Memilih kerjaya sebagai seorang guru mungkin bukan cita-cita sebenar Nur Hamizah Syahirah Ruhizat, 34 tahun. Namun demi memenuhi permintaan ibunda tercinta yang mahukan anak-anaknya bergelar pendidik, wanita yang dipanggil Hamizah ini Bersama tiga orang lagi adik beradik perempuannya kini bergelar guru.

Merupakan graduan Sarjana Muda Pendidikan Sains (Major Kimia) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim dan juga Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai untuk Sarjana Pendidikan Kimia, 2019 merupakan tahun ke-11 Hamizah menggalas tugas sebagai seorang guru dan baginya, tempoh tersebut mematangkan dirinya untuk terus memberikan ilmu yang terbaik kepada pelajar-pelajarnya.

Nak ‘Ngam’ Dengan Pelajar, Guru Kena Selalu Upgrade Pengetahuan
Keluarga yang banyak menyokong Hamizah

“Saya dan tiga orang adik-beradik perempuan yang lain kesemuanya bergelar guru. Kami menyambut baik saranan ibu kami yang mahukan anak-anaknya bergelar pendidik. Alhamdulillah berkat doa seorang ibu, semuanya dipermudahkan. Setelah tamat belajar di UPSI saya ditugaskan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar T6,Kluang, Johor.

“Setelah itu saya sambung pula belajar di UTM, Skudai untuk Ijazah Sarjana Pendidikan Kimia selama tiga tahun. Tahun ini sudah 11 tahun saya bergelar seorang guru, selama tempoh itu sedikit demi sedikit pengalaman mengajar mematangkan saya untuk menjadi seorang guru yang ingin memberikan ilmu yang terbaik  buat anak-anak didik saya,” ujarnya yang kini mengajar di SMK Jala Kota Tinggi, Kluang, Johor.

Upgrade Pengetahuan

Setiap tugas yang digalas dalam kerjaya pastinya mempunyai cabaran yang tersendiri, bagi guru yang mengajar subjek Kimia, Sains dan beberapa lagi mata pelajaran lain ini, dalam menjadi warga pendidik pada hari ini, dia perlu seiring dengan perkembangan zaman pelajar-pelajarnya agar dapat memahami sekali gus dapat menyampaikan ilmu secara berkesan kepada mereka.

IKLAN

“Saidina Umar pernah berkata didiklah anak-anak mengikut zamannya. Saya sangat setuju dengan kata-kata tersebut. Pada zaman kini, para guru perlu cakna dan celik IT. Kena ambil tahu minat dan perkara yang tular yang sedang diperkatakan supaya kita boleh faham kesukaan pelajar. Sebagai contoh sekarang sedang tular gasing moden (beyblade), jadi kita boleh kaitkan permainan gasing itu dalam topik gerakan, kinetik dan momentum.

“Bagi saya, guru perlu upgrade pengetahuan agar boleh berkongsi dengan para pelajar. Saya nampak pelajar lebih kagum dan hormati guru yang banyak pengetahuan.  Dari segi sahsiah dan akhlak pelajar, pada zaman ini amat membimbangkan. Pendekatan yang digunakan adalah tegas, nasihat dan cuba menjadi kawan dengan mereka. Dalam masa yang sama, kita kena gunakan pendekatan psikologi kerana mereka belum matang dan masih mencari identiti diri.

“Apa yang saya dapat lihat sepanjang 11 tahun menjadi seorang guru, pelajar dahulu lebih takut dan hormat kepada guru berbanding sekarang. Pelajar sekarang agak selamba. Mungkin kerana pelajar dahulu tidak banyak sumber informasi atau maklumat berbanding pelajar sekarang yang boleh belajar di mana-mana  sahaja menggunakan banyak aplikasi yang boleh di muat turun, di laman perkongsian video dan juga blog guru-guru cemerlang,” tambahnya tentang cabaran sebagai seorang pendidik pada hari ini.

IKLAN
Nak ‘Ngam’ Dengan Pelajar, Guru Kena Selalu Upgrade Pengetahuan
Bersama rakan guru ketika hari sukan sekolah

Meskipun berhadapan dengan cabaran sedemikian, itu semua tidak dijadikan alasan buat guru ini untuk terus memberikan Pendidikan yang terbaik buat para pelajarnya. Justeru apabila melihat para pelajarnya yang mendapat keputusan cemerlang dalam subjek yang diajar, dia turut berasa gembira dan bangga dengan pencapaian mereka.

“Tiada yang lebih membanggakan seorang guru bila melihat pelajar-pelajarnya Berjaya. Saya juga begitu. Dapat melihat mereka Berjaya dengan cemerlang lebih-lebih lagi subjek yang saya ajar, memang cukup menggembirakan. jadi untuk melihat mereka Berjaya saya juga perlu berusaha untuk menjadi yang terbaik dan juga dekatkan diri dengan pelajar. Saya biasanya akan memuji perkembangan pelajar yang bagus. Contoh yang ada peningkatan dalam ujian peringkat sekolah. Selain itu saya melihat jika pelajar yang kerap tidak hadir ke sekolah, saya bertanya kepadanya secara peribadi akan masalah yang dia hadapi. Saya juga ada mengajak pelajar datang ke rumah jika mereka bosan pada masa cuti sekolah. Itu antara kaedah pendekatan saya untuk pelajar-pelajar,” jelas ibu kepada dua orang cahaya mata ini.

Hasilkan Buku Latihan Dan Soalan

IKLAN

Meminati bidang penulisan sejak di bangku sekolah lagi, peluang untuk menjadi seorang penulis buku latihan dan soalan tidak dilepaskan begitu sahaja. Sehingga kini Hamizah sudah menghasilkan 10 buah buku latihan dan juga soalan dalam web.

“Saya memang meminati bidang penulisan sejak di bangku sekolah lagi. Saya pernah memenangi pertandingan menulis esei kategori menengah atas ketika saya di sekolah menengah dan menyertai pertandingan menulis surat 1 Malaysia peringkat kebangsaan. Oleh itu, saya menggunakan bakat dan minat yang telah dianugerahkan oleh Alllah S.W.T dengan sebaik-baiknya dalam bidang penulisan ini untuk menjana idea dan menabur bakti pada masyarakat melalui perkongsian hasil penulisan saya. Saya juga ada menyertai keahlian persatuan penulis Wacana Memartabatkan Bahasa Melayu (WMBM). Peluang itu saya gunakan untuk menghasilkan buku-buku latihan saya sendiri.

Nak ‘Ngam’ Dengan Pelajar, Guru Kena Selalu Upgrade Pengetahuan
Antara buku-buku hasil idea Hamizah

“Saya mahu menjadi seorang yang berbakti pada masyarakat selagi hayat di kandung badan. Bak kata pepatah ‘ Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Semoga ilmu yg saya sampaikan bukan sahaja diingati oleh para pelajar saya, bahkan menjadi lading pahala untuk saya di alam barzakh nanti jika diamalkan oleh mereka,” ulasnya.

Sebelum mengakhiri perbualan, sempat Hamizah menyatakan harapannya supaya generasi baru sentiasa berlumba-lumba mencari dan mencintai ilmu sebagai mana mereka berlumba-lumba upgrade mengenai dunia teknologi. Tambahnya lagi menuntut ilmu adalah jalan menuju ke syurga, Ilmu tidak boleh dicuri sebagaimana harta.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI