Ikatan perkahwinan yang dibina selama 17 tahun diharapkan dapat bertahan sehingga hujung usia. Apatah lagi dengan kehadiran lima cahaya mata pelengkap keluarga, tentunya dilihat sebagai sebuah keluarga harmoni dan bahagia. Namun langit tidak selalunya cerah, ternyata hujan menyinggah di tengah hari. Itulah perumpaan kehidupan Norisah Sahat, 54 yang kini sudah hampir 17 tahun hidup sendirian membesarkan anak-anak.

Rumah tangga yang dibina atas dasar cinta akhirnya kecundang jua akibat salah faham yang luar biasa. Bukan tiada usaha untuk dirinya mempertahankan hubungan tersebut, namun kesabaran setiap manusia ada hadnya. Mesra disapa dengan panggilan Nori, akhirnya keputusan untuk berpisah diambil kerana itu jalan yang terbaik untuknya.

“Saya dan bekas suami berkahwin atas dasar cinta. 17 tahun usia perkahwinan kami, tipulah jika saya kata tiada dugaan yang datang. Tapi saya masih boleh bersabar dan meneruskan kehidupan hidup Bersama dengannya. Anak pun dah ada lima orang pelengkap keluarga kami dan faktor untuk saya terus bertahan hidup bersamanya. Tapi ya lah sabar orang ada hadnya. Bila satu salah faham yang terjadi antara saya dan keluarganya tidak lagi boleh diselesaikan, maka saya rasa berpisah adalah jalan yang terbaik. Kejadian ini bukan kali pertama terjadi kepada saya, malah sudah beberapa kali. Selama ini saya hanya mengalah sahaja,” ceritanya mengimbas kembali kehidupan ketika berumah tangga.

Ditinggal sehelai sepinggang

Sejak berkahwin Norisah memang tidak pernah bekerja dan hanya menjadi suri rumah sepenuh masa. Dia ditinggalkan sehelai sepinggang Bersama lima orang anak yang sedang membesar dan masih bersekolah ketika itu. Namun kerana anak-anaknya itulah, ibu ini bangkit untuk teruskan kehidupan yang masih Panjang.

“Saya tidak pernah bekerja sejak berkahwin, maklum sahajalah belajar pun tak tinggi. Semuanya bekas suami yang tanggung. Kawan-kawan pun tak ada, jiran-jiran sekeliling rumahlah kawan-kawan saya. Selepas berpisah suami menghilang tanpa berita, tidak dapat dihubungi. Malah saya juga terpaksa menumpang di rumah kakak Bersama lima orang anak. Bayangkan dahlah rumah pangsa, dia pun ada anak, saya pula anak lima. Saya turun naik DBKL untuk dapatkan sebuah rumah buat berteduh untuk kami sekeluarga.

Memang Perit Jadi Ibu Tunggal, Tapi Wanita Ini Berjaya Besarkan Lima Anak Sampai Ke Universiti
Susah payah Norisah kini berbayar dengan kejayaan yang dicapai oleh anak-anaknya.

“Saya perlu reda dengan apa yang berlaku, saya tak boleh berdiam diri atau nak meratap dengan nasib yang menimpa, saya perlu bangkit, lima orang anak saya perlu makan dan bersekolah untuk masa depan mereka. Jadi saya berniaga makan secara kecil-kecilan. Bermula dengan membuka gerai kecil di Kawasan rumah kami dan menjual nasi lemak, kuih-muih dan makanan lain di waktu pagi. Itu semua hasil pertolongan arwah emak yang banyak membantu. Saya terpaksa pinjam duit dari arwah untuk buat modal perniagaan saya itu. Tapi ya lah saya tiada lesen dan menjual secara tidak sah, ada ketika bila pihak berwajib membuat operasi habis semua barang saya diangkut. Saya perlu mula balik dengan modal yang lain. Emaklah yang tak pernah serik untuk hulurkan bantuan, bukan sahaja dari segi kewangan, malah sokongan moral dan turut membantu saya menguruskan anak-anak ketika saya keluar berniaga. Emak juga salah satu sumber kekuatan saya.”

IKLAN

Nasi berlaukkan telur

Tinggal di bandar dengan lima orang anak yang masih bersekolah tentunya bukan mudah buat Norisah. Justeru bukan sahaja berniaga di gerai di tepi jalan, malah wanita ini turut mengedarkan jualannya ke kedai-kedai kopi berhampiran bagi menambah pendapatan yang ada.

“Memang hidup kami sekeluarga agak susah ketika itu. Boleh dikatakan setiap hari makan nasi berlaukkan telur. Kadang kalau makanan yang dijual tidak habis, itulah yang kami jadikan hidangan hingga ke malam. Seawal pukul 3 pagi saya sudah bangun untuk menyiapkan barang yang akan dijual, anak-anak memang sedia maklum dan selalu membantu saya.

“Bukan sahaja meniaga di Kawasan rumah, malah saya turut meletakkan nasi lemak dan kuih-muih yang dibuat di kedai-kedai makan berdekatan. Saya juga membekalkan sandwich di pejabat-pejabat kawan-kawan yang berminat. Macam-macam benda saya buat untuk menampung kehidupan kami sekeluarga. Maklum sahajalah anak-anak sedang membesar dan ketika itu anak yang sulung pula bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” ujarnya lagi.

IKLAN

Jadi Pengamal Urutan

Tidak pernah berputus asa, rajin berusaha dan sentiasa bertawakal pada Yang Maha Esa, kehidupan Norisah bagaikan dipermudahkan. Segala ujian dan dugaan yang hadir dijadikan pengalaman untuk mematangkan kehidupan. Dia yang kini bergelar Pengamal Urutan yang berdaftar di bawah Mamacare iaitu Perkhidmatan yang diperkenalkan oleh LPPKN dalam membantu menjana pendapatan kumpulan berpendapatan rendah terutamanya ibu tunggal dan warga emas sudah dapat menarik nafas lega.

Memang Perit Jadi Ibu Tunggal, Tapi Wanita Ini Berjaya Besarkan Lima Anak Sampai Ke Universiti
Mama Care bantu Norisah jana pendapatan sendiri dengan kemahiran yang ada

“Alhamdullilah sepanjang bergelar ibu tunggal, meski ada sesekali dugaan datang menimpa tapi itu semua dapat saya tempuhi. Suatu hari ada seorang teman yang juga seorang ibu tunggal datang menyarankan kepada saya untuk menyertai kursus urutan yang disediakan oleh LPPKN untuk golongan yang berpendapatan rendah. Mulanya saya teragak-agak juga untuk sertai, maklum sahajalah saya bukan pernah ada pengalaman mengurut orang atau sebagainya. Tapi bila saya fikirkan balik dengan perniagaan saya yang ada pasang surutnya, jadi saya rasa tak salah mencuba.

“Syukur jalan yang Allah lorongkan untuk saya itu akhirnya menjadi sumber pendapatan tetap buat saya pada hari ini. Mamacare menjadi platform untuk saya mengembangkan kerjaya sebagai pengamal urutan dan menjana pendapatan bagi golongan wanita terutamanya ibu tunggal seperti saya. Sehingga kini saya masih lagi menimba ilmu dalam bidang urutan dan InsyaAllah akan jadi tenaga pengajar untuk kursus urutan pula pada masa hadapan.

IKLAN

Kehidupan yang lebih baik

Usaha dan kesabaran Norisah dalam memberikan yang terbaik buat keluarganya akhirnya berbayar. Mempunyai lima orang anak yang baik dan memahami keadaan ibu yang bersusah payah demi mereka, Norisah memang patut berbangga kerana kelima-lima anak-anaknya sedang meniti kejayaan dalam kehidupan masing-masing. Menekankan ajaran agama dalam kehidupan keluarganya, menurut Norisah itulah asas yang perlu ada dalam mendidik anak-anak supaya mereka dapat membesar dan menjadi insan yang tahu menilai baik dan buruk.

“Saya amat bersyukur mempunyai anak-anak yang baik dan memahami penat jerih saya selama ini. Saya amat menekankan didikan agama dalam kehidupan. Bagi saya ia amat penting untuk mereka menjadi insan yang Berjaya bukan sahaja di dunia malah juga di akhirat kelak. Memang ketika susah dahulu saya selalu nasihatkan mereka untuk belajar sehingga mendapat segulung ijazah dan tidak menjadi seperti saya. Anak-anak saya kini ada yang sudah tamat belajar dan ada yang masih menyambung pelajaran di Universiti. Alhamdullilah syukur dengan rezeki yang Allah kurniakan. Walaupun saya tiada suami di sisi membesarkan anak-anak, tapi mereka semua boleh Berjaya dengan cara masing-masing,”ujarnya penuh kesyukuran.

Sebelum mengakhiri perbualan, Norisah sempat menitipkan pesan buat wanita yang senasib dengannya.

“Buat wanita yang senasib dengan saya, apa yang boleh saya katakan jangan sesekali berputus asa dengan kehidupan. Yakinlah Allah itu ada dan rezeki untuk anak-anak juga pasti ada untuk kita cari dan besarkan mereka. Yang penting perlu bangkit dan rajin berusaha mencari rezeki yang halal untuk besarkan anak-anak. Jangan rasa rendah diri dengan keadaan yang menimpa kerana itu semua ada hikmahnya.”

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI