
Poligami senyap-senyap itu pilihan, yang jadi mangsanya adalah wanita. Ya, ramai lelaki suka bertindak sedemikian sebab cepat dan mudah.
Kahwin lebih daripada seorang isteri secara senyap-senyap biasanya berlaku di Sempadan Thailand. Orang lelaki yang betul-betul berani untuk berpoligami dan melakukan dengan cara yang betul tidak akan mengambil langkah untuk kahwin secara senyap-senyap.
Poligami Senyap-senyap Itu Pilihan

Hanya lelaki yang tidak mampu, tidak berani atau tidak ikhlas sahaja yang akan bertindak sedemikian.
Menurut satu perkongsian peguam syarie, Fahmi Ramli, ada kisah benar tentang bagaimana seorang wanita ini teraniaya disebabkan janji manis suaminya yang mengajak untuk nikah senyap-senyap tanpa pengetahuan keluarga mahupun sesiapa di Thailand.
Seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 20-an. Masih muda dan cantik orangnya, tidak pernah berkahwin. Dia bekerja di sebuah syarikat dan pendapatannya agak bagus. Tidak disangka, rupanya bos di tempat kerjanya itu menaruh hati kepadanya.
Puas bos tersebut memujuk dan mengorat sehingga segala kemewahan diberikan untuk mengajaknya berkahwin dan menjadi isteri yang kedua. Akhirnya, wanita ini akur dan mungkin mengagakkan yang si lelaki ini benar-benar ikhlas.
Tiba-tiba, lelaki itu memberitahu untuk mengajaknya berkahwin secara senyap-senyap tanpa memberitahu sesiapa. Macam-macam alasan termasuklah hujah agama kononnya Islam tak pernah susahkan orang nak poligami. Nabi juga poligami tak perlu naik Mahkamah. Wanita ini pun kelu tanpa hujah, dia pun ikut sahaja. Tambahan pula dia bimbang, apa kata rakan sekerja bila dapat tahu dia berkahwin dengan bos mereka.
Yang Jadi Mangsanya Adalah Wanita

Kemudian, mereka pun pergilah ke Songkhla dan merahsiakan perkahwinan daripada keluarganya sendiri. Pelbagai janji manis diberikan lelaki tersebut. Nak sediakan rumah asinglah, nafkah setiap bulan RM1000 lah, sebiji kereta lah. Tapi, setelah 2 tahun berkahwin, semua itu tinggal janji.
Nak dijadikan cerita, dia mengandung dan kemudian menyuarakan untuk membuat pengesahan nikah di Mahkamah Syariah. Mulai saat itu, suaminya mula marah-marah, tidak ambil peduli tentang makan minumnya dan sering beri alasan untuk tidak ke Mahkamah.
Hinggalah selepas anak tersebut dilahirkan, wanita ini terlampau sedih sebab anak tersebut Binti Abdullah. Dikira sebagai Anak Tak Sah Taraf kerana tiada rekod perkahwinan yang sah. Dia pun nekad untuk buat pengesahan meskipun diugut suami untuk ceraikan dirinya kalau ke Mahkamah. Dia nekad dan kemudian melalui pelbagai cabaran.
Dokumen pernikahan Siam telah dihilangkan suami dan dia terpaksa untuk ke Thailand untuk mendapatkan semula semua salinan dokumen pernikahan.
Suaminya pula telah ceraikannya dan didapati mempunyai wanita yang lain. Dia tidak mahu ambil peduli lagi tentang lelaki tersebut dan berjuang di Mahkamah Syariah hampir 4 tahun untuk membuat pengesahan nikah secara berseorangan tanpa suaminya dan membuat fasakh kerana kegagalan suaminya hadir ke Mahkamah untuk perceraian secara baik.
Akibatnya Nasab Anak

Kini, wanita tersebut telah menjalani kehidupan yang bahagia dengan kenangan pahit yang memberi 1001 pengajaran berguna. Dia kini hidup aman bersama anak perempuannya dan tidak mahu membuat pengesahan nasab kerana tidak mahu anak tersebut dinasabkan kepada lelaki tersebut. Biarlah dirinya yang tanggung segalanya.
Semoga kisah ini menjadi pengajaran kepada wanita-wanita lain yang berhajat untuk bernikah senyap-senyap juga di sana.
Percayalah, perkahwinan poligami senyap-senyap, tidak ada keberkatan dan jarang bertahan lama. Mangsanya kekal wanita.
Wallahualam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




