Minyak angin gantikan bunga dan pen, hadiah hari guru paling ‘rare’ buat cikgu BM ini. Jika kebiasaannya guru menerima bunga atau pen sempena Hari Guru, lain pula kisah seorang guru Bahasa Melayu ini yang mendapat hadiah tak dijangka, sebotol minyak angin cap kapak daripada salah seorang muridnya.
Fatin Nur Farhana Ruslan, yang sudah empat tahun mengajar, menganggap pemberian itu sebagai pengalaman luar biasa dalam kerjayanya sebagai pendidik. Malah, beliau tidak menyangka video ringkas tentang hadiah tersebut yang dimuat naik ke TikTok menjadi tular dan mencetuskan pelbagai reaksi lucu serta positif daripada warga maya.
“Video itu sebenarnya dirakam tahun lepas, tapi baru saya kongsikan di media sosial sebab Hari Guru jatuh pada Jumaat ini, 16 Mei. Saya fikir, mungkin boleh beri inspirasi kepada murid dan ibu bapa tentang idea hadiah yang lain daripada biasa,” katanya.
Rakaman berdurasi 22 saat itu memaparkan seorang murid lelaki berbangsa Cina memberikan minyak angin cap kapak kepada cikgunya sebagai hadiah Hari Guru. Aksinya yang bersahaja membuat ramai tersenyum, dan ada yang menyifatkan ia sebagai hadiah yang amat berguna terutamanya buat guru yang penat berdiri dan bercakap seharian di kelas.
Fatin turut berkongsi bahawa bukan beliau sahaja yang menerima hadiah istimewa itu, malah guru-guru lain yang mengajar murid tersebut turut mendapat minyak angin yang sama.
“Saya beritahu murid itu yang videonya dah viral, dan dia sangat teruja! Katanya, tahun ini dia nak beri hadiah serupa tapi dengan jenis minyak angin yang berbeza. Siap rancang nak rakam video baru pula,” tambah Fatin dengan nada terhibur.
Walaupun dianggap ‘simple’, Fatin mengakui hadiah itu sangat praktikal dan dihargai oleh guru-guru.
Fatin juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik dan berharap sambutan ini terus menyuntik semangat buat guru-guru untuk terus mengajar dengan penuh dedikasi dan kasih sayang.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Guru Kongsi Kisah Sedih, Pelajar Meninggal Dunia, Tak Sempat Tengok Keputusan SPM
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE