Serius, kadang bercinta nak kemas kain baju yang tak berlipat. Itu belum campur masalah susunan kain baju yang dalam almari ‘senget-benget’, sekali tarik terus berterabur.
Bukan anak saja yang tak reti tarik, kadang kalau suami nak cepat dia main tarik dan akhirnya kain baju dalam almari nampak tak cantik.
Lepas itu, pandang yang dalam bakul pula! Allahu… ngeri tengok kain baju dah macam kubu perang. Satu tak apa lagi, yang dua tiga bakul itu yang jadi malas sangat mak-mak nak mulakan.
Haaa… inilah masalah harian kaum mak-mak, berperang dengan kain baju dari cuci baju ke sidai dan sampailah bab melipat. Tetap gagal!
Tetapi tak semua, ada yang rajin melipat kain baju. Yang syok kalau encik suami boleh buat sambil tengok TV, macam saudara Firdaus Shakirin ini.
Jangan Tunggu Banyak Baru Nak Lipat…
Dalam banyak-banyak kerja umah, lipat baju is the easiest sekali. Ambil bakul, tabur baju depan tv, then lipat. Peluh tak keluar, just tangan je bergerak sambil tengok TV.
Yang paling senang untuk buat ni, tapi mungkin berat bagi yang tak pernah buat.
Jangan tunggu banyak, jangan kumpul-kumpul then baru lipat. Kompom rasa malas nak buat kalau dah banyak bakul. 2 hari sekali basuh baju, then terus lipat. Pastu kalau malas sangat, gantungkan je baju-baju guna penyangkut (hanger), ni yang paling senang, cepat dan kemas. Kalau ambil pun, baju-baju lain tak terabur.
Ada orang, tarik satu baju, habis satu almari berselerak. Pastu biar, sapa kemas? Isteri la kan… sapa lagi.
Baju Paling Lambat Nak Lipat
Bila dah biasa buat, setakat sebakul tu, dalam 15 minit saja. Sekejap je pun… yang melambatkan ialah baju anak-anak, yang keci-kecil. Nak lipat pula kena pairing bagi betul. Tak boleh la baju merah seluar oren. Kena cari pair dia yang sama.
Bila susun dalam almari pun macam tu, baju satu susunan, seluar satu susunan, pakaian “kecik-kecik” itu letak dalam laci. Baju seluar yang selalu pakai, letak atas sekali… yang kain cepat kedut, gantungkan… mudah tak?
Siapa kata jadi suami kena buat kerja-kerja rumah tu susah? Nak atau tak je, bang.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Gagal Akademik Tak Bermakna Anak Corot Akhlak, Mak Jangan Putus Doanya
Mana-mana ibu pun berdoa agar setiap anaknya cemerlang akademik dari sekolah rendah. Namun, tak semua anak dapat penuhi harapan ibu. Sebab kemampuan mereka berbeza-beza.
Dan ibu, usah terlalu memberi tekanan kepada anak. Lagi-lagi anak yang bakal mengambil keputusan peperiksaan UPSR dalam minggu terakhir persekolahan ini. Biar apa pun keputusan mereka, ibu peluklah, kekal dalam mood positif demi si anak.
Perkongsian Ezatul Marini yang sebelumnya begitu tegas dengan si anak. Begitu kecewa apabila anak tak dapat capai apa yang ibu harapkan. Sampai satu tahap, ibu ini mengalah. Yakin bahawa yang penting adalah akhlak dan pegangan agama anak itulah sebenar-benar erti bahagia
Murid Tahun 6 Bakal Terima Keputusan UPSR
Minggu ini minggu terakhir sesi persekolahan bagi tahun 2018. Minggu ini juga anak-anak Tahun 6 akan menerima keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Saya percaya bukan hanya guru, ibu bapa lebih merasakan debaran menjelang pengumuman keputusan peperiksaan ini.
Saya pernah melalui keadaan ini. Kedua- dua pengalaman membawa cerita yang berbeza. Sebagai alumni sekolah berasrama penuh, saya menekan anak sulung agar cerdas dalam pelajaran. Saya menyimpan cita- cita andai tidak ke sekolah yang pernah menjadi “alma mater” saya, mungkin anak layak untuk dimasukkan ke sekolah kawalan.
Yang menjadi kerisauan saya adalah seandainya anak tidak dapat mencapai keputusan sasaran saya. Beliau saya gesa agar berusaha sehabis daya. Berbeza pula dengan Abahnya, anak saya langsung tidak mendapat sebarang tekanan untuk selalu cemerlang dalam peperiksaan.
Di hari keputusan UPSR diumumkan, saya tidak sanggup menjengah ke sekolah. Suami yang kebetulan mengajar di sekolah yang sama dengan anak, menawarkan diri untuk menemankan beliau semasa menerima keputusan.
“Bagaimana kalau keputusannya teruk? Pasti kaum keluarga akan sibuk bertanya!” Libang- libu perasaan saya sepanjang menanti keputusan diumumkan.
Gagal Akademik & Harapan Ibu Yang Berkubur
Akhirnya keputusan diterima dan nyata harapan saya bakal berkubur. Saya jemput mereka dari sekolah dengan linangan airmata. Tidak ada sepatah kata pun yang mampu saya keluarkan.
“Ummi, saya minta maaf ye. Saya tidak dapat keputusan yang baik” saya hanya bungkam. Malas hendak berkata apa- apa.
Malamnya, saya seperti tidak mampu memandang wajah sang anak. Airmata laju menuruni pipi. Saya mogok. Makanan pun tidak mahu saya jamah.
Dalam hati perasaan kecewa, terkilan, sedih, kasihan dan marah bercampur-baur. Hilang sudah semua nasihat-nasihat dan kata-kata semangat yang pernah saya berikan kepada anak-anak saudara yang pernah juga diuji dengan keadaan yang sama.
Esoknya saya hamburkan rasa kepada seorang kawan. “Mahal rupanya redha itu kan? Mudahnya kita minta orang lain bersabar dan redha saat mereka teruji dan malangnya bila diri sendiri yang terkena, redha itu hilang entah ke mana” nasihat lembut yang diberikan sahabat itu seolah jentikan pertama yang saya terima pasca penerimaan keputusan peperiksaan sang anak.
Tiga Soalan Suami Ini, Buka Minda Ibu
Akhirnya, selepas beberapa hari suami bersuara. Beberapa soalan dilontarkan kepada saya, yang di antaranya:
i. Apa sebenarnya perasaan saya?
ii. Perasaan itu sebenarnya berkenaan siapa? Anak? Diri sendiri? Keputusan yang diperolehinya?
iii. Mengapa ada perasaan- perasaan berkenaan
Suami minta saya duduk dan fikirkan adakah adil bila saya mengambil keputusan untuk menghukum anak atas keputusan yang diterimanya.
Sungguh, saya tersedar betapa kejam saya terhadap sang anak dek kerana tidak dapat menerima keputusan yang dibawanya pulang. Seperti yang saya terangkan berbagai perasaan bercampur- baur, marah dan terkilan kerana pada saya andai dia berusaha lebih gigih pasti keputusannya tidak sedemikian.
Malu kepada rakan- rakan dan kaum keluarga serta pandangan orang yang merasakan seharusnya sang anak cemerlang. Kecewa kerana harapan dan cita- cita yang saya angan- angankan terkubur di permulaan penjelajahan ilmunya.
Keputusan Akademik Anak Bukan Penamat Segalanya
Saya lupa bahawa seharusnya saya memberikan jaminan kepada beliau bahawa apa yang diperolehinya bukan penamat segala, ada banyak lagi peluang dan ruang untuk beliau betulkan apa sahaja kekurangan. Saya teralpa tentang qada dan qadar Tuhan serta konsep menerima apa sahaja ketentuan Allah dengan lapang dada.
Yang paling mengesankan bila suami menyudah perbincangan dengan lontaran kata, “atau awak ni sebenarnya bukanlah marah sangat dengan keputusan anak. Yang menjadi masalah awak sekarang, pandangan dan penilaian orang”
Itu cerita tahun 2009. Tahun 2016 kami sekali lagi mengadap situasi serupa. Tetapi kali ini, saya lebih bersedia dan lapang dada. Biarpun pencapaian anak kedua sangat sederhana, saya lebih positif dan tidak lagi seperti sebelumnya.
Agar Lebih Positif, Renungkan Kata-kata Ini
Sekadar ingatan untuk kita bersama,
i. Di pagi hari keputusan diumumkan, cubalah terus- terusan tanamkan dalam hati untuk berlapang dada dengan apa sahaja yang bakal jadi keputusannya. Baik disyukuri, andai tidak begitu memberansangkan juga wajar dipanjatkan kesyukuran. Semuanya cerita dan perancangan Allah. i
i. Peluk anak, raikan mereka biar apa pun keputusan yang mereka terima. Mereka telah berusaha sehabis daya. Mereka telah mencuba dan pastinya tiada seorang anak pun yang tidak mahu gembirakan hati ibu bapa.
iii. Berikan mereka kata- kata semangat. Elakkan soalan kenapa? Mengapa? Dan jangan sekali- kali terhambur kata- kata yang boleh membunuh motivasi dan emosi mereka.
iv. Duduk dan rangkakan perancangan seterusnya. Andai cemerlang, halakan mereka ke institusi yang sesuai. Andai kurang, rangkakan juga pelan jangka panjang dan pendek untuk perbaiki keadaan.
qqv. Paling utama, itu anak kita, yang setiap masa kita doakan, kita asuh dan didik. Tidak cemerlang akademik tidak bermakna anak bakal corot akhlak dan agamanya. Jangan putus- putus doa.
MW : Ingat ya mak ayah, anak gagal akademik tak bermakna anak itu gagal untuk segalanya. Mak terus berikan sokongan positif. Siapa tahu, anak inilah nanti yang akan jaga mak ayah apabila sampai usia senjanya.
Sumber/Foto : Ezatul Marini
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kalau Anak Dah Kahwin, Biar Dia Belajar Hidup Susah Dengan Pasangannya
Nak ajar anak dah kahwin, mak ayah kena tegas. Tak boleh asyik wujudkan rasa kasihan dalam diri. Semua nak tolong, semua nak kita keluarkan duit. Akhirnya anak terdidik jadi pasangan yang tak reti bertanggungjawab sebab dah biasa sangat ada orang bantu.
Nak-nak pula kalau anak lelaki. Tolonglah tegas dan biarkan dia belajar hidup susah dulu. Nak lagi faham konsep bagi anak bertanggungjawab sebagai ketua keluarga, ikut cara yang dikongsi saudara Firdaus Shakirin. Kejam tetapi mesti ada hasilnya!
Biar Anak Duduk Asing
Bila anak lelaki kita dah berkahwin, suruh dia keluar dari rumah kita, duduk asing.
Perkahwinan merupakan satu alam baru bagi mereka yang memilih untuk menamatkan zaman bujang. Perkahwinan datang dgn tanggungjawab yang perlu dipenuhi dan dilaksanakan oleh si suami dan juga si isteri.
Sebagai ibubapa, kita perlu biar anak dan pasangannya hidup sendiri, biar anak dan pasangannya bina kehidupan mereka, biar anak dan pasangannya bersusah-susah dahulu, biar mereka atur kehidupan mereka sendiri, satu persatu.
Bagaimana mereka inginkan rumahtangga mereka jadi…
Jangan sebab alasan kos hidup tinggi, gaji anak sikit, dia tak pernah berenggang dengan kita, semua serba serbi kita yang sediakan kat dia, kita jadi kasihan kat anak, kita “simpan” dia dalam rumah kita, kita tanggung dia dan pasangannya… sampai bila kita mampu buat macam tu?
He need to face the facts that now he is on his own…
Anak Dah Kahwin Kena Ada Perancangan
Itu adalah cabaran yang dia perlu tempuhi dan hadapi bila dia memilih untuk mendirikan rumahtangga. Dia perlu fikir akan semua itu dahulu sebelum dia berkahwin, dia perlu ada perancangan akan bagaimana dia ingin hidup bersama pasangannya selepas berkahwin.
Dia bakal menjadi seorang ketua keluarga, seorang suami, seorang ayah dan dia perlu plan masa depannya. Perkahwinan bukannya satu perkara yang boleh dibuat main-main atau suka-suka.
Dia kena bertanggungjawab terhadap orang yang dikahwininya.
Kena Belajar Berdikari
Biar dia tinggal dalam rumah sewa yang kecil, biar dia naik motor dengan pasangannya ke tempat kerja, biar dia tak ada kereta, biar dia kena hujan, biar dia makan dan pakai apa yang ada, biar dia rasa apa itu pokai, apa itu “tengah bulan”, biar dia “ikat perut”, biar dia susah bersama pasangannya supaya dia tahu, bukan senang untuk melayari hidup berumahtangga, supaya dia tahu untuk bersyukur akan apa yang dia dah ada dan dapat selama ini, supaya dia tahu untuk lebih menghargai siapa yang ada bersamanya ketika dia susah, ketika dia baru nak membina kehidupannya.
Dia perlu belajar berdikari dan bertanggungjawab agar dia mampu membina keluarga yang bahagia dan mengatur masa depannya dengan lebih baik.
Kita sebagai ibubapa dah membesarkannya selama 20 tahun, 30 tahun dengan cukup-cukup baik. Maka sekarang, masa untuk melihat hasilnya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Dialah Bapa dan Ibu Kepada Anak-Anak.” Pikul Tanggungjawab Besar Selepas Kehilangan Isteri
Dialah bapa dan ibu kepada anak-anak.” Pelakon Badrol Shah kini pikul tanggungjawab besar selepas kehilangan isteri disebabkan Covid-19.
Bukan satu tugas yang mudah bagi seorang bapa menguruskan keperluan empat orang anaknya selepas kehilangan isteri tercinta.
Dialah Bapa dan Ibu Kepada Anak-anak
Pelakon Badrol Shah atau Bad mengakui memikul tanggungjawab besar sebagai bapa dan ibu terhadap empat anaknya selepas kematian isteri, Allahyarham Farah Shila Mazlan pada 26 Ogos lalu.
Menurut Badrol, 39, yang popular menerusi filem Busut Bonang, dia sedaya upaya memastikan yang terbaik buat anak-anak yang masih merindui ‘ummi’ mereka.
“Setiap malam mereka pasti akan menatap gambar ummi mereka. Malah, saya juga akan bawa mereka pergi kubur sebagai cara untuk menghilangkan rindu.
“Saya kena teruskan perjuangan hidup demi anak-anak. Saya turut menasihati dan mengajar mereka perkara baik-baik.
“Saya sentiasa ingatkan agar selalu berdoa untuk arwah ummi mereka, sebab kalau kita sedih dan asyik menangis ummi pun akan menangis di sana nanti,” katanya.
Pikul Tanggungjawab Besar Selepas Kehilangan Isteri
Bad memastikan akan mengajar anak-anaknya mengaji setiap malam, memantau pelajaran mereka secara sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan memujuk anak-anak setiapkali mereka sedih.
“Saya minta mereka berdoa agar ‘di sana’ nanti kami semua dapat jumpa ummi semula. Jadi mereka boleh terima.
“Mengenai perasaan sendiri, saya kena sentiasa bersabar dan pegang amanah Allah untuk sentiasa mendidik anak-anak hingga akhir hayat,” katanya.
Nama Bad menjadi tumpuan apabila dia menerusi media sosial memaklumkan isterinya disahkan meninggal dunia pada 10 Ogos lalu. Namun, pada hari sama dia tampil membetulkan keadaan apabila memberitahu berlaku salah faham dalam perkara itu.
Percaya Dengan Rezeki Allah
Memandangkan tiada aktiviti penggambaran, Bad kini meneruskan kerjaya tetapnya sebagai pemandu grab.
“Saya kena cari rezeki buat anak-anak terutamanya untuk susu, makan dan kelengkapan pembelajaran mereka. InsyaAllah rezeki ada saja di mana-mana.
“Semasa isteri masih ada, gajinya RM600 sebagai guru sekolah agama. Dia pula ada sakit asma kritikal, kanser darah tahap tiga dan jantung tahap tiga. Kos perubatan untuk dia masuk darah dan cuci darah memang tinggi.
“Sekurang-kurang RM5000 sebulan kena ada, termasuk untuk bayar sewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) RM124 sebulan, manakala sewa kereta grab sebulan RM1600,” katanya.
Baca Juga Di Sini :
“Sudah Bersedia Segala Kemungkinan.“ Isteri Badrol Shah Pergi Selepas 45 Hari Bertarung Covid-19
Badrol Shah Menggeletar, ‘Mula Dimaklum Isteri Meninggal, Kemudian Dikatakan Nazak’
Sekeluarga Positif, Isteri Saja Kritikal Hingga Akhir Hayatnya. “Saya Perlu Kuat Demi Anak.”
Bersyukur Seadanya
Dia juga perlu menyediakan susu anak kecilnya berharga RM180 setin yang keseluruhannya memerlukan empat tin sebulan.
“Susu ini adalah saranan doktor pakar Hospital Kuala Lumpur. Itu sebabnya saya kena ada kewangan yang cukup. Bagaimanapun, alhamdulillah dengan segala rezeki yang saya dapat.
“Bahkan, saya sentiasa amalkan bersyukur dengan apa yang ada. Namun, saya berasa amat bersyukur lagi sekiranya ada mana-mana pihak sudi menghulurkan bantuan.
“Apapun, saya beruntung kerana anak sulung yang berusia 12 tahun, sudah boleh jaga adik-adik yang lain ketika saya bekerja. Dia memang dah diajar berdikari untuk memasak dan buat pelbagai kerja rumah yang lain,” katanya.
Mingguan Wanita : Semoga Badrol kuat dan sabar untuk membesarkan anak-anaknya. Bukan sesuatu yang mudah dan amat berat memikul tanggungjawab ini. Semoga Allah membantunya. Insyallah.
Sumber : myMetro
APA RAHSIA KEJAYAAN KAMI JADI JUTAWAN MILENNIAL?
Chocodap’s, Faith Fleur, Anggun Cotton Collection, Teh Ais Pyorr, Masak-masak Cekyana (Oden viral) dan bayak lagi jenama lain mempunya ratusan ribu pelanggan masing-masing.
Tak ramai anak Melayu kita mampu bina empayar perniagaan dari bawah dari tiada apa-apa. Ia bukan dicipta sehari dua. Banyak pengorbanan terpaksa dilakukan sepanjang pendakian.
• Apa rahsia mereka?
• Apa yang mereka lakukan?
• Apa ilmu-ilmu yang diamalkan?
• Siapa yang susah senang bersama mereka?
• Apa dugaan dan keperitan yang dilalui?
Teringin ikut jejak mereka?
Semua ini akan terjawab di program Webinar Eksklusif CEO BIsnes Viral anjuran Mingguan Wanita pada 25 September 2021 secara virtual. Dangarkan sendiri perkongsian jujur mereka. Eksklusif!
Menangi hadiah-hadiah cabutan bertuah serta wang tunai bernila RM100.
Daftar sekarang di
https://toko.ideaktiv.com/…/webinar-eksklusif-ceo…/
atau scan QR Code pada poster
Atau sertai grup telegram WEBINAR EKSKLUSIF CEO BISNES : https://t.me/bangkitwanitaMW
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW
Mingguan Wanita juga boleh diikuti di
YouTube : https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita
Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI