Orang cakap, nak pikat suami kenalah pikat mentua sekali. Jangan pula, sebelum berkahwin semuanya baik, manis dan elok. Orang cakap, pijak semut pun tak mati.
Tetapi, bila sudah dimiliki keadaan terus berubah. Mula timbul sikap cerewet, pantang ditegur dan lebih teruk lagi apabila mentua dan menantu mula bermasam muka kerana ada sahaja perkara yang tidak kena di mata mereka. Boleh dikatakan, baik menantu mahu pun mentua, mereka tidak ‘ngam’.
Jadi, bagaimana ingin menjadi menantu pilihan dan mentua disayangi. Ikut ikupasan lanjut bersama Prof Madya Dr Hj Mohd Nor Mamat Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) berkenaan cara nak pikat mentua.
Konflik Menantu Mentua
Seringkali kita mendengar kes atau konflik yang berlaku antara menantu perempuan dan ibu mentua berbanding dengan menantu lelaki dengan bapa mentua. Keadaan ini mudah berlaku apabila kedua-duanya cepat terasa hati dan tidak dihargai baik oleh suami atau anak lelaki sendiri.
Ada juga disebabkan oleh perbezaan jurang yang menimbulkan salah faham apabila ibu mentua membanding-bandingkan cara menantu menjaga keluarga. Contohnya, melayan suami atau pun mendidik anak-anak yan tidak sehebat mereka dahulu.
Malahan, kelemahan menantu menguruskan rumah tangga juga boleh menjadi punca kritikan mentua sehingga menimbulkan rasa hati dan konflik dalam hubungan. Apatah lagi, jika tinggal bersama, setiap tindakan menantu jadi perhatian mentua.
Ads
Tidak Rapat
Daripada sudut psikologi, perempuan lebih didominasi oleh emosi. Namun, tidaklah dikatakan menantu perempuan dan ibu mentua sukar untuk rapat kerana ada kalanya mereka boleh rapat melebihi hubungan menantu lelaki dengan bapa mentua.
Mereka didominasi oleh emosi, jika gembira akan jadi gembira bersungguh-sungguh dan jika sedih, mereka akan cepat sedih dan terasa hati. Berbeza dengan lelaki yang agak rendah emosinya, lebih banyak mengambil mudah, sukar terasa hati dan kalau pun berlaku, cepat pula melupakan.
Ambil Hati Mentua
Ads
Ada cara yang boleh memastikan menantu ‘mesra’ dengan mentua atau dikatakan lebih serasi. Contohnya, jangan tinggal terlalu lama bersama menantu dan mentua. Jika keadaan ini tidak dapat dielakkan, sebagai menantu perlulah menghormati ibu mentua seperti ibu sendiri dan suami hendaklah bijak memberi perhatian kepada kedua-duanya secara efektif.
Sebenarnya, isteri dan ibu inginkan perhatian dan belaian yang istimewa daripada suami atau anak lelaki.
Sebagai menantu perempuan, perlulah banyak bersabar dan tunjukkan keikhlasan dalam menghormati ibu mentua sebagai wanita yang paling istimewa dalam rumah tersebut. Elakkan daripada kita merampas anak lelaki daripada hidupnya atau menghalang daripada anak lelaki mengambil berat terhadapnya.
Sebagai menantu, biasakan diri kita sesuaikan diri dengan gaya hidup mentua, ini boleh menjadikan mereka rasa dihargai. Dahulukan apa sahaja untuknya, elakkan daripada merasakan ibu mentua sebagai orang asing dalam urusan keluarga.
Ads
Anggap Ibu Sendiri
Sebaiknya, sebelum mendirikan rumah tangga dengan pasangan, mulalah berkenalan dan berbaik dengan bakal ibu bapa mentua. Pujuk diri agar menerima hakikat bahawa kita bukanlah bersendirian memiliki suami kerana mentua juga adalah sebahagian daripada keluarga kita.
Cari sesuatu yang boleh mencipta kekaguman dan penghormatan terhadap mentua untuk lebih memudahkan kita menjadi lebih rapat dan ‘rakan baik’ atau pun idola dalam kehidupan kita.Jadikan pahala berbuat baik dan menghormati kedua ibu bapa mntua sebagai motivasi untuk kita bersabar dan menerima keadaan tersebut.
Nasihat Untuk Menantu
1.Berilah keutamaan kepada mentua kerana mereka lebih tua dan perlu dihormati sama seperti ibu bapa kita sendiri.
2.Pujuk hati untuk berkongsi kasih sayang dengan wanita lain iaitu ibu mentua kerana jika diamati betul-betul, sebenarnya kasih sayang dan perhatian suami adalah istimewa untuk setiap.
3.Hormati ibu bapa mentua kerana dengan sebab merekalah, kita mempunyai suami dan menerusi penghormatan serta kasih sayang suami kita terhadap mereka juga menjadi asbab laluan kita ke syurga.
4.Elakkan daripada membanding-bandingkan kasih sayang atau perhatian suami.. Elakkan prasangka negatif terhadap mentua yang kadang kala merasakan seolah-olah ingin bersaing untuk mendapatkan perhatian daripada suami kita.
5.Cuba sedaya upaya untuk tidak tinggal sebumbung dengan ibu bapa mentua dalam tempoh yang lama. Sebaiknya, tinggal berasingan dan sering kalilah mengunjungi rumah mereka.
6.Jika tiada pilihan, carilah atau ciptalah hubungan yang membahagiakan bersama ibu mentua, contohnya berkongsi hobi yg sama, atau pun jadikannya guru masakan atau apa sahaja yang membahagiakan dan menggembirakannya (tanda dihormati).
Wahai Mentua!
1.Berilah ruang dan peluang kepada anak untuk menjadi suami yang membahagiakan keluarganya. Anak lelaki mempunyai tanggungjawab yang berbeza daripada sebelum menjadi suami kepada menantu kita.
2.Pujuk diri untuk menerima hakikat betapa anak kita telah pun mempunyai tanggungjawab baru dan sedia berkongsi perhatian serta kasih sayang dengan wanita lain.
3.Jadilah mentua yang bertoleransi serta membahagiakan menantu seperti mana anak sendiri dan ini akan lebih dihormati oleh menantu.
4.Elakkan daripada masuk campur semua urusan anak menantu kerana mereka lebih tahu mengurus hidup sendiri, malah mereka juga hidup pada zaman yang berbeza dengan kita.
5.Elakkan membanding-bandingkan tindakan atau pun sikap menantu dengan cara hidup kita atau pun dengan anak menantu lain kerana tugas kita sebagai ibu bapa adalah membesar dan mendidik anak-anak dalam membina keluarga mereka dengan bahagia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Setiap alam rumah tangga ada pasang surutnya. Hanya yang mampu bertahan dapat meneruskan kehidupan suami isteri dan kekal. Namun, jika tidak mampu bertahan, buatlah macam mana sekali pun, ia tetap tidak bahagia.
Pernah tak kita tengok, pasangan itu sangat baik dan kelihatan cukup serasi. Tetapi, tiada siapa sangka dan jangka, kehidupan mereka itu belum tentu bahagia. Luaran nampak bahagia tapi di dalamnya hanya mereka yang tahu.
Perkongsian oleh Fadzli Aziz boleh merungkaikan kenapa keadaan ini berlaku. Hayati dan fahami apa yang diperkatakan itu.
Ramai yang mengimpikan rumah tangga yang bahagia dan harmoni. Penuh dengan emosi cinta dan adegan romantik. Setiap gurau senda yang mengeratkan lagi hubungan antara suami dan isteri.
“Sebab tu kita kena cari pasangan yang baik kan” kata salah seorang penganjur program.
Saya pun tersenyum sambil mengutarakan satu soalan.
“Awak pasti ke kalau pasangan dua dua baik akan bahagia?”
“Ye kut. Entahlah. Tapi kita mesti nak cari yang baik kan.” Jawab penganjur tu.
“Betul. Itulah rumah tangga. Tiada siapa yang akan dapat jangka apa yang akan berlaku walaupun kita dah bersedia. Terkadang sama-sama baik pun belum tentu bahagia”.
“Eh, biar betul En Fadzli”.
“Yup. Ibarat macam ni. Kerja kat syarikat petronas bagus tak?”
“Bagus. Gaji besar, company stabil, kemudahan banyak” jawabnya.
“Ok, ada seorang engineer dapat kerja di Petronas. Ada pengalaman dalam 5 tahun, pekerja cemerlang sewaktu di syarikat lama. Bagus tak dia ni?”
“Baguslah. Mesti petronas nak punya”.
“Betul. Maknanya dua dua bagus kan. Syarikat bagus, pekerja pun bagus. Tapi pastikah kita pekerja tu tak akan berhenti dari petronas? Tak pasti kan.
Kenapa? Baik tak semestinya serasi.
Terkadang ada orang berhenti kerja kerana suasana kerja tak best, ada cita-cita lain, layanan pihak atasan teruk dan macam-macam lagi.
Karakter Berbeza
Sama juga dalam rumah tangga. Sama-sama baik tak semstinya serasi. Budaya berbeza, suasana berbeza. Walaupun kedua-duanya berakhlak baik, tapi disebabkan karakter berbeza juga membawa kepada konflik”.
“Habis tu En Fadzli, nak cari yang macam mana lagi? Macam mana nak tau serasi ke tidak?”
“Tulah kan. Tiada siapa yang tahu. Isunya bukan pada siapa baik dan siapa lebih baik, tapi sejauh mana suami isteri berusaha bersama untuk membaiki diri dan melengkapi pasangan sepanjang perkahwinan. Berbeza tak salah, yang salah adalah membeza-beza”.
Menerima perbezaan ni perlu kepada merendahkan ego, berlapang dada dan menyintai pasangan tanpa syarat”
“Sebab tu dalam rumah tangga mengenali pasangan bukan terhad oleh masa, bahkan mengenali dan memahami pasangan adalah proses sepanjang hayat. Kenapa? Kerana manusia berubah. Apa yang kita tahu sebelum kita kahwin belum tentu akan valid selepas 5 tahun kahwin.
Pasang Surut
Dalam rumah tangga mesti ada cabarannya, ujiannya, naik turunnya. Mesti ada.
Jadi fokus dalam rumah tangga adalah bagaimana masing-masing boleh menyumbang dalam menjaga keharmonian. Bagaimana masing-masing boleh berfungsi dan main peranan dalam rumah tangga bila berdepan dengan cabaran.
“Risau pula saya nak kahwin bila dengar macam ni”.
“Baguslah kalau risau. Tu tandanya awak seorang yang amanah, bertanggungjawab. Yang saya risaukan adalah orang yang takde risau, Yang dia nampak bab seronok je. Bila nampak seronok je jadi tak bersedia. Tu yang ilmu entah ke mana, tanggungjawab pun huru-hara.
Hikmahnya apa? Allah nak kita sentiasa bergantung dan berharap padaNYA, bukan pada pasangan kita semata”.
Satu Perjalanan
Rumah tangga bukan destinasi tetapi ianya adalah satu perjalanan sebelum tiba ke destinasi. Matlamatnya adalah hendakkan ALLAH redha sepanjang perjalanan.
Jadi dalam perjalanan, ada orang yang sentiasa belajar dan berusaha sepanjang perjalanan. Tetapi dalam masa yang sama ada orang masih sibuk dengan kisah silam, berjalan tanpa tujuan dan hanya mengikut keadaan.
MW: Belajarlah untuk memahami pasangan supaya kerukunan rumah tangga sentiasa berkekalan.
Artikel ini telah disunting dan mendapat kebenaran daripada penulis
Sumber: Fadzli Aziz
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Yeayy…Cuti sekolah dah bermula…paling best bila cuti kali nie terus bersambung dengan cuti raya. Sudah tentu mak-maklah yang paling sibuk menyiapkan keperluan barang-barang yang perlu di bawa untuk balik kampung. Manakala si ayah sudah tentu sekali ingin memastikan kenderaan yang membawa keluarga tersayang berada dalam keadaan baik dan perjalanan ke kampung nanti berjalan dengan lancar.
Jadi, sebelum memulakan perjalanan, apa kata periksa dulu kenderaan yang bakal dinaiki nanti. Bimbang silap haribulan tersandar di tepi jalan pula.
1.Periksa Keadaan Minyak Petrol/Diesel
Bagi yang melalui perjalanan jauh, pastikan minyak diisi penuh atau sekurang-kurangnya separuh tangki.
2.Periksa Keadaan Minyak Enjin
Cabut dipstick dan bersihkan. Pasang kembali dipstick dan angkat kembali dengan melihat ketinggian minyak hitam yang harus berada dalam level minima dan maksima.
3.Periksa Kandungan Minyak Brake
Pastikan level brake pada tabung berada di antara minima dan maksima. Hati-hati, jangan sampai minyak brake tumpah pada bahagian body kenderaan. Bersihkan dengan air jika minyak brake menitis pada body.
4.Periksa Minyak Power Stereng
Jangan abaikan minyak power stereng dan pastikan pada tabung berada di antara minima dan maksima. Warna keemasan = okay, warna gelap = perlu diganti.
5.Periksa Air Radiator (coolant)
Periksa jumlah air radiator pada tangki cadangan. Jumlah air radiator harus berada pada aras minima dan maksima. Buka penutup radiator dan periksa jumlah air radiator harus penuh, tambahkan jika kurang (*jangan membuka tutup radiator pada saat enjin panas). Jangan isi banyak dari aras untuk elakkan air coolant melimpah keluar.
6.Periksa Fungsi Wiper
Buka tutup pengisian air wiper (tutup tabung/tangki air bertanda khusus atau bertuliskan washer fluid only), isi sampai penuh kemudian tutup kembali.
* Untuk mencegah tersumbatnya nozzle gunakan air suling atau air mineral
* Boleh tambah sabun cairan pembersih Windshield Washer Fluid.
7.Periksa Getah Wiper
Periksa getah wiper kalau ada kerosakkan. On motor wiper, pancutkan air pada nozzle dan lihat pergerakan wiper lancar atau tidak.
8.Periksa Sistem Aircond
Hidupkan temperature maksima dingin dan maksima blower. Periksa kipas pendingin condenser harus berputar, kemudian periksa sign glass. Jika terdapat buih udara di dalamnya, tanda gas hampir habis atau mungkin terdapat kebocoran pada pipe.
Periksa suhu hembusan angin dengan tangan sama ada rasa wap aircond di tapak tangan.
9.Pastikan Drive Belt, Aircond Belt dan Kipas Berfungsi
Drive belt adalah tali penggerak dari enjin memutar komponen tambahan antara pully aircond, kipas radiator, alternator dan compressor AC. Jika drive belt di bahagian tepi berbenang dan berbulu, anda perlu tukar yang baru.
10.Periksa Keadaan Tayar
Tip mudah mengesan kehausan tayar adalah dengan mengambil duit 20 sen, letakkan di antara celah-celah jalur tayar tersebut. Lihat jika tulisan “sen” anggaran tak nampak (kedalaman 1.6mm) ini bermakna bunga tayar masih elok.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebelah malam sepatutnya mak-mak berehat kan, esok pagi barulah mulakan hari dengan penuh kecergasan. Tapi sebelum masuk rehat, mak-mak cubalah selesaikan 9 rutin ini dulu. Barulah awal pagi mak-mak akan berjalan dengan lancar dan sihat.
1. Kenapa Mak-mak Digalakkan Makan Daging Pada Sebelah Malam
Sangat bagus untuk ambil atau makan daging ataupun potongan keju sebelum masuk tidur. Ini kerana kedua sumber makanan ini mengandungi protien dan tryptophan (sejenis asid amino yang menggalakkan tidur lebih nyenyak).
Dan mak-mak tak digalakkan berdiet dengan mengambil semangkuk besar sayuran sebelum tidur. Kerana ia boleh menyebabkan kembung. Mak-mak pun kena faham, kelaparan itu boleh menyebabkan insomnia (gangguan tidur). Bila tidur tanpa makan malam, berkemungkinan esok paginya anda akan makan sarapan dengan banyaknya. Lagipun, boleh ke anda tidur nyenyak dengan perut berkeroncong tu..
2. Berjalanlah Di Petang Hari
Bersiar-siarlah dulu pada sebelah petang tu. Itupun sejenis relaks minda juga. Nanti dapat bantu mak-mak yang ada masalah tidur malam. Sebab dengan berjalan-jalan waktu petang ini kadang idea boleh datang mencurah-curah. Silap-silap jumpa jalan penyelesaian hidup masa jalan-jalan itu. Sebab itulah Mark Zuckerberg, founder Facebook dan Jack Dorsey, CEO Twitter tu gemar bersiar petang-petang hari.
3. Catatkan Perancangan Untuk Esok Hari Pada Buku/Kertas
Selalunya mak-mak tak ada masa nak tulis-tulis ini kan. Haa.. ini nak cerita, mencatat perancangan di malam hari sebenarnya boleh membuatkan hidup mak-mak lebih teratur dan terjamin. Sebabnya masa inilah mak-mak boleh fikir dengan tenang.
Berbanding waktu siang, kelam kabut dengan rutin harian. Bila dan rancang sebelah malam, pagi itu tinggal laksanakan saja. Buat satu persatu ikut kemampuan diri ya mak-mak. Jangan sampai membazir masa dan tenaga pula.
4. Tempat Tidur Tu Jangan Lah Kepam Sangat
Maksudnya di sini, mak-mak kenalah benarkan udara keluar masuk dalam bilik tidur anda. Bersihkan dan anginkan pada sebelah malam. Udaranya lebih dingin. Jika bimbang nyamuk menyerang, silalah pasang ubat nyamuk siap-siap atau sediakan jaring. Cara ini akan buatkan mak-mak lebih mudah tidur dengan nyenyak dan tenaga dalaman bertambah baik.
5. Siapkan Pakaian Dan Persediaan Makanan Untuk Esok
Agar tak kelam kabut, malam hari mak-mak dah siapkan baju yang nak dipakai esok. Baik untuk diri sendiri atau untuk anak-anak dan suami. Kalau pagi-pagi semua baru nak buat, memang serabutlah jadinya. Itu belum ambil masa beberapa minit depan almari sebab blur tak tahu nak pakai baju mana satu.
Kalau mak-mak jenis sediakan sarapan untuk keluarga, siapkan barang makanan itu dari malam. Esok tinggal masak saja. Taklah guna tenaga sebanyak-banyaknya pada pagi-pagi hari. Mood pun elok terpelihara.
6. Solat Malam Lapangkan Jiwa Dari Keserabutan Hidup
Sebab itulah, setiap umat Islam itu digalakkan bangun tengah malam untuk bersolat tahajud. Masa malam harilah tenaga beta sangat dekat dengan alam. Masa ini otak pun dah segar (sebab itu kena tidur dulu). Dan kita akan lebih dekat dengan Yang Esa.
Mohonlah apa saja padaNya dalam solat malam. Hati pun jadi lapang, tubuh sihat malah emosi diri pun akan lebih terkawal dan kental.
7. Mandi Malam Dengan Air Suam
Paling bagus sebenarnya mandi malam dengan air suam ini. Air hangat yang menyentuh tubuh akan membantu kita tidur dengan lebih nyenyak. Cara mandian sebegini juga boleh menenangkan saraf tubuh kita, membersihkan pori-pori yang tersumbat dan menstabilkan paras glukosa dalam darah, malah melegakan tulang belakang. Lagi-lagi bila anda baru pulang dari tempat kerja yang menyerabutkan itu.
8. Kerja-kerja Mengingat Buatlah Malam Hari
Otak kita akan mengingat dengan lebih baik pada sebelah malam. Sebab itulah ramai di kalangan pelajar akan memulakan proses mengingat pada malam hari. Masa inilah anda kena buang jauh smartphone ataupun laptop. Sebaliknya gunakan bahan bacaan konvensional, seperti buku untuk mengelakkan masalah cahaya yang dipancarkan dari skrin.
9. Apa Kaitan Pensil Dengan Berdengkur
Stress kan kalau insan tersayang ada masalah berdengkur waktu tidur. Memang bermacam-macam lagu yang keluar nanti. Cuba petua elakkan dengkur dengan menggunakan pensil ini. Senaman ini akan menguatkan otot pada lelangit (berdengkur tu jadi sebab otot lelangit yang lemah).
Jadi ketika waktu lapang, letakkanlah pensil di antara gigi anda dan ketap bibir kemas-kemas jangan bagi pensil jatuh. Buat selama 5 ke 10 minit.
Senaman ringkas ini juga boleh melegakan sakit kepal. Ini kerana teknik sebegini akan membuatkan otot-otot pada sesetengah tempat yang lain menjadi lebih relaks.
Haa.. dah tahukan kenapa pentingnya malam hari buat semua aktiviti-aktiviti sebegini. Supaya esok pagi mak-mak boleh bangun dengan cergas dan energi positif meresap banyak-banyak dalam tubuh.
Olahan : Bright Side
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Air mata terakhir Zara Qairina, bersumpah & nafi mencuri sebelum temui ajal. Inkues kematian pelajar, Zara Qairina membuka kisah memilukan apabila arwah dilaporkan menitiskan...