Malang tidak berbau. Seorang anak tidak tercapai hajatnya untuk membawa emak bagi mendapatkan rawatan apabila mereka terlibat dalam kemalangan sebelum sempat tiba di klinik. Kemalangan itu telah meragut nyawa sang anak dan emaknya pula cedera parah. Ternyata telah tiba waktunya, dia pergi dahulu dijemput Ilahi.
Kejadian yang berlaku di sebuah selekoh ini dipercayai berpunca daripada keadaan jalan yang berlopak dan akhirnya membuatkan pemuda ini gagal mengawal motosikalnya. MW mengucapkan takziah kepada keluarga arwah dan semoga Allah menempatkan rohnya di kalangan orang yang soleh.
Pemuda Maut & Ibunya Parah Terlibat Kemalangan
Pemuda maut manakala ibunya parah selepas motosikal dinaiki terbabas dan merempuh tembok pagar sebuah rumah di Jalan Kampung Ewa, Langkawi, semalam.
Dalam kejadian 4.30 petang itu, penunggang motosikal, Mohammad Rosidi Rohim, 29, disahkan maut di tempat kejadian, manakala ibunya, Che Su Said, 61, parah.
Ads
Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ketika kejadian dua beranak itu dalam perjalanan dari Felcra Kok ke Klinik Ayer Hangat bagi mendapatkan rawatan penyakit asma dihidapi warga emas itu.
Gagal Mengawal Motosikal
“Tiba di tempat kejadian, mangsa yang menunggang laju gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas ke kanan jalan dan merempuh pagar rumah penduduk.
Ads
“Akibat rempuhan kuat, mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh pasukan paramedik, manakala ibunya patah kaki kanan,” katanya ketika dihubung hari ini.
Mohd Iqbal berkata, mangsa maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk bedah siasat, manakala wanita warga emas itu turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan.
Ads
“Siasatan di lokasi kejadian mendapati permukaan jalan berlopak dan berselekoh serta ada garisan berkembar.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber: Harian Metro
MW: Keadaan jalan raya yang berlopak dan tak diselia dengan baik kadang-kadang membahayakan nyawa penunggang motosikal dalam diam. Oleh itu, sebagai penunggang motosikal berhati-hatilah setiap kali menghampiri selekoh atau menggunakan jalanraya. Sayangilah insan tersayang.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Misi GSF: Semua Rakyat Malaysia Selamat, Akan Dihantar Pulang Melalui Negara Ketiga. Semua rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza bakal dihantar pulang melalui sebuah negara ketiga.
Misi GSF: Semua Rakyat Malaysia Selamat, Akan Dihantar Pulang Melalui Negara Ketiga
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan pada Khamis menegaskan bahawa kesemua tahanan berada dalam keadaan sihat serta selamat.
“Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengeluarkan arahan kepada perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Kaherah untuk mendapatkan kerjasama daripada kedutaan negara-negara ASEAN di Tel Aviv.
“Kementerian ini akan memastikan mereka menerima sokongan serta bantuan konsular yang diperlukan bagi menjamin kepulangan selamat mereka ke Malaysia.
“Kerajaan Malaysia akan terus komited menjaga keselamatan rakyat Malaysia di luar negara,” jelas kenyataan itu.
Tambah kementerian lagi, kerajaan kini sedang melaksanakan pelbagai usaha bagi menjamin keselamatan selain memastikan pembebasan segera 15 rakyat Malaysia yang kini ditahan rejim Zionis.
Dalam masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamad telah menghubungi beberapa pemimpin antarabangsa termasuk rakan sejawat dari Amerika Syarikat untuk mendapatkan sokongan dalam isu berkenaan.
“Kerajaan turut menegaskan bahawa penahanan peserta GSF adalah tidak sah dan menuntut agar mereka dilayan selaras dengan undang-undang antarabangsa serta dibebaskan dengan segera,” menurut kenyataan itu lagi.
1 Julai lalu bersamaan 17 Syawal 1439H menjadi detik bersejarah buat puteri sulung Datuk Ziela Jalil, Dr Hajjah Puteri Julia Nabilah Binti Tan Sri Megat Junid apabila selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Dr Dziya Faqhran Bin Dato’ Mahmod Fauzi.
Manisnya Julia sepanjang majlis yang mengubah statusnya menjadi seorang isteri. Sama cantik sama lawa, sama padan. Rata-rata tetamu terpesona melihat pengantin baru yang juga seorang doktor ini. Tambah cantik apabila henna putih yang dikenakan pada jari jemari halus Julia itu memukau sungguh corak malah seni ukirannya. Ramai yang memuji ukiran henna putih hasil kerja seni Sheema Henna
Bak kata Julia ketika membalas posting instagram sheemahenna, “Thank you kak Sheema! Semua orang kata cantikk sangat sangat henna tadi. Sedih kena kopek.”
“Hati tisu la baby kak Sheema ni. Tak mo sedih sedih. Awak dah ada babybear kat sebelah tu.” seloroh Sheema Henna membalas komen Julia.
Ukiran henna putih waktu majlis malam berinai.
Siapa pun tak nafikan memang cantik sungguh henna putih di jari jemari Julia waktu majlis pernikahannya itu. Malah ketika majlis berinai pada Jumaat malam Sabtunya pun Julia mengenakan henna putih. Namun, ukirannya lebih ringkas.
Pada majlis akad nikah itu, Julia mengenakan busana rekaan Nurita Harith dan dirias cantik oleh jurusolek terkenal, Datin Saidatulnisa Aminuddin. Sebelumnya, Julia dan suami telahpun mengikat tali pertunangan tanggal 12 Mei yang lalu.
Lunak Merdu Suara Dr Julia Alunkan Bacaan Al-Quran
Jumaat paginya, Julia menyelesaikan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran di majlis khatam Al-Quran. Lunak merdu suara malah bacaan tajwidnya juga lancar. Ketika berlangsungnya acara, Julia ditemani qariah ternama negara, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman Al Yahya.
Majlis tersebut dihadiiri keluarga dan saudara mara, malah turut dihadiri rakan-rakan artis antaranya Erra Fazira, Nina Juren, Umie Aida, Azrinaz Mazhar Hakim dan lain-lainnya.
Tahniah! Kerana Mendidik Anak Dengan Baik
Kata Erra Fazira dalam instagramnya, “Alhamdulillah.. majlis khatam Quran julia berlangsung dengan baik dan lancar. Semoga Al-Quran menjadi pendamping hidupmu hingga ke jannah.”
“Tahniah kakakku Datuk Ziela Jalil kerana berjaya mendidik anakanda hingga menjadi anak yang berjaya hingga ke hari ini. Mudah-mudahan Julia terus menjadi anak yang solehah hingga kalian bertemu kembali di syurga kelak.
Ini pula doa yang dititipkan oleh pelakon Umie Aida, “Esok detik bersejarah dalam hidup Dr Julia M Junid & Dr Fakran. Selamat melangkah ke alam rumahtangga yang berkekalan hingga ke jannah. Aamin..”
“Tahniah Angah @zielajalil kerana mendidik anak-anak dengan baik dan berjaya. Kejayaan itulah anugerah yang terindah dalam hidup seorang ibu. Semoga sentiasa dalam rahmatNya dan diberkatiNya. Aamin.” tulis Umie Aida ketika merai majlis malam berinai anak rakannya itu.
Ibu hilang 4 anak, seorang menantu sekelip mata, status whatsApp terakhir jadi petanda. Perjalanan yang sepatutnya menjadi detik menggembirakan bertukar menjadi peristiwa hitam apabila lima sekeluarga terkorban dalam kemalangan tragis melibatkan dua kenderaan di Kilometer 7, Jalan Jerantut-Maran, tengah malam semalam.
Ibu Hilang 4 Anak, Seorang Menantu Sekelip Mata, Status WhatsApp Terakhir Jadi Petanda
Tragedi ini bukan sekadar satu kemalangan ngeri, ia meragut nyawa satu pasangan suami isteri muda bersama tiga adik ipar mereka, sekali gus menghancurkan harapan dan kebahagiaan sebuah keluarga yang merancang untuk berhari raya bersama sanak saudara di kampung.
Hasrat Bertemu Saudara, Bertukar Duka
Mangsa-mangsa yang maut menaiki kereta jenis Perodua Bezza dan dalam perjalanan ke rumah bapa saudara mereka di Jerantut bagi menghadiri kenduri korban keluarga. Mereka ialah Muhammad Ikmal Ishak, 26, pemandu kenderaan dan suami kepada Nur Arfiqah, Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23, isteri Ikmal dan tiga adik Nur Arfiqah iaitu Mohammad Zulkifli Aziz Jaafar, 21, Mohamad Azizul, Hakimi Aziz Jaafar, 19 dan Nurul Hazwani Aziz Jaafar, 17
Kemalangan berlaku sekitar jam 12.40 tengah malam apabila kereta mereka bertembung dengan sebuah Toyota Alphard. Menurut Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad, kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Naluri Ibu Yang Tidak Sedap Hati
Ibu kepada empat daripada mangsa, Zaini Noh, 52, menyatakan bahawa sejak awal dia sudah merasakan sesuatu yang tidak kena. Beliau beberapa kali melarang anak-anaknya untuk pergi, lebih-lebih lagi kerana beliau sendiri tidak sihat dan tidak dapat menyertai perjalanan itu.
“Saya cakap dengan mereka, kalau mak tak pergi, tak payahlah pergi. Tapi mereka bersungguh-sungguh sangat nak pergi.”
Namun dek keinginan untuk bersama keluarga dan menyertai kenduri korban yang dianjurkan oleh bapa saudara mereka, mereka tetap meneruskan perjalanan. Saudara-mara lain termasuk anak bongsu pasangan itu telah bertolak sehari lebih awal menaiki dua lagi kenderaan.
Pertemuan Terakhir Yang Penuh Senyuman
Kali terakhir Zaini melihat anak-anaknya ialah pada hari Selasa, apabila mereka datang mengambil barang sebelum bertolak. Mereka semua kelihatan ceria, tanpa menunjukkan sebarang petanda akan berlaku sesuatu yang buruk.
Beliau mengingati kisah yang diceritakan oleh rakan-rakan arwah anaknya, bahawa anak ketiganya, Mohammad Zulkifli, sempat membelanja 10 orang kawannya makan nasi bungkus sebelum bertolak. Tindakan itu kini menjadi kenangan terakhir yang amat menyentuh hati mereka yang mengenalinya.
“Saya tengok mereka semua ceria masa kali terakhir jumpa… saya tak sangka itu kali terakhir.”
Status WhatsApp Jadi Petanda
Abang kepada Muhammad Ikmal, Muhammad Ridzuan Ishak, 33, masih terkesan dengan apa yang dilihatnya pada malam kejadian. Sekitar jam 10 malam, beliau sempat melihat status WhatsApp adiknya yang berbunyi:
“Itulah jalan pertama dan terakhir akan dilaluinya.”
Kata-kata itu yang pada mulanya dianggap biasa, rupa-rupanya menjadi petanda bahawa perjalanan malam itu adalah yang terakhir buat mereka berlima.
Ridzuan yang bekerja sendiri berkata, kali terakhir dia bertemu adiknya adalah pada hari Rabu, ketika semua adik-beradik berkumpul di Taman Malar, Tambun, Perak. Ia merupakan pertemuan yang tidak disangka akan menjadi kali terakhir mereka berjumpa.
“Arwah memang periang dan sangat disenangi keluarga. Saya tergamam bila terima berita.”
Berita Yang Merentap Jiwa
Berita kemalangan diterima keluarga dalam suasana yang sangat mengharukan. Ridzuan menerima panggilan telefon daripada abang kepada isteri adiknya sekitar jam 1.30 pagi. Pada mulanya beliau tidak percaya, namun setelah mendapat penjelasan, hatinya luluh dan tidak mampu berkata apa-apa.
Sementara itu, Zaini dan suaminya menerima berita itu melalui jiran mereka yang menghubungi dan memberitahu tentang kemalangan. Namun, berita sebenar bahawa semua anaknya telah meninggal dunia hanya diketahui kemudian. Detik itu menghancurkan hati seorang ibu yang baru sahaja melihat anak-anaknya ceria beberapa jam sebelumnya.
“Jiran telefon, kata anak eksiden, tetapi dia tak cakap lagi pasal meninggal. Dah lama lepas itu baru kami tahu semua dah tak ada.”
Keadaan kereta Perodua Bezza dinaiki mangsa selepas terbabit kemalangan dengan MPV di Jalan Jerantut Feri, Jerantut pada Sabtu.
Pengebumian Di Kampung Halaman
Pada mulanya, keluarga bercadang mengebumikan jenazah di Tambun, namun atas permintaan keluarga mentua arwah, jenazah kelima-lima mangsa akhirnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Selat, Bota Kanan, Perak.
Solat jenazah dilakukan di Masjid Jamek Bota Kanan pada hari Sabtu, dalam suasana penuh pilu. Sanak saudara, rakan-rakan dan penduduk setempat hadir memberi penghormatan terakhir kepada lima insan yang pergi serentak dalam tragedi yang menyayat hati ini.
Reda Dalam Kepiluan
Kini, Zaini dan suaminya hanya tinggal dua orang anak, anak sulung dan anak bongsu. Walaupun berat, mereka memilih untuk reda dengan takdir Tuhan.
“Apa saya boleh kata… saya reda,” ujar Zaini dalam esak tangis yang ditahan, menunjukkan ketabahan luar biasa seorang ibu yang kehilangan hampir seluruh isi rumahnya dalam sekelip mata.
Seorang wanita ditemukan maut tergantung di kipas siling di rumahnya di Kulim selepas dipercayai membunuh anak perempuannya berusia empat tahun akibat tekanan emosi. Kes tragis ini disiasat mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan.