Sebagai langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri daripada dijangkiti Covid-19, kita disarankan untuk mencuci tangan sekerap mungkin dengan menggunakan pensanitasi tangan atau hand sanitizer.
Namun jika mencuci dengan hand sanitizer ini menyebabkan dermatitis, dan keadaan semakin teruk, sila berjumpa doktor untuk merawatnya.
Bagi membasmi kuman pada tangan, kita digalakkan mencuci tangan menggunakan hand sanitizer. Kita juga boleh mencuci tangan menggunakan air dengan sabun.
Kesan penggunaan pensanitasi tangan berbeza antara setiap individu. Namun tidak dinafikan ada di antara individu mengalami masalah radang kulit apabila mencuci tangan menggunakan pensanitasi tangan dengan kerap.
Dermatitis Adalah Keradangan Pada Kulit
Pakar Dermatologi Hospital Gleneagles, Pulau Pinang, Dr Chong Yew Thong menjelaskan ramai pesakit telah melaporkan keadaan kulit mereka yang semakin teruk akibat kerap mencuci tangan dengan menggunakan pensanitasi tangan.
Dermatitis adalah keadaan keradangan kulit pada tangan yang berlaku pada luaran dan mula menjadi gatal, ruam merah dan sering dengan lepuh kecil, mengelupas dan retak serta mengalami tindak balas alahan akibat terdedah kepada alergen tertentu.
Ia disebabkan oleh kerosakan langsung pada kulit kerana bersentuhan dengan pelbagai bahan kimia seperti sabun atau bahan pencuci, bahan-bahan penyebab alahan (alergen) dan menjadi lebih teruk apabila kerap mencuci tangan dengan air.
Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Mengalami Ruam
Berhenti menggunakan pensanitasi tangan dengan segera jika mengalami ruam atau tindakbalas terhadap pensanitasi tangan.
Sapukan emolien setiap kali selepas mencuci tangan dengan sabun ringan. Krim berasaskan steroid ringan boleh membantu menghilangkan ruam.
Jika keadaan yang lebih teruk, disarankan berjumpa doktor perubatan.
Kenapa Saya Kena Dermatitis?
Mungkin ini persoalan yang sering ditanya oleh penghidap dermatitis kepada doktor. Kenapa diri saya kena, sedangkan rakan saya yang mencuci tangan lebih kerap tidak mengalami dermatitis?
Jelas Dr Chong, mungkin ada beberapa sebab anda mengalami dermatitis.
Orang yang terdedah kepada ekzema lebih cenderung mengalami dermatitis tangan terutama mereka yang mempunyai sejarah keluarga atau pengalaman sendiri (dermatitis atopik, asma, atau demam alergi).
Menggunakan sabun yang kasar terutamanya yang mengandungi pewangi dan agen pewarna boleh mendorong atau memburukkan lagi masalah dermatitis tangan.
Bagaimana Dermatitis Tangan Dapat Dicegah?
Dermatitis tangan dapat dicegah dengan menggunakan sarung tangan pelindung di tempat kerja dan di rumah ketika bersentuhan dengan bahan kimia atau air yang merengsa.
Semasa mencuci tangan, gunakan produk yang mempunyai sabun ringan dan bebas wangian.
Adalah disyorkan untuk melembapkan tangan dengan emolien selepas setiap mencuci tangan.
Dapat Dikawal
Dalam kebanyakan kes, dermatitis tangan dapat dikawal dan dikendalikan dengan baik dengan perlindungan yang sesuai untuk kebaikan tangan.
Penggunaan produk penjagaan kulit yang betul serta melembapkan tangan secara berkala juga dapat membantu.
Buat individu yang mempunyai dermatitis kontak alergi, penghindaran alergen dapat membantu.
Apa Yang Kita Perlu Tahu Mengenai Hand Sanitizer
Perlu diingatkan pembersihan tangan menggunakan sabun dan teknik yang betul selama 20 saat adalah sangat berkesan untuk menjaga kebersihan di samping dapat membantu untuk membanteras penularan wabak penyakit seperti COVID-19.
Hand sanitizer atau pensanitasi tangan dicipta untuk tujuan kegunaan individu yang bekerja di kawasan yang memerlukan kesedaran mengenai kesihatan yang tinggi, seperti hospital, klinik, farmasi, mana-mana pusat kesihatan dan sebagainya.
Pensanitasi tangan secara umumnya adalah sejenis cecair berbentuk gel yang digunakan untuk membasmi mikroorganisma.
Penggunaan cecair pensanitasi tangan dianggap sebagai satu kaedah yang selesa, cepat dan mudah. Bahan utama sebenarnya adalah alkohol kerana alkohol boleh membunuh kuman dan membantu menghentikan virus.
Adakah Pensanitasi Tangan Berkesan?
Ya, cecair pensanitasi tangan yang mengandungi alkohol sekurang-kurangnya 60 peratus berkesan terhadap COVID-19.
Adakah Baik Untuk Tambah Alkohol Dalam Pensanitasi Bukan Alkohol Untuk Cegah Covid-19?
Tidak, ini tidak mungkin menghasilkan produk yang berkesan dan tidak digalakkan.
Adakah Cecair Pensanitasi Tangan Berbahaya Kepada Kanak-Kanak?
Ya, cecair pensanitasi tangan berbahaya bagi kanak-kanak jika mereka tertelan.
Walau bagaimanapun, tidak ada kebimbangan jika anak-anak makan dengan atau menjilat tangan mereka setelah menggunakan pensanitasi tangan yang telah kering.
Berapa Peratus Alkohol Yang Baik Untuk Cecair Pensanitasi Tangan?
Cecair pensanitasi tangan yang baik sekurang-kurangnya harus mengandungi 60 peratus alkohol dan ke atas agar penggunaan yang lebih berkesan.
Sila baca ini juga:
hadam-apa-pesan-doktor-ini-jangan-abaikan-simptom-biasa-covid-19
buat-macam-ini-di-rumah-jika-syak-diri-ada-tanda-ringan-covid-19
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI