Siti Khadijah

Dalam keluarga kecilnya, hanya dia sekuntum mawar yang dikelilingi tujuh kumbang. Merupakan satu-satunya wanita tunggal dalam keluarga, menjadikan Pengarah Eksekutif Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd, Padzilah Enda Sulaiman, 56 tahun, terbiasa menggunakan pendekatan tegas sepanjang mendidik anak-anak yang kebetulan semuanya lelaki.

Isteri kepada Aminuddin Mohd. Nasir ini memaklumkan, pada mulanya dia agak kaget sebaik putera sulungnya, mendirikan rumah tangga beberapa tahun lalu. Kehadiran menantu perempuan pertama, dalam keluarganya memberi suasana baru buat dirinya.

Kolaborasi eksklusif Raikan Syawal di antara jenama telekung berinovasi unggul Malaysia; Siti Khadijah dan Mingguan Wanita, menampilkan buat julung kalinya Padzilah bergandingan bersama dua menantu perempuannya, Fatin Suraya dan Fairuz Aimi sebagai penghias muka depan majalah ini. Kebetulan di hari fotografi sampul depan ini, menantu sulungnya, Noor Atiqah Ismail Suhaimy tidak dapat turut serta kerana komitmen kerja.

Bersama Mingguan Wanita, Padzilah dan dua menantunya berkongsi emosi serta luahan rasa dalam menjalin hubungan harmoni mentua menantu. Sejauh mana konflik yang timbul diselesaikan seaman mungkin. Pastinya ramai yang ingin tahu, sisi lain Padzilah selaku pemilik jenama telekung terkemuka Malaysia dalam berdiplomasi dan mencambahkan kasih bersama menantu-menantunya serta persiapan raya yang bakal menjelang tiba.

Lembut Dalam Tegas – Padzilah

Pengalaman pertama manis untuk dikenang. Mungkin perasan kekok, malu dan berdebar menjadi satu. Tambahan pula dengan mendapat mandat baru selaku ibu mentua, Padzilah melalui pengalaman itu sebaiknya. Jika sebelum ini terbiasa mengamalkan pendekatan tegas dalam mendidik anak-anaknya. Sebaliknya apabila mendepani wanita berstatus menantu, lain pula pendekatannya.

“Semasa pertama kali menerima menantu sulung perempuan, saya akui sedikit kekok dengan kehadirannya. Sebelum ini, rumah dipenuhi dengan sosok lelaki, bukan satu malah tujuh orang kesemuanya. Kehadiran menantu perempuan pertama memberi pengalaman baru buat saya.

“Dia yang bertugas sebagai seorang doktor, jika berkelapangan akan turun ke dapur masak bersama-sama saya.Terkini saya mempunyai tiga orang menantu. Masing-masing ada karakter tersendiri, bergantung kepada suami mereka untuk membentuknya.

“Selaku mentua, lazimnya pesanan normal seperti perlu bangun awal pagi, ringan tangan membantu kerja rumah dan apa-apa yang relevan dilakukan oleh seorang menantu. Seandainya ada perkara yang tidak kena dengan menantu, lazimnya saya akan menyampaikan teguran itu melalui anak-anak lelaki yang juga suami mereka. Tetapi jarang-jarang ada isu yang timbul, kerana saya mengambil pendekatan bertoleransi apabila melibatkan perihal menantu,” kongsi opah kepada empat orang cucu lelaki dan empat orang cucu perempuan kepada MW.

Puan Padzilah Enda & Menantu Hadiahkan Telekung Siti Khadijah Dalam ‘GiftBox’ Mingguan Wanita

Syawal Cara Padzilah

Berbicara tentang rezeki, pernah sambutan Syawal diraikan bersama buah tangan berupa telekung Siti Khadijah menjadi pemberiannya buat saudara mara ketika pulang berhari raya di rumah mentuanya di Tapah, Perak.

“Sejak dikenali ramai ini, lazimnya cuti Aidilfitri dan cuti Aidiladha sahaja kami berpeluang menutup sementara butik-butik kami. Hampir 20 tahun saya menyambut Hari Raya bersama keluarga mentua di Tapah, Perak.Kebetulan kedua orang tua saya sudah lama meninggal dunia, jadi jarang-jarang saya dan keluarga pulang ke kampung saya di Sungkai, Perak.

“Yang manisnya,bila orang mengenali saya sebagai pemilik jenama Telekung Siti Khadijah, ada yang memanggil saya dengan nama “Siti” kerana menyangka Siti Khadijah itu nama sebenar saya. Kerana tidak mahu menghampakan mereka, saya iya kan sahaja,”kongsinya sambil ketawa kecil.

Dalam pada itu ada peristiwa lucu, mengenai telekung Siti Khadijah bila balik kampung. Menurut Padzilah lagi, ada yang terkilan kerana tidak hadir ke rumah mentuanya kerana satu peristiwa itu.

“Kebetulan ada sekali, saya pulang bersama telekung-telekung Siti Khadijah untuk dihadiahkan kepada saudara mara terdekat dan kenalan rapat yang berkunjung ke rumah mentua. Ada pula yang terkilan, kerana tak dapat dan rasa rugi sebab tak datang.

IKLAN

“Selain itu istimewanya Syawal saya, juadah nasi himpit dinikmati bersama kuah kacang sudah menjadi signature dish kami sekeluarga. Ada satu lagi menu istimewa yang mungkin kedengaran pelik tetapi menjadi amalan keluarga. Jika orang lain biasa makan lemang bersama rendang, keluarga sebelah suami pula gemar menikmatinya bersama susu pekat manis. Tradisi ‘manis’ ini diteruskan pula oleh anak-anak dan kekal menjadi kegemaran mereka sejak kecil hingga ke hari ini. Kalau tentang warna tema bila raya, selalunya kami tak terikat dengan tema tertentu….terpulang kepada warna yang anak-anak suka,” cerita Padzilah.

Puan Padzilah Enda & Menantu Hadiahkan Telekung Siti Khadijah Dalam ‘GiftBox’ Mingguan Wanita

Terima Teguran Mentua Dengan Positif Dan Hati Terbuka-Suraya

Menantu kedua dalam keluarga pengasas jenama telekung terkenal SK, Fitri Suraya Zulkifli, 30, yang merupakan suri hati kepada Mohammad Munzir Aminuddin, Pengarah Pemasaran dan Jualan untuk jenama tersebut, cukup mesra melayan setiap pertanyaan yang diajukan.

Menurut ibu jelita kepada dua orang cahaya mata lelaki, Aaqil El-Hekimi, 5 tahun dan Aarif El-Hekimi, 1 tahun, dirinya sendiri tidak pernah menyangka akan menjadi sebahagian daripada keluarga SK. Perkenalan dengan suami dan mentuanya bukanlah baru-baru ini sahaja, malah sebelum wujudnya lagi jenama tersebut.

“Saya mengenali mentua sebelum wujudnya SK. Hubungan kami sama juga seperti menantu dan mentua yang lain di luar sana. Cuma setelah nama SK sudah dikenali seluruh rakyat Malaysia, saya sebagai menantu turut membawa jenama tersebut di mana-mana saya berada. SK memang cukup dikenali ramai, malah nama ibu mentua saya, Padzilah Enda memang sering menjadi bualan orang yang saya kenali. Jadi sebagai menantu saya perlu tahu serba sedikit tentang produk yang SK ada. Bagi saya, siapa pun keluarga mentua kita, yang penting jadilah menantu yang membawa dan menjaga nama baik kepada keluarga dan agama,” ujarnya yang juga pernah bekerja bersama SK sebelum mengambil keputusan untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.

Puan Padzilah Enda & Menantu Hadiahkan Telekung Siti Khadijah Dalam ‘GiftBox’ Mingguan Wanita

Rapat Dengan Keluarga Mentua

Hubungan menantu dan mentua yang baik pastinya terbit atas dasar kasih sayang dan saling menghormati antara satu sama lain. Itulah yang dipraktikkan oleh Suraya sendiri dalam menjaga hubungan baik bersama mentua tersayang.

“Alhamdulillahlah saya dikurniakan mentua yang baik. Memang Puan Padzilah yang saya kenal tegas orangnya tapi sikap tegasnya itu bertempat. Bagi saya dalam menjaga hubungan yang baik bersama mentua tidak kira yang mentua lelaki atau perempuan, kita sebagai menantu perlulah pandai menjaga hati mereka dan memahami perasaan daripada sisi mentua itu sendiri. Hormat dan sayangi kedua mentua seperti ibu bapa sendiri, kerana mereka lah ibu bapa pasangan kita. Kalau nak ambil hati mentua bukan hanya sekadar dengan material sahaja tapi pikat hati mereka dengan masakan air tangan kita sendiri atau masak makanan kesukaan mereka.

“Kalau ada isu, kedua pihak mestilah berbincang, memahami dan sepakat atas isu tersebut agar tidak berterusan dan menjadi lebih serius. Lagipun, kita sebagai menantu perlu berlapang dada menerima segala kritikan dan teguran daripada mentua. Mereka kan dah macam ibu dan ayah kita sendiri. Terima segalanya dengan fikiran positif serta hati terbuka. Kerana mentua adalah sebahagian daripada hidup menantu di dunia dan juga di akhirat dan begitu juga sebaliknya.Seperkara lagi apabila ada isu dalaman keluarga mentua yang melibatkan urusan kerja atau keluarga mentua kita sebagai menantu perlu tahu ada batas diri agar tidak terlalu mencampuri urusan keluarga mentua…,” ujar Suraya lagi.

IKLAN

Sempat juga Suraya berkongsi bagaimana dia menjaga hubungan baik sesama ipar duai terutamanya adik-beradik suami yang kesemuanya adalah lelaki.

“Suami saya memang sangat rapat dengan adik-beradiknya. Kalau ada masa terluang pada hujung minggu kami akan pergi ke rumah mentua yang terletak berhampiran dengan kawasan perumahan kami. Selalunya kami sekeluarga bersama ipar duai dan anak-anak saudara yang lain akan berkumpul dan makan tengah hari serta makan malam di sana. Di situlah hubungan silaturahim terjalin, ketika berkumpul kami dapat berkongsi semua benda. Lagipun adik-adik ipar saya yang belum berkahwin juga pandai melayan anak-anak buah seramai lapan orang ini. Apa yang boleh saya katakan, hubungan kami sama seperti adik-beradik sendiri,” ujarnya lagi yang mempunyai ramai adik beradik perempuan dan hanya seorang abang dalam keluarga sendiri.

Rutin Beraya Di Kampung Mentua

Setiap tahun, keluarga besar ini mempunyai rutin untuk beraya di rumah keluarga mentua di Perak. Biasanya hari raya kedua setelah beraya bersama keluarga masing-masing, Suraya dan suami bersama keluarga mentuanya akan pulang beraya ke Tapah.

“Rutin hari raya biasanya bermula dari awal pagi, kami akan bersiap dan berpakaian cantik untuk ke masjid solat sunat hari raya dengan mengenakan telekung SK pastinya. Selepas solat, kami akan bersalaman dan bermaafan sesama ahli keluarga. Selepas itu kami akan siapkan juadah raya untuk santapan bersama dan meraikan tetamu yang datang.

“Persediaan tahun ini agak berbeza sedikit daripada tahun lepas. Tahun lepas seluruh keluarga beraya dengan baju SK. Tahun ini pula, kami ada tema keluarga sendiri. Tahun ini saya dan suami pilih tema warna kuning atau mustard untuk digayakan pada hari raya pertama dan biru muda untuk hari raya kedua. Untuk juadah raya pula, kami akan menempah atau beli biskut raya dan kerepek dan akan dibawa ke kampung halaman di Tapah sebagai juadah raya pada hari raya kedua. Duit raya tu pun wajib untuk diberikan kepada anak saudara dan kanak-kanak yang datang beraya.

“Antara juadah yang menjadi pilihan saya setiap kali hari raya mestilah rendang, lemang, nasi impit dan kuah kacang. Itu menu wajib yang ada untuk hidangan pada hari raya,” ujarnya yang menyukai nasi ayam dan juga ayam masak lemak air tangan ibu mentua tersayang.

Puan Padzilah Enda & Menantu Hadiahkan Telekung Siti Khadijah Dalam ‘GiftBox’ Mingguan Wanita

Kena Pandai Sesuaikan Diri–Fairuz Aimi

Orangnya lemah lembut dan memiliki paras rupa yang ayu. Turut bicaranya juga sopan dan teratur. Kejelitaannya semakin terserlah setelah selesai disolekkan oleh juru mekap profesional, Atie Jengka.

IKLAN

Fairuz Aimi bt Tajul Anuar, 29, merupakan menantu ketiga kepada puan Padzilah, pengasas Telekung Siti Khadijah (SK) dan suami, Aminuddin Mohd Nasir.

Keluarga Cetus Perkenalan

Mengahwini anak lelaki ketiga puan Padzilah, Mohammad Muhaimin Bin Aminuddin kira-kira enam tahun lalu, kini pasangan muda itu telah dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Musa Abqari,5, Nuh Imdad, 3, dan Hajar Unayfa, 4 bulan.

“Mama (puan Padzilah) dan emak saya merupakan kenalan bahkan mak adalah salah seorang dealer SK dahulu. Saya pernah mengikut mak ke rumah mama sempena majlis hari raya. Saya juga pernah membantu menguruskan percutian keluarga mama ketika mereka ke Jepun kerana ketika itu saya belajar di sana.

“Waktu itu saya tak kenal pun lagi dengan suami. Mungkin dah tersurat jodoh kami, selepas itu suami melahirkan hasrat untuk mengenali saya dengan lebih rapat. Daripada situlah, kami makin rapat dan akhirnya berkahwin,” kongsi Fairuz Aimi, menceritakan detik perkenalan dengan suami, Mohammad Muhaimin yang merupakan Chief Strategic Planning Officer (CSPO) untuk SK.

Bila ditanya apa perasaannya bergelar salah seorang menantu pemilik telekung premium itu, menurut Fairuz Aimi, pastilah dia tumpang berbangga.

“Ketika saya berkahwin dahulu, jenama SK masih belum segah sekarang. Tapi melihatkan perkembangan jenama itu kini, saya rasa amat bangga bahkan suami juga terlibat secara langsung di pengurusan dalam syarikat. Untuk diri sendiri, tak ramai rakan yang tahu saya ini salah seorang menantu pemilik SK. Mana yang tahu tu, tahulah,” tambah Fairuz Aimi sambil tersenyum manis.

Puan Padzilah Enda & Menantu Hadiahkan Telekung Siti Khadijah Dalam ‘GiftBox’ Mingguan Wanita

**********************

Banyak lagi kisah menarik Pengasas Siti Khadijah dan menantu-menantu kesayangan, baca sambungannya didalam edisi terbaru Majalah Mingguan Wanita isu Jun.

Puan Padzilah Enda & Menantu Hadiahkan Telekung Siti Khadijah Dalam ‘GiftBox’ Mingguan Wanita

“Jangan lupa dapatkan ‘GiftBox’ Mingguan Wanita x Siti Khadijah secara eksklusif di 7-Eleven mulai awal bulan Jun ini! Dengan pembelian giftbox edisi terhad ini, anda boleh dapatkan telekung Siti Khadijah secara percuma. Hanya terdapat di 500 cawangan 7 Eleven yang terpilih di Semenanjung Malaysia kecuali Langkawi. Maklumat lanjut di laman Facebook @7ElevenMalaysia. 7-Eleven, Sentiasa Di Sisimu.”

Puan Padzilah Enda & Menantu Hadiahkan Telekung Siti Khadijah Dalam ‘GiftBox’ Mingguan Wanita

Teks & Penyelaras : Mastura Burhanuddin, Nurul Azwa Abu Bakar & Shahrina Azlin Abdullah
Reka Letak Grafik : Nadiah Abdullah & Team Grafik Pengiklanan
Foto : Tuan Azman Tuan Muda
Video : Izwan Zainal
Solekan : Kelrina, Atie Jengka, Dinie Awalluddin, Anne Karim
Busana : Terima Kasih Butik Leeyanarahman (@Leeyanarahman.Co), Bangi Sentral Bangi
Hijab : Hegiragroup (@Hegiragroup.Catalogue) & Waarna (@Waarna) Shah Alam

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI