
“Menangis macam mana pun, sekalipun menangis darah, dia takkan kembali. Itulah kenyataannya,” Itulah reaksi Nur Aini Samiun, 44, balu anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, yang maut dalam nahas di Teluk Intan baru-baru.
Pihaknya belum bersedia menerima sebarang permohonan maaf daripada syarikat lori yang terbabit dalam kemalangan yang meragut nyawa suaminya itu.
Meskipun masih dalam fasa kehilangan, Nur Aini sedar, dia tak boleh terus tenggelam dalam kesedihan. Anak-anaknya perlukan dia — terutamanya anak sulung, Muhd Raqin Najmi, 13, yang menghidap sindrom Down, dan Muhd Riqzi Nazhan, 9, yang bergelut dengan ekzema.
“Kalau ikutkan hati, saya pun tak kuat. Tapi anak-anak saya perlukan saya. Menangis air mata berdarah sekalipun, suami saya takkan kembali. Jadi saya kena belajar ambil alih semuanya,” katanya perlahan.
“Alhamdulillah, saya dah mula rasa sedikit kuat. Tapi kadang-kadang kenangan tu datang, dan sedih pun ikut sekali. Tapi saya kena kuat demi anak,”ujarnya lagi.
Sumbangan PTPTN
Dalam suasana pilu itu, kunjungan dari pihak PTPTN melalui Program Ziarah Kasih sedikit sebanyak memberi nafas kepada keluarga kecil ini. Pengerusi PTPTN , YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim telah menyampaikan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berupa wang tunai berjumlah RM15,000 kepada anak-anak mangsa kemalangan nahas FRU tersebut melibatkan seramai 15 orang. Setiap anak menerima RM1,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime.
Selain itu, PTPTN turut menyampaikan manfaat perlindungan takaful dan khairat
kematian Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) kepada dua (2) waris
mangsa yang terlibat iaitu Allahyarham Mohd Roslan bin Abd Rahim.
Allahyarham Mohd Roslan bin Abd Rahim, 46 tahun anggota FRU berpangkat
Sarjan merupakan pendeposit Simpan SSPN Prime yang telah membuka akaun untuk diri
sendiri pada 7 Mei 2025 dan mempunyai simpanan yang melayakkan beliau menerima
manfaat perlindungan takaful berjumlah RM1,000.00 berserta khairat kematian berjumlah
RM3,000.00. Ini menjadikan keseluruhan manfaat Simpan SSPN Prime diterima berjumlah
RM4,000.00.
Allahyarham juga telah membuka tiga (3) akaun Simpan SSPN Plus di bawah Pakej
Intan untuk tiga (3) orang anak pada 31 Mac 2019. Melalui Pakej Intan dengan komitmen
sebanyak RM30.00 sebulan untuk setiap akaun iaitu simpanan RM20.00 dan caruman
takaful sebanyak RM10.00 melayakkan beliau sebagai pendeposit Simpan SSPN Plus
dilindungi dengan manfaat perlindungan takaful (kematian kemalangan) berjumlah RM60,000.00 untuk satu (1) akaun dan jumlah keseluruhan RM180,000.00 untuk tiga (3)
akaun.
Selain itu, waris juga layak menerima khairat kematian berjumlah RM9,000.00 untuk
tiga (3) akaun tersebut. Ini menjadikan keseluruhan manfaat Simpan SSPN Plus yang
diterima berjumlah RM189,000.00. Maka jumlah keseluruhan manfaat Simpan SSPN
Prime dan Simpan SSPN Plus yang diterima adalah berjumlah RM193,000.00.
“PTPTN berharap melalui sumbangan CSR dan manfaat perlindungan takaful serta khairat kematian Simpan SSPN dapat membantu meringankan beban kewangan waris pendeposit yang kehilangan insan tersayang.
Walaupun tiada nilai yang dapat menggantikan kehilangan tersebut, manfaat yang diterima diharapkan mampu menjamin pendidikan anak-anak Allahyarham serta memberikan sokongan kepada kelangsungan hidup mereka. Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN sentiasa komited dalam memastikan aspek pendidikan sentiasa terpelihara,” ujar YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim.
Bantuan itu bukan hanya meringankan beban kewangan, tetapi juga menjadi simbol bahawa perjuangan dan pengorbanan arwah tidak dilupakan.

Ketika ditanya tentang hasrat pihak syarikat lori yang mahu memohon maaf, Nur Aini hanya menjawab dengan nada tenang tapi jelas:
“Buat masa ini saya belum fikir apa-apa. Syarikat pun tak prihatin tentang pemandunya, macam mana nak minta maaf pada kami? Saya lebih risaukan anak-anak saya sekarang.”
“Saya cuma mahu anak-anak saya membesar dengan sihat, cukup kasih sayang, dan tahu… ayah mereka pergi sebagai seorang yang berkhidmat untuk negara.”
Menangis Dalam Tidur
Menurut Nur Aini, sejak pemergian suaminya, anak-anaknya seolah-olah kehilangan separuh dunia mereka, terutamanya si bongsu, Nur Aqeela.
“Dia sering menangis dalam tidur. Kadang-kadang dia bangun dan tanya saya siapa nak main masak-masak dengan dia. Kadang tanya mana ayah, kenapa tak balik,” luah Nur Aini dengan mata yang berkaca.
Setiap kali pertanyaan datang, Nur Aini hanya mampu memeluk anak-anaknya erat — seolah-olah pelukan itu boleh meminjamkan sedikit kekuatan yang masih bersisa dalam dirinya.
Selasa lalu, Mohd Roslan antara sembilan anggota FRU yang terkorban apabila trak dinaiki mereka dirempuh sebuah lori sarat dengan muatan batu di Kilometer 15, Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI