Berita Sosial

Pengasuh Dipenjara 40 Tahun, Bayi 7 Bulan Meninggal Selepas Did*ra Dengan Kejam

Share

Pengasuh di penjara 40 tahun, bayi 7 bulan meninggal selepas didera kejam.

Seorang bayi berusia tujuh bulan yang sepatutnya dibesarkan dalam suasana penuh kasih sayang menjadi mangsa penderaan kejam sehingga meragut nyawanya. Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun terhadap seorang wanita selepas didapati bersalah menyebabkan kematian bayi angkat yang berada di bawah jagaannya.

Pengasuh Dipenjara 40 Tahun

Mengikut fakta kes, polis menerima laporan daripada suami tertuduh yang memaklumkan anak angkat mereka tidak sedarkan diri. Sebaik tiba di rumah berkenaan, polis menemui mangsa dalam keadaan terlentang dan tidak bernyawa di atas katil bayi di sebuah bilik.

Pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada muka serta hampir seluruh badan mangsa. Siasatan turut mendedahkan bayi itu dipercayai berulang kali didera dengan cara dicubit, ditampar dan digigit.

Lebih mengejutkan, tertuduh juga didakwa menghisap dadah jenis syabu sebelum menghembuskan asap ke dalam mulut bayi berkenaan.

Pengasuh Dipenjara 40 Tahun, Bayi 7 Bulan Meninggal Selepas Didera Dengan Kejam

Pendakwaan turut mengemukakan perbualan WhatsApp yang dihantar tertuduh kepada suaminya sebagai antara bukti kes. Dalam mesej itu, tertuduh menulis, “Aku kasi lebam budak itu separuh mati.”

Timbalan Pendakwa Raya, Wafa Zainal Abidin, ketika memohon hukuman berat berkata mangsa yang baru berusia tujuh bulan bergantung sepenuhnya kepada orang dewasa untuk mendapatkan perlindungan, kasih sayang dan penjagaan.

“Pada usia itu, mangsa bergantung sepenuhnya kepada orang dewasa untuk mendapatkan perlindungan, kasih sayang dan penjagaan. Namun individu yang sepatutnya menjaga dan melindungi mangsa menjadi punca kepada penderitaan dan kematiannya.

“Hukuman yang dijatuhkan hendaklah memberi mesej jelas bahawa penderaan terhadap kanak-kanak sehingga mengakibatkan kematian tidak akan dipandang ringan oleh mahkamah,” katanya.

Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dengan alasan mempunyai seorang anak orang kurang upaya (OKU) yang menghidap penyakit jantung selain mendakwa telah ditinggalkan suaminya.

Mahkamah bagaimanapun menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun selepas mengambil kira keseluruhan fakta kes serta tahap kekejaman yang dilakukan terhadap mangsa. Kredit :- Sinar Harian / Bernama

Published by
Almaswa Haji Che Ros