Dalam suasana pagi yang tenang di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UiTM Cawangan Perlis, lebih 100 peserta berkumpul bukan sekadar untuk berbasikal, tetapi untuk mengayuh harapan, menggerakkan misi kasih.
Itulah semangat yang mengiringi penganjuran Program Kayuhan Sejuta Kasih PTPTN 2025, kali kedua dianjurkan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Istimewanya, program yang penuh makna ini mendapat perkenan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra, yang turut menyempurnakan Perlawanan Persahabatan Woodball Piala PTPTN 2025, sekali gus memartabatkan program CSR PTPTN sebagai platform menyantuni komuniti dan golongan yang memerlukan.
Mengayuh Bersama Demi Masyarakat
Kayuhan Sejuta Kasih tahun ini menyatukan pelbagai pihak daripada pemimpin negeri, ketua agensi, ahli akademik hingga NGO berganding bahu menjayakan acara ini. Antara yang turut serta ialah YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim (Pengerusi PTPTN), Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid (Ketua Eksekutif PTPTN), serta wakil-wakil kerajaan negeri, UiTM Perlis, polis dan sukarelawan komuniti.
Apa yang menjadikan program ini lebih menyentuh ialah penyampaian sumbangan oleh DYTM Tuanku Raja Muda Perlis berupa kotak makanan kepada tiga keluarga asnaf, pembukaan akaun Simpan SSPN Prime untuk tiga orang anak asnaf dan sumbangan khas kepada Maahad Tahfiz Al-Hikmah, melibatkan wang tunai dan akaun SSPN kepada 60 pelajar tahfiz.
Ads
Langkah ini menyerlahkan keprihatinan institusi terhadap pendidikan dan kelangsungan hidup komuniti yang memerlukan.
Ads
SSPN: Tabung Ilmu, Pelindung Masa Depan
Simpanan pendidikan melalui Simpan SSPN Prime bukan sekadar instrumen kewangan. Ia kini menjadi satu bentuk pelaburan sosial yang memberi manfaat pelepasan cukai sehingga RM8,000, perlindungan takaful, dan Geran Sepadan sehingga RM10,000.
Lebih dari itu, ia mencerminkan cita-cita Malaysia MADANI untuk mewujudkan generasi celik pendidikan dan berdaya tahan kewangan.
Bantuan Lestari Siswa MADANI: RM17,500 Untuk Harapan Anak Bangsa
Program ini turut menyaksikan penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM17,500 kepada 35 orang pelajar kurang berkemampuan dari UniMAP, UiTM Perlis dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin. Setiap pelajar menerima bantuan sara hidup one-off sebanyak RM500, disalurkan terus ke akaun bank mereka.
Ads
Bagi pelajar wanita dan ibu bapa pelajar, bantuan ini bukan sekadar angka. Ia adalah jaminan bahawa masih ada tangan-tangan yang mahu membantu anak-anak menjejak kaki ke menara gading tanpa terbeban dengan kekangan kewangan.
Pada program yang sama, pemenang Perlawanan Persahabatan Woodball Piala
PTPTN 2025 yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar UiTM Cawangan Perlis turut
diraikan sebagai tanda penghargaan atas penyertaan mereka.
PTPTN komited dalam membina hubungan strategik dengan pelbagai pihak bagi melaksanakan program CSR dan menyerbarluas manfaat Simpan SSPN yang memberi manfaat kepada komuniti.
Lafaz cerai dalam kereta, Nubhan & Dr Afifah ke Mahkamah Syariah esok. Tidak lagi sebumbung dengan isteri selepas melafazkan talak sekitar Ogos lalu. Tiada angin, tiada ribut, media dikejutkan dengan berita penyanyi Nubhan didakwa bakal ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang bagi mengikuti prosiding pengesahan lafaz cerai terhadap isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, esok.
10 tahun mendirikan rumah tangga, sumber terdekat pasangan ini memaklumkan permohonan pengesahan lafaz talak itu difailkan Nubhan atau nama sebenarnya, Ahmad Nubhan Ahamad, 39, pada awal bulan lalu.
“Setakat yang saya dimaklumkan, esok merupakan prosiding bagi pengesahan lafaz talak yang difailkan Nubhan di mahkamah syariah,”ujar sumber tersebut.
Lafaz Cerai Dalam Kereta
Sementara itu, peguam yang mewakili isterinya, Datuk Akberdin Abdul Kader mengesahkan Afifah Hidayah selaku plantif akan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang seperti dijadualkan bagi prosiding sebutan pertama.
“Saya difahamkan suami kepada anak guam saya melafazkan talak ketika mereka berdua berada di dalam kereta sekitar akhir Ogos tahun ini.
“Cuma saya tak pasti sama ada hakim akan beri keputusan atau mengesahkan perceraian mereka esok kerana biasanya perlu ada siasatan dulu.
“Punca diceraikan, kita tunggu sahaja esok. Sebarang maklum balas membabitkan anak guam saya boleh dijawab selepas prosiding selesai,” katanya.
Menurut sumber, pasangan ini sudah tidak sebumbung sejak Ogos lalu manakala tiga anak mereka yang masih kecil berada bawah jagaan Dr Afifah.
Terdahulu, Nubhan dan Afifah Hidayah juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 selepas hampir setahun bertunang.
Perkahwinan mereka diserikan dengan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun.
Sudah menjadi trend, produk kecantikan dari Korea semakin mendapat tempat di kalangan wanita Malaysia yang mementingkan kecantikan. Jenama K-beauty yang sedang popular Ulike, nama yang dipercayai dalam sektor penyingkiran bulu di peringkat global, mendedahkan rancangannya untuk memasuki pasaran Malaysia dengan kedai fizikal menjelang suku pertama 2024.
Pengumuman tersebut dibuat di acara Gala Kecantikan Masa Depan Malaysia pertama yang diadakan di W Hotel baru-baru ini. Acara ini bertujuan menghargai dan meraikan rakan perniagaan, serta individu berpengaruh dalam menjadikan Ulike sebagai nama harian di Malaysia, sambil memberi cadangan kepada rakan kongsi untuk bekerjasama rapat dalam pelan pengembangannya di pasaran pada tahun 2024.
Ulike jadi pilihan para selebriti kekal cantik!
Acara gala ini juga dihadiri oleh selebriti tempatan popular seperti Fasha Sandha, Uqasha Senrose, Anzalna Nasir dan lain-lain.
Menurut Pengurus Besar baru yang dilantik untuk Asia Tenggara bagi Kumpulan Ulike Korea Selatan, Tuan KM Leong, rancangan jenama untuk berkembang dengan operasi fizikal di Malaysia adalah keputusan strategik untuk memenuhi peminat dan pengguna berpangkalan di Malaysia, kerana operasinya sebelum ini difokuskan pada platform e-dagang tempatan selama lebih dari setahun.
Jenama ini berhasrat untuk menembusi pasaran dengan bekerjasama dengan rakan perniagaan tempatan untuk mengeluarkan produk unggulannya di mana rakyat Malaysia dapat mengalami teknologi eksklusifnya secara fizikal sebelum membuat keputusan pembelian.
Sebagai sebuah peranti penyingkiran bulu harian yang kini semakin diterima ramai dalam bidang kecantikan, Ulike menduduki tempat pertama dalam jualan selama tujuh tahun berturut-turut di pasaran yang sangat kompetitif. Ia telah menjadi jenama terkemuka dalam segmen peranti penyingkiran bulu harian di Korea Selatan, China, dan Amerika Syarikat.
Salun kecantikan di rumah
Dengan kepakaran dalam teknologi dan peranti penyingkiran bulu selama lebih dari 10 tahun, dengan lebih daripada 100 paten global di bawah namanya, Ulike menjadi pilihan utama bagi lebih empat juta pengguna di seluruh dunia.
Sebagai yang pertama di dunia, Ulike melancarkan peranti penyingkiran bulu dengan titik beku safir untuk kegunaan di rumah, bebas dari batasan waktu dan ruang, memimpin dalam mentransformasi penyingkiran bulu dari kecantikan perubatan tradisional kepada “salun kecantikan di rumah”, membolehkan pengguna menikmati keselesaan, keselesaan, dan keselamatan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Hampir setahun naik turun mahkamah, akhirnya ikatan perkahwinan antara pelawak dan pelakon Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, dengan isterinya, Afreena Suhaimi, 33, berakhir di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, hari ini.
Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi, mensabitkan berlakunya talak rajie seperti yang dilafazkan Along pada 18 Jun 2024. Afreena diperintahkan menjalani tempoh idah selama tiga kali suci.
Sebelum prosiding selesai, hakim sempat menitipkan pesanan penuh makna:
“Belajarlah bersabar dalam perkahwinan kerana rumah tangga tempat ujian. Allah uji masing-masing. Sama seperti nikah, cerai dan rujuk juga perlu diajukan kepada pihak berautoriti.”
Akhir Sebuah Penantian
Prosiding selama sejam itu turut mengesahkan tiada lafaz rujuk berlaku, sekali gus menoktahkan kisah rumah tangga yang hanya sempat bertahan setahun.
Along yang ditemui selepas prosiding mengakui lega meskipun hatinya berat menerima hakikat.
“Saya akui gagal mengemudi rumah tangga yang masih baru. Lapan tahun saya ambil masa membuat keputusan untuk berkahwin semula, tak sangka jadi begini. Akhirnya, ia tetap kembali kepada kekurangan saya sebagai suami,” luahnya.
Bagi Afreena pula, lafaz talak ini bukan lagi luka baharu. Beliau mengakui sudah lama melangkah ke hadapan.
“Seperti yang saya jangka, hari ini mahkamah mengesahkan lafaz talak. Saya sudah ‘move on’ lama. Hidup perlu diteruskan. Tumpuan saya sejak dahulu memang pada anak-anak, keluarga dan kerjaya,” katanya tenang.
Kemelut Yang Panjang
Kisah rumah tangga mereka mula diperkatakan apabila Along memfailkan pengesahan lafaz cerai secara taklik pada Januari lalu, mendakwa isterinya melanggar beberapa perjanjian taklik.
Pertikaian mengenai dakwaan lafaz rujuk yang tidak diakui Afreena membuatkan proses perundangan berlarutan hingga berbulan lamanya.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 4 April 2024 namun perkahwinan itu berakhir hanya selepas tiga bulan, apabila Along melafazkan cerai di rumahnya di Cyberjaya pada Julai 2024.