
Isi Kandungan
ToggleBetul ke kalau anak kena G6PD, ibu tak boleh main hentam makanan sewaktu berpantang? Maknanya pemakanan yang perlu diambil perlu lebih berhati-hati sebab takut kesannya pada anak.
Haaa… sebenarnya G6PD Defiency ini bukan satu penyakit tetapi ia adalah kekurangan satu enzim Glucose-6-Phosphate Dehydrogenase yang terdapat dalam sel darah merah. Kekurangan enzim ini akan menyebabkan sel darah merah pecah (hemolisis) bila terdedah kepada ubat, makanan atau jangkitan penyakit tertentu.
Selepas kelahiran bayi, darah daripada tali pusat akan diuji untuk mengetahui samada bayi ada G6PD defiency atau tidak. Kebanyakan bayi lelaki kekurangan enzim ini. Mereka boleh kena penyakit kuning yang tinggi dalam masa yang singkat. Biasanya bayi G6PD defiency akan ditahan untuk pemerhatian doktor.
Namun jangan risau, walaupun bayi ditahan, anda masih perlu berpantang untuk memulihkan kembali dalaman anda.
Panduan Berpantang Untuk Ibu Yang Bayinya G6PD Defiency
Resepi Berpantang
Herba yang bersifat panas dan boleh menyebabkan kuning naik seperti lada hitam dan halia hanya boleh diambil selepas bayi bebas daripada kuning. Kalau ibu nak ambil sebelum tu, kena tengok penerimaan bayi. Najis dia ok ke tak.
Ada sesetengah petua orang lama, kunyit pun tak boleh. Makan ikan yang cuma diletak garam dan lada hitam sebab kunyit pun tak boleh.
Pakaian anak juga kena jaga, tak boleh pakaikan anak baju, cadar, tuala dan segala benda warna kuning. Ada yang kata karut tapi kalau nak selamat, ikut petua ini pun tak salah.
Amalan Tradisional
Jangan ingat anda payah dengan anak, anda tak boleh berurut, bertungku dan berbengkung ya. Tetap kena buat!

Andai kata anak kena kuning teruk, mestilah anda kena tahan hospital. Jadi eloklah tunggu kuning turun sedikit dulu, kemudian ambil peluang untuk berurut. Malam-malam sebelum tidur, jangan lupa berbengkung dulu ya!
Kemudian ibu tetap kena bertungku ya, kalau boleh pagi dan malam. Barulah perut cepat kempis.
Bab Jamu
Ibu yang ada G6PD defiency tak boleh ambil set berpantang berasaskan jamu ya. Kena cari set berpantang jenis lain, yang ada khasiat sama seperti vitamin dan elok ambil ubat di hospital.
Kalau bayi anda ada G6PD Defiency jangan culas untuk berpantang. Elakkan penggunaan jamu di awal kelahiran. Sebaiknya dapatkan Set Berpantang yang semulajadi dan tiada bahan kimia yang boleh memudaratkan bayi anda.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Gara-gara Tak Tahu Cara Tuntut Harta Pusaka Selepas Suami Meninggal, Isteri ‘Ditendang’ Bak Bola

Isi Kandungan
TogglePendedahan yang dikongsikan oleh peguam Roslina Sabiyah & Co. mengenai pengurusan harta pusaka oleh isteri yang kematian suami ini benar-benar memeranjatkan.
Maklumnya, beliau menerima lebih 100 kiriman soalan yang menunjukkan kebanyakan wanita masih tak terdedah dengan isu ‘tuntutan harta pusaka selepas suami meninggal’. Malah tak tahu cara betul tuntut harta pusaka arwah suami.
Kisah benar yang dikongsikan ini sebenarnya menerangkan dengan jelas apa prosedur betul yang isteri perlu ambil semasa menuntut harta peninggalan arwah. Tidaklah nanti anda diperkotak-katikkan seperti tiada harga diri.
Urus Pusaka Memang Macam Ini Ke Puan.. Saya Dah Penat!
Wanita.. ketahuilah hak anda!
Jangan sampai ditendang ke sana sini umpama bola gara-gara tidak tahu prosedur yang betul menuntut harta pusaka suami yang dah meninggal. Jangan sampai maruah anda dipijak hanya kerana anda tak tahu nak membela dan mempertahankan hak anda sendiri!
Saya membelek senarai dokumen yang diserahkan seorang wanita yang baru setahun kematian suami. Saya perasan macam ada sesuatu yang tak kena. “Kamu dah uruskan insurans, akaun bank dan kereta ni semua?”
“Sudah puan.. saya sudah uruskan semuanya. Hampir 10 bulan saya uruskan tapi tak selesai-selesai lagi. Sekarang ini rumah pulak nak kena mohon. Urus pusaka memang macam ni ye puan? Saya dah penat..”
Saya menggeleng.. rasa terkilan sebab masih ramai wanita yang tak dapat maklumat yang lengkap untuk mengurus harta pusaka dengan betul.
“Boleh ceritakan apa urusan yang puan dah buat?” Tanya saya sekadar nak tahu sejauhmana laluan ‘berliku’ yang dah dilaluinya..
“Suami ada tinggalkan wang simpanan di bank. Saya pergi ke bank untuk keluarkan duit. Pihak bank suruh saya pergi ke Amanah Raya untuk dapatkan surat Arahan.”
“Saya pergi ke Amanah Raya. Pihak Amanah Raya pula suruh saya ke Mahkamah Syariah untuk mohon sijil faraid.”
“Saya ke Mahkamah Syariah pula untuk mohon sijil faraid. Dah dapat sijil faraid saya hantar ke Amanah Raya.”
“Saya pun dah ke JPJ untuk urusan yang sama. Dalam surat JPJ ada minta beberapa dokumen dan saya pilih untuk uruskan dengan Amanah Raya sahaja.”
Jawapan Pegawai Berbeza-beza..
Kalau dah berurusan di sana, kenapa baru sekarang puan nak jumpa peguam?
“Sebenarnya saya dah tanya ramai orang.. kat mana saya nak uruskan harta pusaka ni. Tapi jawapan mereka berbeza-beza.
“Ada yang suruh saya ke pejabat tanah. Jadi saya ke pejabat tanah daerah. Pejabat tanah daerah suruh saya buat carian persendirian tanah tu di pejabat tanah negeri pula (sebab hakmilik tanah adalah HS.(D)).”
“Saya dah buat carian dan pergi semula ke pejabat tanah daerah. Pejabat tanah daerah dah bagi saya borang permohonan pusaka..”
Kemudian? Kenapa tak teruskan permohonan? Tanya saya semakin tak sabar..
Cuma Inilah Rumah Suami, Tapi Mentua Kata Itu Atas Nama Anaknya
“Puan.. anak saya masih kecil. Suami cuma tinggalkan rumah ini sahaja untuk saya. Mak ayah mertua dah dapat pampasan insurans suami. Tak ada cara ke macamana saya boleh dapatkan rumah ini untuk saya dan anak? Sebab mak ayah mertua dah pernah bagitau.. rumah yang saya duduk ni atas nama anak mereka…“
Tak sempat habiskan ayat dia dah keluarkan sapu tangan dari dalam beg tangannya. Merambu air matanya.
Mungkin dah lama sangat dipendam apa yang terbuku di hati.. usianya masih muda tetapi wajahnya jelas menggambarkan raut keletihan.. saya yang mendengar cerita pun dapat rasakan betapa letihnya dia mengurus semua seorang diri.
“… jadi mereka pun nak tuntut juga hak mereka atas rumah tu. Mak ayah mertua saya bukan orang susah puan. Mereka orang berada.”
“Tapi sejak arwah hidup memang mak ayah mertua dan adik-beradik suami tak suka kami sebab kami bukan orang senang.”
“Dia tak pernah pelawa cucu dia sendiri makan di rumah dia puan. Bila suami meninggal, dia dulu yang tuntut insurans suami. Tak bagi pun kat anak saya.”
“Duit tu saya tak kisah sangat. Saya hanya nak rumah ini sahaja untuk tempat berteduh saya dan anak..”
Baru saya faham kenapa dia tak teruskan permohonan sendiri. Beliau rasa tak selamat untuk teruskan kerana ada isu yang beliau tak tau jalan penyelesaiannya.

Cuma Buat Ini Untuk Tuntut Harta Pusaka Arwah Suami
“Puan tau tak, sebenarnya puan tak perlu pergi semua tempat tu. Jika arwah suami ada tinggalkan rumah atau tanah, puan sebenarnya hanya perlu mohon terus di unit pusaka kecil di pejabat tanah sahaja.”
“Perintah dari pejabat pusaka tu nanti boleh digunakan untuk keluarkan duit di bank dan tukar nama kereta di JPJ dan juga untuk tukar nama pemilik rumah dalam geran. Jimat masa dan tenaga. Tak perlu mohon faraid pun sebab di pejabat pusaka tu dah ada pegawai yang mahir kirakan faraid.”
Terkejut dia dengar saya bagitau macam tu. “Patutlah saya rasa macam orang bodoh je puan. Tak ada siapa pun yang bagi maklumat macam tu. Suruh ke sana saya ke sana. Suruh ke sini saya ke sini.
“Kadang rasa macam bola kena tendang ke sana sini. Dahlah keluarga mertua langsung tak ambil kisah.. sekarang apa perlu saya buat puan?“ ada harapan dalam nada suaranya.
“Sebenarnya, urusan pusaka kecil ni puan boleh mohon sendiri. Tapi jika ada isu dengan waris-waris, puan kena lantik pihak ketiga sebagai orang tengah. Ini untuk memastikan, puan mendapat nasihat yang betul dan hak puan serta anak terbela.”
Jika Mak Ayah Mentua Enggan Lepaskan Hak Faraid Atas Rumah..
Walaupun bahagian puan di atas rumah tu hanya 1/8, puan masih boleh mohon Hak Harta Sepencarian. Bahagian mak ayah mertua akan semakin kecil selepas ditolak dengan bahagian harta sepencarian.
Jika mak ayah mertua masih tak setuju melepaskan hak faraid atas rumah tu, minta bapa mertua tandatangan surat, “saya setuju mengambil duit pampasan ini sebagai bahagian faraid saya dari harta si mati dengan sepenuh kesedaran bahawa tanggungjawab untuk menanggung anak si mati iaitu cucu saya adalah di bawah tanggungjawab saya sebagai datuknya.”
Lepas ni kalau datuk tu senyap dan buat tak tahu pasal cucu tu, puan boleh failkan tuntutan nafkah untuk anak puan di Mahkamah Syariah. Faham?
“Alhamdulillah faham puan. Terima kasih puan. Saya memang tak tau langsung pasal hak saya. Kan bagus kalau ramai wanita yang tau hak mereka. Tak adalah mereka kena lalui apa yang saya dah alami..” ada sinar di matanya. Ada senyum di bibirnya. Alhamdulillah.. lega saya drama air mata kali ini tidak berpanjangan.
Sejenak saya terfikir. Aduhai wanita.. kalau kita sendiri yang tak mempertahankan hak kita siapa lagi?
Sumber/Foto : Roslina Sabiyah & Co
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
7 Tahun Ikhtiar Hamil, Duit Habis Beribu Sampai Izinkan Suami Kahwin Lain, Sudahnya..

Isi Kandungan
ToggleUjian suami isteri ikhtiar hamil, yang begitu menantikan cahaya mata lagi-lagi yang dah bertahun kahwin masih juga ‘kosong’, sungguh tak dapat dizahirkan perasaan itu.
Macam-macam perasaannya, antara tak sanggup mendengar pertanyaan ‘orang’, rasa bersalah tak dapat beri yang terbaik untuk suami atau isteri, rasa tertanya mengapa Allah uji begitu begini.
Sungguh! emosinya cukup berat. Demi cahaya mata, sebut saja apa ikhtiar yang ada pasti akan dicuba. Bukan sedikit duit yang keluar, ada yang sampai puluhan ribu ringgit pun pernah dihabiskan. Ya.. demi cahaya mata, pernah juga mengizinkan suami berkahwin lain.
Mereka apa tahunya? Bertanya tanpa sedar, ‘soalan itu’ bisa bunyinya.. menghiris hati. Dan inilah yang dilalui oleh pesakit Ustaz Mujahidin Al Banjari dari Pusat Perubatan Islam Al-Mujahidin. Seusai rawatan ruqyah dengan ustaz, wanita ini meluah rasa.
Suami Isteri Habis Beribu Ikhtiar Hamil, Kesudahannya..
“Ustaz, hari ini saya buat rawatan dengan ustaz terasa sakit sangat. Ya Allah tak sangka, saya ada gangguan macam ini. Ustaz nak tahu, kami suami isteri dah habis beribu duit nak ikhtiar dapatkan zuriat.”
Dari rawatan di hospital. Jangan cakap lah.. sampai ke IVF pun kami dah buat tapi masih belum berjaya.
“Dua kali kami buat IVF dengan kos yang agak tinggi. Bukan mudah kami nak dapat duit. Suami kakitangan kerajaan. Dia sanggup buat pinjaman di bank semata-mata untuk ikhtiar rawatan IVF. Tetapi apakan daya, masih belum rezeki kami juga.”
Pasangan suami isteri ini sudah membuat pemeriksaan menyeluruh. Dan keduanya normal tanpa masalah.
“Kami juga cuba urutan bidan. Macam biasa kata bidan, peranakan jatuh, peranakan senget. Puas juga macam-macam. Pergi urut.. masih belum rezeki juga.”
“Kami ikhtiar juga makan ubat tradisional, jamu-jamu, ubat-ubat di pasaran. Ubat-ubatan jangan cakap lah kos beribu juga kami habis.”
Jelajah Satu Malaysia Ikhtiar Rawatan Islam
Sebelum ini, pasangan ini tak berapa percaya dengan rawatan Islam. “Saya pergi ke satu rawatan Islam. Ustaz tu tepuk keluar. Ya Allah banyak seperti habuk kaca keluar.”
“Masa tu berulang juga setiap minggu jumpa ustaz tersebut untuk buang apa yang ada dalam badan. Tapi masih belum ada rezeki juga.”
Sakit ketika itu, alhamdulillah akuinya makin berkurangan. Sebelum ini kerap sakit kepala. Lepas buat rawatan tepuk, sakit kepala hilang. Tapi sukar tidur malam dan mimpi buruk masih ada lagi.
“Sejak dari tu macam-macam saya jumpa perawat Islam. Sebab nak ikhtiar buang apa yang menganggu kami dan ikhtiar untuk hamil.”
“Ada yang letakkan harga sampai beribu. Kami bayar pun ada. Sebabnya kami terlalu inginkan anak. Masa tu kami tak fikir lagi perawat itu betul ke tak, tipu ke tak asal apa yang kami inginkan tercapai.”
“Ke Selatan, ke Utara, ke Timur dan ke Barat kami pergi cari perawat Islam. Tapi masih hampa. Masih menemui jalan buntu.”
Kebanyakan daripada perawatan Islam itu kata, sebaik discan kami tiada apa-apa. Jika jumpa tok bomoh, kata ada pula. Tapi cas duit lepas rawatan jangan cakap lah.
Duit Simpanan Makin Menyusut
“Sejak dari itu, duit simpanan kami makin menyusut. Harap duit gaji bulanan je lah.”
Bila usia perkahwinan dah masuk 7 tahun. Asal jumpa kawan-kawan, tiada soalan lain yang di tanya.
“Berapa orang dah anak kau sekarang?”
Walaupun ia hanya satu soalan, tapi amat buat diri ini terasa. Tambah-tambah lagi soalan itu di tanya oleh ipar duai, pakcik makcik, jiran tetangga.
Bila mereka bertanya terasa diri dan hati ini amat sukar nak diluahkan. Hati menangis tapi mulut masih berusaha mengukirkan senyuman.
Biasanya saya akan jawab, “Belum ada rezeki untuk saya dan suami ada anak lagi.”
Mana yang faham terus bagi semangat, bagi pandangan pun banyak. Saya hargai pada mereka yang bagi semangat.
Tapi ada juga menyindir di belakang, tarik muka bila berdepan. Kata tak pandai buat anak lah dan macam-macam lagi.
Sudahnya Izinkan Suami Kahwin Lain
“Kalau nak tadah air mata ini, dah berbaldi air mata ini keluar. Mujur ada suami, mak abah, mak ayah mertua yang amat memahami diri ini.”
“Pada mereka lah diri ini menumpang kasih. Syukur sangat pada Allah mereka amat memahami saya. Lagi-lagi suami dah berkorban dari segi wang ringgit, masa dan banyak lagi semata-mata untuk saya.”
Pernah satu masa saya meluahkan pada suami. “Abang jika abang nak sangat zuriat dari abang. Abang kahwin lah lain saya izinkan.”
Apa yang suami saya jawab, Ustaz nak tahu?
“Selagi sayang ada rahim, selagi itulah sayang boleh hamil. Cepat dengan lambat je. Abang amat sayangkan sayang. Susah senang walau apa pun terjadi abang nak hanya bersama sayang. Tak sanggup nak lukakan hati sayang..”
Lepas dengar jawapan dari suami. “Ya Allah rasa amat disayangi sangat-sangat. Rasa diri ini dihargai walaupun tak mampu bagi cahaya mata untuknya.”
“Hati isteri mana yang sanggup bermadu Ustaz? Tapi jika terpaksa demi kebahagiaan suami, saya sanggup berkorban Ustaz. Jika itu yang dapat bahagiakan suami.”

“Sebab saya amat sayangkan suami saya.”

Cemburunya.. Tengok Kawan, Baru Kahwin Dah Dapat Cahaya Mata
Bila tengok kawan-kawan baru kahwin, tak lama lepas tu dengar mereka hamil. Cemburu sangat hati ini pada mereka.
“Sekejap je kahwin dah dapat merasa jadi seorang ibu. Tapi yang membuatkan saya jadi kuat dan sabar adalah suami saya. Dialah yang akan memeluk tubuh saya ketika saya dalam kesedihan.”
Bila dah jadi begini, sifat saya pada suami pun jadi berubah. Saya jadi kuat cemburu. Saya jadi cepat fikir bukan-bukan pada suami. Saya takut kehilangan suami.
Bila suami salah sikit pun saya cepat marah sebab emosi saya amat terganggu. Bila jauh amat rindu, bila dekat ada sahaja yang serba tak kena.
“Ya Allah.. saya sayang suami saya Ustaz. Saya tak nak kehilangan dia.” (Terus suami pesakit saya tadi peluk isterinya, kucup dahi beliau ) Berlinar air mata mereka.
Menitis juga air mata saya melihat keadaan mereka berdua tika itu.
Rupanya Wanita Tadi Alami Gangguan Saka Keturunan
Itulah cerita salah seorang pesakit yang datang terima rawatan dengan saya. Beliau datang ikhtiar hamil. Beliau bila di ruqyah rupanya mengalami gangguan saka keturunan.
Meracau beliau bila di ruqyah. Kesakitan yang amat sangat bila di ruqyah di perut dan di belakang beliau. Beliau diganggu oleh Saka Keturunan Nenek Kebayan.
Disebabkan gangguan itu menjadi salah satu asbab yang membuatkannya sukar hamil.
“Saya yakin di luar sana ada yang mempunyai masalah yang sama seperti cerita di atas. Jika anda tidak keberatan boleh kongsikan cerita anda.”
Ya Allah..
Kau Hadirkanlah benih zuriat pada Rahim semua pesakit-pesakit ku.
Permudahkanlah mereka mendapat cahaya mata yang pertama.
Cahaya mata yang soleh dan solehah.
Aamiin Ya Allah..
Sumber/Foto : Pusat Perubatan Islam Al Mujahidin
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Tipulah Tiada Rasa Malu, Tapi Ini Ketentuan.” Tidak Simpan Dendam, Sudah Maafkan Ayah

Isi Kandungan
Toggle“Tipulah tiada rasa malu, tapi ini ketentuan. ” Tidak simpan dendam, sudah maafkan ayah, kerana dia telah pun menerima hukuman.
Sebagai manusia apatah lagi kala itu baru berusia lapan tahun ketika kejadian, sudah tentu dirinya dihimpit rasa malu. Namun lama-kelamaan gadis ini redha dengan takdir Allah.
Tipulah Tiada Rasa Malu
Kejadian 1.30 pagi 12 tahun lalu meninggal seribu kenangan yang tidak mungkin terpadam dalam lipatan sejarah hidup saya buat selamanya.
“Dalam kejadian 8 Ogos 2010, ketika saya sedang tidur tiba-tiba wajah saya terasa panas dan sakit selepas terkena asid yang disimbah bapa,” kata Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 20, dari Kampung Sekayu, Kuala Berang, Terengganu.
Artikel Berkaitan : Terlampau Sakit Hati, Isteri Nekad Simbah Asid Ke Muka Suami Yang Curang
Tapi Ini Ketentuan
Menurutnya, walaupun kejadian sudah lama berlalu dan bapanya sudah menerima hukuman atas perbuatan itu namun dia tidak menyimpan dendam serta sudah memaafkan bapanya.
Katanya, pada peringkat awal kejadian situasinya amat sukar kerana perlu menghadapi pelbagai tanggapan negatif selain menjadi tumpuan masyarakat.
Baca Di Sini : Gara-gara Enggan Bayar Sewa, ‘Pak Mat’ Bertindak Kejam Simbah Asid Pada Anak-anak Tuan Rumah
Tidak Simpan Dendam
Dahyatul berkata, dia mengakui tidak mempunyai kekuatan mental selepas kejadian itu memandangkan usianya ketika itu baru lapan tahun.
“Tipu sekiranya tidak malu dengan keadaan seperti ini namun saya menerima ketentuan yang sudah ditakdirkan oleh Allah dengan hati yang terbuka.
“Bapa selalu datang menjenguk saya dan adik-beradik lain sekiranya mempunyai masa terluang dan kami sekeluarga juga akrab dengannya yang tinggal di kampung sebelahan,” katanya.
Juga Di Sini : Suami Tergamak Curah Asid Pada Isteri Sendiri Gara-Gara Tak Puas Hati Lahirkan Anak Perempuan
Sudah Maafkan Ayah
Menurutnya, akibat kejadian itu, dia kini sesekali mengalami masalah sukar bernafas berikutan keadaan hidung yang tidak sempurna.
Katanya, sekiranya diberi peluang untuk mendapatkan rawatan dia masih mahu meneruskannya kerana ingin mengurangkan kesan akibat luka yang berlaku pada wajahnya.
Jelas Dahyatul, dalam kejadian itu ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang dan adiknya, Mohd Irfan Firdaus Mat Haizan turut terkena asid yang disimbah bapanya namun kecederaan keduanya tidak seteruk dirinya.
“Semoga apa yang berlaku kepada diri saya ini menjadi tauladan kepada masyarakat di luar sana supaya tidak mengambil tindakan mengikut nafsu ketika berlaku perselisihan keluarga hingga mendatangkan kecederaan kepada anak-anak,” katanya.
Mingguan Wanita : Murni sungguh Dahyatul, dia redha dengan apa yang berlaku serta mampu memaafkan ayahnya. Semoga adik Dahyatul terus kuat menghadapi ujian mendatang.
Sumber : myMetro

ZAMAN DAHULU BOLEH LAH NAK PERMAINKAN WANITA. SEKARANG ‘BIG NO’ Wanita hari ini PANTANG DICABAR!
Pernah diperlekehkan? Dipijak kepala? Buli atau takut berdepan masalah hidup? Dengar apa nasihat pakar. Jom sertai webinar sehari, AURA: Wanita Pantang Dicabar ini.
Klik link ini untuk daftar penyertaan: https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-aura-wanita-pantang-dicabar/ atau whatsapp : http://www.wasap.my/60196328758/DaftarAura
Follow kami di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI