Nak Berubah, Kena Didik Hati Ikhlas...Bukan Bagi Alasan Belum 'Sampai Seru'...

Memang nak buat baik amat sukar. Ada saja alasan diberikan. Belum sampai ‘seru’, belum bersedia, tak cukup ikhlas dan macam-macam lagi. Sebenarnya tak perlu tunggu masa tertentu kalau nak mula buat perubahan ke arah kebaikan. Yang penting, kena didik hati dulu.

Ikuti perkongsian daripada Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid, Lembaga Zakat Selangor (MAIS), juga penulis ruangan REDA ILAHI di dalam MAJALAH MINGGUAN WANITA.

Alasan

Saya tidak akan lupa satu perbualan. Kala itu, saya masih di alam persekolahan. Saya punya seorang kenalan, perempuan. Ketika di sekolah, dia mengenakan tudung. Di luar sekolah, dia membukanya. Saya merasa terganggu. Sehinggalah saya bertanya dan mendapat jawapan.

“Aku tak mahu memakai tudung kerana orang. Biarlah ia datang dari keikhlasan hati aku sendiri.” Ujarnya. Ringkas sekali.

Nak Berubah, Kena Didik Hati Ikhlas…Bukan Bagi Alasan Belum ‘Sampai Seru’!Didik hati untuk berubah.

Berubah Dari Hati

Saya percaya, isu ini bukan sekadar dia seorang. Ramai juga begitu. Mahu berubah, tetapi bukan kerana orang. Ia perlu daripada hatinya sendiri. Kita tidak perlu berhujah isu hati. Memang dalam Islam, hati perlu jadi baik.

Imam Muslim meriwayatkan, nabi pernah berkata bahawa hati itulah sang raja yang akan menentukan segala. Jika hatinya baik, maka seluruh jasadnya menjadi baik. Tutur bicara. Mata dan telinga. Kaki dan tangannya.

Benarkah Ikhlas?

Isunya, benarkah setiap tindakan mesti datang dari hati yang ikhlas? Jika begitu, semua pekerjaan akan menjadi payah. Ini kerana tidak semua perkara dalam kehidupan ini, dikerjakan dengan ‘hati yang ikhlas’.

Cuba kita hitung. Ikhlaskah anak-anak kita untuk bangun pagi, mandi, solat dan pergi ke sekolah? Kita sendiri, adakah betul-betul ikhlas ke pejabat saban hari atau selalu mengimpikan cuti? Cuba tanya isteri, ikhlaskah dia mencuci pakaian, memasak makanan dan mengemas rumah? Atau dia rasa lebih enak jika si suaminya membantu, atau mencarikan pembantu.

Tanya Hati

Mari, kita tanya kepada pengguna jalan raya. Ikhlaskah ketika dia wajib mengambil kelas memandu, dan membayar kos yang tinggi untuk mendapatkan sekeping lesen memandu? Ikhlaskah seorang penunggang motorsikal memakai topi keledar? Ikhlaskah seorang pemandu yang wajib berhenti di persimpangan jalan – biar pun kosong – hanya kerana lampu di depannya merah menyala?

Ikhlaskah kita apabila wajib membuat pasport untuk ke luar negara? Ikhlaskah apabila wajib beratur di kaunter imigresen dan menunggu giliran disoal petugas? Ikhlaskah kita apabila wajib mengambil visa dan keluar segera apabila tamat waktunya?

Yang Sara Keluarga

Paling tidak, ikhlaskah seorang suami menggunakan hampir semua gajinya untuk menyara anak dan isterinya? Ikhlaskah si isteri mengorbankan masa rehatnya untuk keperluan suami dan anak-anak? Banyak lagi jika mahu dihitung. Namun saya ingin bertanya, ikhlaskah semua itu dikerjakan?

Saya sendiri tidak ikhlas mengambil lesen, memohon pasport dan menjawab segala pertanyaan pegawai imigresen di kaunter. Jika boleh, saya mahu bebas keluar masuk ke negara mana pun yang saya suka. Tinggal seberapa lama yang saya suka. Memandu tanpa lesen dan tidak perlu mematuhi semua peraturan jalan raya.

Alasan

Jadi, adakah saya boleh mengabaikan semua itu hanya dengan alasan ‘saya belum ikhlas’? Bolehkah pegawai JPJ, polis trafik atau imigresen menerima alasan saya, menunggu ikhlas baharu mahu mengambil lessen, passport dan mematuhi lampu merah?

Adakah seorang suami boleh menjawab kepada hakim di mahkamah syariah, dia tidak memberikan nafkah lahir dan batin kepada anak dan isterinya kerana belum ikhlas?

Bolehkah si ibu menjawab kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, membiarkan anak-anaknya terlantar tanpa makanan dan pakaian, hanya kerana dia belum benar-benar ikhlas membela mereka?

Semuanya, tidak akan diterima oleh pihak yang berkuasa. Ikhlas atau tidak, setiap orang yang dengan sengaja melanggar peraturan, tetap akan ditangkap, didakwa malah didenda.
Jika begitu, bolehkah kita menerima alasan, aku belum memakai tudung, aku belum solat, aku belum bayar zakat, hanya kerana aku belum ikhlas?

Didik Hati

Hati perlu dididik. Hati perlu dilentur. Hati perlu diasuh. Ikhlas benda yang wajib dipupuk. Jika perlu dipaksakan. Sama seperti sepohon mempelam. Jika sedari awal dibaja, diberikan air yang cukup dan dijaga dari makhluk perosak, maka natijahnya ialah buah yang enak. Manis sekali untuk dicicip isinya dan bijinya menjadi benih yang baik pula. Wallahuallam.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI