Noor Kumalasari Titip Doa Untuk Penganjur Konsert KRU
Noor Kumalasari hanya mampu menitipkan doa dan harapan buat penganjur Konsert GenKRU The Finale: One More Time, Iman Tang, yang berhasrat mahu membawa pulang kakaknya, Anita Sarawak, untuk sebuah penampilan khas.
Menurut Noor Kumalasari, peluang untuk melihat impian itu menjadi kenyataan sangat tipis memandangkan Anita Sarawak sejak dahulu sudah membuat keputusan tegas untuk menjauhkan diri daripada bidang seni.
Anita Sarawak Pilih Hidup Tenang Jauh Dari Dunia Seni
“Saya doakan yang terbaik untuk penganjur konsert KRU. Sebab mengenali kakak saya, jika dia kata tidak mahu lagi kembali dalam industri, bermaksud memang dia tidak mahu.
“Saya rasa harapan untuk bawa Kak Nita balik Malaysia untuk menjayakan konsert KRU adalah sangat tipis. Saya tidak akan menyalahkan Kak Nita,” katanya.
Ads
Beliau juga menegaskan bahawa dirinya tidak pernah mempersalahkan Anita Sarawak sekiranya diva tersohor itu tetap dengan pendirian untuk tidak muncul di Malaysia. Jelasnya lagi, Anita kini menikmati kehidupan tenang jauh daripada sorotan dunia hiburan.
Peluang Tipis Tetapi Harapan Tetap Ada
“Namun jika penganjur benar-benar berjaya bawa pulang Kak Nita untuk konsert KRU itu, penganjur itu memang sangat hebat. Tetapi jika Kak Nita kata ‘no’, bermaksud ‘no’.
Ads
“Dia sekarang mahu menjalani hidup yang biasa, macam kita orang-orang biasa ini. Dia tidak mahu lagi terlibat dalam dunia glamor. Dia hanya mahu menjadi suri rumah tangga.
“Dia sihat sahaja bersama keluarganya di sana. Saya pun sangat jarang berhubung dengan dia, sudah lama tidak berjumpa. Kami berbual pun setahun sekali sahaja, iaitu setiap hari raya,” tambahnya.
Penganjur Masih Dalam Usaha Bawa Pulang Anita Sarawak
Sebelum ini, Iman Tang memaklumkan bahawa pihaknya masih dalam perbincangan untuk membawa Anita Sarawak pulang bagi mengetengahkan kemunculan istimewa di Konsert GenKRU The Finale: One More Time yang dijadualkan berlangsung pada 22 November ini di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil.
Seorang suami buntu apabila sudah seminggu terputus hubungan dengan isteri dan anak-anaknya, berikutan banjir Hatyai yang melanda kawasan itu sejak beberapa hari lalu. Suasana yang sepatutnya menjadi percutian keluarga bertukar menjadi detik mencemaskan apabila cuaca buruk menyebabkan banyak kawasan dinaiki air dengan pantas, termasuk tempat penginapan mereka.
Shahrizal Kamarudin, 43, dari Ampang, Selangor berkata, kali terakhir mendengar khabar daripada isterinya Maimuna Asnan, 37, ialah pada 22 November, dan dimaklumkan isterinya selamat berlindung di sebuah inap desa Pani House. Menurutnya, saat-saat sebelum banjir Hatyai mula menunjukkan tanda serius masih jelas dalam ingatannya.
“Kami sepatutnya bercuti pada 21 hingga 24 November. Pada Jumaat (21 November) kami sampai 4 petang, sempat ke Central Hatyai dan sebelum balik inap desa, singgah makan.
“Sampai di inap desa 10 malam (waktu Thai), air kawasan jalan depan rumah memang dah naik sikit. Tanya tuan rumah selamat tak kawasan ni, dia cakap esok pagi kalau hujan lagi dia pulangkan duit, dan cari hotel lain,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Shahrizal berkata, sekitar 3.30 pagi, pemilik inap desa meminta dia mengalihkan kereta ke tempat lebih tinggi iaitu kira-kira 1.5 kilometer dari tempat mereka menginap. Ketika itu, hujan masih belum berhenti dan keadaan jalan semakin merisaukan. Walaupun mereka tidak menyangka banjir Hatyai akan naik seteruk itu, tindakan berjaga-jaga diperlukan.
Bagaimanapun, Shahrizal gagal berpatah balik ke penginapan mereka kerana air naik terlalu cepat. Dalam situasi yang serba gelap dan kelam-kabut itu, beliau dimaklumkan bahawa isteri serta empat anak mereka berusia lima hingga 15 tahun berada dalam keadaan selamat.
“Saya tak dapat hubungi mereka kerana bekalan elektrik telah dimatikan di kawasan inap desa itu. Pada petang Khamis (27 November), saya dapat maklumat mereka selamat tapi masih tak dapat masuk ke kawasan inap desa itu kerana hanya boleh dilalui dengan bot,” jelasnya lagi. Situasi itu menjadikan usaha mencari keluarga semakin mencabar kerana liputan rangkaian dan pergerakan sangat terhad akibat banjir Hatyai.
Menurut Shahrizal, dia kini berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Hatyairatprachasun School. Di sana, ramai penduduk tempatan dan pelancong turut ditempatkan sementara menunggu keadaan reda. Suasana di PPS itu penuh dengan pelbagai kisah dan emosi, terutama mereka yang terpisah daripada ahli keluarga masing-masing.
“Saya tumpang kereta orang tempatan untuk keluar mencari isteri dan anak-anak. Saya turut dibantu anggota bomba di sini dan mereka akan cuba ke kawasan inap desa, tempat anak dan isteri berlindung selepas air sedikit surut,” katanya.
Menurutnya, para penyelamat di Hatyai bekerja tanpa henti dan sentiasa cuba memastikan semua mangsa ditemui dalam keadaan selamat. Perkembangan banjir Hatyai yang semakin stabil memberi sedikit kelegaan, namun Shahrizal masih menanti saat dapat melihat keluarganya sendiri.
Walaupun berdepan ujian besar, beliau tetap meyakini bahawa keluarganya dilindungi dan berharap bantuan yang diberikan pihak berkuasa Thailand akan membolehkannya bertemu semula dengan mereka dalam masa terdekat.
Ibu Fatin Syazwani luah kesedihan, “Makcik memang takut duduk seorang diri dalam sel lokap polis. Dipakaikan baju tahanan reman selain dipisahkan dari suami dan dua anak adalah satu pengalaman tak mampu makcik lupakan tapi inilah harga dibayar untuk bertemu anak sendiri. Selama berkahwin dengan pakcik hampir 30 tahun, inilah kali pertama berpisah tempat tidur dengan pakcik.
“Makcik menangis dalam lokap tu. Tapi makcik tak fikirkan diri sendiri ketika itu tapi hati makcik runsing fikirkan diri Fatin. Apa keadaannya. Bagaimana kesihatannya. Semalaman makcik tak boleh tidur memikirkan nasib Fatin. Itulah yang buat makcik sedih,” katanya berkongsi pengalaman tidur semalam dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, di sini selepas ditahan pihak polis bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan kira-kira jam 7 malam semalam.
Di dalam sel lokap, Aminah akui tidak menghiraukan keadaan dirinya sebaliknya hanya memikirkan nasib anak keduanya iaitu Fatin Syazwani, 27 yang berkahwin dengan Prince Syed atau nama sebenarnya, Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman serta dikurniakan dua cahaya mata.
“Makcik datang ke Gerik pun nak tengok anak serta cucu serta risaukan situasi Fatin yang dibedah perutnya.Makcik dapat tahu anak kena tebuk di leher lepas buat pembedahan perut tu. Kami cuma datang nak tengok anak tapi Prince Syed tak beri tengok walau kami mesej beritahu mahu tahu keadaan Fatin sehinggalah pergaduhan tercetus yang membawa mereka sekeluarga ke lokap polis.
Jelasnya lagi, selepas semalaman ditahan reman, sekitar petang semalam dia, suami Ishak Saif, 59 serta dua anaknya, Muhd Syahmi Faiz, 31 serta Muhammad Ikhwan Alif, 22 telah dibebaskan oleh peguam yang dilantik.
“Kami kena keluarkan RM3000 untuk membayar kos peguam dan tahu kes ini akan ada pendakwaan kelak. Sebagai ibu, selama tujuh tahun Fatin mendirikan rumahtangga, makcik sekali pun tak pernah masuk campur urusan rumahtangga mereka dan hanya mamandang sahaja. Tapi bila soal kesihatan Fatin tidak dimaklumkan, itu buat kami risau,”katanya ketika ditemui Mingguan Wanita
Dalam pada itu, selepas dibebaskan dari lokap polis semalam, Aminah akui berpeluang bertemu anaknya sendiri di hospital petang tadi.
Mengakui urusan itu tidak mudah kerana tidak diberikan kebenaran melawat anak sendiri, dakwa Aminah mereka sekeluarga terpaksa bertemu pihak pengurusan hospital meminta izin mereka bertemu anak sendiri, Fatin Syazwani.
“Sebelum naik ke wad, telefon pun kena bagi pada guard. Beg pun tak boleh dibawa naik. Hanya bawa badan saja. Niat ziarah nak tengok anak tapi makcik diiringi tiga orang polis bantuan hingga ke wad. Dua tunggu di luar dan seorang ada bersama kami. Ini semua atas arahan siapa,” soalnya yang jelas kecewa dengan kesulitan dilalui oleh mereka sekeluarga demi bertemu anak sendiri.
Jelasnya lagi, sepanjang setengah jam melawat anak, Fatin lebih banyak mendiamkan diri, tidak seperti karektor anak yang dikenalinya.
“Dia ada cakap akan balik ke rumah makcik selepas keluar dari hospital ini. Kami tunggu janjinya. Nak tengok sama ada betul menantu akan hantar Fatin ke rumah kami.
“Jujurnya sebagai mak, kita rasa tak bebas nak berbual dengan anak sendiri. Bila tanya anak sakit apa, tiada jawapan makcik perolehi. Keadaan pesakit hanya boleh dimaklumkan kepada suaminya, Prince Syed.
“Masa jumpa Fatin tadi, makcik peluk dia erat-erat. Rasa sebak tengok keadaannya. Dia nampak sihat tapi itulah tak banyak bercakap pun. Lebih banyak menunduk saja mukanya. Tapi itu dah cukup buat makcik rasa puas hati.
“Makcik tak boleh tanya banyak-banyak sebab kalau Fatin menangis kami kena keluar. Jadi makcik tak adalah tanya banyak-banyak walau ada banyak makcik nak tanya,”katanya yang sudah dapat melepaskan rindu bertemu anak sendiri.
Dalam pada itu suaminya, Ishak Saif, 59 memaklumkan malam pertama di lokap polis adalah kali pertama dia dan isteri tidur berasingan.
“Selama hampir 30 tahun berkahwin, malam semalam adalah kali pertama kami dipisahkan. Pakcik tak kisah kena lokap tapi kasihan pada isteri perlu melalui semua kemelut ini.
“Fatin dimasukkan ke hospital selepas kami paksa Prince Syed bawak Fatin ke hospital. Keadaan dia dah nampak lemah. Lehernya perlu ditebuk. Lepas didesak barulah Fatin dibawa ke hospital,”katanya memaklumkan ada banyak cerita mengenai menantunya itu.
“Bayangkan kehidupan mewah ditunjukkanya di media sosial hanyalah “penipuan” semata termasuk barangan kemas, nafkah RM200,000 sebulan dan sebagainya. Boleh saya katakan, sepanjang 7 tahun anak berkahwin hanya RM200 diberi kepada keluarga oleh Fatin. Selebihnya banyak kami yang bantu.
“Paling saya sedih, dua anak yang rapat dengan saya sebelum ini, tidur bersama saya, dipanggil Tok Ba tapi nampak renggang dan cucu yang sulung tak bercakap pun dengan kami. Apa semua ini.
“Mereka kalau datang ke rumah, Prince Syed diminta dilayan seperti raja. Nak ambil air sendiri pun suruh isteri. Selama ini kami hanya pandang saja perbuatan-perbuatan begini sebab nakkan anak bahagia. Tapi semalam adalah kemuncak kemarahan keluarga kami selepas Prince Syed tak benarkan kami bertemu anak sendiri,” dakwanya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pihak polis memohon bantuan masyarakat bagi menjejak seorang remaja perempuan, Nur Qasehku Suhaimi, 15 tahun, yang dilaporkan hilang sejak lebih sebulan lalu. Kes remaja hilang Melaka ini menimbulkan kebimbangan kerana melibatkan remaja yang mempunyai masalah kesihatan mental.
Remaja berkenaan dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 3 Oktober dan kali terakhir dilihat di hadapan premis 7-Eleven di Jalan Seri Krubong 2. Menurut hebahan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, remaja itu mempunyai ketinggian sekitar 161 sentimeter, berat kira-kira 50 kilogram serta berpostur kurus.
“Dia mempunyai ketinggian 161 sentimeter, berat 50 kilogram dan berbadan kurus. Ketika kejadian, mangsa dipercayai memakai T-shirt hitam, seluar hitam dan berambut botak,” menurut hebahan orang hilang yang dikongsikan IPD Melaka Tengah.
Pihak polis memaklumkan bahawa usaha mengesan remaja terbabit masih diteruskan dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan. Kes remaja hilang Melaka ini memerlukan kerjasama masyarakat kerana mangsa dikategorikan sebagai individu berisiko yang memerlukan pemantauan rapi.
Sementara itu, ibu mangsa, Nurhazlin Mohd Nor, 44, menjelaskan bahawa anaknya keluar tanpa membawa telefon bimbit sebelum menaiki motosikal ke sebuah kedai serbaneka untuk membeli minuman ‘air cap badak’, selepas mengadu kurang sihat serta mengalami sakit perut dan kepala.
“Saya bawa dia ke pejabat, kemudian dia beritahu sakit kepala dan mahu minum air cap badak. Saya kata tunggu sekejap kerana mahu siapkan sedikit kerja.
“Saya tak sangka dia sudah naik motor dan pergi ke 7-Eleven dengan duit pun dia tak bawa. Saya minta seorang lagi anak pergi tengok dan dia nampak motosikal dan kunci masih ada, tetapi Qaseh tidak ditemui,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pekerja kedai serbaneka tersebut mengenali anaknya namun mengesahkan remaja itu tidak memasuki premis pada hari kejadian.
“Mereka memang kenal anak saya sebab saya selalu bawa dia ke sana. Pada hari kejadian, pekerja di situ beritahu Qaseh tak masuk kedai.
“Kami sudah cari kawasan sekitar tetapi tak jumpa. Saya tak buat laporan polis terus sebab kena tunggu 24 jam,” katanya.
Menurutnya lagi, hebahan di Facebook juga telah dibuat namun belum ada apa-apa perkembangan positif diterima mengenai remaja hilang Melaka ini.
“Ini kali kedua anak saya hilang. Kali pertama tahun lalu tapi dia ditemui semula selepas sembilan hari di Johor Bahru.
“Kali ini saya syak mungkin ada orang ‘simpan’ dia. Saya tak tahu keadaan dia bagaimana. Dia sakit dan perlu makan ubat. Sampai sekarang kami tak jumpa apa-apa petunjuk,” katanya.
Ibu kepada empat anak itu turut menyuarakan kegusaran tentang keselamatan remaja berkenaan, terutama kerana anaknya perlu dipantau dan minum ubat mengikut jadual untuk masalah mental.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Veramuthu di talian 013-4574988 atau hadir ke balai polis terdekat untuk menyalurkan maklumat. Kerjasama orang awam amat diperlukan bagi membantu usaha menjejak remaja hilang Melaka ini sebelum berlaku perkara yang tidak diingini.