Polis sahkan duda mangsa tikam ada hubungan sulit dengan isteri suspek. Seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila menikam seorang individu dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan isterinya dalam satu insiden di Taman Sri Pagi, Isnin lalu.
Polis Sahkan Duda Mangsa Tikam Ada Hubungan Sulit Dengan Isteri Suspek
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati wanita tersebut mengenali mangsa sejak sebulan lalu.
Kredit foto: Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof. FOTO arkib NSTP
“Hasil siasatan mendapati motif kejadian kerana mangsa yang berusia 28 tahun itu dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan isteri kepada suspek.
“Kami difahamkan, isteri suspek sudah berkenalan dengan mangsa sejak sebulan lalu melalui laman sosial.
“Bagaimanapun, pihak kami masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, suspek berusia 31 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian saringan air kencing turut mengesahkan dia bebas daripada penyalahgunaan dadah.
Ads
Mengulas mengenai penyebaran maklumat kes di media sosial, beliau menasihatkan orang ramai supaya menghentikan penularannya kerana ia melibatkan sensitiviti serta masih dalam siasatan.
Dalam perkembangan lain, seorang lelaki yang menggunakan nama akaun Facebook Bro Stylo mendakwa suspek merupakan adiknya dan meminta netizen tidak meninggalkan komen negatif tanpa mengetahui keadaan sebenar. Katanya, adiknya bekerja keras dengan melakukan tiga pekerjaan demi menanggung keluarga.
Ads
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki maut selepas dipercayai ditikam di hadapan sebuah rumah akibat perselisihan faham berunsur cemburu. Kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu menyaksikan suspek ditahan dengan bantuan orang awam, manakala mangsa ditemui terbaring di hadapan pagar rumah.
Pempengaruh raih laba hasil tunggang kes Zara Qairina. Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menzahirkan rasa kesal apabila ada pempengaruh media sosial sanggup mengeksploitasi kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13, dengan menjadikannya kandungan demi keuntungan.
Menurut beliau, lebih menyedihkan apabila terdapat pihak yang tanpa rasa tanggungjawab menyebarkan maklumat palsu mengenai Allahyarham hanya untuk meraih perhatian dan tontonan tinggi di platform digital.
Fahmi turut menyuarakan kebimbangan berhubung sikap segelintir pengguna internet yang dilihat mudah percaya bulat-bulat terhadap apa sahaja yang tersebar di media sosial sehingga seolah-olah membentuk satu budaya baharu dalam kalangan netizen.
Beliau mendedahkan ada individu yang sebelum ini terlibat dengan penipuan atau ‘scam’ bertindak menyamar sebagai pakar patologi, kononnya terbabit dalam proses bedah siasat berkaitan kematian Zara Qairina.
“Kita nampak memang ada satu budaya rata-rata warga netizen. Mereka terima bulat-bulat apa yang mereka lihat dalam media sosial. Ada menjadi mangsa kepada ‘scam’ melibatkan AI (kecerdasan buatan) ‘deepfake’. Ada percaya di Hulu Perak, Gerik ada kereta kabel.
“Jadi itulah sebab kenapa kita dapati media sosial ini kita perlu berhati-hati. Ia bukan seperti media arus perdana, bukan seperti surat khabar di mana akhbar kita tahu ada etika dan integriti kewartawanan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menambah, Persatuan Wartawan Sabah (SJA) turut mengecam tindakan segelintir pempengaruh yang hadir di lokasi tertentu dan bertindak seolah-olah wartawan, sedangkan tujuan sebenar mereka adalah mencipta kandungan bagi meraih keuntungan peribadi.
“Itu sebabnya Persatuan Wartawan Sabah (SJA) mengeluarkan satu kenyataan mengkritik pempengaruh yang datang memenuhi tempat-tempat seolah-olah mereka wartawan dan bertanya (soalan) tapi sebenarnya niat mereka untuk hasilkan kandungan dengan niat (raih) profit (keuntungan) untuk diri sendiri.
“Bila jumlah tontonan berjuta mesti ada pulangan kewangan kepada pempengaruh itu. Tapi aspek integriti, aspek pengesahan identiti tidak dilakukan,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan agensi di bawah Kementerian Komunikasi seperti Jabatan Penerangan (JAPEN), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) serta Jabatan Penyiaran memperbanyakkan kandungan yang dapat memberi kefahaman kepada rakyat, khususnya isu-isu tular di media sosial.
Fahmi menegaskan langkah itu amat penting termasuk bagi menjelaskan isu berkaitan kes Zara Qairina yang kini dalam proses perbicaraan di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu.
“Memang benar Akta Kanak-Kanak 2001 Seksyen 15 dengan sangat jelas bahawa terdapat sekatan dikenakan apabila sesuatu kes itu melibatkan kanak-kanak.
“Ia bukan atas arahan mana-mana pihak tetapi berdasarkan undang-undang sedia ada. Mana-mana kes membabitkan remaja di bawah umur 18 tahun, memang akta akan terpakai. Ia secara automatik,” katanya.
Perjuangan mendapatkan keadilan buat Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak akan berhenti selagi pihak yang bertanggungjawab belum menerima hukuman setimpal.
Itulah tekad Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, yang mahu memastikan bukan hanya kebenaran ditegakkan, tetapi juga setiap anak di negara ini terjamin keselamatannya.
“Kita akan terus mengikuti dan memantau rapat perkembangan kes ini. Setiap anak berhak membesar dalam persekitaran selamat, bebas daripada ketakutan dan ancaman. Ini tanggungjawab bersama untuk terus cakna, melindungi, dan memastikan tragedi seperti ini tidak berulang,” tulisnya di Facebook.
Dua minggu lalu, Nurul Izzah Anwar terbang ke Kota Kinabalu dengan hasrat untuk bertemu ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir. Namun, ketika itu, Noraidah Lamat masih belum bersedia menerima kunjungan.
“Saya tidak memaksa, tetapi syukur hari ini saya diberi ruang untuk menyampaikan takziah secara bersemuka,” katanya penuh syukur namun sarat hiba.
Bagi Nurul Izzah, tiada ibu yang sanggup melihat anak pergi buat selama-lamanya.
“Sebagai seorang ibu, saya benar-benar merasai kesedihan yang ditanggungnya. Dia hanya mahu melihat Zara membesar seperti biasa, sihat dan ceria.”
Pemergian tragis pelajar Tingkatan Satu SMKA Tun Datu Mustapha Limauan, Sabah, itu telah menyentuh hati rakyat di seluruh negara. Zara ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolah pada jam 3 pagi, 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya.
Nurul Izzah menyeru orang ramai untuk terus berdoa, berusaha dan bertawakal, agar keadilan dan kebenaran berpihak kepada arwah serta keluarganya.
“Zara seperti anak kita semua. Pemergiannya menggerakkan kita untuk bersatu, cakna, dan melindungi generasi akan datang daripada ancaman dan bahaya,” katanya.
Beliau turut berjanji akan terus memantau perkembangan kes ini melalui pengumuman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Jabatan Peguam Negara.
“Setiap anak berhak membesar dalam persekitaran yang selamat, bebas daripada ketakutan dan ancaman. Ini tanggungjawab kita bersama untuk terus cakna, melindungi, dan memastikan tragedi seperti ini tidak berulang.”
“Teruskan berdoa, berusaha, dan bertawakal agar keadilan dan kebenaran ditegakkan, serta roh anakanda Zara ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Amin.”
Buat masyarakat, kisah Zara adalah panggilan untuk bertindak. Agar setiap anak di bumi ini dapat membesar dalam persekitaran yang aman, penuh kasih sayang, dan bebas daripada keganasan yang meragut masa depan.
Empat beradik sekelip mata jadi yatim piatu, suami isteri maut Ford Mustang terbabas di Jalan Segamat-Kuantan. Pasangan suami isteri, Allahyarham Mohd Izuddin Harmaini, 51, dan Allahyarham Nur Syamimi Rosli, 36, maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 13, Jalan Segamat-Kuantan, pada petang Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, insiden membabitkan sebuah kereta jenis Ford Mustang yang sedang menuju ke arah Segamat.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh tiang elektrik. Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Di sebalik kejadian menyayat hati ini, kakitangan pasangan berkenaan yang menjalankan perniagaan restoran dan barangan kemas berkongsi momen terakhir penuh emosi bersama majikan mereka.
Melalui akaun TikTok Leyparking Cafe, difahamkan arwah Nur Syamimi sempat menyelesaikan tanggungjawab sebagai majikan dengan membayar gaji kakitangan sebelum memulakan perjalanan terakhirnya.
“Pemergian yang amat dikejutkan kepada ahli keluarga, staff, kenalan dan sahabatnya. Sudah lama arwah tidak datang ke kedai dan semasa hendak memulakan perjalanan, arwah sempat untuk memasukkan duit gaji staf.
“Selepas itu dia (Nur Syamimi) diam begitu sahaja. Banyak yang menjadi tanda tanya kenapa akhir-akhir ini (apabila) beliau kerap memuat naik hantaran video sedih serta menyentuh hati.
“(Rupanya) hari ini kira-kira jam 2:00 petang, dia disahkan meninggal dunia bersama suami tercinta akibat hilang kawalan disebabkan oleh hujan lebat berterusan.
“Minta jasa semua, sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada arwah bos saya dan suami tercinta. Semoga roh keduanya dicucuri rahmat dan sentiasa ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” titip kakitangan menerusi video tersebut.
Menerusi perkongsian di laman sosial Unit Khas Van Jenazah, pasangan itu dikatakan telah selamat dibawa pulang ke kediaman keluarga di Pekan, Pahang.
Segala puji bagi Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Almarhum Mohd Izuddin dan isterinya, Almarhumah Nur Syamimi Nur, telah selamat tiba di kediaman keluarga mereka yang terletak di Lot 288, Perumahan Dato’ Shah Bandar, Pekan.
Sesungguhnya, pemergian sepasang suami isteri ini dalam sekelip mata bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima, apatah lagi bagi anak-anak kecil yang kini kehilangan tempat bergantung, kasih sayang, dan belaian ibu dan ayah tercinta.
Dalam segenap kekuatan yang masih bersisa, mereka menatap wajah terakhir insan-insan yang paling mereka sayangi dengan pilu dan linangan air mata yang tak mampu diungkap dengan kata-kata.
Kini, mereka bergelar yatim piatu dalam usia yang masih terlalu muda untuk memahami erti kehilangan ini sepenuhnya.
Terima kasih kepada seluruh Team UKVJ Pahang dan Team AA Base Pekan yang telah bertungkus-lumus memudahkan urusan membawa pulang jenazah ke pangkuan keluarga.
Jasa dan pengorbanan kalian amat besar maknanya buat keluarga yang sedang melalui saat-saat sukar ini.
Semoga segala usaha kalian dikira sebagai amal soleh dan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.
Sesungguhnya, kehidupan ini hanyalah pinjaman yang sementara.
Dunia ini bukan tempat untuk kita kekal selama-lamanya.
Hari ini mereka pergi dahulu, dan satu hari nanti, kita pula akan menyusul.
Sama-sama kita mendoakan agar roh Almarhum Mohd Izuddin dan Almarhumah Nur Syamimi Nur ditempatkan dalam kalangan para solihin, dilapangkan kubur mereka, dan dihimpunkan bersama para nabi dan orang² beriman di akhirat kelak.
Buat anak-anak yang ditinggalkan, semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan hati, ketabahan jiwa, dan limpahan kasih sayang daripada insan-insan sekeliling.
Percayalah, dalam setiap ujian, pasti ada hikmah yang tersembunyi. Dan sesungguhnya, Allah tidak pernah meninggalkan hamba-hamba-Nya yang sabar dan reda.
Al-Fatihah buat kedua-dua Almarhum dan Almarhumah.
Siasatan berhubung kemalangan ini masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat bagi membantu siasatan.