nak bahagia suami isteri perlu lakukan perkara ini

Nak kekalkan perkahwinan, ia bukan semudah yang disangkakan. Walau pun perkahwinan atas dasar cinta, banyak perkahwinan yang kecundang di tengah jalan! Kenapa yek?

Ikuti perkongsian daripada Puan Suzana Ghazali, Penulis ruangan Resipi Hidup di dalam Majalah Mingguan Wanita yang juga Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie.

Sepakat Nak Berpisah

Saya berdepan dengan sepasang suami isteri yang usia perkahwinan mereka belum pun cukup enam bulan. Kalau diikutkan dalam tempoh tersebut, musim bulan madu belum pun tamat. Malangnya mereka seakan sudah sepakat ingin berpisah. Bila saya soal alasan; masing-masing bersetuju dengan satu jawapan; “kami tak serasi bersama, sikap kami tak serupa!”

Dalam satu kes yang lain, saya juga bertemu dengan pasangan yang hampir 20 tahun berkahwin, punyai enam anak yang meningkat dewasa dan bertemu saya kerana suaminya ingin berkahwin lagi. Alasan diberikan si suami ialah isteri yang dikahwininya itu tidak mampu menjadi pasangannya yang baik sebab berbeza minat menjadikan mereka sukar untuk meluangkan masa.

Si suami suka melakukan aktiviti luar rumah sedang si isteri pula menghidap migrain yang kuat dan tidak boleh berada di luar rumah apatah lagi di tengah panas.

Baca artikel lain di sini:

Tak Menyesal Terpaksa Berpisah Kasih Demi Mencari Reda Allah

Bila Hati Sudah Tak Serasi, Maka Berpisahlah Jika Itu Yang Terbaik

IKLAN

Bukan Halangan

Hakikatnya; perbezaan antara pasangan bukan halangan untuk bahagia bersama malah sememangnya perbezaan itulah kunci utama ke arah nak mengecap kebahagiaan hidup berpasangan. Perhatikan sekeliling anda. Apakah benda yang dipasangkan dengan baju? Kain atau seluar? Buku pula? Pen atau pensel. Lelaki? Sudah semestinya perempuan. Baju dengan baju takkan jadi pasangan, tak sempurna. Sama juga buku dengan buku, takkan lengkap dan bermanfaat sepenuhnya tanpa pen atau pensel. Begitu juga lelaki perlukan perempuan atau wanita, begitu juga sebaliknya.

Perbezaan sikap juga serupa. Kalau sama-sama nak bercakap banyak; pasti ada yang tak kena. Kalau sama-sama diam, lagilah celaka kecualilah memang kedua-duanya bisu, ada lah kaedah lain untuk sama-sama berkomunikasi. Perbezaan itu jugalah yang menjadikan diri seseorang itu unik dan luar biasa. Tak perlu punyai sikap yang sama untuk hidup gembira dan bahagia bersama. Malah dalam sebahagian kes, persamaan itu boleh mewujudkan rasa bosan. Sebabnya?

Sebelum kahwin, suka cerita humor, selepas kahwin pun suka cerita humor sebab pasangan mempunyai sebab yang sama. Setahun, dua tahun, bosan takkan rasa tetapi bila didedahkan kepada sesuatu yang berbeza, anda pasti teruja. Tika inilah mula berpaling kasih, konon dah jumpa seseorang yang memberikan sinar baru dalam hidup. Apalah ertinya sinar baru andai ada hati yang anda lukakan?

Seperti yang saya tegaskan; tak perlu bimbang mengenai perbezaan. Yang penting; selarikan! Jika pasangan anda terlalu pendiam, ajaklah dia berbual. Usahakan tanpa putus asa dan penuh kesabaran! Memang perlukan usaha keras dan kesabaran yang tinggi sebab sikap yang cuba anda tukar dari dalam diri pasangan anda adalah sikap yang sebati dengan dirinya sejak berpuluh tahun. Ingat! Kegemilangan Rom tidak dicapai dalam masa satu hari.

IKLAN

Paling utama juga; jangan terlalu fokus kepada perbezaan yang wujud sebaliknya cari mana-mana lubang yang secocok dengan diri anda dan bergembiralah menikmati persamaan tersebut di samping usaha menyesuaikan perkara yang tak sama itu.

Nak Kena Terima Seadanya

Seperkara lagi; anda perlu belajar menerima pasangan anda seadanya. Anda tau dia pendiam, terima dahulu perlahan-lahan. Jangan dinafikan terus. Penafian, mengikut emosi bosan hanya akan menambah kecelaruan dalam minda anda malah pasangan. Sebabnya? Sayang masih ada cuma tidak dapat terima dirinya yang bukan impian anda. Bukan bererti perlu terima bulat-bulat hingga tak boleh diusahakan perubahan.

Terima tetapi dalam masa yang sama, bantu pasangan untuk berubah. Buat anda yang sedar sikap anda mengganggu emosi pasangan; usahakan juga untuk berubah. Sikap individu dibina melalui didikan, persekitaran dan kebiasaan dalam cara hidup. Seperti kuih yang dibentuk melalui acuannya dan bentuk kuih masih boleh diubah kan? Sama rasa, lain bentuknya. Manusia jaga masih boleh mengubah sikap jika ia lebih baik untuk diri dan insan yang disayangi.

Nak Kekalkan Perkahwinan, Suami Isteri Wajib Lakukan Perkara Ini!

IKLAN

Berdoalah Sentiasa

Dalam berusaha, pastikan juga anda bermunajat mohon bantuan daripada Allah Taala. Tapi jangan pula berdoa sahaja, pastikan solat dikerjakan bersama. Pastikan juga bersabar dalam menunggu kehendak anda dimakbulkan sebab hanya Allah Taala yang tahu segala yang terbaik untuk hidup kita.

Secara mudahnya, saya, anda, kita semua mempunyai satu persamaan iaitu kita berbeza! Berbeza rupa, berbeza minat, berbeza gaya hidup, berbeza pendapat, berbeza pemikiran dan macam-macam lagi. Perbezaan ini yang jadikan kita UNIK dan tersendiri. Perbezaan bukan bererti tidak serasi atau tidak boleh hidup sekali. Malah perbezaan jadikan hidup bersama sebagai perkara istimewa. Terima perbezaan dan serasikan; akan wujud bahagia, insya-Allah!

Jangan lupa follow kami di:

Facebook Mingguan Wanita

Instagram Mingguan Wanita

Twitter Mingguan Wanita

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI