Bukan suatu perkara yang mudah menelan sebuah kehilangan. Apatah lagi kehilangan seorang anak. Mendapatkan perkhabaran gembira usai sepurnama melafazkan ijab dan kabul, menambahkan sinar bahagia buat pasangan Siti Nur Baizura Kamaruddin, 28 tahun dan Abu Nain Umar, 29 tahun. Biar pun pasangan ini langsung tidak sangka mendapatkan cahaya mata secepat mungkin, tetapi sudah tertulis rezeki, mereka berdua menerima dengan hati yang terbuka.
Tiada Masalah
Ternyata sepanjang kehamilan Siti NurBaizura atau mesra dengan panggilan Jojo tidak berhadapan dengan masalah kehamilan yang kronik. Seperti ibu-ibu lain, dirinya tidak terlepas daripada fasa alahan di trimester pertama. Dirinya agak lesu dan lelah melalui tiga bulan pertama. Namun tidak lama, memasuki trimester kedua segalanya berjalan seperti biasa.
Begitu juga ketika proses bersalin, segalanya berjalan lancar. Tanggal 24 May 2017, lahirlah puteri yang diberi nama Abu Zea Ophelia seberat 2.3 kilogram. Setelah menjalani proses berpantang, tibalah masanya Jojo kembali bekerja. Biar pun pedih hatinya untuk meninggalkan cahaya mata yang baru berusia dua bulan bersama pengasuh, dia tetap keraskan hati.
Baginya situasi ini pastinya turut dirasai oleh ibu-ibu lain yang terikat dengan kerjaya masing-masing. Lagi pula pengasuh anaknya telah dicari sejak awal lagi, ketika belum melahirkan sebagai persiapan awal. Segalanya bermula tanpa dirancang apabila Jojo yang menjalani rutin pemeriksaan bulanan di Klinik Kesihatan tanpa sengaja berjumpa dengan pengasuhnya.
Selidik
Hanya sekadar berbual kosong, akhirnya janji termateri yang sebaik sahaja bersalin nanti, Jojo akan menghantar anaknya kepada pengasuh tersebut yang tinggal tidak jauh daripada kediaman mereka. Sebelum kembali bekerja, Jojo dan suaminya ada berjumpa beberapa orang pengasuh sebelum memilih untuk menghantar kepada pengasuh tersebut.
“Awal-awal lagi saya dah selidik dengan dia bila dapat tahu dia juga menjaga empat orang anak orang lain. Risau juga sebab semuanya bayi di bawah umur setahun, yang dijaganya seorang diri. Tetapi kami tetap hantar seperti biasa. Tetapi selepas sebulan, mula berlaku beberapa kejadian yang buatkan kami seperti ingin mencari pengasuh lain.
‘Pernah sekali anak saya Opie lebam di bahagian telinga, alasan digigit semut. Ada pula satu ketika, bibir Opie macam ada kesan luka sebab terkena botol susu. Macam-macam telah berlaku dan dalam diam kami usahakan untuk mencari pengasuh lain tetapi ada sahaja halangan. Sebelum kejadian itu berlaku pun, kami sedang menunggu seorang pengasuh lain untuk menjaga anak kami.
‘Hati saya memang risau bila nampak pengasuh ini macam cuai dalam menjaga anak kami dan anak-anak orang lain di bawah jagaan dia. Tetapi kami masih tidak dapat mencari pengasuh lain hinggalah kejadian yang meragut nyawa anak kami berlaku,” ungkap Jojo sebak.
Ads
Terima Jasad kaku
Masih segar lagi di ingatan, di satu pagi Jumaat yang hening. Seawal pagi dalam kesibukan bersiap ke tempat kerja, Opie bereaksi seperti biasa. Dia tersenyum apabila dipanggil sambil ralit menonton video kegemarannya di kaca televisyen. Segala telatahnya seperti biasa, seperti hari-hari lain. Jadi ia langsung tidak menimbulkan kemusykilan di hati pasangan suami isteri ini.
Setelah menghantar Opie ke rumah pengasuh, Abu Nain menghantar isterinya ke pejabat. Lewat tengah hari, Jojo mendapat panggilan daripada pengasuh yang Opie asyik menangis sejak pagi, tidak mahu tidur dan tidak mahu minum susu. Dalam masa yang sama pengasuhnya meminta izin untuk menidurkan Opie dalam buaian kerana selama ini bayinya hanya tidur di tilam.
“Saya cuba fahami situasinya, kita tahu kalau bayi asyik menangis pasti kita risau. Lagi pun dia ada jaga anak-anak lain. Jadi saya izinkan dia untuk letakkan anak saya dalam buaian jika itu memudahkan tugasnya. Selepas beberapa jam, saya hubungi dia dan dia katakan Opie makin baik. Jadi saya pun tiadalah banyak bertanya. Tetapi petang itu ketika suami datang jemput untuk pulang kerja, sekali lagi pengasuh saya telefon dan beritahu Opie sudah berada di hospital.
“Ketika itu memang kami tak boleh nak fikir apa, terus ke Hospital Shah Alam. Lihat anak kami di zon merah, hati kami jadi tidak keruan. Saya cuba dapatkan anak saya dan doktor yang berada di situ beritahu anak saya diserang sawan. Doktor sudah beri ubat dan mereka sedang menunggu respons daripada anak kami. Tetapi malangnya anak kami berulang kena sawan ketika itu.
“Jadi doktor ambil keputusan untuk lakukan CT scan dan daripada situlah baru diketahui bahawa ada pendarahan pada otak Opie. Pengasuh yang berada di situ bermati-matian jelaskan yang Opie tidak pernah jatuh,” cerita Jojo satu persatu.
Ads
Terdapat Kesan Retak
Komplikasi yang dilalui Opie memerlukan dirinya untuk melalui pembedahan segera dan seterusnya dirinya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur kerana terdapat pakar. Pembedahan ini perlu dilakukan untuk mengeluarkan darah beku yang terdapat pada otak anak mereka.
Selepas tiga jam pembedahan berlangsung, doktor berjumpa pasangan ini dan menyatakan keadaan anak mereka dalam keadaan 50-50. Segalanya bergantung kepada Opie dan juga takdir, sekiranya dia kuat, dia akan pulih, begitu jugalah sebaliknya. Doktor juga terkejut dengan keadaan otak Opie yang seolah-olah menerima tekanan yang amat kuat.
Biar pun pedih untuk menelan kenyataan, Jojo dan Abu Nain berdoa agar keajaiban berlaku. Sejak pembedahan itu sehinggalah di hari terakhirnya, permata hati mereka berdua tidak sedarkan diri dan hanya bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dalam berjuang meneruskan hayatnya.
Ketika ditempatkan di dalam Unit rawatan Rapi, Opie berada di ruang khas dan rupa-rupanya kes Opie paling kritikal pada ketika itu. Sedih mengenangkan situasi tatkala berada di wad, apatah lagi melihat jasad kecil yang baru berusia tujuh bulan berselirat wayar. Baik Jojo atau Abu Nain, masing-masing tidak mampu menahan sebak.
“Ada ketika saya bisik pada telinga Opie agar dia terus kuat untuk teruskan hidup. Tetapi ada ketikanya saya juga hampir putus asa apabila berjumpa ramai pakar, mereka pula berbeza pendapat. Kami sendiri keliru, tetapi dalam masa yang sama tidak putus berdoa agar Allah panjangkan umur Opie.
“Malam sebelum Opie pergi, ada ketua pakar berjumpa kami dan memberi pilihan sama ada kami memilih untuk meneruskan agar mesin oksigen dan ubat tidur Opie diteruskan atau tidak. Biar pun berat, kami akhirnya memilih untuk berserah pada takdir yang telah Allah tentukan.
“ Lebih-lebih lagi dengan keadaan Opie yang lemah, jadi bukan mudah untuk dia teruskan hidup,” celah Abu Nain yang akhirnya tidak mampu menahan air mata setelah anaknya pergi buat selamanya pada 14 Januari 2018.
Ads
Bukan Mudah Terima Takdir
Sebenarnya amat berat untuk menerima sebuah kehilangan, apatah di saat sedang ralit membesarkan anak yang telah mula berkeletah. Senyumnya, tawanya, tangisannya menjadi setiap momen terindah buat pasangan ini. Berat mata memandang, lagi berat bahu yang memikul.
Jojo sendiri hingga saat ini, dirinya terasa belum mampu untuk menerima segala yang berlaku. Tipulah jika dia mampu melupakan apa yang terjadi. Setiap masa bila terkenang Opie, pasti berjuraian lah air matanya. Begitu juga Abu Nain, kehadiran Opie banyak mengajar dirinya untuk bergelar seorang bapa yang bertanggungjawab, belum puas mengecap nikmat, pinjaman Allah ditarik balik.
Tetapi sebagai manusia biasa, baik Jojo atau Abu Nain sendiri, mereka perlu reda jika ini ujian yang perlu mereka hadapi. Bukan mudah tetapi perlu jua telan biar pedih, biar sakit. Ternyata kejadian yang menimpa kanak-kanak yang senasib Opie amat mengguris perasaan pasangan ini. Semoga pasangan ini dikurniakan kebahagiaan dan kekuatan dalam meneruskan hidup.
Menurut pegawai polis yang mengendalikan kes ini, katanya kecederaan yang dialami Opie mungkin disebabkan oleh kesan benda tumpul. Mereka berdua tidak mampu memberi komen lanjut kerana segalanya masih dalam proses siasatan.
Tetapi hati ibu dan bapa mana yang tidak pedih melihat pesalah yang menyebabkan kematian anak mereka tidak diadili. Dirinya hanya tidak dibenarkan untuk menjaga budak lagi buat masa ini, tetapi dia masih bebas di luar sana. Pasangan ini berharap agar pengasuh mereka mendapat balasan yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Apabila suaminya dihantar bertugas di Republik Namibia, kerisauan melanda di hati. Bagaimana agaknya keadaan di negara yang cukup asing bagi dirinya itu. Begitulah yang dialami oleh Puan Ida Alina Salleh, 46, yang menetap di Namibia sejak Januari 2016 kerana mengikut suami yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke negara tersebut.
“Mungkin ada banyak salah faham di kalangan kita tentang negara-negara di Afrika. Benua Afrika amat besar. Namibia terletak di selatan benua, berjiran dengan negara Afrika Selatan. Penduduknya hanya 2.5 juta orang dan kawasan Savannah yang luas menjadi tempat permainan berbagai-bagai haiwan liar yang amat cantik.
“Alhamdulillah, tidak banyak masalah bagi kami untuk menyesuaikan diri di sini. Rakan-rakan kami sekeluarga tidak terhad daripada kalangan kumpulan diplomatik saja. Kami gembira kerana dapat bergaul dengan masyarakat Namibia tanpa mengira pekerjaan atau taraf hidup mereka,” ujar Ida Alina memulakan bicara.
Aktif Aktiviti Kebajikan
Menurut Ida Alina, di sana dia banyak terlibat dengan aktiviti-aktiviti NGO dengan penduduk setempat. “Sebagai isteri seorang Pesuruhjaya Tinggi dan ibu kepada anak yang masih bersekolah, aktiviti harian saya amat padat. Selain membantu dalam penyelenggaraan kerja-kerja keraian di Rumah Malaysia, dan mengambil bahagian dalam kerja-kerja kebajikan bersama Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (Perwakilan) bersama-sama dengan warga Malaysia di Namibia, saya juga terlibat dengan aktiviti-aktiviti persatuan pasangan diplomat di Namibia (Association of Diplomatic Spouses in Namibia).
“Sejak kami tiba di Namibia, nasib anak-anak dan wanita miskin menjadi fokus aktiviti kebajikan kami di sini. Saya bersyukur kerana Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini juga amat prihatin dan telah memilih untuk membantu pusat anak-anak yatim dan miskin Mammadu di Otjomuise. Bersama Perwakilan, kami mengadakan program makanan sihat di mana kami menyediakan makan tengahari dan sumbangan barang makanan ruji bagi anak-anak di pusat ini sebulan sekali. Pada bulan Ramadan, kami menjalankan program ini seminggu sekali,” jelas Ida Alina.
Program Bantu Kanak-Kanak Celik Huruf
Buat masa ini, Ida Alina juga meluangkan banyak masa menjalankan aktiviti-aktiviti dengan program “Read Namibia”.
“Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membaca pada umumnya, serta menyediakan bahan bacaan dan aktiviti membaca bagi anak-anak miskin dan terpinggir. Program ini disokong oleh Kementerian Pendidikan,
Kesenian dan Kebudayaan Namibia, dan turut disertai oleh Wanita Pertama Namibia, Madame Monica Geingos.”Tahap pendidikan di Namibia, sama seperti di Malaysia. Sistem persekolahannya juga berasaskan sekolah rendah, menengah dan pendidikan tinggi. Memandangkan usia negara yang masih muda, masih terdapat cabaran bagi setengah-setengah anak muda untuk mencapai impian ke menara gading, sebagaimana keadaan negara kita pada satu masa dahulu.
“Buat masa ini, saya merupakan Pengerusi bagi Perwakilan Namibia dan Presiden bagi Persatuan Pasangan Diplomatik (ADS). Saya juga merupakan salah seorang daripada kumpulan pengasas bagi program Read Namibia. Saya juga sukarelawan yang menjalankan kelas membaca bagi anak-anak yang memerlukan di sekolah Combretum Trust.
“Sebagai Presiden Persatuan Pasangan Diplomatik, tugas-tugas menyelenggarakan aktiviti-aktiviti amal mengambil masa kerana ianya perlu dijalankan dengan teliti dan sempurna. Alhamdulillah, kami berkerjasama seperti adik- beradik dan pada tahun 2017, persatuan ADS berjaya menjalankan dua aktiviti kutipan amal iaitu Bazaar Antarabangsa ADS dan ADS Gala Dinner. Aktiviti-aktiviti ini berjaya mengisi tabungan untuk projek bangunan bagi anak-anak yang memerlukan di Mammadu Trust.
“Bagi Read Namibia, tugas saya banyak berkisar dalam membantu menyelenggarakan program-program membaca. Saya juga terlibat dalam melatih guru-guru di sekolah melalui bengkel-bengkel metodologi membaca dan penyediaan bahan alatan mengajar. Satu lagi tugas saya adalah membantu melatih sukarelawan-sukarelawan baru dari Namibia yang akan meneruskan usaha Read Namibia menganjurkan aktiviti-aktiviti membaca di dalam komuniti masing-masing, dan jugasebagai barisan pelapis yang akan meneruskan program Read Namibia sepeninggalan kami dari negara ini,” jelasnya lagi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tular di media sosial, Adik Muqri masih memerlukan sejumlah wang untuk pembedahannya sebab sawan. Kalau sawan yang biasa kita tengok anak jadi kejang disertakan dengan pergerakan mata hitam ke atas atau ke tepi mata, lelehan air liur, terkencing dan terbuang air besar. Kadang-kadang, mulut atau hidung pesakit akan kelihatan kebiru-biruan (tanda tidak cukup oksigen).
Tetapi ini lain ceritanya, Adik Muqri akan jatuh setiap kali diserang sawan. Bagi ketahui lebih jauh tentang penyakit adik Muqri, ikuti perkongsian daripada saudara Faizal Kamaruddin.
Bukan Sawan Biasa-biasa
Saya memohon dengan sepenuh hati jasa baik tuan puan untuk menderma sejumlah wang bagi pembedahan otak anak kawan saya Muqri bin Mohd Moses Dzulkarnaen yang menghidap Refractory Epilepsy with Left Frontal and Posterio Occipital Encephalomalacia yang mana dia mengalami sawan ‘atonic head drop’ hampir 20 kali sehari.
Muqri telah bergantung dengan ubat selama 2 tahun dan hasil perbincangan konsultan neurologi pediatrik menganggarkan 70% simptom ini dapat dikawal dengan intervensi awal pembedahan.
Adik Muqri bakal menjalani pembedahan otak pada bulan Februari nanti yang menelan belanja rm65k secara keseluruhan. Setakat ni masih perlukan rm30k bagi biaya pembedahan.
Saya dengan rasa rendah diri dan menadah 2 tangan meminta tuan puan menghulurkan bantuan meringankan beban biaya pembedahan Muqri dan supaya dia membesar jadi anak soleh yang boleh mendoakan anda semua.
Sebarang bantuan boleh dihulurkan ke akaun ibu Muqri:
MBB Current account: 512268519022
Cimb: 7010149417
Ili Farhana binti Mohamad Zarafi
Allah sahaja yang mampu membalas jasa baik anda semua.
Nota:
Di bawah adalah video atonic head drop seizure Muqri, nampak macam budak terjatuh sebab tersalah pijak sebab presentasi sawan ni tak sama seperti sawan yang biasa kita lihat seperti grand mal (tangan ketar mata naik atas air liur meleh) atau lain-lain seizure yang biasa kita lihat.
Sekian.
Bagi Yang Nak Hulurkan Bantuan
MBB Current account : 512268519022
Cimb : 7010149417
Ili Farhana binti Mohamad Zarafi
Tel: 017-6023413
Mohd Moses Dzulkarnain
Updated:
Maybank acc suspended sebab banyak transaction. Ni back up acc
MAYBANK CURRENT ACC : 512268519022
Ili Farhana binti Mohamad Zarafi
Lagi 13K, mohon panjangkan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Malang tidak berbau, itulah nasib yang menimpa pasangan bakal pengantin dari Zimbabwe ini.Dalam menanti saat bahagia disatukan sebagai suami isteri, kejadian tragis diserang buaya mengubah segalanya.
Pasangan ini diserang buaya hingga mengakibatkan pengantin perempuan kudung pada tangan kanannya dan mengalami kecederaan pada tangan kirinya. Namun pasangan ini tetap meneruskan perkahwinan mereka di sebuah hospital di Zimbabwe walaupun baru 5 hari kejadian tersebut berlaku.Memang hebat dan berhati kental.
“Dalam tempoh seminggu, ‘mimpi ngeri’ itu bertukar menjadi pengalaman luar biasa dan menakjubkan,” kata warga Britain, Jamie Fox, 27.
Diserang Ketika Berkanu
Pada 30 April lalu, Fox bersama tunangnya, bekas pemain tenis, Zenele Ndlovu sedang berkanu di Sungai Zambezi yang juga merupakan antara sungai terpanjang di Afrika dan mereka diserang buaya secara tiba-tiba.
“Saya hanya mampu menjerit dan cuba untuk menyelamatkannya. Dia langsung tidak mengadu sakit selepas berjaya ditarik keluar dari sungai itu dalam keadaan berlumuran darah, mungkin kerana dia masih terkejut.
“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana masih hidup dan dapat meneruskan hari bersejarah kami walaupun lokasi bersejarah terpaksa ditukar kerana Ndlovu masih dirawat di hospital,” katanya.
Jelasnya lagi, dia melamar wanita bertuah itu pada Februari lalu selepas menjalin hubungan cinta selama kira-kira 18 bulan.
“Kami berharap dapat menetap di Britain dan saya telah menguruskan visanya. Selepas segala urusan itu selesai, kami akan fikirkan pula tentang lokasi bulan madu,” ujarnya.
Apa-apa pun tahniah dan selamat pengantin baru buat pasangan ini. Tahniah juga buat pengantin lelaki yang tetap setia dan meneruskan perkahwinan ini walaupun, tunangnya telah kudung dan menjadi orang kurang upaya.
Ibu kepada mangsa tragedi pembunuhan pelajar Bandar Utama mendedahkan anaknya ditikam lebih 200 kali. Beliau menafikan dakwaan palsu dan menyeru agar kejadian tragis ini tidak berulang di sekolah lain.