Ingat lagi dengan bayi cenonet viral yang pernah MW siarkan kisahnya tak lama dulu. Armel Mikayla, lahir tak cukup bulan. Punyalah susah hati ibunya, Puan Syadiyah Sajuddin. Berkat tak kenal putus asa, Mikayla sekarang makin bulat dan gebu. Waktu MW kongsikan kisah Ibu Bayi Cenonet Viral, Kongsi 7 Tip ‘Gemukkan’ Anak Dalam Masa 6 Bulan, Syadiyah berkongsi tip penjagaan bayinya.
Selepas 6 bulan, Mikayla dah boleh makan. Kali ini ibunya berkongsi pula menu-menu pikat selera anaknya. Boleh juga ibu-ibu yang berhadapan masalah bayi susah makan, mencuba panduan yang Syadiyah praktikkan ini.
“Terlalu banyak variasi makanan yang ibu-ibu boleh ‘try and error’ untuk pikat selesa anak. Saya kongsikan beberapa menu untuk memikat selera Armel Mikayla, anak bertuah saya yang dilahirkan kurang dari 2 kg”
Menu Pikat Selera Bayi Susah Makan
6 – 9 bulan
Pagi
Pastikan anak menyusu selepas dia bangun tidur. Ada bayi yang skip susu dan terus di suakan makanan. Atau yang minum beberapa oz sahaja lepas tu reject.
Kenapa? Mungkin suhu susu tidak bersesuaian dengan anak atau bancuhan susu tidak mengena selera anak. Dengar macam mengarutkan? Ya! Sebab selera budak sangat cerewat.
Ibu harus peka dengan semua faktor.
Ads
Tengah Hari
Beri puri buah / bubur. Macam Mikayla, saya akan bagi dia pisang atau mangga. Untuk bubur pula, ibu boleh cuba resepi
Tip Ekstra : Bubur nasi + serbuk ikan bilis pun sedap tau. Ibu cuma perlu goreng ikan bilis dan blend sehingga jadi serbuk.
Petang / Malam
Saya akan bagi Mikayla 2 keping biskut bayi. Ada banyak jenama di pasaran. Tapi Mikayla suka jenama Heinz yang batang-batang tu.
10 – 12 bulan
Sama seperti rutin 6-9 bulan. Cuma sekarang anak boleh mencuba pelbagai makanan yang lebih solid. Contohnya nasi putih, biskut Jacob’s, spaghetti, roti dan lain-lain.
Ads
Kalau nasi, saya suakan Mikayla dengan nasi putih sahaja dulu. Ayam goreng atau ikan goreng saya belum cuba lagi. Sebab saya takut dia batuk makan makanan berminyak.
Biskut Jacob’s adalah menu Kayla setiap hari. Contoh, sementara menunggu saya siapkan hidangan tengah hari, saya akan suapkan separuh kepingan biskut Jacob’s segi empat tu. Alhamdulillah Mikayla tak ada masalah dengan biskut Jacob’s.
Tip Ekstra : Ibu sila pantau setiap kali suakan anak dengan makanan baru ya! Bimbang anak alergik atau tidak sesuai dengan perut dia.
Spaghetti : Ibu boleh cuba resepi spaghetti carbonara. Lebih baik jika ibu masak sendiri. At least ibu boleh tapis bahan-bahan yang digunakan. Sebab sos carbonara tidak pedas dan creamy. Mana tahu boleh tambah berat anak!
Ads
Roti : Boleh bagi roti wholemeal brand gardenia. Menu lain yang ibu boleh cuba roti bakar @ garlic bread.
Tip Ekstra : Mikayla suka garlic bread. Kalau dia selesema atau batuk, saya akan buat sendri garlic bread.
Mikayla lena diulit mimpi. Senang hati makan masakan ibu kegemarannya.
Cara Buat Garlic Bread
1. Sediakan seulas bawang putih (potong sehingga hancur)
2. Lepas tu tumis dengan planta / butter yang tiada garam.
3. Siap! Just sapu kat roti dan bakar roti kat atas frying pan. Insyallah anak mesti suka!
Mashed potato / kentang putar : Selain bubur nasi ibu boleh cuba kentang putar.
Resepi Mashed Potato
1. Rebus kentang.
2. Bila sudah lembut angkat dan kupas kulit.
3. Hancurkan, tambah sedikit butter. Untuk rasa lemak-lemak. Selamat mencuba!
Jangan pandang sebelah mata pada wanita yang tak pernah bernikah dan belum hamil sebab setiap perjalanan hidup seseorang pasti terselit hikmah yang kita sendiri tak tahu dan boleh jangka.
Ini kisah seorang wanita yang tak pernah bernikah tapi dia tetap merasa ada anak dan lebih membahagiakan bila tahu cara dia membahagiakan hati ibunya. Apa yang baik daripada perkongsian saudari Aminahtul Marrdiah ini, eloklah kita cuba hayati dan renungkan…
Bila seorang anak perempuan yang berusia 34 Tahun itu masih belum berkahwin, ketahuilah hidup matinya hanyalah untuk seorang ibu tunggal yang kehilangan suami secara tiba-tiba.
Hari ini aku nak kongsi sesuatu. Mana tahu apa aku tulis akan dapat bagi sesuatu pada ramai orang. Panjang sikit tapi aku jamin korang takkan menyesal kalau baca sampai habis cerita aku ni.
Aku perempuan yang dah masuk 34 tahun. Tak pernah bernikah dengan mana-mana lelaki dan tak pernah juga hamil. Tapi aku ada seorang anak lelaki berusia 4 tahun. Bakal menyusul, seorang lagi anak InshaAllah kalau diizinkan pada September 2017. Aku anak kedua dari 10 adik beradik. Kakak aku dah bernikah dan 3 orang adik aku dah selamat jadi bini orang. Adik lelaki tunggal aku dah termasuk kategori jadi Ayah pada baby Nur yang umur nak masuk 2 tahun. Aku ada 4 lagi adik yang masih belajar dan seorang IBU yang umurnya dah hampir 60 tahun. Tangan tak berapa kuat sangat. Belakang sakit. Biasalah orang dah tua kan. Tapi mak aku chillex je.
Aku dah tak ada Ayah. Ayah Aku pergi tiba-tiba. 2 minggu sebelum Ayah meninggal, Ayah demam panas sampai kurang air dan masuk wad. Tahu-tahu je lepas aku bawak Ayah baring kat katil dari tandas, Allah kata DIA nak kami pulangkan Ayah. Ayah pergi dalam laungan “Allahuakbar” awal pagi 30 Oktober 2014, masa hari jadi adik Aku wardah yang tengah kat asrama masa tu.
Masa Ayah hidup lagi, Ayah dah berenti tanya aku pasal kawin. Menyampah agaknya dia bila ditanya aku buat melawak sepanjang masa. Nak buat macam mana, aku bukannya Janda beranak satu tapi Aku ni belum janda dah ada anak satu. I come with a package. Package aku bukan saje anak aku yang umur 4 tahun tu, tapi dengan keluarga aku yang secara “kasar” nya aku ada tolong.
Sebelum Ayah pergi aku tolong gaklah sehabis baik aku. Buat bisnes itu ini, kena tipu sana sini dan still aku manage bagi keluarga aku duit. Lepas Ayah dah tak ada, Aku terpaksa jual kereta Ayah, tutup firm Ayah dan banyak lagilah. Jadi, life aku makin sibuk. Aku makin kuat kerja dan cari duit. So memang tak adalah lelaki yang nak kot.
Dengan kerja hakiki aku yang memang sibuk dan dengan meniaganya lagi, dengan komitmen aku dengan family dan anak lagi, ko rase ade masa aku nak cari SUAMI dan ade ke LELAKI yang berani?
So cerita aku kawin ke tak ni dah patut tamat dah sebaik Ayah meninggal sebab literally orang tahu aku tonggeng tebalik cari duit. Aku jenis ape Mak aku, adik-adik aku even kakak aku nak, aku usahakan. Tapi aku belum berjaya buat satu benda yang bertahun mak aku sebut. Nak RENOVATE rumah. Rumah kami tu dah banyak tahun. Yang buat jadi lagi tak best bila atap dapur bocor, air habis masuk kena kabinet dapur, bau jadi tak best lah kan dan tikus mula lepak macam rumah dia plak kat situ. Kau pernah rasa?
Jujur memang rasa tak best sikit kalau balik rumah. Bukan ape, kitorang semua dah besar-besar kan. Aku cam kalau boleh nak sumorang lek-lek ada bilik sendiri. Lagilah kalau yang balik bawak laki bawak anak-anak. Tapi ok je, sebab sumorang akan berlambakan di mana-mana sudut yang boleh selit. Best je kumpul reramai tapi aku lah rasa kesian tengok laki bini takde privacy kan?
Korang jangan cakap pasal bersyukur ada tempat berteduh. Ini soal Aku sebagai anak tapi belum boleh balas jasa mak yang lahirkan 10 orang anak dari RAHIM dia.
Tiap tahun kalau aku ada lebih aku cuba tambah baik rumah. Tahun lepas selesaikan ruang tamu. Tukar apa yang patut sebab ada lebih sikit. Saje happykan mak. Tahun ni, lepas hantar mak aku Umrah, kakak aku dengan aku tengok dapur memang aku sedih sebab aku anak yang tak mampu. Aku anak yang belum boleh bantu.
Aku kira duit dalam bank. Kira bajet yang perlu dan tambah sehelai baju melayu untuk anak aku. Cukuplah. Baju melayu je yang tak muat dah. Yang baju lain ada lagi. Aku tak ajar Anak aku mewah macam putera raja. Kena sedar kami bukan keturunan bangsawan. Aku bagi duit dekat kakak aku dan Alonglah yang urus cari orang nak buat dapur. Korang faham tak betapa Aku sedih sebab aku kerja siang malam tapi belum boleh tunaikan apa Mak aku nak? Sekurang-kurangnya mula dengan dapur rumah, mungkin REZEKI akan bertambah.
Along hari-hari hantar update dekat aku. Nak beli rak itu ini dekat ikea, pegi sana sini tengok harga. Mulanya nak cabut je kabinet kayu reput tu ganti dengan rak-rak biasa so lebih hygiene dan selesa nak masak bagai. Tapi satu hari tu kakak aku sembang dengan mamat yang tengah renovate rumah jiran, diorang cadangkan buat kabinet batu. Tahan sikit kalau hujan. Atap tu kan tampal bagai pun masih bocor. Lagipun selesa sikit sebab Mak Aku ni jenis suka sangat masak ayam bagai yang kena potong pakai parang. Selalu kami potong kat lantai je. Alas papan potong tu. Kesian tengok Mak aku tebongkok-bongkok.
Maka aku dengan Along atas perbincangan adik beradik, setuju buat kabinet batu. Mak aku memang tak tau apelah sebab dia tengah buat UMRAH.
Hebat gila kontraktor tu buat dalam masa 5 hari je dan sempat siap sebelum Mak aku sampai dari Mekah. Memang menitik air mata aku bila Along hantar Video Mak aku tekejut tengok dapur. Mak aku tak tanya ape pun. Mak aku Mesej gini je:
“Banyak dah Angah belanja Raya ni. Hari tu duit belanja Umrah lagi. Baju anak lagi. Adik-adik lagi. Untuk Angah nak belanja, nak simpan untuk KAWIN ade ke?”
Aku tak reply sebab Aku sebak. Aku hantar smiley je lepastu aku tidur sambil nangis. Buat Kabinet Bajet pun Kau boleh buat Mak kau Happy. Tak faham aku dengan orang yang memang berkira dengan Mak Bapak sendiri. Mak Aku bukan sihat sangat. Tangan dia tak boleh guna sepenuhnya. Tapi dia memang kuat semangat. Dan sebab kabinet tu, tangan Kanan jadi gagah sebab semangat dia nak masak datang bila tengok dapur cantik. Aku sumpah tak menyesal berabis duit untuk Keluarga.
Kau jangan sembang nak zakat sana sini, nak tolong orang sana sini bila tak boleh tolong family sendiri.
Banyak aku tengok orang ni yang bila dengan kengkawan, dengan bini, dengan tunang, dengan laki, dengan BFF tak pernah nak berkira. Tapi bila famili susah, dia punya kedekut macam boleh mati je bila kena hulur duit dekat famili.
Soalan ni aku sampai hari ni tak boleh nak tapau masuk kepala. Aku punya ujian hidup bukan takat persisiran pantai je. Terlampau banyak sampai LELAKI pun takut nak nikah dengan Aku. Disebabkan UJIAN Tuhan yang Maha banyak tulah agaknya Allah gantikan keperluan MENIKAH untuk dapatkan anak tu dengan hadiahkan aku EUSOFF.
Ada sesetengah orang memang dari dalam alam roh dia dah ada keturunan kaya. By the time umur masuk 25 tahun, dah boleh kawin dengan sesama keturunan dan hidup bahagia macam tak ada masalah. Lepas tu kena troll dengan Netizen sana sini sedangkan orang tak pernah tahu di sebalik baju mahal yang dia tayang dalam IG dalam Facebook diorang, entah apa UJIAN Tuhan bagi pada diorang. Orang letak gambar sweet couple, letak gambar cuti sana sini, letak gambar bermewah sana sini tak bermakna orang tu taka da DUGAAN dia.
Sama jugak dengan keadaan yang mana ada orang memang Tuhan kata Jodoh dia lambat. Kau tak boleh nak kata dia Andartu ke, Perempuan tak laku ke ATAU Ambik anak sebelom kawin tulah punca orang tak nak dia ke dan macam-macam lagi yang otak sempit manusia ni boleh reka.
Korang kena faham semua benda perlu di nilai dengan mata hati. Bukan sesuka hati. Ada beza antara keduanya.
Kau jangan jadi Tuhan untuk tentukan dan simpulkan kisah hidup manusia lain.
Kadang, Perempuan umur 40 tahun yang masih tak menikah lagi tu mungkin dia ada amanah lain yang dia pegang sampai tak ada kesempatan nak menjadi isteri. Kadang ada Perempuan yang memang dah ready nak jadi isteri. Life goal memang nak jadi Educated Housewife tapi belum jumpa lelaki yang sesuai. Kadang-kadang ada Perempuan yang memang nak kawin sangat tapi banyak fobia dan trauma yang dia pendam sampai dia simpan je perasaan nak menikah tu jauh di sudut hati. Kadang Perempuan tu dah kawin banyak kali pun masih jugak tak jumpa tenang.
Dan aku adalah anak Perempuan yang belum Berkahwin di Usia 34 Tahun ni. Sikit aku tak kesal. Satu, jodoh aku belum sampai. Dua apa jaminan kalau aku bernikah suami aku nanti boleh jaga Mak aku dan adik-adik aku yang masih berjuang nak hidup? Tiga, Sejarah hitam hidup aku bukan sebarang sembang. Susah untuk aku brain perkahwinan.
Hanya Allah mampu mengubah hati aku dan membawa aku bertemu SUAMI yang mungkin dah lama menanti aku. Buat masa ini, Hidup Mati aku hanyalah untuk Mak aku. Ibu Tunggal yang kehilangan Suami secara tiba-tiba sekelip mata.
Dan korang sekali lagi aku ingatkan. Jangan jadi TUHAN dan menghukum sesiapa pun. Kerana di mata Tuhan kita semua sama.
PERKAHWINAN itu Sunnah tapi TIDAK BERNIKAH dan TIDAK BERSUAMI itu bukanlah sebab untuk kau melabelkan sesiapa sebagai PENDOSA.
Dalam apa juga keadaan, hanya Allah yang mampu menggerakkan setiap zarah dan membawa Suami Soleh untuk Wanita-wanita yang Solehah. Rezeki Allah bukan hanya pada yang memiliki SUAMI sahaja. Berbaliklah pada Allah sebab Allah saja yang boleh berikan kita rezeki yang lebih dari PERNIKAHAN dan PERKAHWINAN. Yakinlah bahawa Rezeki Allah itu luas dan tiada putusnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kata orang iman tak dapat diwarisi, tapi iman boleh disuburkan dalam hati anak-anak melalui ibu bapa yang ada JIWA YANG BESAR. Tokoh ibu bapa Malaysia iaitu Sulaiman Saipin (Tokoh Maulidur Rasul 2006) dan Eshah Din (Tokoh Ibu Mithali 2007) antara bukti kecemerlangan keibubapaan yang nyata. Keduanya mempunyai 17 orang anak dan 15 daripadanya lulusan universiti.
Ini perkongsian terdahulu yang dicatat Dr Shukri Abdullah, pengasas Amalan Belajar Sdn Bhd. Pakar Motivasi terkenal ini banyak berkongsi rahsia kejayaan dengan pelajar dalam siri ceramah dan seminarnya.
Ketika beliau berpeluang menziarahi keluarga tokoh ibu bapa, Wak Sulaiman dan Mak Esah pada tahun 2009, beliau peroleh tips berguna untuk ibu bapa.
Biarpun ia sebuah kisah terdahulu, namun tips yang dikongsikan Dr Shukri begitu dekat dengan apa yang ibu bapa lalui hari ini. Panduan mendidik anak ini begitu bermakna sekali. Lagi-lagi ketika ini terlalu banyak isu berbangkit berkaitan sistem pendidikan kita.
Apa pun, segalanya perlu bermula daripada ibu bapa juga. Bagaimana mereka menyantuni pendidik yang mengajar anak-anak mereka tanpa jemu.
Sejarahnya, Wak Sulaiman cuma seorang buruh estet (penoreh getah) yang ketika itu sudah punyai 100 orang cucu dan 12 orang cicit. Bapa ini tak pernah bersekolah secara formal tapi bagaimana anak-anak Wak Sulaiman Dan Mak Esah cemerlang dalam kehidupan.
Ini panduan mendidik anak hasil bicara hikmah Tokoh Ibu Bapa Malaysia. Yang mana setiap tip ini perlu generasi muda fahamkan agar tidak tersasar dari landasan.
Walaupun dihimpit tekanan kewangan malah kedua-duanya tidak pernah bersekolah secara formal tetap mengambil berat soal pelajaran anak.
Mereka kerap ke sekolah mengenali dan bertanya khabar dengan guru tentang kemajuan pelajaran anak mereka. Kata Wak Sulaiman “Saya tidak faham Mak bapak yang langsung tidak mengenali guru yang mengajar anak mereka“.
Selain bekerja di estet mereka akan membuat kerja lain untuk mencari nafkah tambahan bagi menyara anak yang ramai bersekolah. Kerana tidak mengenal erti penat lelah atau ikut istilah Wak “tak tau dok sengap, kena kerja selalu“, Allah murahkan rezeki mereka untuk membantu anak mereka bersekolah hingga ke peringkat universiti.
Wak memberitahu beliau tidak mengenal abjad rumi tetapi sentiasa menyemak buku anak-anak. Dia pantang melihat report card anak-anak yang ditulis dengan markah warna merah. Itu saja petunjuk yang dia faham anak-anak bermasalah dalam matapelajaran berkaitan.
Anak-anak pun faham akan pendirian Wak dan akan berusaha untuk mengelak mendapat markah yang menyebabkan bertanda dengan warna merah. Satu tindakan yang simple dari seorang yang tidak ke sekolah formal, namun cukup menyengat. Itu salah satu petanda beliau “ambil peduli” kemajuan pelajaran anak.
Wak juga tegas ke atas semua anak tanpa memilih kasih. Sebagai contoh mana-mana anak yang pulang ke rumah selepas jam 7 malam terpaksa kena rotan dan tidur di luar rumah. Itu tiada kompromi.
Dia berbuat demikian kerana mahu mendisiplinkan anak-anak agar pulang ke rumah on-time dan tidak membuang masa dengan kawan-kawan yang tidak ambil berat dengan pelajaran.
Prinsipnya kata Wak “Biar mak bapak bodoh, anak jangan jadi bodoh juga” Maksud beliau, biar dia dan isteri tidak bersekolah, anak-anak jangan juga begitu. Ketika mereka remaja di zaman dulu bukan sahaja kemudahan persekolahan sukar malah Wak terpaksa membantu bapanya menoreh getah di estet sehingga tidak berpeluang ke sekolah.
Dia juga rimas dengan ramai ibu bapa sekarang yang asyik tonton TV dan lain-lain kelekaan sehingga mengabaikan tugas mendidik dan memantau anak dalam pelajaran.
Sudah fahamkan 6 tip mendidik anak cemerlang yang dikongsi tokoh ibu bapa ini? Ternyata tip yang dikongsikan ini tetap relevan untuk menjadi amalan ibu bapa muda zaman ini.
Sumber/Foto : Facebook Page DrShukri Abdullah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Apa jadi bila kepercayaan dalam hubungan keluarga diserahkan kepada orang luar. Mungkinkah akan jadi eksploitasi ‘orang ketiga’ yang suka-suka ambil kesempatan dalam rumah anda?
Siapa ‘orang ketiga’ yang dimaksudkan ini? Jangan fikir macam-macam mak-mak, tak lain tentulah pembantu rumah atau orang gaji yang kita amanahkan untuk menjaga keluarga semasa ketiadaan kita.
Sebab itu jangan sembarang kongsikan rahsia keluarga dengan sesiapa pun. Baik pembantu itu rapat dengan kita. Sebab itu bila suami isteri yang menggunakan khidmat pembantu rumah, kenalah amalkan guideline ini.
Jadi tidak timbul masalah kehadiran ‘orang ketiga’ yang kita percaya selama ini membantu, rupa-rupanya terpesong lain niatnya. Prof Masya Dr Hj Mohd Nor Mamat berkongsi panduan menarik ini
Tidak dinafikan, ada sesetengah orang gaji mengambil kesempatan dengan melakukan perkara yang tidak elok. Contohnya skandal dengan tuan rumah.
Kita sebagai tuan rumah, perlu ada batasan dan limit dalam hubungan orang gaji dengan keluarga kita. Jangan biarkan semua urusan dilakukan oleh orang gaji.
Waktu-waktu tertentu, disiplinkan agar kita sendiri melaksanakan tugas hakiki kita sebagai isteri ataupun ibu bapa. Contohnya:
• Bilik tidur mungkin tidak perlu diuruskan oleh orang gaji.
• Waktu makan umpamanya, hanya anda dengan keluarga sahaja.
• Sebaiknya anda menghidangkan untuk suami.
• Elakkan pakaian dalam diuruskan oleh orang gaji kerana mungkin boleh menimbulkan menimbulkan perasaan dan tindakan yang negatif.
Skandal tidak berlaku sekiranya tidak disuburkan keadaan yang mendorong kepadanya. Tentukan urusan-urusan umum sahaja dilakukan oleh orang gaji. Jangan sampai suami anda juga diuruskan oleh orang gaji!
Ada orang berseloroh, kalau nak ambil orang gaji biarlah yang kuat dan rajin tetapi hodoh dan tua. Kalau ini keadaannya, mungkin tidak banyak urusan dalam rumah yang mampu dilaksanakan. Bagi lelaki atau suami pula, mungkin bersetuju jika orang yang bekerja di rumah itu sedap mata memandang.
Sebaiknya, anda perlu mengutamakan pemilihan orang gaji yang baik-baik, menepati tuntutan
dan berpegang kuat kepada agama. Sedikit sebanyak, ia mengurangkan pengaruh negatif terhadap suami.
Pastikan suami isteri atau ibu bapa mempraktikkan amalan agama terutamanya solat bersama-sama, imarahkan rumah dengan bacaan Al-Quran setiap hari dan mengamalkan cara hidup dengan batasan hubungan yang dituntut oleh agama.
Ini amat mujarab untuk menjadi pelindung kepada kita daripada terjadi sesuatu yang tidak diinginkan, apatah lagi rahmat dan sakinah.
Elakkan wujud situasi-situasi yang mendorong perkara negatif seperti meninggalkan suami bersama orang gaji atau membiarkan orang gaji ke sana sini bersama suami dan sebagainya. Urusan yang berbentuk peribadi, isteri haruslah menguruskannya sendiri.
Optimumkan masa untuk lebih mesra dan memenuhi keperluan suami anda. Apabila sebahagian kerja rumah dilaksanakan oleh orang gaji, seharusnya anda lebih banyak masa untuk menjaga kecantikan, lebih seksi untuk suami anda, lebih banyak masa untuk bermanja dan lebih mudah mengikut kata suami.
Isteri perlulah lebih berterima kasih dengan penghormatan dan ketaatan kepada suami. Jika ini berlaku, suami akan lebih berasa bahagia dengan kewujudan isteri yang cantik, hormat, manja, seksi dan sebagainya menjadikannya tidak mudah terpengaruh dengan kewujudan orang gaji.
Begitu juga dengan anak-anak, hendaklah anda mengoptimumkan masa sebagai ibu bapa yang prihatin dan penyayang, sahabat mereka yang memahami, sebagai guru yang mendidik mereka malah sentiasa ada untuk mereka. Elakkan anak-anak lebih cenderung dan rapat dengan orang gaji, berbanding ibu bapa.
Pastikan tempat tinggal dan keluar masuk orang gaji dalam rumah terkawal tanpa pergaulan bebas seperti yang dilarang dalam agama.
Jangan Sekat Kemesraan Suami Isteri
Kehadiran orang gaji sudah tentu menjadi penghalang buat suami isteri dalam menunjukkan kasih sayang dan sikap romantik. Tidak mustahil, sedikit sebanyak, ia pasti mengganggu hubungan mesra suami isteri, jika orang gaji yang ada dalam rumah bukanlah saudara dekat ataupun mahram suami anda.
Walau bagaimanapun, anda hendaklah bijak mengoptimumkan penggunaan masa keluarga
sebaiknya. Contohnya, perlu ada masa-masa keluarga yang tidak disertai oleh orang gaji, walaupun bukanlah sehingga mengetepikan orang gaji seperti orang asing.
Layani orang gaji dengan mesra tetapi perlulah dibezakan waktu intim suami isteri, waktu kekeluargaan dengan anak-anak dengan waktu biasa di rumah dengan kehadiran orang gaji.
Terlalu mesra sehingga menganggap sebahagian daripada ahli keluarga sendiri menyebabkan mudah tersilap faham dan tersilap jalin hubungan yang kemudiannya lebih sukar untuk menghilangkannya. Berwaspada itu lebih baik, namun janganlah sampai berprasangka kepada suami ataupun orang gaji.. orang ketiga yang menguruskan rumah anda.
Temuramah Bersama : Prof Madya Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM).
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Suami Amyza Aznan reda permegian Andre Mikhail, dia kembali pun pada bulan Ramadan. Dengan emosi yang tenang, itulah yang diluahkan dari hati seorang ayah, Khairil Idzar.