Pembedahan Pintasan Gastrik Atasi Masalah Obesiti

Pembedahan pintasan gastrik adalah contoh salah satu cara untuk mengurangkan berat badan terutamanya bagi mereka yang mengalami obesiti.

Menurut Pakar Bedah Am, Bariatrik, Payudara dan Endokrin, Gleneagles Penang Hospital, Dr. Kirubakaran Malapan, pembedahan itu dilakukan bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan dalam jangka masa panjang.

Dikenali sebagai penurunan berat badan atau pembedahan metabolik, pembedahan bariatrik adalah prosedur yang menyebabkan penurunan berat badan secara mekanikal menyekat jumlah makanan yang dapat ditahan oleh perut.

Pesakit yang memilih untuk menjalani prosedur ini akan memperoleh keputusan dengan mengambil makanan lebih sedikit dalam sehari sehingga menyebabkan penurunan berat badan.

Sasaran Pembedahan Pintasan Gastrik

Menurut info dari Asian Guidelines for Bariatrik Surgery, seseorang pesakit berusia 18 tahun hingga 65 tahun yang mempunyai BMI lebih daripada 32.5 tanpa sebarang penyakit layak melakukan pembedahan.

Individu-individu ini akan dibantu oleh pasukan berdisiplin tinggi yang terdiri daripada pakar bariatrik, pakar endokrin, pakar pemakanan, fisioterapi untuk memperlengkapkan pesakit dengan info dan bantuan kesihatan yang lengkap sebelum meneruskan proses pembedahan.

Risiko Pembedahan

Walaupun pembedahan ini adalah prosedur utama yang mampu mengubah kehidupan, ia tidak sesuai untuk semua orang. Seperti pembedahan, ia mempunyai risiko yang besar dan kesan sampingan. Risiko dan kesan sampingan adalah berbeza mengikut jenis pembedahan yang dilakukan.

Risiko khusus berkaitan dengan pembedahan penurunan berat badan laparoskopi gastrik ini adalah sama dengan mana-mana pembedahan abdomen dan boleh terbagai kepada jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

Kesan Jangka Pendek:
  • Tindak balas pada anestesia
  • Kebocoran/pendarahan dari garisan ruji
  • Jangkitan kuman
  • Masalah pernafasan atau paru-paru
  • Vitamin dan / atau kekurangan mineral
  • Kebocoran di bahagian usus

Kesan Jangka Masa Panjang dan Komplikasi:

  • Perubahan tabiat usus (iaitu sembelit cirit-birit)
  • Hernia
  • Muntah, mual yang menyebabkan cirit-birit
  • Paras gula rendah dalam darah (hypoglycaemia)
  • Ulser
  • Masalah batu karang
  • Kekurangan zat makanan

Persiapan Pesakit Sebelum Pembedahan

  • Pesakit perlu menjalani ujian saringan terlebih dahulu bagi memastikan tiada sebarang masalah timbul selepas pembedahan.
  • Selalunya, sebelum menjalani sebarang pembedahan pesakit perlu menjalani ujian kesihatan termasuk memeriksa setiap organ dalam badan seperti paru-paru, jantung menerusi kaedah ultra bunyi.
  • Jika pesakit mengalami masalah darah tinggi,diabetes dan penyakit lain, doktor akan membantu menstabilkan dahulu keadaan mereka dan sekiranya perlu, pesakit dikehendaki mengambil ubat dan diet khas seminggu sebelum pembedahan.

Bahayakah Pembedahan Pintasan Gastrik?

  • Risiko pembedahan ini tidak tinggi sebenarnya tetapi langkah berjaga-jaga ini perlu diambil kira bagi memastikan pesakit berada dalam keadaan baik.
  • Seseorang pesakit yang mempunyai bacaan BMI lebih dari 30 akan mempunyai 50 hingga 100 peratus berpotensi untuk mengalami kematian awal berbanding dengan seseorang yang sihat. Golongan ini juga akan mengalami lebih 40 jenis pelbagai masalah kesihatan yang berkaitan dengan masalah obesiti termasuklah diabetes tahap 2, masalah jantung dan kanser.
  • Risiko dari pembedahan ini hanya 0.03 peratus iaitu hanya tiga kes dalam 1000 pesakit diabetes iaitu lebih kurang sama dengan bilangan pesakit pembedahan lutut dan 1.1 peratus persamaan risiko pembedahan kardiovaskular.
  • Pembedahan laparoskopi pintasan gastrik ini adalah sama dengan pembedahan apendektomi atau membuang apendiks. Dalam pembedahan bahagian-bahagian badan yang lain, didapati pembedahan laparoskopi telah mengurangkan komplikasi.

 Baik Buruk

Setiap pembedahan pasti ada kebaikan dan keburukan. Individu yang akan menjalani pembedahan, adalah perlu untuk membuat pemeriksaan dan evaluasi secara menyeluruh. Mereka juga dinasihatkan mengikuti plan diet dan rutin senaman lengkap untuk memotivasikan pesakit.

Sama juga seperti pembedahan yang lain, dengan kecanggihan pembedahan terkini, berjuta orang telah mendapat manfaat dari pembedahan pintasan gastrik ini.

Pesakit pasti mengalami masalah perubahan kesihatan yang lebih baik. Berat badan pesakit akan susut sehingga 60 hingga 80 peratus dari berat asal.

Antara kesan lain yang baiknya adalah pesakit dapat menjalani rutin harian dengan lebih baik, tiada masalah komorbiditi atau penyakit dua atau tigasecara serentak, kesihatan dalaman lebih sihat, peluang mendapatkan zuriat lebih tinggi, seterusnya memberikan kualiti kesihatan yang terbaik kepada tubuh badan.

Masih Boleh Mengandung

Ya, sudah tentu boleh kerana pesakit obesiti yang ingin mencuba mendapatkan zuriat pasti disarankan untuk menurunkan berat badan.

Walau bagaimanapun, pesakit yang baru sahaja menjalani pembedahan pintasan gastrik ini perlu merancang dan tunggu sehingga 18 bulan selepas pembedahan dilakukan dengan tujuan untuk merehatkan tubuh badan dan boleh cuba mendapatkan zuriat selepas tempoh yang disarankan itu.

Pesakit perlu jalani pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh sebelum melakukan sebarang keputusan lain.

 

 

 

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI