Sejak diperkenalkan pada April 2021, jenama Choco Albab terus melakar jejak penuh makna dalam dunia keusahawanan tempatan. Tidak sekadar menawarkan minuman coklat kegemaran ramai, jenama ini sebenarnya giat merencana transformasi ekonomi terutamanya buat golongan B40, wanita, belia dan suri rumah yang mahu berdikari menjana pendapatan sendiri.
Said Saiful Fazli Said Aluwi
Terbaharu, sempena acara tahunan Rising Star 2025 yang berlangsung meriah pada 5 Julai lalu di Bangi Avenue Convention Centre pelbagai inisiatif dan langkah baharu diumumkan oleh pengasasnya, Encik Said Saiful Fazli Said Aluwi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Saudagaar Asia Sdn Bhd.
“Kami mahu bantu mereka yang tercari-cari peluang suri rumah, belia, OKU dan sesiapa sahaja yang ingin mulakan perniagaan kecil. Rezeki ada di mana-mana, dan Choco Albab cuba menjadi jambatan untuk mereka bangkit bersama,” ujar Encik Said dengan penuh harapan.
Open Bonet Jadi Alternatif Kerjaya Fleksibel
Salah satu usaha menarik yang diumumkan ialah penjenamaan semula platform jualan bergerak dikenali sebagai ‘Choco Albab Joy Station’ diinspirasikan daripada konsep Open Bonet yang semakin popular. Inisiatif yang asalnya dicetuskan oleh ejen-ejen sendiri kini diangkat ke tahap lebih profesional dan tersusun dengan sokongan pihak HQ.
“Lebih 2,000 ejen aktif menggunakan konsep ini. Jadi, HQ perkenalkan SOP, standard menu dan struktur harga seragam demi menjaga kualiti dan pengalaman pelanggan,” jelas beliau lagi.
Ads
Menariknya, Joy Station ini amat sesuai untuk mereka yang inginkan kerjaya fleksibel termasuk suri rumah, pelajar, graduan muda dan Gen Z yang mahu menjana pendapatan tanpa mengorbankan masa bersama keluarga.
“Konsep ini bukan sahaja bantu tambah pendapatan isi rumah, malah menyumbang kepada ekonomi gig negara. Dengan lebih 6 juta rakyat Malaysia terlibat dalam ekonomi gig, inilah peluang untuk rebut masa depan yang lebih cerah.”
Wanita dan Belia Diangkat Sebagai Ejen Perubahan
Dengan pendekatan mesra digital dan latihan bimbingan percuma dari HQ, Choco Albab ingin melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berdikari, bijak dan yakin dengan potensi diri.
Bukan itu sahaja, isu rasa produk juga diberi perhatian. Ada pelanggan yang memberi maklum balas bercampur tentang rasa coklat dan syarikat mengambil pendekatan proaktif dengan menyediakan kursus bancuhan air coklat agar semua ejen dapat menghasilkan rasa yang konsisten dan memuaskan pelanggan.
Ads
Belgian Mocha: Rasa Mewah Gaya Hidup Moden
Sempena majlis yang sama, satu lagi produk istimewa turut dilancarkan iaitu Choco Albab Belgian Mocha campuran koko Belgian premium dan kopi terpilih, sesuai buat pencinta minuman bergaya dan sihat.
Mengandungi 33% koko Belgian, tanpa gula putih dan menggunakan pemanis rendah kalori (sucralose), produk ini juga mesra vegan dan sesuai untuk mereka yang laktosa-intoleran. Lengkap untuk gaya hidup moden yang semakin prihatin terhadap kesihatan.
95,000 Usahawan, 3,000 Diraikan
Apa yang lebih membanggakan, seramai 3,000 ejen dari seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei hadir memeriahkan majlis penghargaan ini. Satu demi satu wajah ceria terpancar di wajah mereka. Dari ibu-ibu yang dahulunya hanya duduk di rumah, kini berdiri megah sebagai usahawan yang membawa pulang pendapatan sendiri.
Ads
“Kami dengar suara komuniti kami. Kami tahu wanita Malaysia punya semangat besar. Inilah masanya untuk bantu mereka mencipta kejayaan dari bonet kereta hingga ke pentas global,” ujar Encik Said penuh yakin.
Untuk rekod, Choco Albab kini memiliki lebih 95,000 usahawan dibawahnya di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.
“Ibu akan sentiasa menyayangi dan merindui kamu, selalu…”
Itulah bait kata yang menggoncang jiwa seorang ibu yang kehilangan anak gadisnya dalam tragedi penuh tragis di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, semalam.
Dalam satu hantaran di Facebook, wanita itu meluahkan rasa rindu yang tidak bertepi terhadap pemergian anak perempuannya yang baru berusia 16 tahun anak yang selama ini menjadi sumber ketenangan dan kebanggaan keluarga.
“Dia seorang anak yang sangat penyayang, baik hati dan berdisiplin. Sejak kecil, dia tidak pernah membuat kami risau.
Dia sentiasa mengambil berat terhadap ibu bapa dan orang lain, serta tidak pernah meminta apa-apa daripada kami,” tulis si ibu, yang kini hanya mampu berbicara dengan bayangan memori.
Baginya, anak yang pergi itu bukan sekadar darah daging, tetapi cerminan kasih yang paling tulus.
Luahan Pilu Ibu
“Anak seindah itu, namun ditimpa nasib yang begitu kejam. Saya benar-benar kehilangan kata-kata, hati saya amat sakit. Semoga dia berada dalam keadaan baik di dunia lain, semoga rohnya tenang dan bahagia.”
Luahan itu diakhiri dengan ungkapan yang meruntun hati.
“Ibu akan sentiasa menyayangimu dan merindui kamu, selalu.”
Dalam nada tenang yang menyembunyikan derita, wanita itu turut berterima kasih kepada semua yang mengirim doa dan kata semangat buat keluarganya yang kini berdepan kehilangan paling pedih dalam hidup.
Dalam kejadian sekitar jam 9.10 pagi kelmarin, pelajar perempuan berusia 16 tahun itu ditemui berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman pada badan. Polis kemudian menahan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dan merampas dua senjata tajam di lokasi kejadian.
Bukan sekadar sambutan Hari Raya biasa, tetapi sebuah perayaan penuh makna dan semangat apabila lebih 300 wanita berkumpul dalam satu majlis eksklusif anjuran Komuniti Wanita DIG (KWDIG) yang berlangsung meriah di UTM Hotel & Residence, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bertemakan “Raya Meletop”, majlis ini diraikan dengan penuh gaya – menggambarkan keyakinan, ekspresi diri dan keanggunan wanita moden hari ini.
Majlis gilang-gemilang yang berlangsung di UTM Hotel & Residence Kuala Lumpur ini menghimpunkan lebih 300 wanita daripada pelbagai latar belakang — termasuk pemimpin NGO, usahawan dan ahli korporat— dalam suasana eksklusif bertemakan “Raya Meletop”, simbol ekspresi diri, keyakinan dan keanggunan wanita masa kini.
Lebih istimewa, turut diadakan penyampaian Anugerah Wanita Cemerlang Madani 2025 – KWDIG disampaikan kepada dua figura hebat — Puan Rosdziah Mohd Zainudin dari D.Alam Academy dan Puan Zawani Mohd Yusoff dari Wanis Shielout — atas kejayaan luar biasa mereka dalam memperkasa ekonomi komuniti wanita serta usaha membina empayar perniagaan masing-masing dengan penuh dedikasi dan iltizam.
Inspirasi Wanita
Menurut Pengasas KWDIG, Datin Ira Ghani, majlis ini bukan sahaja menyatukan komuniti, malah berperanan sebagai pemangkin inspirasi kepada lebih ramai wanita agar berani tampil ke hadapan.
“Tujuan utama majlis ini adalah untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti serta memberi pengiktirafan kepada wanita inspirasi yang berani melangkah jauh ke hadapan. Kami percaya kejayaan mereka akan menjadi pemangkin semangat kepada wanita lain untuk turut bangkit dan bersinar,” ujar beliau.
Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Datuk Seri Dr Hajah Zurainah Musa selaku tetamu kehormat. Beliau juga merupakan Penasihat Komuniti Wanita DIG serta rakan strategik HAWA Malaysia dalam kluster keusahawanan dan ekonomi.
Anugerah Khas
Menariknya, ini merupakan kali ke-7 perjumpaan rasmi KWDIG sejak penubuhannya, namun buat julung kalinya, majlis ini menampilkan penganugerahan khas bagi mengiktiraf pencapaian luar biasa dalam kalangan ahli.
Acara turut mendapat sokongan strategik daripada pelbagai pihak termasuk DIG Holding Sdn Bhd, MZ Empire Resources, Mega Lux Auto, Oxwise, Aayana, DIG Medichome, dan Aura Seri.
Dalam usaha berterusan memperkasakan wanita, pelancaran projek khas DIG MediChome turut diumumkan. Inisiatif ini akan membantu wanita di seluruh negara dalam aspek kesihatan, ekonomi, kewangan dan kesejahteraan, disertai bimbingan secara percuma daripada mentor keusahawanan berpengalaman lebih 27 tahun yang telah berjaya melahirkan ramai usahawan wanita.
Komuniti Wanita DIG terkenal dengan pendekatan berimpak tinggi melalui pelbagai tema perjumpaan seperti Love Yourself, I Am Power, dan Wanita Aspirasi — membuktikan bahawa sokongan moral dan ruang motivasi mampu melahirkan wanita yang berdikari, dihormati dan disegani dalam masyarakat.
Majlis juga turut disokong oleh 12 penaja strategik DIG Holding, DIG MediChome, MegaLux Auto, NRC Cosmetic, MZ Empire, Aura Seri, Oxwise , Ayaana, Impact Media Communication dan DITAC Academy.
“Kami sentiasa rindukan mummy sejak tiga tahun lalu dan sentiasa berdoa supaya orang yang membunuh mummy ditahan dan mendapat hukuman setimpal.”
Begitu luahan jujur yang menggugah jiwa dari Mohd Mustaqim Darwish Mustapha, 13 tahun, anak sulung kepada Allahyarhamah Farrah Emirah Mazlan, wanita hamil tujuh bulan yang ditemukan mati ditembak di Kampung Repek pada Jun 2022.
Dalam usia yang masih mentah, Mustaqim memikul beban kehilangan yang terlalu besar. Kehilangan bukan kerana takdir biasa, tetapi dek kejamnya tangan manusia.
Terima Mommy Sudah Tiada
“Saya dah terima yang mummy dah tak ada. Tapi setiap kali rindu, saya akan doa,” katanya perlahan memetik laporan www.beritaharian.my. Kata-kata yang barangkali mudah diucap, namun terlalu dalam maknanya buat seorang anak yang baru belajar mengenal hidup, tetapi telah dipaksa akur kepada kematian yang tragis.
Adik-adiknya, Putra Falix Iskandar, 6 tahun, dan Nur Falisa Andriana, 8 tahun, pula masih belum benar-benar mengerti erti kehilangan itu.
“Kadang-kadang mereka tanya, ‘Mummy pergi mana? Kenapa tak balik-balik?’ Saya tak tahu nak jawab macam mana… Mereka masih kecil,” ujar Mustaqim, cuba menyembunyikan kesedihan yang sudah lama menjadi teman tidur malamnya.
Namun baru-baru ini, sebuah sinar harapan muncul buat tiga beradik ini. Seorang lelaki yang diburu polis sejak tiga tahun lalu akhirnya berjaya diberkas. Lelaki berusia 24 tahun itu dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan Farrah Emirah, ditahan bersama rakannya di Kampung Bukit Lata oleh sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA).
Sudah Ditangkap
“Bila saya dapat tahu dia dah ditangkap, saya rasa sangat gembira. Saya harap dia akan dihukum dengan setimpal. Mummy tak patut mati macam tu,” kata Mustaqim, penuh keteguhan yang tidak sewajarnya perlu dimiliki oleh seorang remaja sepertinya. Namun inilah realiti hidup yang terpaksa dihadapinya.
LELAKI yang diburu polis sejak tiga tahun lalu berkait kes wanita hamil tujuh bulan ditemui maut dengan kesan tembakan ditahan. FOTO Ihsan Polis
Mangsa, Farrah Emirah Mazlan, 26 tahun, merupakan seorang peniaga yang ketika itu sedang sarat mengandung tujuh bulan. Mayatnya ditemukan dalam keadaan menyayat hati, terbaring di tempat duduk pemandu kereta Nissan Cefiro miliknya dengan kesan tembakan di bahagian perut sebelah kiri. Satu nyawa, dan satu nyawa yang belum sempat melihat dunia terhenti di situ.
Kisah ini bukan sekadar statistik jenayah atau baris berita utama. Ia adalah kisah tentang seorang wanita yang menjadi mangsa kezaliman, tentang tiga anak kecil yang menjadi yatim tanpa sempat mengucap selamat tinggal.
Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisoner Kama Azural Mohamed, berkata suspek ditahan bersama rakan lelakinya yang juga berusia 24 tahun. Terdahulu polis mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan dua lelaki termasuk seorang suspek yang diburu berkaitan kes tembak wanita hamil sejak 2022.
Susulan kejadian itu, seorang daripada bekas suaminya ditahan bagi membantu siasatan.
Pelakon Amyza Aznan berkongsi kisah anaknya yang menghidap kanser paru-paru tahap tiga. Walaupun diuji hebat, Amyza kekal kuat dan bersyukur melihat anaknya masih tersenyum serta tidak pernah merungut.