mentuaku sayang

Takut tengok aksi menantu mentua tak sebulu dalam drama televisyen. Eh, silap… bukan menantu dan mentua saja, yang kes macam watak Nek Pah #janganbencicintaku pun wujud. Mentua baik hati, nenek pula tak OK. Benci sungguh dia kepada si Fika tu ya. Manalah golongan wanita yang baru nak jadi isteri orang tak risau.

 

Tetapi percayalah, tak semua diuji begitu. Rezeki berumah tangga masing-masing. Walaupun banyak momokan negatif mengenai hubungan menantu dengan mentua namun yakinlah jika bakal menantu ikhlas menerima kita sebagai ibu mentua, pasti tidak menghadapi masalah besar. Tengok muka orang tua pun boleh dapat pahala mudah. Apa lagi kalau bagi mentua makan minum dan jaga waktunya sakit.

Percaya atau tidak, ramai lagi menantu di luar sana membuat pengorbanan besar tinggal bersama keluarga mentua dan tidak menghadapi masalah. Serumah dengan mentua adalah hal biasa dan bukan masalah. Walaupun bagi sebahagian yang lain, boleh menimbulkan masalah yang mengancam keutuhan rumah tangga mereka.

Banyak yang merasakan tinggal serumah dengan mentua menjadikan rumah tangga kehilangan kemerdekaan atau kebebasan. Malah ada sesetengah isteri mendakwa kurang bahagia dan terganggu, kena pula kalau dapat mentua jenis ‘menangkan anaknya’ dan suka ikut campur tangan dalam masalah rumah tangga anaknya. Maka tak hairan apabila banyak pasangan lebih memilih tinggal berasingan daripada serumah dengan mentua. Pendek kata kalau duduk jauh bau wangi macam bunga ros dan kalau dekat sangat bau bunga tahi ayam. Hah, rasanya nak pilih yang mana satu?

Pilihan Buat Wanita Yang Baru Dapat Menantu

Buat mak-mak yang bakal dapat menantu, kalau bakal menantu bersetuju tinggal bersama, anda kena melihat perkara ini dari sisi positif. Anggaplah peluang ini sebagai ladang dakwah untuk anda gali pahala.

Andai sudi, berusahalah membuat menantu berada nyaman bersama anda. Mak-mak kena pastikan selalu bermuka manis di hadapan menantu. Sekali pun tidak berkenan dengan tingkah laku menantu, mak-mak kena berterus terang. Jangan cakap belakang sampai orang luar tahu perangai anak menantu.

IKLAN

Jangan jadikan komunikasi dengan menantu kaku, padahal tinggal serumah. Mentua boleh mulakan sebab mungkin menantu masih malu-malu. Curilah masa untuk berkongsi cerita bahagia dengan menantu. Bersama-sama menikmati teh hangat pagi hari sambil berbincang perkara menarik. Kalau sudah akrab, maka hubungan komunikasi pun akan lebih lancar. Langsung tak kekok kalau nak meluah apa yang terbuku di hati.

Sifir mudah yang golongan mak-mak boleh amalkan untuk hidup sebumbung dengan bahagia memang cukup mudah:

Nak buat, silakan. 
Tak nak buat, tak apa.

Jika sesekali tengok menantu bermasam muka, mungkin dia ada masalah dengan suaminya. Inilah peranan mentua. Jadilah pendengar yang baik dan jangan sesekali membangkang. Apa lagi jadi BATU API. Wanita itu sarat dengan emosi. Sekali pun salah, jangan ditegur waktu mood nya kurang baik. Boleh nasihat tetapi mungkin kemudian hari dengan cara yang lebih manis.

Pesanan Buat Wanita Yang Baru Jadi Isteri Orang

Agar tetap bahagia walau serumah dengan mentua, ada beberapa hal yang perlu diperhatikan.

IKLAN

Belajarlah mengetahui dan memahami sifat serta karakter mentua. Sebagai menantu, perkara ini wajib buat kerana menantu tidak pernah mengenali mak mentua sebelum ini.

Fahamilah mentua, sehingga dapat mengerti dan memahami sikap serta tingkah laku mentua dengan bijaksana. Cubalah gali pelbagai informasi daripada anaknya (suami) termasuk saudara-mara dan jiran-jiran rapatnya. Lakukan pengamatan setiap hari.

Paling penting, jangan sekali-kali cerita keburukan suami pada mertua, sebab secara normal tiada ibu yang suka dengar keburukan anaknya sendiri. Jadi hal-hal rumahtangga seeloknya disembunyikan. Melainkan dah tahap kronik, maka boleh lah minta jasa baiknya sebagai pihak ketiga untuk meminta khidmat nasihat.

Kemudian anak menantu kena prihatin pada orang tua, sesekali buat kerja rumah tanpa disuruh. Mak mentua tak akan sampai hati nak arah menantu buat macam-macam, tetapi dalam usianya yang semakin lanjut dan sudah tidak kuat kudrat pasti mentua senang apabila menantu membantu melakukan kerja-kerja di rumah.

IKLAN

Nak lagi ngam, sesekali menantu boleh belikan mak mentua sesuatu. Percayalah walau pun mak mentua punya pendapatan sendiri, sesekali dia pasti suka kalau menantu belikan makanan atau barang yang dia sukai. Tak perlu mahal, tetapi sebagai tanda ingatan dan kasih sayang.

Rasulullah pernah bersabda:

“Barangsiapa berbakti kepada orang tua, maka dia akan memperoleh kebahagiaan panjang umur yang penuh keberkatan.”

(HR. Imam Abu Ya’la dan Thabrani bersumber dari Mu’adz bin Jabal)

Tapi andai tak mampu tak mengapa. Konsepnya tetap sama.

Yang ada boleh beri, yang tak ada mungkin dia lebih sudut lain. 

Cara Telan Teguran

Macam mana pula soal teguran? Haaa… menantu kenalah anggap segala tunjuk ajar daripada mentua sebagai satu pelajaran untuk lebih mengenali pasangan hidup. TETAPI mentua pun, andai kata ada kekurangan dari pihak menantu, JANGAN DIHINA sebaliknya ASUH DAN DIDIKLAH menantu anda menjadi seorang isteri yang baik dan mampu membahagiakan suaminya.

Apa pun kebahagiaan itu datang daripada dua belah pihak. Jika satu pihak berusaha meraih bahagia, sedangkan pihak satu lagi tidak mahu kompromi, mustahil bahagia boleh digenggam. Moga nota ini dapat membuka kedua belah pihak sama ada mentua atau menantu, dua-dua kena berubah dan baiki hubungan!

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI