markah

Bukan mudah bagi seorang lelaki untuk jadi suami dan ayah, apatah lagi nak jadi ketua keluarga yang boleh memimpin keluarga dan dihormati isteri serta anak-anak.Besar tanggungjawab yang perlu digalas.

Fenomena dalam kekeluargaan hari ini, ramai isteri dan anak-anak semakin hilang rasa hormat dan pandang rendah pada insan bergelar suami dan ayah ini. Ini kerana ia bergantung pada sikap suami sendiri serta gagal memenuhi 6 elemen yang dijelaskankan oleh Encik Hishamnamat ini.

Berikut merupakan perkongsian daripada beliau;

“Bertanggungjawab adalah tanggungjawab semua, tidak kira yang berpoligami mahupun monogami. Cuma kenapa elemen bertanggungjawab ini perlu diperincikan lagi kepada suami yang beristeri lebih dari seorang adalah kerana beban yang dipikul itu berlebihan dan dalam banyak keadaan ianya memerlukan kebijaksanaan untuk melaksanakannya.

Saya tidak mahu menumpukan huraian ini pada tanggungjawab yang lazimnya kita semua sudah ketahui seperti tanggungjawab zahir dan batin, tanggungjawab tempat perlindungan dan makan pakai, tanggungjawab membimbing isteri untuk melaksanakan ibadah khusus dan sebagainya. Itu adalah syarahan atau silibus yang terdapat di peringkat sekolah mahu pun universiti.

Sikap Suami
Apa yang ingin saya ketengahkan sekarang adalah membawa anda menilai tanggungjawab dari sudut perlaksanaan dan sikap suami terhadap sesuatu amal perbuatan. Ini kerana isteri mahupun anak-anak sendiri akan ‘memberikan markah’ kepada suami atau ayah mereka sebenarnya.

IKLAN

Dalam erti kata lain mereka sedang memerhatikan setiap tindak tanduk anda untuk menilai bagaimanakah sikap seorang yang dikatakan sebagai pelindung kepada mereka.

Adakah mereka berpaut pada dahan yang betul; malah itulah harapan mereka sebenar-benarnya. Apabila ‘markahnya’ tinggi maka lagi mudahlah untuk mereka patuh dan menuruti ‘kemahuan’ anda kerana sejauhmana tinggi atau resiko pun ‘kemahuan’ tersebut, mereka akan tetap yakin yang anda akan melaksanakannya dengan penuh rasa amanah dan bertanggungjawab.

Sekira ‘markahnya’ rendah maka disitulah timbulnya rasa jelek seorang suami, apabila setiap tindak tanduknya sering sahaja dipertikaikan oleh isteri malah anak-anak yang juga sudah boleh berfikir.

Di sinilah timbulnya si suami asyik mempertikaikan ketaatan dan sikap memberontak si isteri tanpa mereka sedari bahawa sikap ‘protes’ itu datang dari rasa kurang hormatnya kepada suami yang dilihat culas mengalas segala amanah dan tanggungjawab.

IKLAN

Pemerhatian
Keculasan memikul amanah dan tanggungjawab ini tidak semestinya sesuatu yang berkait secara langsung dalam amalan rumahtangga sahaja. Isteri dan anak-anak juga sentiasa memerhatikan tindak tanduk suami di luar dari persekitaran rumah.

Mereka memerhati bagaimana suaminya bermuamalat, menunaikan janji kepada saudara dan sahabat handai, melaksanakan tugas di pejabat, mentaati dan menghargai masa dan pelbagai lagi situasi yang boleh mereka nilaikan.

Sekiranya perkara-perkara yang di luar lingkaran rumahtangga ini pun berada di dalam radar pemerhatian mereka, apatah lagi perkara-perkara yang berkaitan secara langsung dengan amalan rumahtangga. Sudah tentulah ianya lebih lagi tinggi nilaiannya.

Antara elemen-elemen lazim yang sering dituntut pertanggungjawabannya oleh isteri adalah:

IKLAN

1. Tahap menunaikan janji
2. Membantu ringankan beban kerja rumah beliau
3. Bersikap perihatin tentang keperluan anak-anak
4. Meluangkan masa untuk keluarga
5. Ketegasan suami menangani isu rumahtangga
6. Hubungan jiwa suami pada Allah S.W.T.

Saya tidak perlu menghurai secara panjang lebar ke enam-enam perkara di atas kerana ianya sangat jelas tuntutannya dan boleh difahami dengan mudah akan kesan yang bakal berlaku sekiranya suami gagal berperanan secara efektif terhadap perkara yang tinggi tuntutannya itu.

Secara dasarnya enam elemen tersebut (mungkin ada lebih; anda boleh fikirkan sendiri) merupakan faktor-faktor penting yang seharusnya menjadi amalan kehidupan bagi seorang suami mithali sekiranya anda ingin menjadi dambaan isteri.

Jika berlakunya pengabaian, maka weight of loosing trust and respect itu akan lebih tinggi bebannya berbanding dengan kesan pengabaian tanggungjawab suami di luar lingkungan rumahtangga tadi. Ini suatu perkara yang pihak suami benar-benar kena fahami.

Sumber: Hishamnamat

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI