Cuba tanya kepada diri anda sendiri dan jawab secara jujur. Berapa kali dalam sehari anda menjengah laman Facebook, Whatsapp, Instagram dan lain-lain platform media sosial itu? Lebih daripada sepuluh kali, betul tak?
Ya, memang media sosial sangat berguna dalam kehidupan hari ini. Anda boleh berhubung dengan rakan dan keluarga. Boleh berkongsi foto, video dan cerita. Jika anda kaki buat duit, dunia media sosial adalah lubuk emas yang pasti diterokai.
Namun seperti ubat dan vitamin. Jika betul sukatan membawa kebaikan dan jika terlebih membawa pening. Bukan rahsia lagi apabila media sosial memberikan gangguan jiwa yang dipanggil FOMO. Ini adalah singkatan kepada ‘Fear of Missing Out’ iaitu dorongan berlebihan untuk mengikuti ‘trend’ di dalam laman sosial. Selain itu semua orang tahu media sosial juga menjadi lubuk gosip dan sangat terbuka untuk aktiviti ‘mengumpat’ cara moden.
Ads
Ramai berkata yang mereka kebal daripada ancaman ini. Ya, anda kebal tetapi orang yang menjadi sebahagian hidup anda tidak begitu. Maksudnya apabila anda tersilap langkah di laman sosial pasti ada orang lain yang terseksa.Ok, jom tengok bagaimana ini boleh berlaku…
1. Tak sedar buka aib pasangan sendiri
Biasalah dalam rumah tangga pasti ada selisih faham. Anda pula merasa yang anda ‘popular’ di Facebook, Twitter dan Instagram. Jadi anda rasa perlu berkongsi segalanya dengan ‘peminat’ anda. Ya, anda mungkin ‘OK’ berkongsi begitu tetapi tidak suami anda. Sebenarnya berkongsi hal-hal hujan ribut dalam rumah tangga bukan sahaja bersifat tidak matang tetapi juga biadab. Anda dan suami mempunyai ahli keluarga. Contohnya anak sendiri, adik beradik dan keluarga mentua. Jika diri sendiri tidak ada muka untuk dijaga ingatlah untuk menjaga air muka orang lain.
Ads
2. Tak menghargai orang depan mata
Bayangkan jika skrin telefon itu sudah seperti menjadi kulit tapak tangan anda. Tidak ada yang lebih menyakitkan hati pasangan anda apabila dia melihat anda begitu. Bayangkan semasa dia berbual mata dan tangan anda masih sibuk di skrin telefon. Tahukah anda apa yang dia fikir? Jika anda tidak tahu, biar saya bagi tahu. Dia pasti berkata yang anda tidak berminat dengan apa yang dia sedang sebutkan.
Ads
3. Undang perang dingin
Dunia siber adalah dunia tanpa kawalan. Setelah anda memuat naik gambar di FB atau IG maka tidak sampai seminit kemudian sesiapa sahaja boleh melihat dan memberi komen. Memang niat anda jujur tetapi bagaimana jika yang memberi komen itu bekas kekasih anda atau bekas kekasihnya dulu? Rupa-rupanya selama ini mereka selalu mengintai laman sosial anda? Komennya pula seperti mahu merebut kebahagiaan anda. Agaknya apa yang anak-anak atau suami anda fikir tentang komen itu?
4. Hadir orang ketiga dalam rumah tangga
Ini yang paling bahaya. Memang betul kita selalu mendengar kisah gembira pasangan bertemu jodoh di media sosial. Tetapi tidak kurang juga rumah tangga yang runtuh kerana media sosial. Di luar anda boleh pegang lengan suami supaya tidak digugat gadis lain. Begitu juga dia boleh peluk dan lindungi anda daripada diganggu orang lain.
Namun itu tidak ada maknanya di laman sosial. Di media sosial seorang perempuan boleh kelihatan begitu suci dan seorang lelaki boleh kedengaran begitu alim. Fikiran bawah sedar anda mula membuat perbandingan dengan orang yang menjadi teman hidup anda selama ini. Fitrah manusia lebih mengira apa yang mereka tidak miliki berbanding dengan apa yang telah ada. Begitulah barah dalam rumah tangga pun bermula. Tepuk dada tanya selera.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebagai mak ayah, anda perlu sentiasa berusaha melengkapkan perlindungan maksimum imunisasi terutamanya dalam memastikan proses tumbesaran anak sentiasa sihat tanpa sebarang masalah kesihatan.
Ancaman penyakit berjangkit berisiko untuk bayi dan kanak-kanak kerana sistem imun mereka yang masih rendah berbanding orang dewasa.
Pengetahuan, sikap peka dan persediaan mak ayah dalam menghadapi ancaman penyakit menjadi penentu utama tahap kesihatan anak pada masa hadapan
Perkongsian mengenai Vaksin Dan Kanak-Kanak oleh Pengurus Farmasi, Columbia Asia Hospital Puchong, Charis Yap Lye Lee boleh dijadikan panduan.
Vaksin Main Peranan Cegah Penyakit Berjangkit
Di dunia ini, kita wujud berdampingan dengan pelbagai jenis bakteria dan virus. Kebanyakkan mikroorganisma ini tidak mendatangkan kemudaratan namun ada yang berpotensi untuk sebaliknya.
Vaksin memainkan peranan untuk mencegah penyakit berjangkit seperti polio, batuk kering dari merebak dan menjangkiti kita.
Pengurus Farmasi, Columbia Asia Hospital Puchong, Charis Yap Lye Lee
Apa itu vaksin
Vaksin mengandungi bakteria/virus atau komponennya yang telah dilemahkan atau dimatikan. Apabila diperkenalkan ke badan, ia akan merangsang sistem imun/pertahanan kita untuk bertindak dan mengenal pasti bakteria/virus ini sebagai ancaman, dan membina antibodi yang bersesuaian untuk memusnahkannya.
Antibodi yang dibina ini akan bertindak sebagai memori pertahanan badan untuk melawan jangkitan yang serupa pada masa depan.
Golongan Patut Dilindungi Adalah Bayi Dan Kanak-Kanak
Golongan yang patut dilindungi dengan pemberian vaksin adalah golongan bayi dan kanak-kanak yang berisiko tinggi kerana sistem imun mereka masih tidak matang.
Contohnya, vaksin BCG diberi kepada bayi selepas lahir untuk mencegah tuberculosis (batuk kering). Kerajaan mewajibkan pengambilan vaksin seperti yang disenaraikan dalam Jadual KKM di bawah.
Kerajaan mewajibkan pengambilan vaksin seperti yang disenaraikan dalam Jadual KKM
Malah terdapat juga vaksin tambahan/pilihan seperti pneumococcal, meningitis, Hepatitis A, influenza, varicella (cacar air), dan rotavirus yang boleh di dapati di kemudahan perubatan swasta.
Terdapat sesetengah vaksin memerlukan lebih daripada satu dos untuk memberi perlindungan maksimum (batuk kering, diptheria, tetanus) manakala ada sesetengah vaksin pula hanya memberi perlindungan untuk tempoh terhad (contohnya, tetanus) maka booster dos diperlukan.
Kesan Sampingan Jika Ada, Biasanya Adalah Ringan
Adalah sangat penting untuk melengkapkan siri vaksin untuk memastikan perlindungan maksimum. Cuba untuk mematuhi jadual immunisasi yang ditetapkan dan jika sekiranya terpaksa ditunda, digalakkan untuk mengambil immunisasi secepat mungkin.
Vaksin, seperti semua ubat-ubatan, berkemungkinan mendatangkan kesan sampingan. Bukan dikatakan semua yang mengambil vaksin akan mendapat kesan sampingan tetapi jika ada, biasanya adalah ringan seperti demam dan sakit pada tempat suntikan yang boleh sembuh dengan cepat.
Sumber: Pengurus Farmasi, Columbia Asia Hospital Puchong, Charis Yap Lye Lee
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tinggal beberapa hari lagi nak sampai 10 Zulhijah. Masa ini umat Islam meraikan Hari Raya Aidiladha. Jadi, sebelum bermulanya takbir Aidiladha, marilah gunakan masa yang berbaki ini untuk gandakan amalan kebaikan di 10 hari awal Zulhijah ini.
Seperti yang dikongsikan Najmi Farisham, mahasiswa Islamic University of Madinah ini, ada keistimewaan dalam 10 hari awal Zulhijah ini yang tuhan kumpulkan untuk hambanya. Sebab itulah, beruntung jika segera rebut amalan yang masih berbaki ini.
Terhimpun Ibadat Besar Dalam 10 Hari Awal Zulhijah
Kita sudah berada di 10 hari awal Zulhijah. Hari-hari yang mana Tuhan sebutkan khas di dalam al-Quran. Suatu hari yang dikhabarkan oleh Baginda SAW bahawa amal soleh yang dilakukan padanya sangatlah dikasihi Allah SWT.
Istimewanya hari-hari ini kerana terkumpul beberapa ibadat besar padanya. Ada solat, puasa, sedekah dan haji. Ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sekaligus dalam satu-satu masa.
Disebabkan itulah, kita semua disunatkan untuk perbanyakkan amal ibadat pada 10 hari ini. Sudah semestinya ia mempunyai kelebihan yang besar di sisi agama. Lakukan dan tingkatkanlah amal kebaikan pada hari-hari ini.
Amalan 10 Hari Awal Zulhijah
Antara yang boleh dilakukan adalah:
1. Sentiasalah solat berjemaah dan lazimilah masjid selalu. Perbanyakkan solat-solat sunat tidak kira masa dan waktu. 2. Digalakkan berpuasa sunat. Sama ada puasa Isnin Khamis ataupun Puasa Nabi Daud iaitu puasa selang sehari. Hari ini puasa, esok tak, lusa puasa balik. 3. Perbanyakkan zikir Takbir, Tahlil dan Tahmid kepada Allah SWT tidak kira masa dan tempat. 4. Perbanyakkan juga mengaji al-Quran. Hari-hari biasa pun, setiap satu huruf diberi 10 pahala. Inikan pula hari-hari terbaik dalam setahun ini. 5. Berpuasa pada hari Arafah. Puasa ini disunatkan kepada mereka yang tidak menunaikan fardu haji. Oleh kerana tahun ini, kita semua tidak berpeluang ke sana, ambil peluang besar ini sama-sama.
Sebuah hadis Nabi SAW menyatakan bahawa Puasa Hari Arafah dapat menghapuskan dosa setahun sebelum dan setahun akan datang. Lumayan kan? 6. Perbanyakkan bersedekah infak kepada mereka yang memerlukan. Setiap satu infak itu akan digandakan 70 kali kebaikan pahalanya. Bayangkan dibuat pada hari yang dikasihi Tuhan. Dahulukan kaum kerabat kita dahulu. Pasti lebih afdal.
Paling Penting! Jangan Lupa Berdoa..
Ini antara amalan ibadat yang boleh kita buat sepanjang 10 hari awal Zulhijah ini. Dan paling penting, jangan lupa untuk berdoa. Ini pengharapan dan kebergantungan kita pada-Nya. Doakan diri sendiri, kaum keluarga dan umat Islam seluruhnya.
Khabarkan kepada kenalan kita semua akan kelebihan 10 hari ini. Boleh jadi ada yang langsung tak perasan dek sibuk itu dan ini. Sama-sama kita cuba sebaik dan semaksima mungkin ya, insya-Allah.
Itulah.
Sumber/Foto : Najmi Farisham, sebarkan manfaat. *Artikel diterbitkan dengan keizinan daripada penulis.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Naluri ibu, sesuatu yang dimiliki dan dianugerahkan oleh seorang ibu terhadap anak dan boleh jadi pada suaminya. Itulah yang boleh diceritakan oleh seorang ibu apabila anaknya tiba-tiba demam panas yang tinggi dan sawan sebaik bermain dengan seekor anak kucing yang sakit.
Dalam perkongsian oleh Nurli Isnin di Facebooknya turut memohon pembaca untuk mendoakan buat anaknya Anaqi, 5 tahun yang kini berada di hospital untuk rawatan lanjut.
Dari masa kesemasa, Nurli turut berkongsi perkembangan Anaqi. Alhamdulillah, keadaan semakin pulih tapi masih belum dapat kesan punca penyakit anaknya. Tapi naluri ibu mengatakan punca itu dari anak kucing yang sakit dan tidak terurus.
Naluri Ibu, Anaqi Demam Selepas Bermain Anak Kucing Sakit
Tarikh 13/7/2022 dan 14/7/2022
Saya dan suami berserah dan bertawakal Allah, moga dipermudahkan urusan.
Pada hari rabu lepas, doktor telah mengambil air tulang belakang dan keputusannya perlu tunggu 10 hari bekerja. Doktor beritahu sampel air tulang belakang akan di hantar ke makmal Hospital Kuala Lumpur untuk tahu virus apa yang menyerang otaknya.
Doktor masih tidurkan Anaqi dan diberikan antibiotik. Bacaan darah merah dah mula stabil dan bacaan tekanan darah juga dah menunjukkan stabil tapi ada ubat sokongan jantung lagi cuma dosenya direndahkan..
Kisahnya bermula bila Anaqi mula demam selepas main tanah di depan rumah. Dia guna peralatan ceduk dan masukkan tanah di botol dan saya perasan ada najis kucing di situ. Saya melarangnya terus dia masuk ke rumah.
.
Demam on off dalam beberapa hari dan dia sihat lepas makan ubat demam, aktif dan ceria.
Selepas baik demam dia ada pegang anak kucing yang sakit, berair mata, berlendir mulut dan kucing kurus itu tidak bermaya. Dia pegang dan main kucing itu di belakang rumah. Saya melarangnya dan dia masuk ke dalam rumah.
Bermulalah Demam Lagi
Selepas dari itu, dia demam lagi untuk beberapa hari. Bagi ubat demam ok dan kembali demam semula, sampailah muntah, tak lalu makan. Bila balik kampung, panas badan dah berkurang.
Tapi pada pagi Jumaat, badan dia mula lemah, tidur saja dan jalan tak betul, tak nak makan dan minum, apatah lagi bercakap. Kami bawa dia ke dua klinik swasta untuk tahu sakitnya.
Sedihnya, doktor tak dapat nak kesan Anaqi sakit apa sebab suhu badan tak panas sangat dan hanya ada tonsel, sebab kurang minum air.
Akhirnya, doktor meminta kami rujuk ke Hospital Baling, Sepanjang berada di situ, Anaqi menunjukkan reaksi badan yang pelik, muka terherot, kaki dia terangkat, tangan terherot-herot, air liur meleleh, kancing gigi. Tapi suhunya tak tinggi. Jururawat beritahu Anaqi kena sawan dan terus doktor masukkan ubat sawan.
Tapi kejadian sawan tue berulang lagi dan bacaan oksigen dah mula tak stabil, semakin menurun. Doktor ambil keputusan untuk tidurkan dia. Sebab ada 2 risiko jika tidak ditidurkan.
1. Bila oksigen tak sampai ke otak dia boleh lumpuh seumur hidup.
2. Dan bila oksigen tak sampai ke jantung dia boleh pergi buat selama-lamanya.
Alhamdulilah urusan Anaqi dimudahkan, doktor berjaya pasang tiup pernafasan dan tidurkan dia. Transfer Anaqi dari Hospital Baling ke Hospital Alor Star dan terus masuk PICU.
Doktor Bantu Selamatkan Anaqi
Doktor pakar mula berkumpul untuk bantu selamatkan Anaqi. Saya hanya tunggu di luar dengan bertemankan air mata. Sekarang ni rasa fobia bila nampak kucing sakit.
Alhamdulilah Allah datangkan kekuatan luar biasa, walaupun hati ummi umpama tisu.. ummi yakin Anaqi ummi akan sihat seperti dulu..
Berserah sepenuhnya kepadaMu ya Allah.
Keadaan Terkini
Tarikh: 15/7/2022 dan 16/7/2022
Syukur Alhamdulilah..sujud syukur..
the power of doa, bacaan yassin dan solat hajat.
Jururawat beritahu, doktor sudah buka saluran pernafasan di trakea Anaqi selepas buka mesin pernafasan besar dan dipakaikan alat pernafasan yang lebih kecil. Doktor perlu stabilkan pernafasan dia dengan dose yang lebih rendah.
15/7/2022
Ummi dan Abi melawat Anaqi, tetapi dia tidak menunjukkan tindak balas langsung, Ummi belai rambut dan ucapkan syafika Allah, baca al fatihah tiup di ubun rambut, baca yassin, dia tidak terjaga langsung walaupun Ummi dan Abi panggil.
Anaqi sudah tidak di tidurkan lagi, tetapi dia diberikan ubat tidur dengan dose yang rendah untuk memudahkan dia bernafas menggunakan mesin kecil dengan lebih baik.
Ubat sokongan jantung juga doktor dan hentikan sebab bacaan tekanan darah Anaqi dah stabil dan bacaan darah merah juga baik.
Doktor ada beritahu sepanjang berada di PICU Anaqi tidak mengalami sawan dan maklumkan ada pesakit sebelum ini, walaupun telah di tidurkan ada yang mengalami sawan lagi. Keadaan itu bermaksud jangkitan kuman di otak pesakit itu banyak.
16/7/2022
Seperti biasa melawat Anaqi di PICU. Bila dah sampai wad, katil yang Anaqi duduk kosong. Terkejut Ummi dan Abi dan pengawal keselamatan yang bertugas maklumkan yang Anaqi telah ditukarkan ke wad yang lain.
Dia telah dipindahkan ke unit rawatan rapi 2 iaitu wad paediatric high depency ward (PHDW), masa untuk melawat Anaqi di dalam wad itu juga berubah.
Bila tiba waktu melawat, nampak Anaqi tengah tidur dan saluran pernafasannya juga telah ditukar kepada yang lebih kecil. Dia masih diberikan ubat tidur tapi dose lebih rendah.
Alhamdulilah, banyak perubahan positif Anaqi hari ini. Seperti biasa Ummi baca yassin dan abi pegang tangan Anaqi. Alhamdulillah Anaqi mula sedar selepas itu.
Lama dia perhatikan Ummi dan pandang ke kanan perhatikan Abi pula.
Ya Allah..anak…dah lama Ummi tak tengok Anaqi buka mata, rindunya Ummi. Badan dia mula bergerak tetapi pergerakan terbatas sebab kaki dan tangan perlu di ikat sebab doktor bagitahu Anaqi nak buka jarum dan tarik wayar bila dia mula sedar sebelum ini.
Mula Bercakap
Belum Ummi habis baca yassin, tiba-tiba Anaqi bercakap sambil matanya melihat ke atas..perkataan pertama dia cakap.. air ada dekat atas.. mungkin sebab lali dengan ubat tidur dan lihat cahaya lampu bersinar di atas..
Abi tanya: Anaqi sakit tak? Dia tak menyahut dan tanya lagi.
Akhirnya Anaqi jawab tak sakit.
Lepas itu dia buat muka nak menangis dan dipujuk Abinya. Jururawat maklumkan Anaqi masih perlu diberikan 3 ubat antibiotik lagi dan anaqi minum susu 160ml untuk 4 jam sekali menggunakan saluran paip di hidung.
Masih guna ubat tidur dengan dose lebih rendah untuk lebih stabilkan dia, sebelum dia betul-betul sedar dan boleh bernafas sendiri.
Ada banyak perubahan yang positif dari Anaqi. Moga keadaan Anaqi selalu stabil dan sentiasa lebih baik. Ummi percaya ini adalah kuasa doa dari semua yang mendoakan Anaqi.
Terima kasih semua, moga Allah membalas segala kebaikan semua yang mendoakan untuk kesembuhan Anaqi..Sekarang ini Anaqi akan berada di wad PHDW dulu untuk beberapa hari dan masih dalam pantauan rapi.
Mingguan Wanita : Moga Anaqi diberi kesembuhan dan dapat bersama kembali dengan Ummi, Abi dan adik beradik yang lain seperti sediakala. Aamiin.
“Saya Cuba, Bertahan, Usaha Tapi Gagal. Tiada Lagi Kita” itulah yang diluahkan oleh Aprena Manrose tentang rumah tangganya yang dikatakan sudah berantakan.Pelakon cantik, Aprena...