
Isi Kandungan
TogglePerbalahan perkara biasa bagi kita sebagai insan yang serba kekurangan. Ini termasuklah perbalahan di kalangan adik beradik. Yang menyedihkan bila silaturahim itu terputus bertahun-tahun lamanya.
Agama Islam sangat menitikberatkan soal betapa pentingnya menjaga silaturahim. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud; “Siapa yang ingin dilapangkan rezeki dan dipanjangkan umur maka hendaklah dia menyambung tali silaturahim.”
Bayangkan perasaan mak dan ayah bila tahu anak-anak berbalah dan bermusuh antara satu sama lain. Bila dinasihat, masing-masing keras kepala. Mak ayah yang tua itu hanya mampu makan hati dengan tingkah anak-anak yang tidak lagi mahu dengar nasihat. Akhirnya dibiarkan saja.
Punca Perbalahan Hal Remeh
Dah namanya adik beradik, kadangkala perbalahan terjadi dek kerana hal yang kecil saja yang kadangkala tak masuk dek akal untuk timbulkan pertelingkahan. Contohnya bila anak ditegur oleh mak/bapa saudaranya. Si ayah dan si mak pula sentap. Rasa terpukul bila anak mereka ditegur. Mulakan mengata itu ini. Kononnya anaknya itu tak disukai.

Orang Tegur Sebab SAYANG!
Aduh. Takkan hal itu nak bergaduh kan? Kena ingat, anak-anak saudara umpama anak sendiri. Kalau anak kita ditegur oleh adik beradik kita, bermakna mereka cakna dan ambi peduli tentang anak kita. Mereka sayang anak kita. Sebab itu mereka tegur. Tak salah kan? Jadi jangan buruk sangka dengan adik beradik.
Sebaliknya, kalau orang dah tak tegur, makna mereka dah tak nak ambil peduli hal anak kita. Jadi mana yang lebih elok? Itu semua demi kebaikan anak kita juga kan?
Namun, ada juga disebabkan hal yang besar seperti melibatkan harta pusaka. Itu memang sangat rumit. Namun, sepatutnya adik beradik kena faham soal hukum hakam. Banyak silaturahim terputus angkara harta pusaka.
Tapi ingat satu perkara, takkan senang hidup orang yang rampas harta pusaka atau hak adik beradik lain. Mungkin dia Nampak ‘senang’ pada mata kasar, tapi keadaan hidupnya yang sebenar siapa tahu? Jadi, jangan ambil mudah soal harta pusaka. Rujuk pada yang arif. Jangan pakai buat hukum sendiri je ye!
Baca lagi di sini:
Adik Beradik Susah Kita Patut Tolong, Bukan Umpat Dan Pulau Mereka!
Ikuti MW di instagram:
https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Jiwa Sentiasa Tak Keruan
Takkah rasa stres bila ada perbalahan dengan adik beradik? Balik kampung, kena hadap muka dia juga. Pergi kenduri saudara mara, orang sama juga akan jumpa. Kalau pun cuba nak hindari diri, sampai bila?
Orang yang bermusuh dengan adik beradik ni, jiwanya akan rasa kacau dan ‘berat’ Seolah ada yang ‘tak lepas’. Tak tenang jiwa orang yang bermusuhan.
Buang Ego Saling Bermaafan
Nak bawa ke mana ego yang melangit tu? Tak jatuh maruah kita kalau saling bermaafan malah orang yang sanggup meminta maaf walau pun mungkin bukan salah dia, dia seorang yang sangat ‘berlapang dada’. Dia rela tepis ego demi menjaga ikatan silaturahim.
Kesimpulannya, walau atas alasan apa sekali pun, jaga silaturahim dengan adik beradik. Bermasam muka dan berbeza pendapat dan fikiran tu biasalah. TAPI jangan panjangkan ye!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Mengada, Mak Dia Sengaja Tarik Perhatian.’ Isu Rambut Kena Tobek, Jangan Komen Bukan-Bukan!

Isi Kandungan
Toggle‘Mengada-ngada, mak dia sengaja tarik perhatian.’ Isu rambut kena tobek, jangan komen bukan-bukan! Lebih baik diam dari menyakiti hati orang lain. Sehari, dua ini viral isu seorang pelajar yang ditobek rambutnya di sekolah.
Ramai menghentam tanpa memikirkan kesannya langsung. Masing-masing ada silapnya, namun isu mental illness ini jangan dibuat main.
Apa yang anaknya rasa, murung dan depress tidak boleh dianggap mangada-ngada atau manja. Sebaiknya sebagai ibu, bawalah anak berjumpa pakar agar anak mendapat rawatan sewajarnya.
Manakala sebagai netizen, jangan komen dan kecam anak ini kerana kita tak faham apa yang dilaluinya. Jangan kerana kata-kata negatif anda membuatkan anak ini semakin parah emosinya.
Mengada
Ikuti perkongsian Kheyr Hameed dan hadam baik-baik perkongsiannya:
Ramai betul kecam pelajar sekolah yang dipotong rambut tobek-tobek oleh guru disiplin. Kecam budak tu, kecam mak dia.
Betul, mak dia salah sebab tak pantau rambut anak panjang pendek.
Mak Dia Sengaja Tarik Perhatian
Cuma on part of pelajar itu yang macam frust dan murung merajuk, tolong jangan pandang enteng. Sebenarnya kes depression dan anxiety di kalangan kanak-kanak semakin tinggi.
Ada kes di Indonesia, pelajar tahun 5 yang sangat baik dan jujur, tiba-tiba dituduh sebagai pencuri oleh rakan-rakan sekelas.
Tetapi tuduhan tu sebenarnya ialah prank sempena hari jadi pelajar tersebut. Rakan-rakan memanggilnya sebagai “maling” di depan guru dan khalayak ramai.
Pelajar tersebut mengalami “shock” dan pengsan dan selepas itu bermula episod kemurungan yang teruk. Diam, murung dan enggan bercakap dan makan.
Isu Rambut Kena Tobek
Akhirnya masuk ke rumah sakit. Pelajar tersebut menghembuskan nafas yang terakhir tidak lama selepas dimasukkan ke rumah sakit.
Bayangkan perasaan anak ini yang menjadi pengawas dan tidak pernah dihukum di khalayak ramai. Dikatakan pada hari tersebut, hanya dia satu-satunya pelajar yang dihukum.
Tolong jangan rasa “Alaa mengada-ngada. Mak dia hendak marketing tarik perhatian. Nak viral.” Kalau ada rasa macam tu, lebih baik diam dan jangan tulis di komen atau media sosial.
Baca Di Sini:
Stres jika tidak dirawat akan menyebabkan sakit mental dan kemurungan?
Luaran Macam Normal, Rupanya Dalaman Tengah Bertarung Dengan KESAKITAN Itu BAHAYA
Beranak Ramai Atau Sikit Bukan Bergantung Kepada Kekuatan Mental, Tapi Itu Ketetapan Allah
Jangan Komen Bukan-Bukan!
Lebih baik sembang laki bini saja benda macam itu. Khuatir jika anak ini benar-benar kemurungan dan menjadi berat membaca komen-komen dan post-post berbaur buli oleh anda yang bergelar ibu.
Saya tidak menangkan si ibu. Tindakan yang wajar bukanlah hebahkan di media sosial, sebaliknya bincang dengan pihak sekolah dan bawa anak bertemu psikatri sebelum sesuatu lebih buruk terjadi.
Cuma saya terkilan membaca post dan komen yang mengecam pelajar ini dengan ayat yang bukan-bukan.
Mental illness di kalangan kanak-kanak adalah hal serius.
Mingguan Wanita : Mental illness di kalangan anak-anak makin teruk seperti mana di Thailand dan Singapura. Di sana, makin ramai anak-anak sekolah rendah bunuh diri disebabkan gagal dalam pelajaran atau dibuli. Kita tak mahu apa yang berlaku di luar terjadi di Malaysia.
Sumber : Kheyr Hameed
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bila Isteri Alahan Teruk, Suami Temani Dia ‘Gosok Belakangnya’, Kasihan Turun Naik Tubuhnya Menggeletar Ketika Muntah

Isi Kandungan
ToggleSetiap isteri yang mengandung, alahan yang mereka lalui berbeza. Ada yang alahan teruk, ada yang langsung tak kena alahan. Alhamdulillah, jangan pula bandingkan atau kecam kata wanita mengandung alahan tu mengada. Hmm.. tolong faham sebab ujian ibu mengandung tu berbeza.
Puan Nora Azni, isteri kepada Akhtar Syamir (BroOhsem) mengandung kali ketiga dengan alahan yang cukup dahsat. Sampai tak boleh bau masakan. Pengalaman menjaga isteri yang alahan dikongsikan suami ini.
Bukan untuk menunjuk-nunjuk, tapi mahu menunjuk cara yang dia lakukan. Semoga boleh jadi panduan untuk pasangan lain, apa nak buat bila isteri alami alahan mengandung.
Perkongsian beliau ini amat berguna kepada semua suami dan orang di sekeliling ibu mengandung yang mengalami alahan yang teruk. Jadi anda boleh faham dan bersedia apabila keadaan ini menimpa diri dan keluarga kita.
Alahan Mengandung Wanita Hamil Itu Berbeza
Benar, tidak semua wanita akan mengalami alahan mengandung dan tidak semua wanita yang mengalami alahan mengandung akan melalui pengalaman yang sama. Ada yang tidak begitu serious ( loya sedikit, muntah di pagi hari sahaja dan hanya sebulan dua ) dan ada yang betul – betul teruk sehinggakan ia memberi kesan kepada semua yang berada di sekeliling ibu mengandung tersebut.
Jadi, jika semasa anda (ibu) mengandung dan tidak mengalami alahan yang teruk, janganlah memandang serong kepada wanita yang mengalami alahan yang teruk kerana apa yang mereka lalui tidak sama dengan anda.
Anda patut bersyukur kerana perjalanan anda dipermudahkan. Dan janganlah anggap mereka ini manja, mengada – ngada dan sengaja berlakon yang mereka itu sakit kerana alahan mengandung ini bukanlah perkara yang ringan. Saya pernah baca komen follower saya yang beliau pernah alahan yang amat teruk sehingga keguguran.
Perlu juga tahu yang alahan yang teruk ini mungkin tidak terjadi semasa mengandungkan semua anak. Kadang – kala anak pertama dan kedua alahannya sederhana, tapi anak ketiga alahan mengandungnya amat teruk. Jadi bersedialah dari awal.
Ini Yang Isteri Lalui Semasa Alahan Mengandung
Loya Tekak
Kita mungkin biasa tengok orang mengandung makan asam atau apa – apa makanan yang masam. Ini kerana tekak mereka loya. Makanan jadi tiada rasa dan memualkan. Jadi mereka perlukan benda yang masam untuk bagi ada rasa dalam mulut dan tekak.
Nampak macam biasa je kan? Tapi masalah datang bila mereka jadi tak ada selera untuk makan. Kalau orang macam saya tiada selera makan itu bagus, tapi untuk ibu mengandung, tiada selera makan itu satu masalah.
Ini kerana anak dalam kandungan itu perlukan zat untuk berkembang dan ibu itu sendiri perlukan zat harian untuk berfungsi sebagai manusia normal.
Bila tiada zat dan tenaga yang masuk, mereka juga akan menjadi lemah. Bayangkan radio yang kekurangan bateri, bunyinya semakin lemah dan meleret. Itulah perumpamaan keadaan tenaga mereka bila kerap tak makan.
Dalam kes saya, isteri langsung tidak ada tenaga untuk berdiri lama. Hanya terlentang di katil dan terpaksa menggunakan seluruh jiwa raga untuk bangun ke tandas dan melayan muntah yang sentiasa datang.
Muntah
Ini perkara biasa pada mulanya. Setiap pagi akan muntah. Ubat gigi akan jadi musuh. Berus gigi akan jadi lawan. Tapi, lama kelamaan ia akan menjadi semakin bermasalah. Muntah ni keluarkan isi perut. Jadi pada mulanya perut masih banyak isi kerana loya masih tak kuat.
Namun, lama – kelamaan oleh kerana si ibu tidak makan, apa lagi yang akan keluar bila muntah? Air. Itu sahaja yang akan keluar. Dan apabila tiada apa lagi yang mampu keluar dari badan tetapi masih muntah, tekak akan mula sakit, perut akan mula sakit satu badan dari depan sampai belakang, atas sampai bawah akan sakit dan lenguh yang amat sangat.
Jika anda alami perkara yang sama seperti yang saya gambarkan ini, saya amat bersimpati dengan anda.
Deria Yang Terlebih Sensitif
Bau itu tak boleh, bau ini tak boleh. Anda baru masak air dalam periuk kecil, ibu mengandung dah dapat bau hangit kat bawah periuk kecil tu. Sedangkan bagi orang biasa, kita tak bau pun benda tu. Jadi, apa juga aktiviti dapur akan jadi terbatas.
Kerana hidung mereka jadi “super sensitive” dan percayalah yang tiada satu bau pun yang ok. Semuanya busuk. Dan jangan terkejut bila isteri tak suka bau badan suami. Walaupun semasa tak mengandung isteri boleh tidur bawah ketiak suami sepanjang malam. Bertabahlah ye.
Emosi Yang Terganggu
Jika deria bau mereka terlebih sensitif, perasaan mereka juga terlebih sensitif. Ibu mengandung akan mudah marah, mudah sedih, mudah terasa dan lain – lain lagi.
Adalah amat penting semua yang berada di sekeliling memahami situasi ini supaya keadaan tidak akan menjadi buruk seperti perbalahan dan makan hati sesama ahli keluarga.
Kesihatan Yang Tidak Baik
Ibu mengandung akan terdedah kepada bermacam penyakit yang selama ini jarang sangat datang. Contohnya demam, batuk sakit badan dan jangkitan kuman. Kebanyakannya datang apabila tiada zat makanan yang masuk dan menjadikan antibodi mereka lemah.
Bayangkan masalah muntah bercampur dengan batuk dan demam. Hanya yang mengalami je tau betapa lemahnya fizikal dan mental ibu mengandung tersebut dan pasangan yang di sisi mereka.
Pengalaman saya? Sehingga isteri dimasukkan wad kerana kuman di dalam darah yang amat tinggi sehingga isteri mengalami kesukaran untuk bernafas. Betul – betul cemas ketika itu.
Ini adalah 5 perkara paling penting yang dilalui oleh ibu mengandung dan bagi yang terkena alahan yang teruk, 5 perkara ini menjadi berkali – kali ganda teruknya.
Wahai Suami Layanlah Emosi Isteri Alahan Teruk Macam Ini
1. Redha dengan keadaan yang berlaku ini. Kena terima dengan hati yang terbuka. Kita sedang diuji kali ini. Kita perlu bersyukur kerana ia terjadi, kerana ada suami isteri tak pernah diuji sebegini kerana mereka tidak ada rezeki untuk dapat zuriat.
Jadilah suami yang positif, fikirkan hadiah yang kita sekeluarga akan dapat apabila kita berjaya harungi benda ini nanti. Seorang anak penyambung keturunan kita.
2. Sabar. Saya tak dapat nak tekankan dalam bertulis sebesar mana pentingnya anda perlu bersabar bila melalui masa ini. Kena sabar bang. Untuk anak ketiga ini saya dua tiga kali tertunduk dan terduduk. Saya telah berikan segalanya tapi masih tidak cukup kaki dan tangan saya untuk menguruskan isteri dan anak – anak.
Anda akan rasa penat, anda akan rasa kecewa, anda akan rasa marah. Jadilah suami yang baik, jeritlah sambil bantal ditutup di muka. Lepaskan semuanya di situ. Jangan lepaskan kepada anak dan isteri. Biar mereka nampak kita kuat, kita positif kerana hanya kita tempat mereka berharap. Tiada yang lain.
Tanggungjawab seorang ketua keluarga bukan boleh diberi kepada sesiapa. Hanya yang kuat sahaja yang akan diamanahkan untuk menjaga keluarga. Pegang amanah itu, pegang tanggungjawab itu dengan erat. Tabahkan hati dan bersabarlah.
Buanglah segala ego yang ada jauh – jauh. Isteri anda akan bersalin nanti, anda tidak akan dapat rasai betapa itu beribu – ribu kali ganda lebih sakitnya dari apa yang kita lalui sekarang.
3. Ganti tempat isteri dalam menguruskan rumah dan keluarga. Dapur, baju, rumah. Ini 3 elemen penting dalam pengurusan rumah yang isteri kita dah berada di tahap tertinggi sehinggakan kita tak sedar apa yang mereka dah buat. Buat suami, biasa tak kita tanya isteri, “baju I mane ye?”. Kita hanya nampak baju. Tapi sebenarnya ada beberapa peringkat sebelum baju tu tersedia untuk seorang suami pakai.
Pertamanya baju itu perlu dibasuh, kedua disidai, ketiga dilipat dan akhirnya digosok untuk menjadikannya tersedia. Kita sering tak sedar benda ni. Kita nampak baju je. Proses dia kita tak nampak.
Masuk bab makanan pun sama. Penyediaan bahan masakan, masak, hidang dan kemas serta basuh pinggan. Dan jangan lupa, sesi memberi anak makan yang sebelum ini kita tak peduli sangat pun. Sedar – sedar je anak dah kenyang kan?
Jadi bila kita sebagai suami nak ganti peranan isteri, kita akan terkejut. Semua proses itu datang sekaligus. Tangan dua tak cukup. Kaki dua tak cukup. Otak satu tak cukup. Masa tak cukup. Tenaga tak cukup. Rehat tak cukup. Tidur tak cukup. Duit pun jadi tak cukup.
4. Pengawalan stress / tekanan. Memang kita sedia maklum, lelaki lebih baik dalam menguruskan tekanan. Tetapi bila dalam keadaan ini, kita akan tercabar. Kita tidak biasa berada di luar kawalan. Lelaki selalunya dapat mengawal keadaan.
Tapi bila semuanya di luar kawalan, isteri sentiasa sakit, anak sekolah tak terurus, anak kecil tak terjaga, rumah yang dah 2 kali masuk surat khabar sebab deko yang menarik pun, dah jadi tongkang pecah, dapur dah terbalik macam kat dapur kedai tomyam bila nak tutup kedai dan semuanya terjadi serentak, dan kita kena pergi kerja pulak.
Saya sebenarnya hampir gagal mengawal tekanan ini. Ini perkara yang serious. Lelaki yang hilang pertimbangan adalah lelaki yang berbahaya. Ada yang give up terus dan lari. Kepada isteri. Cubalah tenangkan suami anda. Peluk. Peluk. Peluk. Kami perlu diingatkan yang segalanya pasti berbaloi nanti.
5. Pengurusan kewangan. Akan menjadi teruk. Ketirisan yang banyak bakal berlaku. Kadang – kala kita tak dapat kawal langsung. Isteri teringinkan itu ini. Kita kena beli juga kerana dia dah tak makan berhari – hari. Nak masak, kita memang tak selalu sempat.
Di tambah pula dengan isteri yang tak boleh bau masakan. Anak – anak perlu makan. Nak tak nak, banyak duit akan dikeluarkan untuk membeli makanan setiap hari. Saya hanya dapat bagi bayangan apa yang berlaku, saya tak dapat nak nasihat macam mana nak uruskan kewangan pada masa tu kerana saya sendiri gagal. Hahaha..
6. Jaga hati anak – anak. Mereka tak faham. Mereka kecil lagi. Kita kena jaga perasaan mereka. Cuba beri terangkan kenapa ibu mereka sebegitu. Kenapa papa dan mama tiada masa yang cukup untuk melayani mereka dan kenapa kadang – kala mereka dimarahi tanpa ada sebab yang kuat.
Pada masa ini juga kebarangkalian mereka akan tunjukkan sedikit pemberontakan jiwa. Dalam erti kata lain, buat perangai. Kita yang tak cukup masa untuk semua benda, terpaksa mengadap dinding yang diconteng, baju sekolah yang kotor sangat dan macam – macam lagi.
Mereka sebenarnya perlukan perhatian dan kasih sayang. Cubalah sehabis baik melayan anak – anak. Mereka amat memerlukannya kerana ibu mereka tidak dapat melayani mereka seperti selalu.
7. Yang paling penting, jaga isteri. Mereka mabuk, loya, penat dan segala – galanya. Pastikan anda sentiasa berada di samping mereka kerana kita amat di perlukan. Nak bangun, mereka perlukan bantuan kita.
Bila mereka muntah, tolonglah gosok belakang isteri kita. Lihatlah sendiri bagaimana badan isteri yang turun naik dan menggeletar akibat muntah yang teruk. Air mata yang terkeluar akibat menahan keperitan muntah. Air di hidung yang keluar kerana tiada lagi kawalan badan.
Letaklah diri di tempat isteri. Mereka sedang sakit. Bantulah mereka. Beri galakan dan kata – kata positif. Mungkin ada yang boleh terima. Mungkin ada suami yang kena tolak terus sebab jiwa mereka tengah kacau. Jangan pulak kita melenting.
Dan yang paling penting, jangan tambah beban kepada mereka. Permudahkanlah urusan mereka. Cari cara untuk mudahkan mereka bergerak, bantu mereka mandi. Syampukan rambut, sabunkan badan. Kadang – kala mereka terlalu lemah untuk buat perkara asas sebegitu.
Sentiasa juga tanya apa lagi yang boleh dibantu, apa yang mereka mahukan dan perlukan. Mungkin kita tak tahu pada masa itu. Tapi isteri kita amat – amat menghargai apa yang sedang kita lakukan untuk mereka.
Pengalaman Ini Mengubah Saya Sampai Jadi Begini..
Kepada yang telah baca sehingga ke tahap ini, terima kasih saya ucapkan. Semoga anda dapat rasakan apa yang telah saya lalui dan dapat lebih memahami situasi alahan mengandung ini.
Apa yang saya dapat dari pengalaman ini, saya jadi suami yang lebih baik dan ayah yang lebih baik buat anak – anak. Keluarga kami jadi lebih rapat dan rumah jadi lebih aman dan teratur kerana suami sendiri pun dah pandai mengemas dan membasuh. Hehehe..
Semoga bermanfaat kepada semua. Semoga kehidupan kita sekeluarga lebih manis dan harmoni kerana kita saling faham memahami.
Silakan follow saya dan isteri, Nora Azni di facebook dan instagram. Doakan semuanya selamat dan dipermudahkan ye. Due pada 20 Oktober 2018 nie.
Nota : Artikel ini saya ( Akhtar Syamir / BroOhsem ) tulis sendiri berdasarkan pengalaman saya sendiri. Jika ianya berbeza dengan apa yang anda lalui, ambillah yang positif sahaja.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tak Susah Pun Untuk Jadi Wanita Hebat. Ini 5 Cara Yang Anda Patut Lakukan

Hendak jadi wanita hebat tidaklah sukar seperti yang disangka. Sesiapa sahaja boleh menjadi wanita hebat jika tahu caranya. Mungkin anda boleh ikut beberapa tip ini dan menjadi seorang wanita hebat.
1-Dapatkan sinar.
Jika anda kelihatan cantik, anda akan rasa cantik. Tidak ada perkara lain yang boleh menyebabkan anda cantik melainkan kulit wajah yang bersih, bersinar dan segar. Sesetengah produk kulit amat mahal. Untuk berjimat, anda boleh elak beli produk berjenama dan buat sendiri rawatan penjagaan kulit wajah sendiri. Sebagai contoh, gunakan yogurt sebagai masker yang ditampal pada wajah selama 20 minit.
2-Keseronokan bekerja.
Jika setiap hari Isnin anda rasa amat sukar untuk pergi bekerja, sudah tiba masanya mendapatkan kerja yang disukai. Dianggarkan setiap tahun setiap orang akan menghabiskan masa lebih kurang 1800 jam di tempat kerja. Ramai wanita masih kekal melakukan kerja yang mereka kurang suka kerana mereka tidak tahu apa sebenarnya yang mahu mereka buat. Bagi mengenalpasti apa kerjaya yang sesuai dengan diri, boleh buat senarai 10 perkara yang anda suka buat. Setelah anda menemui kerjaya baru itu, anda perlu berani mengambil keputusan menceburinya kerana ganjaran yang menunggu amat berbaloi.
3-Panahan cinta.
Jika teman lelaki anda sentiasa menghampakan dan membuatkan diri tidak gembira, mulalah fikir secara serius sama ada dia berbaloi. Walaupun semua orang perlukan Putera Impian namun perhubungan adalah dalam kawalan anda sendiri. Jika ia tidak berhasil seperti yang diharapkan, anda perlu keluar daripada perhubungan itu. Hidup ini amat singkat. Jika anda masih bujang dan mencari The One, anda perlu bersifat terbuka. Tetapi sebelum anda mencari teman lelaki, pastikan anda berada dalam keadaan gembira, sihat dan yakin. Jangan bergantung pada lelaki sahaja untuk mendapatkan perkara ini kerana anda pasti tidak akan mendapatkannya. Anda perlu berada dalam keadaan positif untuk menarik lebih ramai ramai lelaki positif.
4-Carilah BFF
Kawan baik atau BFF kadangkala tidak ada yang berkekalan. Kawan akan datang dan pergi. Secara fizikal atau emosional, amat sukar untuk mencari pengganti. Bagi mencari kawan baru, anda perlu keluar bersosial. Jika dijemput menghadiri sebarang majlis, jangan berdiam diri seperti tunggul kayu. Bersembanglah dan bergaul dengan tetamu lain. Menjadi seorang sukarelawan juga adalah satu cara untuk mencari kawan baru. Bersikap jujurlah dalam mencari kawan wanita. Wanita kerap kali berasa sukar untuk bersikap mempercayai kawan-kawan mereka. Beritahu ada sebarang masalah atau isu berbangkit. Jika kawan-kawan ini berbaloi, mereka akan tetap bersama anda dan menyelesaikannya bersama-sama.
5-Gunakan masa.
Masa adalah musuh anda. Satu cara untuk melawannya adalah menjadi teratur. Mulalah dengan mengurangkan masa terhadap perkara yang lebih mengambil masa seperti memasak. Masak hidangan dalam kuantiti banyak apabila anda ada masa lebih dan kemudian sejuk bekukan makanan tersebut. Cara ini akan memudahkan anda menyediakan makanan dengan cepat pada hari berikutnya. Perkara seterusnya yang boleh anda lakukan adalah melakukan perkara yang anda suka. Masa amat berharga untuk dibazirkan. Jadilah seorang yang mementingkan diri sendiri dan guna masa lapang untuk melakukan perkara yang anda suka.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI