Dianugerahkan cahaya mata, sudah tentu mak dan ayah teruja, gembira. Mak-mak lazimnya akan teruja menyediakan pelbagai keperluan anak dan dalam masa yang sama sanggup bersekang mata menjaga anak.
Berbeza dengan ayah, mereka kerap kali menjadi mangsa bebelan isteri gara-gara kurang cekap menguruskan anak. Lebih buruk apabila kaum ayah terlalai atau terleka ketika menjaga anak, pastu bebelan sang isteri panjang berjela.
Walaupun kadang-kadang ayah kurang peka dengan kehendak anak, bila mahu disusukan, bila anak “berak”, itu tak bermakna ayah tak sayangkan anak. Sebaliknya cara mak dan ayah tunjukkan kasih sayang berbeza sama sekali.
Asyik back up kaum bini saja, hari ni mai sembang pasal kaum suami. Semalam masa saya tengok cerita Marriage Story kat Netflix ada satu part menarik ayatnya “Fathers are expected to be silent & absent & unreliable & selfish but we have to accept them”. Terbahak-bahak bini gelak. Tapi lega sungguh hati saya dengar ayat ni, kiranya satu dunia tahu baseline seorang suami/ ayah yakni dungu tak tahu apa-apa pasal anak (silent), bini macam kematian suami (absent), tak boleh dipercayai menjaga anak (unreliable) & sibuk dengan dunia sendiri (selfish)
Tapi meh saya backup kaum saya. Ada sebab kenapa kami macam ni. Mungkin ya kami tak tau bila anak itu patut disuap susu atau kami tak dapat bau yang anak tu berak atau kami tak dapat menjangkakan bahaya yang bakal mendatang sekiranya kami biarkan anak tu bebas berlegar di ruang rumah TAPI kami tahu yang anak itu perlukan elektrik supaya anak itu dapat tidur dalam keadaan berhawa dingin yang selesa, kami tahu yang kami perlu lakukan sesuatu supaya susu dan pampers anak sentiasa ada, kami tahu sekiranya si isteri penat kami ada di sebelah untuk mengambil alih tugasnya biarlah untuk 5 minit sekalipun.
Ads
Sumber: Instagram
Bukan Ayah Kurang Peka..
Tak dinafikan kami lalai, cuai, leka, kurang peka tapi semua ini doesnt make kami kurang atau tidak sayang pada anak itu berbanding si isteri. WELL BEING & FUTURE bukan sahaja anak itu, malah bini dan juga ibu bapa are constantly running dalam otak kami. Sebab tu kami tak banyak bercakap kerana jika kami diberi peluang, terduduk si isteri mendengar segala yang tersirat di hati & juga pemikiran kami.
Kesimpulannya, cara lelaki menunjukkan kasih sayang sangat berbeza berbanding wanita. Boleh kira berapa kali ja ayah saya peluk dan cium pipi saya lagi-lagi bila dah besar ni, akan tetapi tak putus ayah saya menasihati saya tentang apa jua perkara yang saya ingin lakukan. Jadi sayangilah kami seadanya.
Ads
Tak banyak pun kami minta selain daripada pengurangan tahap pembebelan, alangkah indahnya dapat sebiji kereta atau sepasang sneakers even better sekaki payung emas. Dah, pergi sayang suami korang dan bisik manja di telinganya “nanti ayang belikan abang sekaki payung emas k?”. Nescaya sujud syukur suami itu. Sekian.
MW: Kasih sayang mak dan ayah sangat berbeza, lelaki ini cara menunjukkan kasih sayang kepada anak cukup berlainan. Tetapi ia tidak bererti mereka tidak ambil berat tentang anak, cuma caranya berbeza dengan wanita. Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat ayah-ayah yang berusaha bersungguh menjaga anak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mendidik dan mendisiplinkan anak-anak agar berperangai elok tingkah lakunya amatlah tidak mudah. Mak ayah kena pelbagaikan cara didikan yang sesuai agar anak-anak dapat mendengar kata dan tidak mengulangi kesalahan yang sama. Salah satu teknik yang boleh digunakan ialah ‘Time Out’. Ia bukan berbentuk hukuman namun berkesan dalam mendisiplinkan anak-anak terutamanya selepas melakukan kesalahan.
*Posting ni adalah berdasarkan pembacaan, pengalaman dan pemerhatian saya selama bergelar ibu bersama anak-anak sendiri. Tiada kaedah yang sempurna.
Sebagai ibu bapa tak semestinya saya benar selalu. Namun kita nak cuba yang terbaik. Saya juga mengalu-alu pandangan orang lain.
Diperkenalkan oleh ahli psikologi dan doktor-doktor pakar.Time out adalah kita sisih anak di sudut diam. Kata lain ialah kita asingkan anak, biarkan mereka menyendiri di satu ruang yang kita dah tetapkan beberapa minit. Teknik ni salah satu cara untuk mendisiplinkan anak selepas mereka melakukan perkara yang tak sepatutnya di buat. Perkara yang tak diingini oleh kita.
Memang dah ada kajian berkaitan ni. Teknik sisih anak beberapa minit sebegini lebih berkesan berbanding kita pukul, ugut, label dan lain-lain. Saya pernah juga baca dikatakan teknik ni dapat mengurangkan masalah tingkah laku kanak-kanak.
Time out dengan cara kita pindahkan. Kita asingkan anak dari persekitaran atau dari tempat dia telah lakukan kelakuan kurang baik tadi ke tempat lain dengan tujuan untuk mengurangkan perangai kurang baik tersebut.
Kita asingkan anak ni ke tempat lain dari aktiviti sosial yang dia sedang nikmat buat sebelum tu. Contohnya dia sedang main masak-masak. Ni aktiviti aisyah bersama orang lain iaitu kakak 4 tahun dia sebelum adegan tarik rambut tadi.
Peringkat awal buat agak payah untuk dapat kerjasama anak-anak. Dilema. Dah diberi peringatan. Dah marah. Dah nasihat. Dah diberitahu supaya jangan diulang lagi salah yang sama. Kecewa. Sudahnya saya juga yang gagal tahan emosi. Akhirnya jalan akhir naik tangan.
Teknik ni hanya sesuai untuk anak 2 tahun ke atas. 2 tahun kebawah anak masih belum faham lagi.
Teknik time out ni ramai ingat ni adalah hukuman bagi anak-anak. Sebenarnya time out bukan hukuman.
Time out adalah strategi untuk kita bimbing anak untuk didik anak kendalikan diri dan untuk belajar tenangkan diri mereka sendiri. Time out dapat latih anak belajar bersabar, kenal erti tanggungjawab atas perlakuan tak wajar dan negatif mereka.
Nampak tak..
Time out bukan hukuman.
Beri peringatan terlebih dahulu pada anak. Jangan terus buat. Anak belum faham jika kita terus buat time out.
Jelaskan pada anak terlebih dahulu;
1. Bawa anak ke sudut yang kita dah pilih.
2. Letak anak di atas kerusi time out.
3. Maklum pada anak bila dan sebab-sebab dia akan diatas kerusi tu nanti.
4. Beri peringatan pada anak jika dia berkelakuan sekian sekian dia akan ditempatkan disitu. (Cara ni nak boleh buat anak berfikir dan memahami kesalahan yang telah dilakukan itu adalah kelakuan yang melanggar peraturan dan tidak dibenarkan.)
Kiraan masa 1 tahun 1 minit. 6 tahun 6 minit. Tak perlu lama-lama.
Pastikan anak dengar kata kita. Cakap dengan tegas. Pandang mata. Jangan cakap sambil lewa.
Bukan kunci anak dalam bilik gelap atau dalam tandas. Ni salah.. Cara begini buat anak takut dan rasa tak selamat. Buatlah di sudut yang lapang dan kosong. Jadi kita boleh lihat dengan jelas dan selamat. Paling penting jika ada kerusi pastilah anak tak turun kerusi. Biarkan anak duduk dalam keadaan selesa. Terpulang pada anda nak letak kerusi atau tak. Saya tak. Sebab agak susah untuk saya kawal emosi mereka yg tak stabil tu ketika diatas kerusi waktu tu. Namun saya percaya anak2 boleh dilatih untuk ni. Cuma saya agak malas untuk bab kerusi ni.
Boleh pasang alarm atau jam loceng dekat dengan anak. Dicadangkan beli jam besar supaya anak boleh lihat detik jam. Haha. Saya tak buat bab ni. Saya lebih senang berpandukan jam dinding sedia ada dan alarm telefon bimbit sendiri.
Ulangi jika anak meninggalkan tempat. Jika anda pasang alarm atau jam loceng. Mohon ulangi lagi.
** ambil maklum: pengalaman saya.. Saya gagal lakukan untuk anak pertama dahulu. Salah satu faktor kegagalan saya sebagai ibu sebab saya masih ada tawar menawar dan beri perhatian ketika anak tinggalkan tempat time out. Contohlah..
Sepatutnya anak time out 4 minit tapi sampai masa 2 min anak sengaja turun dari kerusi atau dah keluar dari tempat time out tu. Saya lembut hati dan biarkan…
Anak akan ambil peluang ni. Mereka buat lagi kemudian hari. Mereka bijak.
Saya ingatkan diri sendiri jangan ada tawar menawar, rundingan atau lembut hati ketika sedang lakukan time out ni. Demi kebaikan mereka untuk semua ni dan kita juga dalam mendisiplin anak.
Harus tegas dan jelaskan pada anak belum masanya. Jam loceng @ alarm belum berbunyi(jika ada). Jangan benarkan anak tinggalkan kerusi atau tempat time out tersebut. Jika mereka langgar sila buat lagi sekali. Repeat sampai cukup masa. Dengan cara ni anak semakin lama akan faham. Inilah peraturan. Bukan suka-suka.
Jangan bercakap masa tengah buat time out.Saya juga pernah buat. Cara ni tak betul. Jangan marah-marah, berleter, merungut, nasihat panjang sebab anak dah tahu waktu tu dia dah buat salah dan kita melarangnya. *kembali pada point no. 1 iaitu perlu ada sesi penerangan dan amaran sebelum time out.
Elak bercakap dengan anak jika anak ajak bercakap sekalipun. Ingat kembali tujuan asal kita time out mereka. Tujuan asal kita adalah untuk tarik masa seronok anak dari aktiviti dia sebelum tu. Anak jangan diajak bercakap dengan sesiapa pun. Jangan peduli. Jangan layan sebarang permintaan mereka ketika time out.
Time out juga bermaksud kita beri ruang pada anak dan diri kita untuk bertenang. Time out cegah marah melampau pada kenakalan anak. Cegah diri kita dari memekik, melaung!
Jika anak sengaja kotorkan tempat time out. Arahkan mereka bersihkan tempat berkenaan sebelum tinggalkan tempat atau ruang tersebut.
Duduk dan bercakap. Jelaskan pada anak kenapa dia telah di time out supaya anak2 faham tujuan dan dapat pengajaran dari teknik ni. Jelaskan juga jika mereka berkelakuan baik kita takkan buat begitu. Selesai peluklah anak. Biar diaorg tahu kita ibu bapa yang sentiasa sayang dan kasihkan mereka.
Hampir terlupa. Sepatutnnya point ni diatas. Segerakan time out setelah nampak perlakuan tak enak anak. Jangan lengahkan. Nanti anak tak faham. Dah kenapa mak aku letak kat situ.
Time out tak boleh dibuat selalu. Nanti kurang berkesan. Macam saya, saya buat bila benar-benar perlu sahaja. Contoh jika mereka buat sesuatu yang membahayakan diri dan orang lain, bergaduh sampai naik tangan dengan adik beradik berebutkan barang saya segerakan time out.
Yang lain-lain seperti..
-anak pukul-pukul meja sebab nak gula-gula walaupun sebelum tu dah diberi berulang kali..
– mengamuk sebab tak dapat mainan walhal dah siap janji sebelum tu no toys.. Sebab dah ada mainan yang sama kat rumah..
Hanya contohlah.. Saya lebih suka ambil pendekatan ignore. Teknik pengabaian. Usah dilayan perlakuan sedemikian. Nanti kita akan bazirkan tenaga dengan memarahi anak. Ko cool je mak. Tak percaya buat. Nanti datanglah mereka pada kita.
Ok.
Sekian.
Terima kasih pada yang membaca.
*Time out adalah teknik yang mengambil masa. Bukan hari ni buat terus anak faham. Perlukan kesabaran.
Terfikir. Kalau kita as parents buat salah perlu tak di time out diri sendiri.. Kan? Hahah
#norasikinhussein
Mak anak 4 puteri
Rujukan bersama
-Google
-Mendidik Anak Tanpa Rotan, Choong Kee Pin.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat menjadi rujukan buat mak ayah dalam mendidik dan mendisiplinkan anak-anak ketika buat salah. Tak salah mencuba teknik Time Out ini, sebagai peringatan dan sekiranya mampu mengubah kelakuan anak menjadi lebih baik.
Dua kali wanita ini, Aziah Ismail bergelar ibu tunggal. Perkahwinan pertamanya tidak bertahan lama, atas sebab-sebab tertentu dia dan bekas suaminya memilih untuk berpisah. Hasil perkahwinan pertama itu, beliau dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Nur Salman Farizzi yang kini sudah pun berusia 17 tahun.
Setelah 12 tahun menggalas tanggungjawab selaku ibu tunggal, tidak pernah terlintas di benak Aziah untuk kembali berumah tangga. Wanita ini tidak menyangka dia kembali berstatus sebagai seorang isteri apabila kembali bertemu jodoh dengan suami keduanya, Mohd Taufiq Mustafa. Mereka kemudian diijabkabulkan pada 6 September 2013.
Dikurniakan seorang suami yang menenangkan hati, prihatin, penyayang, menerima anak sulungnya seperti darah daging sendiri menjadikan hidupnya diulit bahagia. Panas yang disangka bakal berpanjangan, hadir di tengah harinya badai musibah yang menguji. Siapa sangka suami yang tampak sihat dan tidak pernah mengalami masalah kesihatan serius, tiba-tiba diserang sakit dada tanpa sebab munasabah.
Menurut Aziah, ketika usia perkahwinannya menginjak ke angka enam tahun, pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan dan hamil anak ke dua berusia tujuh bulan. Belum pun sempat melahirkan anak ke dua, suaminya pula berhijrah selamanya ke alam abadi.
“Siapa yang tak terkejut, dia seorang yang sihat dan tidak merokok. Suami juga tidak pernah mengalami sakit serius yang mengakibatkan dia perlu dimasukkan ke wad untuk tempoh yang lama. Pada mulanya doktor memaklumkan, suami menunjukkan tanda-tanda batuk kering. Saya juga dimaklumkan sekali lagi oleh doktor, suami dirawat dengan menggunakan ubat-ubatan bagi memerangi kuman tibi.
“Ketika itu saya sedang sarat hamil anak ke dua, ujian ini benar-benar menguji kekuatan dan mental saya. Setelah beberapa rawatan susulan di hospital swasta, atas rujukan dan nasihat beberapa orang terdekat…saya membawa suami mendapatkan pemeriksaan lanjut ke hospital kerajaan. Apa yang mengejutkan, selama ini saya diyakinkan oleh pakar perubatan suami saya mengalami tibi, punya peluang untuk sembuh tetapi mengambil sedikit masa.
“Menggunung harapan disandarkan kepada suami. Saya sentiasa bisikan di telinga suami, kuatlah demi saya dan anak-anak termasuk anak dalam kandungan ini. Saya mengharapkan suami kembali pulih dan dapat menemani saya melahirkan zuriat keduanya kelak. Tetapi impian saya musnah sebaik doktor mengesahkan suami saya bukan mengalami penyakit batuk kering, sebaliknya disahkan sedang mengalami kanser paru-paru dan di tahap empat,”kongsinya dengan getar suara hiba.
Khabar ini amat sukar dihadam Aziah. Apa yang menyedihkan dan merisaukan sejauh mana masa yang bersisa untuk suaminya terus bertahan. Doktor memberi sela masa sekitar tiga ke enam bulan. Sebaliknya tanpa sempat menyusahkan si isteri menjaganya, kondisi Taufiq kian merosot. Akhirnya lelaki itu kembali ke pangkuan Illahi setelah enam hari disahkan kanser paru-paru.
“Dia bekerja dalam bidang oil and gas. Walaupun rutin kerjanya sibuk, dia suami yang amat menyantuni isteri. Sebaik dia tiba di perkarangan rumah, perkara pertama yang akan dilakukan adalah menyapu dan membersihkan laman rumah. Kemudian dia akan angkat kain di ampaian, dan tanpa disuruh dia akan mula membantu saya mengemas rumah walaupun hakikatnya kita tahu dia baru balik kerja, tentunya dia pun penat.
“Sepeninggalannya ke tempat kerja, saya akan mengambil upah katering bergantung kepada tempahan pelanggan. Lazimnya saya siapkan tempahan itu sendirian. Memori paling sukar nak dilupakan adalah cara dia menenangkan dan menghargai saya. Dengan penuh kasih sayang dia akan mengelap peluh di dahi saya, sambal mengucapkan kata-kata terima kasih kerana sanggup bersusah payah bersamanya.
“Selalu dia ucapkan pada saya yang saya takkan bersusah-susah selamanya…dia akan bahagiakan saya seadanya. Dia suami yang baik, lemah lembut tutur kata, bagaimana dia menjaga tutur katanya dengan ibunya…begitulah dia menyantuni saya. Anak sulung saya dilayan sebaiknya macam darah dagingnya. Pada orang yang bertanya, dia menerangkan anak sulung saya anak sulung kami berdua. Tidak ada istilah anak tiri buatnya.
“Dia juga merupakan anak tunggal, kematian bapa ketika usianya masih lagi bayi. Pemergiannya secara tiba-tiba, tanpa menyusahkan saya…benar-benar meninggalkan kesan mendalam buat saya dan ibunya. Seperti mana janjinya pada saya, anak-anak dan ibunya…Alhamdulillah segala kebajikan kami dan keperluan kami dijaga baik walaupun dia sudah tiada,”kongsi Aziah tentang sisi istimewa suaminya yang di rindui.
Usai pemergian suami, tibalah masa dirinya melahirkan zuriat kedua. Jika sebelum ini kelahiran puteri pertama, Sarah Aleesya diiringi suami tercinta, kali ini hanya baju peninggalan arwah suami menjadi penemannya berjuang di kamar bersalin.
“Sedih, rindu dan sayu menjadi emosi yang bermain di fikiran ketika saya perlu berjuang sendirian di bilik bersalin. Tidak ada lagi suami yang menemani. Hanya memori dan baju peninggalan arwah menjadi peneman saya. Atas izin doktor saya membawa baju arwah dan doktor sedia maklum kondisi saya yang baru kehilangan suami. Alhamdulillah, saya berjaya melahirkan zuriat ke dua kami, anak lelaki. Saya namakan anak ini dengan nama pilihan arwah iaitu Muhammad Gibran Umar yang lahir dengan sempurna pada 13 Mac 2019.
“Sebenarnya anak ke dua ini, rezeki tak diduga. Sepanjang kehamilan ke dua saya tidak mengalami sebarang alahan berbanding kehamilan sebelum ini. Suami pernah berkata, anak ini menjadi pengikat kasih kami berdua. Benarlah, anak ini menjadi pengganti dirinya. Ketika sedang berjuang melahirkan Gibran, hanya zikir dan doa menjadi kekuatan diri. Saya pujuk diri dan sentiasa bisikan La Tahzan…Innallaha Ma’ana, yang bermaksud “Janganlah Engkau Bersedih, Sesungguhnya Allah Bersama Kita” sebagai penguat hati.
“Sebaik melahirkan anak kami, saya kemudian di tempatkan di wad sebelum di benarkan keluar. Sepanjang menetap di wad tersebut, saya akan menarik tabir di antara katil saya dengan katil di hadapan terutamanya apabila suaminya datang melawat. Saya tidak ada suami yang akan datang melawat, perasaan itu sukar digambarkan. Saya hilang tempat mengadu, meluah apa sahaja perasaan dan berkongsi rasa. Sejujurnya, sebagai seorang isteri yang kehilangan suami, pesan saya…hargailah momen istimewa semasa anda masih punya suami. Layanlah dia sebaiknya, hargai segala perih jerihnya dan bahagiakanlah dia semampunya.
“Bila rindu datang…sesekali saya akan menziarahi kuburannya. Bersama anak-anak. Sarah seperti biasa akan mengucup nisan ayahnya, setiap kali datang dan sebelum kami berangkat pulang. Ada waktunya saya menghantar mesej ke nombor telefonnya, mengemas kini khabar terkini kami.
“Ya saya tahu, mustahil untuk dia membalasnya. Sebaliknya ia satu medium untuk saya meredakan rasa rindu tak bertepi terhadapnya. Buat arwah suami, terima kasih melayan saya umpama puteri sepanjang enam tahun yang manis. Semoga Allah terus menitipkan kekuatan demi anak-anak dan ibu mertua,” kongsi dengan Mingguan Wanita yang masih lagi menyesuaikan diri dengan kehidupan baru tanpa suaminya di sisi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bila isteri kuat sentap, suami mula pertikaikan. Tak faham katanya, kenapalah isteri itu kuat betul merajuk dan sentapnya. Ketahuilah wahai suami, jangan cuba cari kesalahan isteri, isteri jadi begitu bersebab.
Ustazah, kenapa susah sangat nak faham dengan perempuan? Sikit-sikit merajuk. Silap sikit sentap.
Tak susah pun. Dan tak perlu faham pun. Cukuplah tuan penuhi keperluan emosi mereka. Penuhi keperluan zahir dan batin mereka. Konfirm tuan akan dilayan seperti raja.
Yang jadi masalah sekarang ialah, segalanya isteri tuan lakukan. Dari melahirkan anak hinggalah mencari nafkah untuk sara diri sendiri. Tuan pula bagaimana?
Tuan hanya tahu, balik kerja rumah nak kemas. Makan nak terhidang. Baju siap tergosok. Anak-anak sopan. Tak bising. Tak sepahkan rumah.
Kerana bagi tuan, tuan dah penat seharian bekerja. Kerana bagi tuan, cukup bulan barang dapur disediakan. Duit bil semua diselesaikan. Kerana bagi tuan itulah nafkah yang selayaknya buat dia sebagai isteri.
Bila isteri bising tuan kata dia membebel. Hakikatnya dia sunyi. Dia perlukan tuan untuk bercerita. Sekiranya isteri tuan suri rumah, mati kutu dia tuan-tuan. Sekiranya isteri tuan-tuan berkerjaya pula, jangan sampai suami orang lain yang penuhi tangki emosi isteri tuan-tuan.
Bagaimana nak penuhi tangki emosi isteri. Sedangkan emosi tuan sendiri tak stabil. Emosi sendiri huru hara. Tu yang akhirnya melepaskan emosi yang tak sepatutnya kepada isteri.
Tuan ingat isteri tuan tu punch bag tuan ke??
Sebelum pukul tu, cuba bayangkan anak perempuan tuan ditumbuk sebegitu oleh suaminya. Apa yang tuan rasa? Ingat, isteri tuan ada mak ayahnya. Dia bukan anak buluh betong nak tumbuk sepak terajang sewenangnya.
Ingat, masa mula-mula nak kahwin dulu, bukan main lagi. Semut pun mati bila dengar tuan berbicara. Sekarang?
“Tapi.. sekarang dia dah tak macam dulu. Malu saya ustazah.”
Kenapa malu dengan fizikal isteri sekarang? Nak dia kelihatan cantik, keluarkan duit. Bawa dia jumpa perunding cara kecantikan. Make over isteri sendiri. Jangan sibuk duk usha kecantikan isteri orang lain. Jangan sibuk kejar kecantikan yang baru.
Terfikir tak dia jadi macam tu kenapa? Tuan tahu nak sedap je. Asal berhajat kira on terus. Tanpa fikir keadaan isteri tu bagaimana. Tuan kira kepuasan tuan sahaja. Tanpa pernah fikir apa yang isteri rasa.
Pernah tak tuan tanya, apakah selama tuan berkahwin dengan dia, adakah kehendak batinnya tercapai pada KPI nya? Tak pernah kan?
Tuan, cuba lah renung sejenak. Isteri itu adalah ibu kepada anak-anak tuan. Isteri itu adalah pemudah cara bagi kehidupan tuan. Di saat yang masih berbaki ini, berbuat baiklah dengan isteri tuan.
Tak perlu nak sembang lebat soal sunnah poligami jika dengan isteri pun tuan layan acuh tak acuh. Di ranjang pun pancit. Lepas tu sibuk salahkan isteri. Komplain isteri begitu isteri begini.
Lihatlah jauh ke dalam diri. Renung sejenak. Fikirlah tentang isteri yang sanggup tinggalkan mak ayahnya demi mengikuti tuan, suaminya. Lebih memilih untuk bersama tuan yang baru dikenalinya. Fikirlah masak-masak.
Jangan asyik nak isteri ikut kehendak tuan. Hingga tuan terlepas pandang apa kehendak isteri tuan.
Ingat, nabi adalah orang yang paling baik. Dan nabi sangat baik dengan isteri dan ahli keluarganya. Andai benar nak ikut nabi, berbuat baiklah terlebih dahulu kepada isteri.
Jelas?
Moga dapat sesuatu dari coretan ini. Jangan lupa, klik butang share agar lebih ramai yang mendapat manfaatnya.
MW : Sebab itu wahai suami.. sebelum tengok kesalahan isteri. Gali dalam-dalam apa yang kamu dah buat untuk bahagiakan hati isteri tu. Ada ke tidak?