Pertikaian Sepuluh Beradik Tuntut Rumah Pusaka, Peguam Jelaskan Pembahagian Cara Faraid

Sepuluh beradik ini berdepan masalah pembahagian rumah pusaka yang ditinggalkan arwah ibu mereka. Bagi membantu menyelesaikan pertikaian sepuluh beradik ini, Peguam Syarie, Roslina Sabiyah & Co jelaskan jalan penyelesaiannya.

Hakikatnya, memang ramai di luar sana yang berdepan masalah pembahagian harta pusaka, lagi-lagi melibatkan adik-beradik yang ramai. Semoga pengiraan yang dikongsikan ini dapat menjadi panduan untuk bantu mudahkan urusan adik-beradik yang lain sama.

Pertikaian 10 Beradik Tuntut Rumah Pusaka

Soalan :

Arwah ibu meninggalkan sebuah rumah pusaka dan waris 5 org anak lelaki dan 5 orang anak perempuan. Bapa dah lama meninggal. 9 orang adik-beradik setuju nak serahkan bahagian mereka kepada adik perempuan bongsu yang duduk di rumah itu kerana menjaga arwah emak sebelum ini.

Hanya abang yang sulung sahaja yang tak setuju dan nak pembahagian dibuat secara faraid. Boleh ke teruskan pembahagian tak ikut faraid sebab dah ada persetujuan majoriti?

Jawapan :

Kaedah umum – bila sesuatu harta tu dah jadi harta pusaka memang akan tertakluk kepada hukum faraid. Kecuali dalam beberapa keadaan

1) Ada wasiat. Laksanakan wasiat dulu. Baki harta baru difaraidkan. Tapi jika waris-waris tak setuju dengan wasiat, maka wasiat tu tak akan berkuatkuasa.

2) Ada hibah. Laksanakan hibah dulu. Tapi jika hibah tidak bertulis dan tidak dapat dibuktikan ataupun tidak ada pengesahan di mahkamah syariah maka hibah juga tidak dapat dikuatkuasakan.

3) Jika ada persetujuan atau permuafakatan bersama. Ini yang sebaik-baiknya. Maka permuafakatan tersebut boleh dilaksanakan. Tapi sekiranya ada waris yang tak setuju maka waris tersebut tidak terikat dengan permuafakatan tersebut. Dalam kes harta pusaka tidak ada istilah majoriti. Tidak ada sesiapa yang boleh paksa waris lain untuk lepaskan haknya kecuali dengan sukarela. Jadi bagaimana nak laksanakan permuafakatan kalau ada yang tak setuju?

4) Pembahagian secara faraid. Allah fardhukan hukum faraid sebagai penyelesaian terakhir. Kalau masih bertikai tak capai kata sepakat, faraidlah jawapannya. Siapa yang berhak, berapa bahagiannya, siapa yang ada hak tapi tak layak, semuanya dah diterangkan dengan jelas dan detail. Tak ada hukum yang diterangkan dengan sangat detail kecuali faraid. Hukum yang lain semua secara general rule. Suka ataupun tak suka kena terima. Apa yang Allah perintahkan mesti yang terbaik dan ada hikmahnya.

Faraid bukanlah satu-satunya cara pembahagian harta pusaka dalam Islam.. TETAPI faraid adalah penyelesaian terakhir yang mampu melengkapkan penyelesaian masalah pusaka dalam Islam.

 

Pertikaian 10 Beradik Tuntut Rumah Pusaka, Peguam Jelaskan Pembahagian Cara Faraid
Rumah sekadar contoh.

Jalan Penyelesaian Pengiraan Cara Faraid

Penyelesaian kepada masalah pusaka di atas tadi. Harta pusaka tersebut tetap boleh dibahagikan kepada adik perempuan bongsu secara permuafakatan. TETAPI setelah ditolak dengan bahagian faraid abang sulung. Katakan pengiraan faraidnya begini :

– 5 anak lelaki : 2 bahagian seorg x 5 = 10 bahagian
– 5 anak perempuan : 1 bahagian x 5 = 5 bahagian
– Jumlah bahagian = 15
Bahagian faraid abang sulung : 2/15

Rumah pusaka tersebut hendaklah dinilaikan. Katakan nilainya RM150,000. Bahagian abang sulung 2/15 ialah RM20,000. Jadi adik perempuan yang dapat rumah pusaka tersebut hendaklah membayar jumlah RM20,000 kepada abang sulung sebagai pampasan bahagian faraidnya.

* Harta pusaka yang melibatkan rumah sangat sensitif dan peribadi. Jika tidak mencapai kata sepakat rumah tersebut mungkin terpaksa dijual semata-mata nak dapatkan wang tunai yang boleh dibahagi mengikut bahagian yang telah ditetapkan. Jika tidak dijual sekalipun, cuba bayangkan 1 geran rumah ada 10 nama. Mungkin sekarang tak ada masalah. Masalah akan timbul pada generasi waris-waris yang akan datang.

* Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Diharap perkongsian ini ada manfaatnya.

Sumber/Foto : Roslina Sabiyah & Co

Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI