Mulanya Suka Simpan Sikit, Sampai Barang Takde Nilai Pun Sayang Nak Buang.. Itu Bahaya!

Bahaya bila anda suka simpan barang yang mulanya sebab rasa sayang, sampai barang tu dah tak de nilai pun masih nak simpan jugak. Tak rasa nak buang. Jaga-jaga.. sebab itu salah satu tanda anda alami masalah HOARDER. Dan hoarder ini adalah sejenis penyakit mental.

Ini yang dikupas oleh Akhtar Syamir yang berkongsi sikap seorang hoarder. Masih boleh anda atasi, jika boleh sampai tahap kronik. Kalau dah kronik, kenalah segera dapatkan rawatan pakar. Begitu dahsyat sekali penangan hoarder ini.

Nampak Banyaknya Barang Dekat Rumah Orang Itu..

Biasa tak pergi rumah seseorang dan melihat barang di dalam atau di luar rumah yang terlalu banyak? Bukan biasa-biasa banyaknya tetapi boleh membuatkan kita rasa itu adalah tidak normal.

Ruang tamu akan dipenuhi perabot yang tidak bersesuaian dengan ruang yang ada. Almari-almari besar yang tidak praktikal dan bermacam lagi perabot yang membuatkan ruang terasa amat sempit.

Jika termasuk ke bilik simpanan barang-barang hoarder ini, kita akan dapat lihat barang lama yang sudah buruk. Contohnya bekas plastik yang sudah lama tidak digunakan, periuk belanga yang sudah rosak berkarat, bingkai gambar lama, bekas kosong yang tidak berguna dan macam-macam lagi.

Kemudian kita mungkin ada peluang masuk ke biliknya dan akan dijamu dengan pakaian yang sudah berpuluh tahun lamanya tergantung memenuhi ruang bilik sehingga tiada ruang pun untuk tidur.

 

Mulanya Suka Simpan Sikit, Sampai Barang Takde Nilai Pun Sayang Nak Buang.. Itu Bahaya!

 

 

Dekat Dapur Pun Penuh Peralatan Memasak

Bahagian dapur pula akan penuh dengan set pinggan mangkuk yang sudah lama tidak digunakan. Peralatan memasak yang lebih dari yang sepatutnya dan bermacam lagi barang yang tidak sepatutnya berada di situ.

Mungkin ramai yang baru pertama kali dengar perkataan ini, tetapi Tuan empunya rumah itu sebenarnya seorang “Hoarder”. Yang menjadikan ianya menarik ialah Hoarder tidak rasa itu adalah satu masalah dan Hoarder ini adalah seperti manusia biasa sahaja. Sehinggalah anda ke rumahnya.

Hoarder ialah sejenis masalah di mana seseorang itu menyimpan barang secara berlebihan. Kebanyakan barang-barang itu tidak mempunyai nilai langsung buat orang lain tetapi tidak di pandangan mata orang yang mempunyai masalah itu.

Hoarder juga mempunyai masalah untuk melepaskan barang-barang yang telah dikumpul itu seterusnya membuatkan mereka tidak dapat hidup secara normal dan selesa kerana kebanyakan ruang di dalam rumah sudah dipenuhi dengan barang.

Perlu dijelaskan yang Hoarder bukanlah Collector (pengumpul). Collector mengumpul barang-barang berharga tetapi Hoarder mengumpul barang yang tidak berharga (berharga hanya di mata dia sahaja).

Ada Hoarder yang pengotor dan tidak kemas tetapi ada juga Hoarder yang menyusun rapi barang mereka cuma barang itu sudah terlalu banyak.

7 Sikap Hoarder Yang Kadang Kita Tak Sedar

1. Mengumpul barang semata-mata untuk disimpan tanpa ada sebab yang konkrit.
2. Sering memberi alasan yang barang itu mungkin akan diperlukan pada masa hadapan.
3. Sangat susah melepaskan barang yang sedia ada walaupun sudah buruk dan tidak berguna.
4. Berasa selamat dengan barang yang sudah lama ada bersama.
5. Tidak boleh berpisah dengan barang yang dirasakan mempunyai ikatan emosi dengannya.
6. Hoarder sering kali bermula pada umur muda dan masalah itu meningkat mengikut umur. Mungkin pada mulanya suka menyimpan sedikit barang, tetapi lama-kelamaan ianya menjadi semakin banyak.
7. Sentiasa memberi alasan yang barang itu boleh diberi kepada orang lain sedangkan ianya hanya untuk simpanan sendiri.

 

Mulanya Suka Simpan Sikit, Sampai Barang Takde Nilai Pun Sayang Nak Buang.. Itu Bahaya!

 

Orang Hoarder Suka Simpan Apa

1. Pakaian / tudung
2. Perabot kecil / besar / barang perhiasan
3. Bekas makanan / Tupperware
4. Barang dapur, set pinggan mangkuk
5. Aksesori kenderaan / kenderaan lama
6. Emas atau barang perhiasan peribadi
7. Barang-barang keluarga
8. Kertas, resit, majalah lama, surat khabar lama.
9. Barang-barang mainan.
10. Peralatan budak kecil / bayi walaupun anak dah besar panjang.

Simpan Barang Takda Nilai Bukan Satu Masalah? Ni Efeknya

1. Kehidupan menjadi stress disebabkan ruang rumah yang menjadi sempit kerana barang yang banyak.
2. Kekurangan hubungan sosial di rumah kerana seringkali mengelak untuk orang lain datang ke rumah.
3. Satu pembaziran apabila barang yang banyak tetapi tidak digunakan.
4. Masalah kesihatan hasil daripada barang yang sudah buruk tetapi tetap disimpan dan tertimbun dengan barang lain.
5. Perbalahan antara ahli keluarga yang cuba membantu.

Ada satu lagi jenis Hoarder iaitu Animal Horder. Hoarder jenis ini ialah orang yang terlalu banyak mengumpul binatang, kucing contohnya. Bukan 5 ekor tetapi kadang kala mencecah sehingga berpuluh-puluh ekor. Kesannya adalah sama seperti di atas tetapi lebih teruk lagi kerana yang disimpan itu ialah binatang bernyawa yang sentiasa perlu dijaga.

 

Mulanya Suka Simpan Sikit, Sampai Barang Takde Nilai Pun Sayang Nak Buang.. Itu Bahaya!

 

Simptom-simptom Hoader Yang Anda Perlu Tahu

1. Suka mengumpul barang tanpa sebab.
2. Tidak suka mengemas dan membuang apa yang tidak perlu.
3. Selalu memandang suatu benda lebih bernilai dari yang sepatutnya.
4. Syok sendiri dengan barang yang dirasakan bernilai sedangkan tidak.
5. Suka membeli barang yang tidak perlu.

Jika anda ada simptom ini, cepat-cepatlah berubah sebelum ianya terlambat. Percayalah yang ianya akan menjadi lebih buruk. Saya lihat dengan mata kepala saya sendiri seorang Hoarder yang mempunyai barang penuh satu bilik sampai ke siling.

Bantu Orang Haorder Buat Ini

1. Menerangkan betapa barang-barang itu tidak berguna.
2. Membantu membuang barang-barang yang berlebihan.
3. Perlu berkeras dengan Hoarder walaupun akan ada keadaan yang sedikit tegang kerana Hoarder ini selalunya susah untuk membuang tabiatnya.
4. Kurangkan barang yang mempunya nilai yang sama. Jika ada 5 benda yang sama tinggalkan 1 sahaja

Sebelum Jadi Lebih Kronik.. Buatlah Macam Ini

1. Berubah dan terima kenyataan yang barang itu tidak diperlukan.
2. Mengawal emosi yang terlalu mengikat sesuatu barang itu dengan diri sendiri.
3. Beri kebenaran kepada orang terdekat untuk uruskan barang-barang itu. Jika diuruskan sendiri, pasti tidak akan berhasil.
4. Sedekah. Jangan hanya berniat untuk sedekah, tetapi terus bersedekah. Jika dilengahkan, memang takkan bagi punya.

Itulah serba sedikit penerangan mengenai masalah Hoarding dan Hoarder. Percayalah yang anda tidak perlukan 10 barang yang sama atau 10 barang yang buruk.

Hiduplah dengan ruang yang besar dan selesa berbanding ruang yang sempit dengan barang yang terlalu banyak. Pasti hidup anda akan lebih tenang dan stress akan jauh berkurangan.

Hoarding juga boleh dikategorikan sebagai satu pembaziran dan pembaziran ini akan dihisab di kemudian hari.

Kongsikan penulisan ini kerana saya pasti terlalu ramai di antara kita yang mempunyai masalah seperti ini.

MW : Jom bantu.. jika ada dalam diri tanda-tanda tu.. tak sedar masih simpan sekian lama barang tak ada nilai. Cepat-cepatlah buat langkah pembersihan.

Sumber/Foto : Akhtar Syamir , yang selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan dan isu semasa di Supergroup Telegram BroOhsem Fans : http://t.me/broohsemfans

Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.