Ramai dah jadi mangsa penipuan syarikat-syarikat pelancongan yang tak bertanggungjawab. Bila orang terlalu ghairah nak bercuti, tapi tersilap memilih agensi. Akhirnya, duit lebur bercutinya tak juga kesampaian.
Sedih, sebab bukan senang nak kumpul duit untuk travel ke luar negara. Lagi-lagi jenis yang simpan duit sampai setahun lamanya. Bila duit dah cukup pergilah deal dengan ejen bagi dapat melancong luar negara bila tiba hujung tahun. Lagi sedih, bila hujung-hujung duit itu lebur.
Sebagai pengguna, mak ayah kena tahu hak yang ada. Sebab itulah, Ikram Al-Banjariyang cukup sinonim dengan gelaran Saudagar Jalanan ini berkongsi tip yang mak ayah boleh praktikkan sebelum set nak melancong ke luar negara. Terutama yang menggunakan khidmat ejen pelancongan.
Viral lagi hari ini dengan kes penipuan syarikat pelancongan di Malaysia. Saya jarang berkongsi pendapat mengenai hal ini. Namun saya fikir sudah sampai masanya saya menulis sedikit demi manfaat bersama. Kerana nila setitik, habislah rosak susu sebelanga.
Apabila ramai yang mahu travel ke luar negara ( khususnya ) dengan bajet yang amat-amat murah, maka akan wujud jerung-jerung celaka yang mahu menangguk di air yang keruh.
Bila ada permintaan luar biasa, mesti ada penawaran luar biasa. Dan inilah yang terjadi selama ini. Ia bermula dengan permintaan tinggi.
Sebagai pengguna, kita ada dua pilihan apabila mahu travel ke luar negara.
Pertama, travel sendiri ikut bajet sendiri dan itinerary sendiri. Kira rancang semuanya sendiri. Apa-apa pun semuanya kita tanggung saja sendiri. Tiada masalah. Saya juga sering travel begini.
Kedua, kita boleh travel dengan menggunakan khidmat Tour Guide atau agensi pelancongan. Bincang itinerary kita atau ikut saja jadual perjalanan yang sudah disusun oleh mereka.
Ini biasanya lebih sesuai untuk orang yang tidak mahu pening kepala atau sesiapa yang ada kumpulan besar bila mahu melancong. Guna khidmat orang lain untuk menguruskan percutian kita adalah pilihan terbaik dan boleh jadi ia jauh lebih murah.
Modus operandi orang yang mahu menipu ini sama sahaja. Mereka akan tawarkan harga murah atau harga murah gila-gila yang tak masuk akal.
Benda murah akan menarik sesiapa sahaja yang mahu murah. Pengguna golongan ini akan fokus kepada harga. Mereka hanya tertarik dan terfokus pada angka kecil.
Biasanya mereka akan tawarkan harga tiket murah, pakej murah dan segala macam tawaran murah selagi boleh.
Dahulu, orang cerdik pandai cakap, apabila kita mahu melancong atau mahu pilih agensi pelancongan, kita mesti tengok dahulu syarikat itu berdaftar atau tidak, ada pejabat atau tidak, ada lesen atau tidak.
Sekarang, ini semua tidak pernah membantu ketelusan sebuah urusniaga lagi. Syarikat yang berdaftar, ada lesen dan ada ofis cantik pun berisiko ‘mengencing’ pengguna juga. Dan ini sudahpun terjadi.
Oleh itu, saya dengan rendah diri mencadangkan agar kita sebagai pengguna perlu rajin sedikit membuat kajian tentang siapakah ‘person in charge’ di sebalik sesebuah agensi atau tawaran yang wujud.
Sekarang, mengkaji sejarah syarikat sahaja tidak cukup. Kita mesti benar-benar tahu siapa ‘person in charge’ di sebalik sebuah pakej yang ditawarkan itu. Tanya orang atau tanya pakcik google.
Buat carian namanya di facebook, instagram dan google. Lihat siapakah beliau dan apakah ‘portfolio’ kerja-kerja yang beliau pernah lakukan. Tengok siapa kawan-kawan yang beliau sedang bergaul.
Dan lihat juga komuniti bagaimana yang beliau sedang bercampur. Baca komen dan maklumbalas orang lain terhadap beliau. Paling baik, dapatkan fb beliau dan lihat apakah profile orang tersebut itu tulen ataupun tidak.
‘Person in charge’ di sebalik setiap pakej yang ditawarkan lebih penting berbanding benda lain.
Syarikat terkenal sekalipun belum tentu mampu memberikan khidmat dan layanan terbaik kepada semua pelanggan mereka.
Bahagian ini kita perlu lebih peka dan berhati-hati. Masalah yang berlaku selama ini dalam industri pelancongan bukan disebabkan oleh syarikat, tetapi sikap tamak individu itu sendiri.
Sebagai pengguna, kalian harus bijak membuat carian dan menganalisa maklumat terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa urusniaga dan bayaran. Ini amat penting.
Tak usah tuding jari dan melalak sana sini lagi jika kalian ditipu dalam urusan travel. Tanyalah kawan-kawan atau sesiapa sahaja yang pernah ke destinasi yang kalian mahu tuju itu. Minta pendapat dan dengar apa yang mereka cakap.
Banyakkan membaca. Sekarang ada banyak buku panduan travel, maklumat percuma di laman web, perkongsian di blog, penceritaan travel di facebook dan pelbagai maklumat berguna.
Kena belajar bersabar dan mulakan membaca. Bertenang sahaja bila menghadam maklumat.
Kalian ribut-ribut mahu ke mana ? Perancangan percutian kita akan lebih kenyeronokkan apabila kita ada sedikit sebanyak dapatan melalui hasil pembacaan. Percayalah.
Jangan mudah terpedaya. Jangan mudah percaya dengan tawaran harga murah tak masuk akal. Setiap ukuran harga mestilah ada ‘value’ yang hadir bersamanya.
Mana mungkin akan wujud pakej yang terlalu murah berbanding harga orang lain. Sebagai contoh, jika harga purata Pakej 4 hari 3 malam ke Vietnam ialah RM1500, mana mungkin ada orang boleh tawarkan benda yang sama pada harga RM599 All in ? Sebab itu kita kena buat kajian.
Industri travel di Malaysia semakin membesar. Setiap hari KLIA itu amat sibuk dengan begitu banyak penerbangan ke luar negara.
Capaian maklumat memudahkan sesiapa sahaja untuk travel mengikut bajet masing-masing. Permintaan untuk melancong juga semakin meningkat walaupun di dalam keadaan Ekonomi yang dikatakan sedang parah.
Penipuan dalam pakej travel sukar dikawal walau pelbagai mekanisme diperkenalkan oleh pihak berwajib.
Ini berlaku kerana produk travel adalah sesuatu yang tidak berbentuk fizikal. Ia terwujud dalam bentuk sebuah ‘perkhidmatan’. Dan semua orang faham sebelum travel kita mesti kena bayar dahulu. Di sinilah ‘loophole’ penipuan yang sering berlaku.
Saya cadangkan pihak kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan agar lebih fokus terhadap kegiatan mendidik pengguna melalui pelbagai cara. Sebagai contoh:
√ Lebihkan kempen tentang cara-cara mengenali dan mengatasi penipuan.
√ Blacklist Pengarah syarikat atau individu yang terlibat dalam penipuan sebelum ini. Tak usah tarik lesen, mereka boleh saja buat syarikat baru dan mohon lesen baru. Blacklist sekali ahli keluarga dan staff mereka. Baru sedap. Baru orang takut.
√ Kerajaan juga harus prihatin dan peka terhadap kewujudan individu atau syarikat travel yang telus walaupun mereka ini beroperasi tanpa lesen.
√ Dekati mereka, dengar luahan mereka dan berikan bantuan sepatutnya kepada mereka. Saya percaya semuanya akan murni dan subur sekiranya kita saling memahami, memberi peluang dan saling menyokong antara satu sama lain.
√ Operator pelancongan yang telus harus dibangunkan walaupun mereka kecil. Kerana golongan kecil inilah yang berjaya membesarkan nama negara di luar negara. Mereka adalah duta kecil Malaysia ke luar negara.
√ Pihak berkuasa tak usah bagi muka lagi kepada individu atau syarikat travel yang sudah terbukti menipu pengguna dengan pelbagai cara.
√ Dengan peruntukan undang-undang yang ada, heret mereka semua ke muka pengadilan.
√ Beri peluang baru kepada BBNU ( Budak Budak Baru Nak Up ) di dalam industri. Perbanyakkan pemantauan dan mata-mata. Sediakan saluran mudah untuk pemberi maklumat.
Dan semuanya yang dinyatakan di sini akan menjadi sia-sia tanpa kerjasama pengguna.
Selagi wujud permintaan, selagi itulah akan ada penawaran. Selagi masih ramai pengguna yang tidak mahu mendidik diri dengan ilmu dan carian maklumat sebelum travel, selagi itulah akan wujud penipuan setiap hari. Penipuan tiket murah, umrah murah, pakej murah dan segalanya yang pelik-pelik akan terus berlaku tanpa kesedaran pengguna.
‘Price is what you pay and Value is what you get’. Bayar murah kita dapat murah. Bayar harga mahal kita akan dapat nilai-nilai yang mahal.
Jika terlalu mahu berjimat dan murah, baik tak usah melancong. Kumpul saja dahulu wang ditabung sampai cukup. Sabarlah sekejap. Travellah nanti dalam keadaan yang kita benar-benar bersedia dan lapang dada. Barulah namanya kita betul-betul bercuti.
Akhir sekali, kepada semua rakan-rakan operator Pelancongan, tidak kisahlah kalian bergerak atas kapasiti individu atau syarikat, bergerak solo atau berjemaah, berdaftar atau tidak, berlesen atau tidak. Saya menyeru supaya kita semua lebih telus dan bersatu dalam industri ini.
Kita perlu saling menaikkan imej dan bekerjasama. Tak usah lagi kita berlagak pandai dan ada sikap bodoh sombong.
Tak guna satu sen pun. Berpakat-pakatlah dengan baik. Didik pelanggan kita dengan baik. Berikan maklumat yang betul dan tawarkan sesuatu yang mampu kita laksanakan.
Saya amat yakin dan percaya apabila ada ekosistem baik antara pelanggan, operator, penguatkuasa dan kerajaan, pastinya dunia pelancongan dan industri ini akan lebih subur dan meriah.
Mulai hari ini, semua pihak kena belajar untuk saling mendidik antara satu sama lain. Kita semua kena buang ego dan simpan dalam poket. Apabila budaya pupuk dan bentuk ini berlaku, saya yakin tiada lagi cerita-cerita kurang enak yang kita akan dengar.
Pendapat ini tidak mewakili mana-mana operator. Ini hanya pandangan peribadi saya sahaja ketika dalam penerbangan dari Pulau Jeju ke Seoul sebentar tadi. Moga bermanfaat.