Jangan sesekali bergurau soal talak! Akhir-akhir ini, saya kerap terima soalan-soalan mudah mengenai talak atau cerai. Antaranya: “Suami saya lafaz menceraikan saya dengan talak tiga tapi katanya dia tak ada niat pun nak ceraikan saya. Dia lafaz cerai masa tengah marah. Jatuhkah talak?”
Ada kes suami kata bergurau: “Saya cuma taip dalam SMS saja, tak ada niat pun nak ceraikan dia.” Sedangkan ayat tertera di dalam SMS ialah: “Saya (nama suami) menceraikan isteri saya (nama isteri) dengan talak satu.”
Talak Dah Jatuh…
Hakikatnya, dalam kedua-dua kes disebut di atas, talak telah berlaku. Talak dari segi bahasa bererti melepaskan ikatan. Dari segi syarak ialah melepaskan ikatan perkahwinan dengan menggunakan lafaz talak atau seumpamanya.
Seumpamanya yang saya dimaksudkan di sini ialah perkataan yang membawa maksud jelas sebagai talak mengikut bahasa pertuturan masing-masing contohnya cerai di dalam Bahasa Melayu dan ‘divorce’ di dalam Bahasa Inggeris serta lain-lain perkataan yang serupa.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Cerai (talak) itu dua kali, selepas itu peganglah isteri kamu (rujuk dan kekallah) dengan cara yang baik atau lepaskanlah dengan cara yang baik.”- surah al-Baqarah ayat 229.
Cukup Rukun Dan Syarat
Talak akan berlaku apabila cukup rukun dan syaratnya. Panjang pula kalau saya nak ceritakan di sini jadi tolong rujuk kepada modul pra perkahwinan yang anda dan pasangan hadiri sebelum pernikahan dulu.
Fokus saya dalam perbincangan kali ini ialah mengenai faktor kerelaan atau keterpaksaan yang sering dijadikan alasan serta bentuk lafaz talak yang diucapkan.
Ads
Keterpaksaan yang tidak menjatuhkan talak hanya jika paksaan tersebut meletakkan si suami dalam keadaan membahayakan keselamatan nyawanya sendiri atau nyawa si isteri. Jika paksaan seorang isteri yang mendesak dan terus mendesak agar dirinya diceraikan tanpa melibatkan keselamatan nyawa dan si suami melafazkan cerai tersebut, maka talak tetap jatuh dan dikira sabit.
Lafaz Talak Ada Dua
Syarat lafaz ialah perlu ada lafaz atau perkataan yang menunjukkan talak. Lafaz talak terbahagi kepada dua iaitu;
Pertama: lafaz soreh (terang) iaitu yang diucapkan dengan terang dan jelas membawa maksud talak tak kira apa pun penggunaan bahasanya. Contohnya suami melafazkan: “Aku ceraikan engkau talak satu” atau “I divorce you” atau yang seumpamanya.
Ads
Talak dengan lafaz yang seperti ini akan jatuh walaupun tanpa niat. Merangkumi lafaz yang diluahkan melalui SMS atau e-mel atau sekadar tulisan tangan; andai perkataan yang digunakan jelas bermaksud talak, niat tidak perlu dinafikan lagi. Mustahil tiada lintasan di hati untuk menyebut atau menaip atau menulis lafaz talak tersebut andai tiada niat!
Lafaz kedua: ialah lafaz kinayah atau kiasan iaitu cerai yang dilafazkan menggunakan bahasa sindiran contohnya suami berkata: “Engkau haram atas diriku” atau “Pergilah balik ke rumah emak bapak kamu”. Bila suami menggunakan lafaz sebegini, niat suami ketika melafazkan perkataan tersebut diambil kira. Jika suami berniat untuk cerai atau talak, maka jatuhlah talak. Sebaliknya jika suami tidak berniat menceraikan, talak tidak akan jatuh.
Perkataan ‘Akan’
Berdasarkan kes yang diemelkan kepada saya, lafaz yang disebut ialah “aku akan ceraikan hang talak tiga”. Berdasarkan syarat lafaz, jelas sekali talak masih belum jatuh sebab suami menggunakan perkataan ‘akan’. Semua sedia maklum, perkataan ‘akan’ membawa maksud belum berlaku atau belum dibuat.
Ads
Analogi mudah, seseorang mengucapkan ‘saya akan makan’, dia sekadar meluahkan hasrat untuk makan tetapi belum makan. Bererti, dalam kes ini, ada kemungkinan si suami akan menceraikan isteri dengan talak tiga tetapi masih belum menceraikan isterinya tika perkataan itu disebut.
Termasuk juga lafaz taklik atau menggantungkan syarat tertentu yang jika syarat berlaku, talak akan jatuh. Lafaz taklik jika soreh, tak boleh ditarik balik atau dibatalkan.
Saya ulangi: talak akan jatuh hanya dengan perkataan yang jelas dan terang membawa maksud cerai. Sekiranya anda berdepan dengan suami yang mengucapkan lafaz kinayah seperti yang saya jelaskan tadi, cepatlah mengadu ke pejabat agama, akan ada pihak yang akan membantu anda mendapatkan kesahihan lafaz tersebut. Undang-undang menetapkan talak hanya boleh diucapkan di Mahkamah Syariah. Namun bukan bererti talak tidak jatuh jika diucap bukan di Mahkamah Syariah.
Sila Rujuk Mahkamah Syariah!
Bagi mereka yang berdepan kes ucapan talak bukan di Mahkamah Syariah, daftarkan kes anda di Mahkamah Syariah berdekatan bagi mendapatkan pengesahan lafaz cerai. Andai keliru, mohon untuk ke
Mahkamah Syariah untuk pengesahan biar status perkahwinan anda disahkan. Jangan sampai meneruskan hubungan dalam keadaan berzina!
** Artikel ini telah dikongsikan oleh Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, juga penulis tetap ruangan Resipi Hidup dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Hebat tak hebat suami ini, sepanjang perkahwinannya selama 14 tahun dengan isteri, tak pernah sekali suami ini culas beri isteri gaji tepat pada masanya. Nafkah dalam bentuk gaji ini dibayar paling lewat pun 28hb setiap bulan.
Nah! Inilah yang dikongsikan puan Marliya Ramliakan amalan suaminya yang tak pernah gagal bayar nafkah isteri.
Walaupun Puan Marliya sendiri masih bekerja makan gaji.
On Time Beri Gaji Kepada Isteri
Sejak usia 23 tahun selama 14 tahun ada seorang suami yang sentiasa on time memberikan ‘gaji’ kepada isteri. Selewat-lewatnya 28hb setiap bulan.
Tanpa perlu ditanya-tanya atau diminta-minta suami ini akan sediakan juga pakaian raya, set mandian dan keperluan asas isteri.
Kerana selain tempat tinggal, persalinan, keperluan asas dan makanan adalah kewajipan.
Kenapa isteri perlu minta jika ianya adalah sesuatu yang difahami oleh khalifah rumahtangga tentang perintah Allah?
Bermula dengan gaji seorang Techician cabuk hinggalah menjadi senior engineer, jumlah ‘gaji’ meningkat seiring dengan kemampuan. Bermula dari kadar pemberian pada tiga angka sehingga mencecah ke empat angka setiap bulan.
Dalam bahasa lebih mudah difahami ianya adalah nafkah terhadap isteri.
Biarpun isteri mampu menyara diri sendiri, tidak sekalipun ia menjadi alasan untuk si suami culas memberikan nafkah.
Dan mungkin.
MUNGKIN!
Amalan Inilah Punca Rezeki tak Putus
Kerana amalan inilah Allah permudahkan suami tersebut hingga mampu berhenti makan gaji pada sebelum usia 35 tahun.
Kerana amalan inilah Allah sentiasa memberikan jalan rezeki yang tidak berputusan buat suami tersebut.
Kerana amalan inilah segala yang diusahakan oleh suami selalunya menjadi kenyataan.
Kerana amalan inilah…
Amalan yang usah sesiapa pun anggap sebagai remeh.
Kerana suami sedar, amalan memberi nafkah bukan lah pilihan. Namun kewajipan mengikut kemampuan.
Kewajipan yang bukan YB Najib suruh atau Tun Mahathir arahkan. Bukan kewajipan PU Abu paksa semua suami buat. Bukan
Namun kewajipan yang Allah perintah.
Melanggar perintah Allah lebih buruk hukumannya berbanding melanggar perintah Sultan.
Isteri adalah amanah. Kita jaga amanah Allah, maka Allah jaga rezeki kita.
Salam sayang
MW : Nampak kan.. bila suami mudahkan urusan isteri, gembirakan hati isteri.. Allah beri rezeki yang melimpah untuknya. Dalam bentuk yang dia tak sangka-sangka pun.
Sumber/Foto : Marliya Ramli
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mak ayah mempunyai tanggungjawab yang berat dalam mendidik dan memberi kasih sayang sepenuhnya pada anak-anak mahupun cucu-cucu. Namun lumrah setiap anak pastinya mempunyai karakter dan pencapaian yang berbeza.
Inilah sebenarnya ujian terbesar buat mak ayah agar dapat berlaku adil tidak membeza-bezakan kasih sayang dan layanan buat mereka. Tiada istilah anak kesayangan mahupun anak tak guna pada anak-anak. Semuanya perlulah dilayan sama rata.Kerana waktu akan datang kita tidak tahu, anak manakah yang paling menyumbang bakti dan jasa pada kita di hari tua.
Jemput baca perkongsian Muhammad Hassan ini sebagai panduan kita.
Hargai depan mata.
Ada seorang pakcik berusia 61 tahun kena serangan stroke. Makcik agak uzur juga,selalu sakit lutut. Boleh dikatakan setiap 2-3 bulan kami akan bertemu. Hubungan kami agak rapat dan saya seronok dengar nasihat demi nasihat dan kisah kejayaan anak anak pakcik ini.
Cuma ada seorang anak yang ke 3 dari 7 adik beradik hanya kerja kampung dan jaga kebun sawit sahaja. Bagi mereka anak ini tidak setaraf dengan yang lain.
Yang lain semua kerja di bandar-bandar besar sebagai guru, pegawai di
putrajaya, pensyarah, askar, polis dan perkapalan.
Beri Kasih Sayang Sama Rata
Pakcik ini beri nasihat yang takkan saya lupa sampai bila bila.
Jika kamu ada anak ramai,beri kasih sayang mereka sama rata,jangan pilih kasih!
Pakcik dan makcik buat silap besar. Kami pandang rendah kepada anak ke 3 yang kerja kampung tu. Kadang kadang dia akan jadi bahan ketawa adik beradik yang lain. Disebabkan dia sumbing,masalah pembelajaran sejak kecil,maka dia selalu diabaikan.
Bila semua anak anak pakcik balik kampung,dialah yang selalu kami lupa nak jemput. Kadang kadang anak anak dia kami tak layan macam cucu cucu lain. Kami lebihkan cucu cucu yang jauh.
Jika masak sedap sedap,kami akan masak apabila yang lain balik sahaja. Ayam itik,kambing dialah yang jaga,tapi jika disembelih buat makan,kami lupa dia dan cucu.
Sedangkan,selang beberapa buah rumah dari rumah kami masih ada cucu cucu yang tagihkan kasih sayang nenek dan atuk.
Sehinggalah suatu hari pakcik kena serangan stroke. Semua anak anak yang lain tak dapat nak jaga,semua pakat tarik diri dengan pelbagai alasan. Akhirnya yang ke 3 inilah setiap hari datang ke ward,angkat pakcik ke tandas,basuh berak kencing pakcik.
Anak Sentiasa Ada
Sekarang kami baru sedar,betapa dia sentiasa ada bersama kami walaupun selalu ‘dipulaukan’, selalu diketawakan. Sikit pun tak mengeluh mahu pun kecewa. Tapi pakcik tahu,dia makan hati dengan layanan kami selama ini. Pakcik menangis minta maaf diatas layanan terhadap dia selama ini.
Sahabat. sedarlah hari ini. Kadang kadang yang depan mata ini selalu kita abaikan,selalu kita tidak hargai.
Peluk dan ciumlah anak anak kita. Curahkan kasih sayang terhadap mereka tidak kira apa kelebihan dan kekurangan mereka. Yang pasti mereka ada ada hati untuk disayangi dan dicintai.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Buat mak ayah renungkan kembali bagaimana layanan kita pada anak-anak. Jangan terlintas sedikit pun untuk ‘pilih kasih’, membeza-bezakan perhatian dan kasih sayang kita baik pada anak-anak, menantu mahupun cucu.
Bahagianya tengok pasangan itu. Kayanya dia, apalah kerja dia. Itulah yang mesti terkeluar dalam mulut kita tiap kali tengok orang post gambar kat media sosial atau pun lihat dengan mata kepala sendiri. Kadang-kadang timbul rasa cemburu dan mulalah bandingkan dengan apa yang kita ada.
Rasanya tak perlulah rasa dengki atau cemburi dengan kehidupan orang lain. Semua ini telah diaturkan Olehnya. Kita hanya teruskan kehidupan dan lalui dengan apa yang telah diaturNya.
Ini antara perkongsian daripada Siti Suryani. Memang betul apa yang diperkatakan. Paling penting, kita bahagia cara kita.
Betul mak aku kata tu.
Jangan banding kita dengan orang.
Jangan ingat kalau kita boleh tu pasal kita hebat sangat.
Kalau aku nampak artis bagi tips cara lemah lembut dengan anak, aku kena tengok juga.
Rumahnya kemas. Duit pun berlonggok. Ada yang ada pembantu. Kerjanya cuma layan anak manjang. Takda banyak benda nak runsing. Itu rezeki dia.
Macam aku pun, anak dua je. Bolehlah rileks-rileks, sayang-sayang. Dah besar dah pulak tu. Takda nak kalut apa pun kat rumah.
Tugas Seorang Isteri
Cuba wanita yang jenis pukul 4 pagi dah bangun sediakan makan. Lepas tu pergi kerja. Balik karang singgah pasaraya. Beratur lak panjang. Padahalnya nak beli ikan bilis je pun. Teringat suami nak makan sambal bilis petai katanya.
Sampai rumah pukul 6. Nak solat, nak mandi, nak masak, nak angkat baju. Bersilatlah kita laki bini ni balik-balik kerja.
Malam nanti nak urus kerja sekolah anak. Member dia yang lain semua dah hantar dah. Dia je belum lagi. Dah mak ayahnya dua-dua pun kerja. Siapa yang nak tolong tengokkan. Sambil belasah bilis petai, sambil tu tengok anak buat kerja. Suami ada kerja lain lagi. Bisnes online. Nak tambah rezeki keluarga. Dia pun penat juga. Dia pun buat tanggungjawab dia.
Tak Pernah Habis
Siap dah semua, ingat nak baring kejap pelurus kaki. Allah…! Baju belum lipat. Tu kalau tak lipat hari ni, esok makin menggunung. Karang suami tak jumpa spender karang, tak pakai spender lak dia esok pergi kerja.
Tengah melipat, bangun pulak si kecik tu. “Nak acik”, katanya. Tadi dia tak berapa nak makan. Ni baru lapar perut. Takkan la tak buat kan. Kesian pulak dia.
Iye tak iye, pukul 1 pagi baru tidur. Esoknya pukul 4 pagi ulang rutin yang sama.
Lemah lembut
Iye. Semua pun nak sangat jadi ibu yang lemah lembut. Takda orang niatnya bangun tidur esok, aku nak jadi lebih marah lagi.
Ingat wanita tu lepas dia marah-marah, dia seronok ke? Dia nak tulis dalam diari ke yang dia berjaya marah lagi hari itu?
Pergi tengok dia lepas marah. Kadang airmata mengalir deras kerana rasa bersalah. Kadang lama dia bersujud atas sejadah. Rasa sedih amat kerana tak berjaya menjadi ‘yang terindah’.
Tidaklah aku kata marah tu bagus. Marah tu takpa. Bukan. Maksud aku, takda wanita yang menjadikan marah tu sebagai hobi dia. Dia pun tak sengaja. Dia pun tak suka. Semua mak inginnya satu saja. Nak jadi mak paling baik dan paling lemah lembut apa adanya.
Hidup Tak Sama
Hidup semua orang bukannya sama.
Belajarlah lihat manusia di sekeliling kita.
Saiz bahu kita ni tak serupa.
Beban di atasnya juga berbeza.
Kita mungkin boleh sembang sebab hidup kita kencang….
MW: Inilah tugas seorang isteri dan ibu. Tak pernah habis. Jangan sesekali mengeluh. Inilah kebahagiaan yang kita cari dan inilah kehidupan kita.
Artikel ini disunting dan diterbitkan dengan keizinan penulis.
Sumber: Siti Suryani Yaakop
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kisah pilu kematian di Jerlun apabila seorang isteri menjerit minta tolong dan dua jam memangku jasad suaminya tanpa kepala selepas pergaduhan tragis di sawah Kampung Pida 3, Jerlun.