Kisah isteri setia disamping suami ketika sakit mungkin perkara biasa. Tapi kisah suami yang setia disisi isteri disaat suri hati mempunyai penyakit jarang sekali berlaku. Apatah lagi penyakit kronik yang tidak diketahui kesembuhannya, ia boleh dianggap pengorbanan yang luar biasa.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah yang terpaksa dihadapi Nurliyana Abdul Raziff, 32 apabila dia disahkan menghidap penyakit Hiper Tiroid sejak dua tahun lalu.Namun Nurliyana dianggap wanita dan isteri yang bertuah apabila dikurniakan seorang suami,Mohd Taufiq Abdullah, 42, yang cukup setia menjaga, menjadi tulang belakang dan menemani disisi.
“Di saat dia (isteri) menderita akibat penyakit ini, saya perlu setia dan menjadi tulang belakangnya. Saya mahu dia terus bersemangat dan cekal menghadapi ujian hidup.
“Mungkin ini semua daripada Allah SWT untuk menguji keimanan hamba-Nya, selepas dia berikan saya hidayah memeluk Islam,” kata Mohd Taufiq
Tulang Rahang Membesar
Perasaan sebak dan belas pasti menusuk di sanubari sesiapa saja yang melihat Nurliyana Abdul Raziff, 32, berikutan penyakit Hiper Tiroid dialami wanita ini. Penderitaan jelas terpapar pada wajahnya apabila tulang rahangnya kini membesar sehingga menyebabkan mulut terkeluar dan turut menjejaskan penglihatannya. Lebih memilukan, berat badannya juga menyusut daripada 55 kilogram hingga kini hanya 23 kilogram, malah ketinggiannya turut menurun daripada 1.5 meter kepada 1.3 meter.
“Saya tidak lagi mampu mengunyah kerana ketumbuhan tiroid dalam mulut semakin membesar hingga menutup saluran rongga. Berat badan yang menurun secara mendadak turut membuatkan fizikal saya semakin rendah,” kata Nurliyana dengan nada yang kurang jelas dan tersekat-sekat.
Dia yang lebih mesra dengan panggilan Liyana berkata, doktor pakar tidak mengesyorkan dia menjalani pembedahan membuang ketumbuhan tiroid kerana perlu mencari kaedah sesuai berikutan wanita itu menghidap masalah buah pinggang dan jantung. Masalah kesihatan itu menyukarkan doktor pakar untuk menjalankan pembedahan kerana Nurliyana tidak boleh disuntik ubat bius atau diberikan ubat tidur berikutan keadaan jantungnya yang lemah.
Ads
Ketabahan dan kesetiaan Mohd Taufiq menjaga Liyana sejak dua tahun lalu membuatkan ramai netizen kagum terhadap pengorbanan yang dilakukan selepas penderitaan isterinya itu disiarkan Harian Metro, kelmarin.
Ads
Tahu Lebih Awal
Mohd Taufiq berkata, sebelum mengambil keputusan melamar Nurliyana, isterinya itu sudah memaklumkan kepadanya mengenai masalah kesihatan dialami.
“Usia perkahwinan kami sekarang sembilan tahun. Kami berkenalan pada 2008 ketika bekerja di sebuah kilang sama di Nilai, Negeri Sembilan dan berkahwin pada 1 Januari 2011.
“Sebelum berkahwin Nurliyana beritahu saya dia ada masalah buah pinggang dan mula menjalani rawatan dialisis di Hospital Serdang sejak 2009 lagi. Tapi saya tetap terima Nurliyana dan sedia menjaganya,” katanya.
Dia yang berketurunan suku Kadazan, Sabah berkata, keputusan untuk bergelar lelaki Muslim dibuat selepas tertarik dengan keindahan ajaran agama Islam. Katanya, apa yang dipelajari dalam Islam sepanjang bergelar lelaki Muslim menjadikan dirinya seorang yang lebih tabah dan cekal menempuh ujian.
Ads
“Apa yang kami tempuhi sekarang ini saya anggap sebagai takdir. Saya tetap bersyukur di sebalik kepayahan ini, syukur ramai yang tampil beri sokongan moral dan sumbangan bagi meringankan beban kami,” katanya.
Buat suami isteri jadikan kisah ini sebagai satu sumber inspirasi agar tetap bersama-sama pasangan dalam mengharungi susah senang. Tempuhi saat manis dan sukar bersama, bukan hanya memerlukan dikala sihat dan ditinggalkan ketika sakit.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan kongsikan agar lebih ramai pasangan suami isteri yang turut mendapat iktibar daripada kisah ini.
Buat mak ayah,didiklah anak sebaiknya dengan cara yang betul. Kawallah emosi tatkala berhadapan dengan anak-anak. Tegurlah dan perbaikilah sikap anak-anak mengikut peringkat usia mereka.Seharusnya ketegasan mak ayah itu perlu, namun hendaklah bertempat.
Tidak dapat dinafikan sebagai mak ayah, adakalanya kelakuan anak-anak memang mampu menguji kesabaran yang maksima.Ketika ini, pertimbangan dan kewarasan fikiran harus didahulukan berbanding mainan emosi.Anak-anak perlukan teguran melalui kasih sayang, secara baik, bukannya melalui herdikan mahupun tengkingan yang mampu mencalar emosi dan perkembangan mereka.
Semoga secebis perkongsian oleh Ustaz Ws Adli W Muhammad ini mampu dijadikan pengajaran dan iktibar buat kita.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini.
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun. Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul.
1. Mendidik anak bukan seperti mendidik orang dewasa, perlu belaian dan kasih sayang yang berlebihan daripada walinya dan ibunya.
2. Tarik minat anak-anak dengan ilmu agama, sirah nabi.
3. Tegur anak dengan baik, bukan menengking, memboikot malah menarik muka mahupun tidak bertegur sapa beberapa hari.
4. Rujuk cara nabi Muhammad melayan anak-anak.
5. Anak kalau bergaduh sesama, itu biasa. Bagi masa untuk mereka suaikan diri, bagi peluang semua merasa dan bagi menang-menang, bukan sorang menang, sorang kalah.
6. Anak merajuk, ambil hati anak. Bukan dibiarkan begitu sahaja dengan dunia rajuknya.
7. Dengarkan anak dengan bacaan al Quran dari bibir kita sendiri, perlahan-lahan anak ini akan jadi anak yang patuh pada arahan kita, lembut hatinya mendengar kata.
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.
Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
WS Adli,
Belajar dari kesalahan dan kesilapan diri.
Rupanya mak ayah tak perlu belikan dan sediakan anak-anak dengan mainan yang banyak. Memadai mainan yang terhad dan sedikit kerana ia boleh mempengaruhi perkembangan positif anak-anak nanti. Ini tidak, lumrah mak ayah untuk menggembirakan anak-anak, punyalah macam-macam jenis mainan dibelikan, sampai tak de tempat nak simpan dirumah tu. Belum campur mainan yang bersepah-sepah, tak sempat dimain dan sebagainya.
Kelebihan anak hanya bermain dengan mainan yang sedikit ini didedahkan oleh Hazhari Ismail, Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar, Perak.
Betul ke parents kena sediakan toys yang banyak kepada anak-anak?
Lazimnya, toys dan kanak-kanak memang tidak dapat dipisahkan. Lambakan toys di pasaran memudahkan ibu bapa untuk membeli dan memberikan kepada anak-anak. Dari sekecil-kecil saiz, sehingga sebesar-besarnya. Serta, juga adalah sesuatu yang normal jika rumah disepahkan dengan toys tidak terkira. Untuk perkembangan anak-anak katanya.
Persoalannya, adakah benar memberikan toys yang terlampau banyak memberikan kesan yang positif kepada perkembangan mereka?
Kajian tentang “The Influence of the number of toys in the environment on toddlers’ play” menjumpai toys yang ‘disisihkan’ akan mengurangkan kualiti waktu bermain, dan toys yang sedikit meningkatkan fokus serta attention span, juga promote kreativiti.
Bagaimana?
Apabila kanak-kanak mempunyai pilihan toys yang sedikit (masih lagi ada pilihan), mereka akan bermain dengan setiap mainan lebih lama dan lebih banyak interaksi. Ia termasuklah akal mereka yang terus berkembang untuk berimaginasi dan pretend play, self-expression, kemahiran fine motor skill dan koordinasi, even menyelesaikan masalah!
Ada satu kajian yang dijalankan di nursery di Munich yang mengeluarkan toys di dalam premis. Pada peringkat awal, kanak-kanak akan menjadi bosan, tetapi lama-kelamaan, mereka menggunakan barang basic atau resources dari persekitaraan untuk mencipta games dan berimaginasi yang lagi tinggi untuk bermain!
Mainan yang terlalu banyak akan distract kanak-kanak untuk kekal fokus. Contohnya, jika permainan itu memerlukan problem solving skill, mereka berpindah kepada toys yang lain jika gagal menyelesaikan masalah dek kerana pilihan permainan lain yang lebih mudah. Jadi, kemahiran problem solving yang diinginkan itu tidak menjadi.
Dalam perkembangan sosial, bukanlah semata-mata bagaimana kita tahu berkomunikasi dengan orang sekeliling. Tapi, kanak-kanak belajar how to maintain relationship dengan kawan-kawan dalam tempoh masa yang panjang dengan wujudnya hubungan secara interpersonal. Mereka akan menghargai orang sekeliling.
Ini benda penting. Kita nampak kanak-kanak menyepahkan toys sebab terlalu banyak. Mereka tidak belajar untuk menjaga dan menghargai barang sendiri. Untuk membina dan mengajar tanggungjawab kepada kanak-kanak, ia perlu dimulakan dengan yang sedikit dan akan berkembang. Jadi, tidak lah bila lalu di depan kedai mainan, kita tidak mengajar mereka untuk sentiasa beli toys yang baru.
Jika kita ada toys yang sedikit, mungkin di peringkat awal perebutan dan fighting akan berlaku antara kanak-kanak sebaya di taska/tadika, atau mungkin antara adik-beradik di rumah. Walaubagaimanapun, ‘pergaduhan’ itu perlu berlaku untuk establish sifat toleransi, kerjasama dan berkongsi. Maka, mereka akan jadi less selfish pada masa hadapan.
Nak kena buang ke toys yang berlambak dalam bakul kain tu?
Eh tak. Membazir kan tak elok. Ibu bapa boleh berikan toys secara berkala. Grouping kan toys tersebut. Berikan positive reinforcement. Tanya anak-anak, betul ke nak main toys banyak-banyak ni. Jadi ibu bapa takdelah nak pening kepala. Pening dengan toys yang dibeli tapi tak main (or belum main lagi). Dan pening dengan toys yang bersepah-sepah.Dah lah sakit kaki kalau terpijak.
Disclaimer – Saya bukanlah anti-toys. Saya melihat kesan kepada development kanak-kanak. Kalau toys yang banyak itu sesuatu yang merugikan developmentally and economically, marilah kita cari jalan lain yang lebih baik.
*Project ‘Der Spielzeugfreie Kindergarten’ (English version) by Regular Eissing
**The influence of the number of toys in the environment on toddlers’ play by Dauch et al (2018)
Tanda lahir pada anak ada perkaitannya dengan sawan. Tapi mak ayah perlu jelas tak semua tanda lahir itu berisiko menyebabkan sawan. Tanda lahir itu sendiri pelbagai bentuk, warna dan ada jenis-jenisnya yang dikaitkan dengan sawan. Pengalaman yang dilalui Puan Rohafiza Abdullah, 35 semasa menjaga anak keduanya, Adam El Rais, 3 yang diwadkan boleh dijadikan panduan.
“Anak saya mula-mula masuk hospital kerana sawan. Bila dah discaj, esoknya masuk pula KTS untuk diagnos Influenza A.”
Dan inilah yang dikongsikan semasa menjaga anak bongsunya Adam di wad selepas diserang sawan pada 13 April 2018 kira-kira jam 2.30 pagi.
“Sangat menakutkan mami. Sampai hari ini, bila teringat keadaan Adam waktu itu, terasa panik kami sekeluarga. Laju je air mata ini mengalir.” ujar ibu 2 anak, Rania Eryna Anas Hazizul, 8 dan Adam El Rais
Ibu ini tak dapat melupakan pengalaman waktu mula-mula sampai di hospital sampailah diwadkan, doktor bertanyakan soalan yang sama beberapa kali.
“Dari waktu di Kecemasan, Ward 6EF, dan dipindahkan ke ward 2A, semua doktor yang merawat Adam pasti akan bertanya tentang tanda lahir di kaki Adam. Soalan seterusnya mereka bertanya ada lagi tak tanda lahir kat bahagian lain.”
“Apakah benar bayi atau kanak-kanak yang mempunyai tanda lahir lebih mudah unyuk mendapat sawan?”
Jawapan Doktor, secara kajian IYA. Tapi tak semua boleh dapat sawan. Bagaimanapun, bayi yang lahir dengan tanda lahir lebih berisiko mendapat sawan dan perlu lebih berhati-hati.
Tanda lahir besar atau kecil sama sahaja risikonya.
Mereka berisiko mendapat Sawan Demam lebih tinggi.
Biasanya, sawan ini boleh terjadi kepada kanak-kanak sehingga berusia 6 tahun. Secara amnya, selepas 6 tahun masih lagi mendapat sawan, mereka akan dirawat sebagai pesakit “Penyakit Sawan” dan perlu ubat serta rawatan yang betul.
Sekiranya berlaku lagi sawan di rumah, jangan panik ( agak susah untuk tidak panik sekiranya langsung tak tahu pasal sawan macam kami). Ini yang ibu perlu lakukan :
√ Mengiringkan anak ( supaya semua yang ada dalam mulut termasuk air liur akan meleleh keluar).
√ Jangan masukkan sebarang objek ke dalam mulut seperti sudu kerana ianya boleh menyebabkan kecederaan lebih serius.
√ Lihat jam dan ingat berapa minit waktu kejang (penting untuk rawatan seterusnya)
√ Sekiranya badan terlalu panas, jerlum dan boleh masukkan ubat punggung. Sekiranya kejadian kejang adalah lebih dari 5 minit, call ambulans atau terus ke hospital.
Semoga info ini bermanfaat juga untuk ibu-bapa sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka. Lengkapkan diri juga dengan ilmu kecemasan.
Kami bernasib baik kerana jarak hospital dan rumah dekat, dan kejadian berlaku tengah malam. Keadaan lalu lintas sangat tenang. Kami mengambil masa 10 minit untuk bersiap dan sampai ke hospital HSNZ dan terus dirawat di bahagian semi kritikal.
“Semoga Anak mami Adam EL Rais akan semakin sihat dan sawan tidak akan berulang lagi. Amin” Mingguan Wanita juga mendoakan si comel Adam sihat dari sebarang serangan sawan.