Atikah Suhaime tetapkan pendirian besarkan anak tanpa pembantu rumah. Menjadi ibu bukan sekadar satu gelaran, tetapi satu amanah besar yang mengubah seluruh kehidupan.
Bagi pelakon Datin Atikah Suhaime, kehadiran cahaya mata sulungnya, Lyla Mulan Teh, adalah anugerah yang membawa seribu satu rahmat dan makna baharu dalam rumah tangganya.
Atikah, 34, memilih untuk membesarkan puterinya tanpa bergantung sepenuhnya kepada pembantu rumah.
Atikah Suhaime Tetapkan Pendirian Besarkan Anak Tanpa Pembantu Rumah
Prinsip itu dipegang teguh kerana baginya, tahun-tahun awal kehidupan anak adalah fasa paling penting untuk membina ikatan kasih sayang antara ibu bapa dan anak.
Ads
“Saya mahu Mulan membesar dengan ibu dan ayahnya sendiri. Bila keluar, saya memang tidak membawa pembantu rumah kerana mahu dia luangkan masa bersama kami,” kongsi Atikah menerusi satu perkongsian di TikTok.
Tanggungjawab Besarkan Anak Mahu Dipikul Sendiri
Menurut Atikah lagi, pembantu rumah hanya diperlukan ketika tuntutan kerja benar-benar memerlukan komitmen penuh. Namun di luar waktu bekerja, tanggungjawab menjaga anak adalah keutamaan yang ingin dipikul sendiri.
Ads
“Bagi saya, pembantu hanya membantu bila saya bekerja. Apabila saya tidak bekerja, saya sendiri mahu menjaga Mulan sepenuhnya,” sambungnya.
Lebih mengharukan, Atikah turut meluahkan rasa syukur apabila suaminya, Datuk Lokman Teh, memahami dan menyokong prinsip tersebut. Malah, suaminya turut terlibat secara langsung dalam urusan menjaga anak.
“Kami sama-sama jaga Mulan, bahagikan tanggungjawab dan benar-benar menikmati fasa ini bersama. Alhamdulillah, suami sangat memahami,” tambahnya.
Ads
Bagi Atikah, menjadi ibu adalah perjalanan yang menuntut pengorbanan, namun penuh dengan kebahagiaan yang tidak ternilai.
“Kami sekeluarga hanya mampu merancang, tetapi ALLAH menentukan segalanya.”
Demikian luahan penuh sebak ahli keluarga Allahyarham Muhammad Harish Aiman Mat Zahid, 25, yang dikongsikan menerusi satu hantaran di TikTok susulan pemergian mengejut arwah yang baharu sahaja sebulan bergelar suami. Kata-kata ringkas itu mencerminkan kesedihan mendalam yang terpaksa ditanggung oleh keluarga dan isteri arwah dalam sekelip mata.
Kegembiraan yang baru dikecapi penghantar barangan itu berakhir dengan tragedi apabila motosikal yang ditungganginya terlibat dalam satu kemalangan selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Kuchai Lama pada 8 Disember lalu. Kejadian tersebut berlaku secara tiba-tiba dan meragut kebahagiaan yang baru dibina oleh pasangan muda berkenaan.
Allahyarham Muhammad Harish Aiman disahkan menghembuskan nafas terakhir ketika sedang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada keesokan harinya, 9 Disember 2025, kira-kira jam 7.11 pagi akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Insiden pengantin baru maut kemalangan itu turut menarik perhatian ramai apabila rakaman video kejadian berkenaan tular di media sosial, khususnya di TikTok. Rakaman kamera papan pemuka yang dimuat naik oleh pengguna media sosial itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang rata-rata meluahkan rasa simpati dan sedih terhadap nasib arwah serta keluarganya.
Ramai juga menggesa agar pihak bertanggungjawab tampil memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
Menurut ahli keluarga, Allahyarham telah melangsungkan perkahwinan dengan isterinya, Rashidah Shahira Shamsuddin, 24, pada 7 November lalu dalam sebuah majlis sederhana yang diadakan di Pahang. Pasangan itu dilihat bahagia dan sedang merancang kehidupan sebagai suami isteri.
Namun, kebahagiaan tersebut tidak berpanjangan apabila takdir memisahkan mereka terlalu awal.
Lebih menyayat hati, majlis bertandang bagi pihak lelaki yang dijadualkan berlangsung pada 13 Disember lalu terpaksa dibatalkan ekoran tragedi tersebut.
“Untuk majlis pihak lelaki sepatutnya pada 13 Disember, tetapi hajat arwah tidak tercapai,” tulis ahli keluarga arwah dalam hantaran berkenaan.
Difahamkan, segala persiapan perkahwinan termasuk barangan hantaran dan cenderahati majlis disediakan sendiri oleh Allahyarham Muhammad Harish Aiman dan telah pun siap sebelum kejadian menyedihkan itu berlaku.
“Hantaran semua hasil air tangan arwah sendiri. Tak sempat arwah nak merasa semua barang hantaran.
“Kad nikah pun baru siap tapi arwah tak sempat nak tengok,” luah ahli keluarga arwah lagi.
Kenyataan itu menambah lagi kesedihan ramai, apabila menyedari bahawa pengantin baru maut kemalangan ini pergi tanpa sempat menikmati kehidupan berumah tangga yang baru sahaja bermula.
Dalam masa sama, ahli keluarga Allahyarham turut merayu agar keadilan dapat ditegakkan buat arwah serta berharap individu yang terlibat dalam kemalangan tersebut tampil memberikan keterangan kepada pihak berkuasa.
“Semoga kita semua doakan agar keadilan tercapai untuk arwah. Kami juga berharap pelaku tampil berani untuk memberi keterangan dan bertanggungjawab atas perbuatannya,” katanya.
Sementara itu, pihak polis mengesahkan kemalangan maut yang berlaku pada 8 Disember lalu melibatkan seorang penunggang motosikal berusia 25 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penularan rakaman kamera papan pemuka kejadian tersebut yang dimuat naik di TikTok dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Beliau turut menegaskan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab.
Hancur luluh hati seorang ibu apabila anak perempuan berusia 16 tahun yang disangka sakit perut rupanya hamil. Penemuan mengejutkan itu berlaku ketika wanita berkenaan membawa remaja tersebut mendapatkan pemeriksaan di sebuah klinik.
Begitu beratnya ujian yang menimpa seorang ibu apabila mengetahui bahawa kesakitan anaknya selama ini bukanlah masalah kesihatan biasa, tetapi tanda kehamilan akibat menjadi mangsa jenayah.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superitenden Johari Yahya memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat oleh ibu mangsa pada Mei lalu selepas situasi mencurigakan itu disedari.
Menurut beliau, pada mulanya gadis tersebut dibawa ke klinik kerana mengadu sakit perut, dan ketika itu doktor menjangka ia hanya masalah gastrik. Namun keadaan berubah beberapa bulan kemudian apabila remaja itu menjalani pemeriksaan susulan setelah perutnya didapati semakin membesar.
“Sebelum itu, wanita berkenaan membawa anaknya yang mengadu sakit perut ke klinik, namun ketika itu doktor mengesyakinya mengalami gastrik.
“Beberapa bulan kemudian, mangsa telah buat rawatan susulan selepas perutnya dilihat makin membesar dan ibunya terkejut apabila pihak hospital mengesahkannya hamil,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata lagi, si ibu kemudian tampil membuat laporan polis kerana mengesyaki anaknya telah diperkosa oleh rakan sekerja sendiri, seorang lelaki warga Bangladesh.
Susulan laporan itu, pihak polis berjaya menahan suspek berusia 31 tahun di Balai Ketibaan KLIA sekitar jam 11.44 pagi pada Isnin.
Superitenden Johari berkata, hasil soal siasat mendapati lelaki tersebut mengakui perbuatannya.
“Hasil soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku terlibat dalam kes rogol dengan mangsa yang merupakan rakan sekerjanya.
“Selepas kejadian, suspek telah melarikan diri dengan pulang ke Bangladesh dan suspek mengaku melakukan perbuatan rogol tersebut sebanyak empat kali,” jelasnya.
Tambah beliau, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban pada keesokan harinya bagi permohonan reman untuk siasatan lanjut.
“Malam kelmarin arwah begitu selera makan nasi dengan lauk sambal telur, empat kali bertambah sedangkan sebelum ini dia tidak kuat makan,” kata Abd Rahim Saidin, 40, bapa kepada kanak-kanak lelaki yang maut dipercayai lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya dalam kejadian di Kampung Permatang Tepung.
Tragedi cuti sekolah ini berlaku dalam suasana yang cukup menyayat hati apabila seorang abang sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan adiknya yang terjatuh ke dalam parit besar.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, Muhammad Alif Fahmi Abdullah, 12, disahkan meninggal dunia selepas dihanyutkan arus deras parit besar ketika cuba menyelamatkan adiknya, Muhammad Rayan Firrdaus, 9.
Menurut Abd Rahim, anak sulungnya yang mesra disapa Abang keluar bersama kira-kira 10 rakan sekampung untuk menangkap ikan laga di kawasan parit besar terbabit. Paras air ketika itu meningkat susulan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
“Arwah dan rakan-rakan biasa menangkap ikan laga di kawasan itu dan tidak pernah berlaku kejadian buruk sebelum ini.
“Saya pelik melihat kelainan pada Abang apabila dia makan dengan begitu berselera. Saya tidak menduga itu menjadi petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.
“Saya reda dengan kehilangannya yang manja sejak kecil lagi, namun ujian ini amat berat,” katanya ketika ditemui.
Abd Rahim turut berkongsi perasaan terkilan apabila mengenangkan permintaan terakhir arwah untuk memakai kasut sekolah baharu ketika majlis graduasi Sekolah Kebangsaan (SK) Merchong Jaya.
“Beberapa kali dia merayu mahu memakai kasut baharu berwarna hitam yang dibeli oleh ibunya, namun akhirnya akur dengan larangan kami. Kasut itu sepatutnya dipakai ketika buka sekolah nanti,” katanya.
Menurutnya, parit besar itu terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka. Jiran datang memaklumkan kejadian sebelum beliau segera ke lokasi.
Penduduk kampung berusaha mencari mangsa dalam keadaan air yang deras. Mayat arwah ditemui kira-kira jam 7.15 malam selepas dua kali azan dilaungkan oleh penduduk setempat.
Sementara itu, rakan mangsa, Amirul Hakimi Mahyuddin, 12, berkata dia sempat menarik tangan adik mangsa selepas kanak-kanak itu terjatuh ke dalam parit.
“Arwah terus terjun ke dalam parit semata-mata mahu menyelamatkan adiknya, namun dia gagal kerana dibawa arus deras ke bawah pembentong.
“Saya sempat melihat tangan mangsa sebelum dia tenggelam. Arwah seorang yang baik dan mudah berkawan,” katanya.
Menurut Amirul lagi, sebelum kejadian tragis itu, arwah dan adiknya berjaya menangkap kira-kira 30 ekor ikan laga yang cantik.
Bagaimanapun, tragedi cuti sekolah itu meninggalkan kesan mendalam buat dirinya sehingga dia bertekad untuk tidak lagi meneruskan hobi menangkap ikan laga selepas kehilangan rakan yang amat disayanginya.