Semua mak ayah mengharapkan perangai anak-anak yang elok dan tidak mendatangkan masalah. Namun realitinya anak-anak ini perangainya tak sama, ada yang jenis boleh duduk diam di kedai makan, ada yang jenis suka berlari-lari satu kedai dan macam-macam gayalah!
Namun mak-mak kena banyak bersabar dan jangan cepat melatah terus lantun perkataan negatif disebabkan tak sabar dengan karenah anak. Haaa… macam mana nak berdepan dengan situasi ini, baca perkongsian ilmu daripada Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK), Puan Noor Afidah Abu Bakar…
Perangai Anak-anak
Anak-anak dilahirkan dengan sifat semulajadi yang membezakan setiap seorang daripada mereka. Kadang-kadang apabila kita membanding-bandingkan mereka, secara tidak sengaja kita menggunakan label yang ‘negatif’ sebagai diskripsi diri mereka contohnya malas, kedekut, lembap, lembik, serabut, cemerkap, degil, buas dan bermacam-macam lagi kosa kata negatif yang sudah sebati dalam masyarakat.
Adakalanya kita menggunakan label negatif ini dengan tujuan untuk memotivaasikan anak supaya anak berubah. Ini adalah kaedah yang salah.
“A child will behave better when the child feels better”.
Seorang anak akan berkelakuan baik jika dia merasa senang dengan dirinya dan bukannya dengan merasakan dirinya tidak berguna.
Kepercayaan dan konsep diri seorang anak terbentuk sejak anak berusia lingkungan 5 tahun lagi. Jika label negatif ini diberikan oleh individu yang terdekat dan dipercayai oleh anak, anak akan percaya dengan label tersebut dan akan merasakan diri tidak mempunyai harapan untuk berubah. Berpandukan label-label ini, anak akan percaya apa yang diperkatakan tentang dirinya.
“Itulah saya!”
Lihatlah pembawaan anak dari kaca mata yang positif. Gunakanlah label yang positif untuk menerangkan tentang anak tersebut apabila berada di hadapan anak dan apabila menceritakan perihal anak kepada orang lain di hadapan anak. Ini bukanlah bermakna anda perlu bercerita berlebih-lebihan tentang anak sehingga membosankan orang lain.
‘Be realistic’.
TUKARKAN LABEL:
1) BUAS KEPADA BERTENAGA
Semua kanak-kanak mempunyai banyak tenaga. Malah kita perlu memupuk keupayaan fizikal anak sehingga boleh mencapai tahap yang maksima kerana perkembangan fizikal adalah penting untuk perkembangan-perkembangan yang lain.
Walau bagaimanapun sesetengah anak mempunyai tenaga yang lebih berbanding anak yang lain. Mereka dilahirkan dengan keupayaan fizikal yang berbeza dan luar biasa. Bagi anak yang sebegini, ibubapa perlu membantu anak menyalurkan tenaganya melalui saluran yang betul.
Jika anak suka memanjat, bawalah dia ke taman permainan atau pusat rekreasi yang sesuai. Tahukah anda semua kanak-kanak mempunyai kecenderungan fizikal untuk memanjat, berguling, melompat, dan berlari? Itu sifat yang normal pada kanak-kanak. Jika kecenderungan ini tidak dibimbing dengan betul, sudah tentulah dia melompat atas sofa rumah atau memanjat gril pintu rumah.
Ads
Marah atau menengking tidak akan menyelesaikan masalah tersebut. Makin dihalang makin dibuatnya. Lebih membahayakan jika anak memanjat apabila kita tidak melihatnya. Ibubapa yang bijak dan kreatif tahu bagaimana mempositifkan setiap cabaran dan situasi supaya dapat dimanfaatkan oleh anak. Ibubapa yang bijak akan melengkapkan diri dengan ilmu perkembangan kanak-kanak kerana mereka ingin memahami kenapa tingkah laku anak mereka sedemikian. Ibubapa yang bijak akan berfikir, “Adakah anak saya mempunyai kecerdasan kinestetik tubuh badan?”
2) SUKA BERKHAYAL KEPADA KREATIF
Keperluan yang penting bagi anak yang suka berkhayal adalah pensil, kertas, blok binaan, berus, warna, kertas lukisan, dan alat muzik.
Mereka selalunya memiliki kecerdasan bahasa atau linguistik, kecerdasan visual atau artistik, atau kecerdasan muzik. Kenalpasti apakah yang mengisi khalayan mereka dan beri anak-anak ini peluang untuk meluahkannya melalui saluran kreativiti. Beri anak peluang untuk meluahkan apa yang dikhayalkan. Mungkin mereka memikirkan satu inovasi atau falsafah yang boleh mengubah dunia satu hari nanti.
Apa yang penting adalah memastikan masa yang diambil untuk anak berkhayal tidak berlanjutan sehingga mengabaikan rutin harian yang perlu dilunaskan. Biarlah khayalan itu ada kandungan dan batasannya.
Kenalpasti potensi anak melalui tingkah laku anak yang mungkin tidak menyenangkan kita. Lihatlah potensi itu sebagai satu kelebihan anak yang harus dipupuk. Jika kita mencari dan melihat yang positif, maka positiflah yang akan kita jumpa sebaliknya jika ia dilihat sebagai negatif, kita akan gagal untuk menyaring potensi anak.
3) DEGIL KEPADA TEGAS (ASSERTIVE)
Satu sifat penting yang perlu ada pada anak-anak kita adalah ‘assertive’. Anak yang ‘assertive’ adalah anak yang teguh mempertahankan pendiriannya dan tidak mudah dipermain-mainkan oleh orang lain.
Anak yang kita labelkan sebagai degil merupakan seorang yang kental apabila berhadapan dengan cabaran dan mempunyai percaya diri yang tinggi.
Bagi anak yang sebegini, peraturan memainkan peranan yang sangat besar untuk memastikan mereka degil bertempat. Ibubapa tidak boleh menjadi permisif iaitu mengizinkan apa saja yang ingin dilakukan anak. Batasan perlu diwujudkan untuk memastikan mereka selamat dari segi fizikal dan mempunyai pemikiran dan amalan yang bersesuaian dengan nilai dan budaya. Tanpa peraturan, anak ini boleh menjadi degil yang biadap dan tidak kena tempat.
Ads
Pemikiran mereka harus diasah dan dipupuk supaya mereka berupaya menjadi seorang yang tegas dengan prinsip yang dipegang.
Anak yang ‘assertive’ ini perlu dipuji dan sifat mereka harus digalakkan lagi kerana itulah diri mereka.
Beri mereka peluang untuk membuat keputusan kerana peluang yang sebegini akan membantu memperkayakan proses pemikiran mereka.
Bagi anak yang sering berbeza pendapat dengan kita terutamanya yang sudah remaja, itu adalah perkembnagan yang normal kerana peringkat pemikiran mereka melangkah ke tahap ‘Formal operational stage’ dari ‘Concrete operational stage’. Mereka berupaya untuk menganalisa dan mengamati sesuatu yang abstrak.
Jika mereka ‘assertive’, bekalkan mereka dengan adab kiranya tidak bersetuju dengan sesuatu pendapat dan bimbinglah mereka dengan adab untuk berdebat secara berhikmah.
Anak-anak sebegini perlu dilatih untuk mempunyai empati yang tinggi supaya dapat menjadi seorang individu yang mempertahankan hak dan maruah orang lain yang ditindas dalam masyarakat.
4) KEDEKUT KEPADA BERJIMAT-CERMAT
Usah terlampau ringan mulut melabelkan anak sebagai seorang yang kedekut jika amalan berbelanja anak tidak sama seperti diri kita. Mungkin anak mempunyai tafsiran yang berbeza tentang berbelanja dan berkongsi. Ingatlah anak-anak bukan kita. Ramai kanak-kanak yang suka menabung walaupun tanpa disuruh oleh ibubapa. Sifat itu seakan-akan lahir dengan sendirinya dalam diri anak. Inilah yang dinamakan pembawaan. Mereka lahir dengan sifat sebegitu walaupun ayah dan ibu adalah dari kalangan mereka yang suka berbelanja tanpa batasan. Mungkin juga anak belajar dari ibubapa dan bertekad mahu mengamalkan sesuatu yang berbeza.
Individu yang berjimat cermat sifatnya tidak membazir. Dia berbelanja untuk keperluan dan bukannya kemahuan semata-mata. Dia berjaya mengekang keinginan untuk memiliki sesuatu dengan ‘delayed gratification’. Dia sabar menunggu ganjaran.
Latihlah anak-anak ini untuk memberi dan menyumbang kepada mereka yang memerlukan. Latih mereka membantu dengan apa saja kelebihan yang dimiliki.
Melabel mereka dengan label ‘kedekut’ hanyalah satu penghinaan buat anak ini kerana mereka mempunyai agenda mereka yang tersendiri. Cuba fahami agenda mereka walaupun ia mungkin bertentangan dengan agenda kita. Ada pelbagai sebab manusia berjimat cermat.
Ads
5) PEMALU KEPADA BERHATI-HATI
Jika dilihat pada otak mereka, anak yang pemalu mempunyai aktiviti yang lebih pada otak kanan mereka. Mereka lebih cenderung kepada aspek kreativiti dan aestetik. Mereka mengambil masa untuk menyesuaikan diri, tidak selesa dalam situasi yang baru dan selalunya sangat sensitif. Mereka berbeza daripada anak-anak yang mudah berkawan dan sesuaikan diri. Mungkin mereka bukan ‘ekstrovert’ seperti ibubapa, namun itu tidaklah bermakna mereka tidak berupaya untuk keluar menyumbang dalam masyarakat. Terimalah diri mereka seadanya.
Ibubapa perlu mengingatkan diri sendiri bahawa anak-anak ini adalah pemerhati yang sangat baik. Itu kelebihan mereka. Anak-anak ini mendekati orang lain dan menyesuaikan diri dengan sesuatu situasi dengan lebih berhati-hati. Mereka tidak terburu-buru dalam mengambil keputusan. Itu juga adalah satu kelebihan. Anak memerlukan peluang untuk melatih diri sendiri untuk lebih ke hadapan. Ramai anak yang pemalu dan tidak banyak bercakap tetapi mereka berupaya berada di atas pentas apabila perlu tanpa sebarang ketakutan.
Mereka memerlukan kaedah latihan yang berbeza. Ibubapa haruslah kreatif dan tidak memaksa mereka untuk menjadi seperti anak yang lain. Paksaan hanya akan meletihkan mereka dan membuatkan mereka berputus asa kerana merasakan diri gagal. Dengan memberi penekanan kepada kelebihan anak, anak akan lebih yakin dengan diri sendiri.
6) CEREWET KEPADA MEMPUNYAI CITARASA
Setiap individu mempunyai citarasa yang berbeza-beza. Kita tidak boleh memaksa seseorang untuk menyukai sesuatu yang kita suka. Anak-anak yang cerewet dalam memilih sesuatu adalah anak yang mempunyai citarasa dan gaya yang tersendiri. Mereka mungkin lebih kreatif atau menilai sesuatu dari kaca mata yang berbeza daripada kita. Mungkin juga cara berfikir mereka dan persepsi mereka berbeza. Gaya pembelajaran mereka juga mungkin berbeza daripada orang lain. Perbezaan ini tidaklah menjadikan anak itu anak yang tidak baik. Fahami pemikiran anak tersebut dengan banyak bersoal jawab dan berinteraksi dengan anak.
Jika perspektif mereka cuba untuk difahami, dan berlakunya toleransi dua hala, anak akan menjadi lebih terbuka untuk menerima pilihan dari perspektif orang lain. Anak yang cerewet tentang pemakanan perlu dilatih dengan adab supaya bersyukur dengan rezeki yang ada. Dengan itu walaupun makanan itu bukannya citarasa anak, dia tetap menjamahnya kerana perspektifnya telah berubah.
Anak yang cerewet ini selalunya sukar untuk menjadi seorang pengikut atau ‘follower’ secara membabi buta. Mereka tidak ada sindrom FOMO (Fear Of Missing Out) atau takut ketinggalan berbanding orang lain kerana citarasa mereka berbeza. Lihatlah sifat ini sebagai satu kelebihan pada diri anak.
KESIMPULANNYA
Ibubapa perlu positif dan kreatif dalam menilai sifat semulajadi anak. Lebih mudah untuk anak membina jati diri dan keyakinan diri apabila label yang digunakan untuk menerangkan tentang anak adalah sesuatu yang positif seperti kreatif, bertenaga dan berprinsip. Perkataan yang menggambarkan imej yang positif akan menjadi benteng dan memberi kekuatan untuk anak dalam menangkis pengaruh yang negatif. Anak yang sayangkan diri sendiri kerana kekuatan yang dimilikinya tidak akan merosakkan diri sendiri dengan tingkah laku dan pengaruh yang tidak sepatutnya.
Dengan menukar label ini kita memfokuskan pada kebaikan dan kekuatan dalam diri anak berbanding kelemahan yang dimilikinya.
Didik anak untuk melihat kekuatan pada diri orang lain dan mengagumi kelebihan orang lain juga. Ini dapat menghindari anak dari sifat cemburu dan iri hati yang hanya akan membawa kepada tabiat buli dan memakan diri.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Melatih anak kecil berpuasa kenalah hadirkan perasaan seronok dalam diri anak-anak. Kefahaman inilah yang mak ayah perlu terapkan dalam diri anak. Sebab itulah perlu terangkan pada anak-anak kenapa pentingnya berpuasa ini.
Boleh ikut cara didikan solat yang Rasulullah SAW ajar iaitu secara berperingkat, sesuai dengan kemampuan anak. Paling penting, kejutkan anak-anak bangun bersahur agar anak-anak bertenaga sepanjang hari berpuasa.
Terangkan betapa pentingnya bersahur serta pengambilan makanan dan minuman berkhasiat bagi membekalkan nutrien yang mencukupi untuk mereka. Selagi belum mencapai usia 10 tahun, anak-anak masih perlu mengambil formulasi susu tepung yang mengandungi vitamin dan mineral. Jangan lupa pujuk mereka untuk makan kurma juga.
Ketika waktu berbuka pun penting, untuk mengambil makanan dan minuman berkhasiat agar bertenaga dan tidak mengantuk sewaktu mengerjakan solat terawih bersama keluarga.
Setelah anak faham rutin berpuasa, terangkan juga pengisian 30 hari berpuasa itu dengan amalan-amalan yang baik.
Jangan Paksa Anak, Berikan Masa
Paling penting, mak ayah jangan paksa anak. Jika tiba-tiba anak kecil anda mengadu lapar dan mahu makan pada jam 12 tengah hari. Maka, berikan saja dia berbuka puasa. Tetapi, jangan sesekali buat anak berputus asa dengan berpuasa. Terangkan juga, esok anak perlu mencuba lagi berpuasa sehingga jam 1 tengahari. Dan begitulah seterusnya.
Sebaiknya mak ayah lewatkan waktu bersahur anak-anak. Ini pun sunnah juga, melambat-lambatkan waktu bersahur. Tidaklah nanti anak berasa letih teramat. Lagi dekat waktu nak imsak itu lebih baik lagi.
Minta Anak Buat Aktiviti Bantu Ibu
Berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Ia lebih daripada itu. Kenalah terangkan dekat anak ya. Jangan biasakan tidur sepanjang hari. Itu dah lari dari konsep asal berpuasa. Waktu berpuasa inilah kena cergas, buat benda baik seperti bantu ibu di dapur.
Kerana setiap kebaikan yang anak buat akan dapat dikumpul menjadi pahala. Tentu anak seronok mengira markah pahala yang diperoleh untuk setiap hari dia berpuasa. Katakan, bantu ibu membasuh pinggan, menyapu atau membuang sampah, ibu beri upah. Bukan mahu merasuah, tetapi untuk galakkan anak seronok berbuat kebaikan.
Ajar Anak Amalan Bersedekah
Mahu didik anak menjadi pemurah, kenalah mak ayah yang mulakan. Anak-anak melihat mak dan ayahnya sebagai idola. Jadi, setiap kali memasak untuk berbuka, cubalah untuk masak lebih. Nanti boleh sedekahkan pada jiran di sebelah rumah.
Nak lagi seronok, libatkan anak sama. Minta anak-anak yang hantarkan makanan itu pada jiran. Tentu mereka seronok berbuat baik. Begitu juga dengan memberi makan pada haiwan seperti kucing yang tiba-tiba datang ke rumah. Itu pun salah satu cara memupuk kasih sayang dalam diri anak.
Bersedekah ini bukanlah duit semata. Konsepnya luas, dan inilah yang mak ayah kena jelaskan pada anak-anak.
Kempen DUTCH LADY dengan 5X DHA* ‘Buat Baik 30 Hari Ramadan’
Seiring dengan bulan Ramadan ini, DUTCH LADY dengan 5X DHA* melancarkan kempen ‘Buat Baik 30 Hari Ramadan’. Ia sebagai sebahagian daripada galakan memupuk nilai baik di kalangan anak-anak sepanjang bulan Ramadan ini.
30 panduan berbuat baik ini diperkenalkan dalam bentuk kalendar yang cantik lengkap lukisan karikatur yang menarik. Tentu anak-anak seronok nak tanda aktiviti ‘buat baik’ yang dilakukan setiap hari.
Formulasi susu tepung rumusan untuk kanak-kanak DUTCH LADY dengan 5X DHA* ini mengandungi nutrien-nutrien penting yang diperlukan untuk membantu tumbesaran anak-anak. DHA membantu menyokong perkembangan otak. Manakala protein untuk tumbesaran dan membantu memperbaiki tisu dalam badan. Ia juga mengandungi 20 vitamin dan mineral seperti vitamin A, vitamin B2, vitamin B12, vitamin D, niacin, kalsium, zat besi, magnesium, iodin, selenium dan sebagainya.
Susu formula ini terdapat dalam pelbagai perisa untuk kategori umur DUTCH LADY 123 (1-3 tahun), DUTCH LADY 456 (4-6 tahun) dan DUTCH LADY 6+ (6 tahun ke atas).
Mak ayah yang mahu mendapatkan lembaran aktiviti ‘Buat Baik 30 Hari Ramadan Bersama DUTCH LADY 5X DHA* boleh muat turun di www.smartmoments.com.my
Jangan pula dapatkan promosi yang menarik dengan setiap pembelian DUTCH LADY dengan 5X DHA* di pasaraya Billion, Manjaku dan Mydin sepanjang Ramadan ini. Dapatkan juga sampel susu DUTCH LADY dengan 5X DHA* percuma dan info lanjut mengenai promosi di www.smartmoments.com.my
Ini Kalender Buat Baik 30 Hari Ramadan Bersama DUTCH LADY 5X DHA*
DUTCH LADY dengan 5X DHA* Pilihan Lebih Bijak
*5X DHA : Berbanding dengan susu tepung rumusan untuk kanak-kanak yang
terdahulu (Tahun 2009).
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sibuk macam mana pun, ibu ayah wajib pantau perkembangan anak setiap hari. Dan kalau anak-anak buat perangai, agak-agak nak salahkan siapa?
Haaa… kalau bab didikan anak, kita tak boleh salahkan atau nak serahkan pada orang lain. Kita sendiri patut tahu lebih jelas pasal perangai anak daripada orang lain. Walau sibuk mencari rezeki, anak itu tetap tanggung jawab kita. Untuk ketahui lebih jelas, baca nota dari Dato’ Dr. Haji Juana Haji Jaya & Datin Shanti Achmad Ramly ini…
Masih hangat lagi air mata yang gugur mengenangkan seorang anak yang meninggal akibat didera, malangnya ia terjadi di madrasah tahfiz al-Quran. Walaupun kes ini merupakan kes terpencil dan bukan semua pusat pengajian tahfiz seteruk yang diviralkan media, namun isu ini juga mesti dilihat dari sudut pandang lemahnya rasa tanggungjawab orang tua.
Anak Itu Amanah!
Anak itu Allah amanahkan untuk kita jaga bukan untuk diserahkan sepenuhnya kepada penjagaan orang lain atas nama agama sekalipun. Niat awal untuk membekalkan ajaran agama dan menjadikan anak itu ahli syurga sememangnya baik tetapi pelaksanaan yang tidak selari dengan didikan agama sebenar justeru memesongkan tujuan. Ia amat berbahaya! Agama diperguna untuk mengizinkan ibu bapa tidak bertanggungjawab dan guru-guru bertindak biadab!
Orang tua wajib berperanan memantau perkembangan anak dari semasa ke semasa. Haram lagi berdosa mengabaikan hak anak! Menyerahkan anak di bawah usia baligh kepada orang lain untuk dijaga makan minum pakai tidurnya boleh mendatangkan mudarat kepada anak.
Cukuplah seorang ayah dan ibu dinyatakan derhaka pada anak jika membiarkan orang lain yang menguruskan semua keperluan anak tanpa sedikit pun peduli perubahan mental, fizikal dan emosi anaknya. Jangan salahkan agama yang kononnya menyuruh mendidik dengan disiplin bahkan keras dan ganas, tidak sama sekali, agama kita mengharamkan bentuk-bentuk penyeksaan. Keganasan itu kerja syaitan justeru didikan Islam amat menekankan pendekatan rahmah dan kasih sayang!
“Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam mencium cucu baginda Al-Hasan bin ‘Ali, dan di sisi Nabi ada Al-Aqro’ bin Haabis At-Tamimiy yang sedang duduk. Maka Al-Aqro’ berkata, “Aku punya 10 orang anak, tidak seorang pun dari mereka yang pernah ku cium”. Maka Rasulullah s.a.w melihat kepada Al-‘Aqro’ lalu beliau bersabda, “Barangsiapa yang tidak merahmati (menyayangi) maka dia tidak akan dirahmati” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Agama kita mengharamkan kekerasan dan kezaliman, apatah lagi kepada anak-anak yang lemah. Didikan keras sehingga menyakiti fizikal dan mental bahkan membawa kepada kematian bagaimana mungkin dikaitkan dengan ajaran agama Islam? Takutlah kepada Allah dalam hal mendidik anak-anak kita, Allah berfirman: “Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khawatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan Perkataan yang benar.” (An-Nisa’: 9).
Ujian anak perempuan
Berat dosanya mengabaikan hak anak, bukankah ibu bapa akan dipersoal di hadapan Allah nanti di akhirat? “Seorang suami dalam keluarganya adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungan jawab atas mereka. Seorang isteri adalah pemimpin di dalam rumah tangga suaminya dan terhadap anak-anaknya dan dia akan diminta pertanggungan jawab atas mereka.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)
Patut Ke Serah Didik Anak Pada GURU?
Kenapa serahkan anak kita kepada guru sepenuhnya, padahal Allah akan tanya setiap kerosakan yang ditanggung oleh anak kita kepada ibu bapanya. Dahulu, Rasulullah s.a.w menyuruh para sahabat cepat kembali ke rumah dan mereka diberi arahan oleh Rasulullah untuk mengajar ahli keluarga mereka sendiri, bukan orang luar untuk mendidik keluarga mereka.
“Kembalilah kepada keluarga kalian dan tinggallah bersama mereka, ajarilah mereka dan perintahkan (untuk shalat).” (Hadis riwayat imam Al-Bukhari) Betapa besar dosa bapa yang tidak pernah mengajarkan agama kepada ahli keluarganya.
Bagaimana dengan fungsi seorang ibu, jika dengan begitu mudahnya menyerahkan anaknya yang belum baligh kepada orang untuk dijaga kemudian diabaikan? Lihatlah peristiwa yang sungguh menyayat perasaan bonda kita Aisyah, ketika beliau melihat perbuatan seorang ibu kepada dua orang anak perempuan kecilnya. Bonda kita Aisyah RA berkata:
“Seorang ibu bersama dua anak perempuannya menemuiku meminta makanan, akan tetapi ia tidak mendapati sedikit makanan pun yang ada padaku kecuali sebutir kurma. Maka aku pun memberikan kurma tersebut kepadanya, lalu ia membahagi sebutir kurma tersebut untuk kedua anak perempuannya dan dia tidak makan kurma itu sedikit pun. ibu itu berdiri dan pergi keluar. Lalu masuklah Nabi s.a.w, maka aku pun mengkhabarkannya tentang ini, maka Nabi bersabda: “Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan lalu dia berbuat baik kepada mereka maka mereka akan menjadi penghalang baginya dari api neraka” (Hadis riwayat imam Al-Bukhari dan Muslim)
Wahai ayah, aduhai ibu, alasan apa lagi yang kalian nyatakan untuk menghalalkan perbuatan tidak bertanggungjawab mengabaikan anak-anak? Jawablah nanti di hadapan Allah, jika harta benda melalaikan mu dan urusan dunia menyibukkan mu sehingga anak-anak menjadi mangsa. Bagaimana mungkin kalian menuduh orang lain pula yang merosakkan anak-anak kalian?
Padahal kamu berdua mempunyai kekuatan untuk mencegahnya! Takutlah dengan balasan Allah yang akan membalas tunai di dunia. Kamu sangka anak mu menderhaka tetapi sesungguhnya kamu lebih dahulu menderhakai mereka. Sungguh berat ujian menjaga amanah ini!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ibu susuan ialah seorang seseorang wanita yang bukan ibunya menyusukan bayi yang berusia kurang dua tahun sebanyak lima kali penyusuan penuh atau sehingga bayi tersebut kenyang.
Dewasa ini, umat Islam semakin peka dan mengambil berat tentang isu mahram. Sebab itu, bagi pasangan yang mengambil anak angkat, mereka mengambil inisiatif untuk menyusu badan bayi tersebut kerana hendak menjaga soal mahram. Bayi itu akan menjadi anak susuan kepada pasangan yang mengambilnya sebagai anak angkat. Tiada masalah lagi dari segi aurat bersama ibu/bapa angkat dan adik beradik angkatnya kelak.
Ini Cerita Ibu Susuan
Bila bercakap tentang saudara susuan, saya sendiri mempunyai saudara susuan iaitu sepupu saya, anak kakak kepada emak saya, arwah mak teh. Kami sebaya dan abang susuan saya itu hanya tua sebulan daripada saya. Pada zaman dahulu, ibu bapa kami tinggal serumah di rumah kepunyaan datuk dan nenek di kampung. Bila emak saya perlu ke kebun, arwah mak teh yang akan jaga dan susukan saya dan abang susuan saya, Ahmad Borhan.
Begitu juga bila giliran mak teh ke kebun, mak yang akan jaga dan susuan kami berdua. Bila besar, kami sudah maklum tentang hubungan kami itu. Jadi, kami tak kisah nak bertepuk bertampar kerana kami mahram. Walau pun saya anak sulung, tapi saya anggap dia abang saya dunia akhirat. Selepas berkahwin, saya terangkan kepada suami tentang hubungan kami. Tak mahu dia terkejut kalau tengok saya salam dan cium tangan sepupu lelaki saya itu atau selamba tidak bertudung di depannya. Kang ada yang kena cubitan berbisa!
Adik ketiga saya juga turut menjadi adik beradik susuan dengan seorang lagi sepupu kami. Mereka juga sebaya dan ketika itu mereka umpama pasangan kembar. Hubungan mereka juga tetap mesra sehingga kini walau pun masing-masing sudah berkeluarga. Agaknya, pernah berkongsi susu yang sama membuatkan kemesraan itu tetap wujud di hati walau pun jauh terpisah dan jarang bersua.
Apa Yang Bagusnya…
Dalam kalangan adik beradik saya pula, sembilan anak saudara saya ( berusia 4-11tahun) ada pertalian saudara susuan di antara mereka. Ini kerana adik-adik perempuan saya akan saling menyusukan anak-anak mereka. Bagi saya, ia sangat bagus kerana kelak mereka tidak perlu lagi risau soal aurat jika sama-sama pulang ke kampung. Bahkan anak susuan akan panggil mak dan bapa susuan mereka mengikut gelaran yang anak kandung panggil. Kecuali anak saya yang tidak sempat hendak menjadi saudara susuan sesiapa kerana ketika dia lahir, dia anak saudara sulung dalam keluarga dan tidak ada makciknya yang berkahwin ketika itu.
Secara peribadi, bagi saya ia sesuatu yang bagus kerana boleh menjaga aurat sesama sepupu. Soal takut dan bimbang jika kelak mereka jatuh cinta tak timbul kalau dari kecil lagi mereka sudah diberitahu akan status mereka sebagai adik beradik susuan. Betul tak?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pemergian Roslina Yusof, isteri peniaga air balang yang tabah melawan diabetes, menyentuh hati ramai. Suami setia, Ah Yauddin Ahmad, reda isteri pergi selepas sempat mengucapkan kata cinta terakhir.