Melancong dengan anak kecil memang kena banyak bersabar. Lagi-lagi bila anak yang sentiasa aktif dan cergas. Biasanya kita akan dengar ibu bapa merungut untuk bawa anak-anak melancong bersama mereka dengan alasan susah diuruskan dan dengan pelbagai ragam.
Untuk memastikan percutian anda lebih seronok, rancangan secara teliti percutian anda bersama keluarga. Kerana perancangan yang lebih awal mampu mencipta pengalaman yang indah buat anda dan keluarga. Tetapi ada juga ibu bapa yang bimbang untuk membawa anak-anak yang masih kecil untuk melancong.
Sebagai ibu bapa kita perlu peka tentang anak-anak mereka. Berikan perhatian sepenuhnya kepada keperluan dan kehendak anak-anak anda. Pastikan percutian anda diisi dengan aktviti yang menyeronokkan dan sesuai untuk anak-anak anda.
Bercuti bersama anak-anak jangan terlalu terikat dengan jadual perjalanan yang mungkin anda telah rancangan dan sediakan. Ini memang berbeza dengan percutian solo ataupun bersama pasangan anda. Perlu bijak menyesuaikan aktiviti yang boleh dilakukan oleh anak-anak.
Ads
Untuk ibu bapa yang gemar melancong pada musim cuti sekolah dan “peak season”, cuba elak melancong pada waktu-waktu dan musim sebegini kerana dapat menjimatkan kos perjalanan anda dari segi kos pengangkutan dan penginapan.
Sebagai ibu, mestilah persiapan dari segi pakaian, kelengkapan dan di mana lokasi percutian juga merekalah orang pertama yang akan pilih. Sesuaikan jenis percutian yang anda dan keluarga ingin lawati dengan mengenalpasti aktiviti apa yang harus dilakukan ketika bercuti. Paling penting, tempat yang dikunjungi itu adalah tempat yang sesuai untuk dilawati oleh seisi keluarga dan sesuai dengan bajet percutian yang disediakan.
Ads
Ikuti kupasan lanjut “Ragam Anak Bercuti” dalam Mingguan Wanita Talkshow di Astro Prima 105 dan Prima Hd 121, jam 11.00 pagi hingga 12 tengah hari bersama pengacara Siti Elizad, Raden bersama tetamu jemputan Faradine Nordin dan seleberiti, Zarina Zainuddin.
Untuk Sebarang komen dan pandangan tentang kupasan ini, boleh hubungi talian Teman Wanita anda di 03-89389647 atau komen terus di sosial media Mingguan Wanita seperti Facebook, Instagram dan Twitter.
Ads
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Membesar dengan adik-beradik, memang akan ada drama bertengkar sampai buat orang tua pening kepala. Tapi itu semua normal, hakikatnya adik-beradik tetap saling menyayangi. Akhirnya, sains membuktikan yang kehadiran adik mahupun kakak akan membuatkan kehidupan anda jadi lebih baik lagi.
Kajian ini dijalankan pada tahun 2010 dan dicatatkan dalam The Journal of Family Psychology. Melibatkan 400 keluarga yang mempunyai adik beradik yang pelbagai. Usia mereka antara 10 ke 14 tahun. Hasilnya, kehadiran kakak menyuntik mental yang positif di kalangan adik-beradik mereka.
Keputusan kajian itu juga menunjukkan mereka yang punya adik-beradik ini akan lebih mudah bersimpati, pandai berkomunikasi dan bijak menyelesaikan konflik. Manakala, seorang profesor dari University School of Family Life, Laura Padilla-Walker menjelaskan walaupun adik beradik ada yang saling bertelingkah, selagi adanya perasaan sayang, gaduh itu tak berpanjangan.
Kalau Adik Beradik Bergaduh..
Semasa adik beradik ini bertelingkah, mereka sebenarnya sedang belajar bagaimana untuk mengatur emosi. Inilah kemahiran yang amat bermanfaat untuk mereka menjalani kehidupan. Dan walaupun adik kakak kadangkala tak sebulu, tak dinafikan ketiadaan salah seorang akan membuatkan kehidupan menjadi sunyi.
Sebab itulah adik beradik perempuan lebih banyak bercakap berbanding lelaki. Jika anda ada seorang kakak, anda akan lebih banyak bercakap tentang masalah kehidupan.
Anda juga perlu tahu yang anak lelaki yang membesar dengan kehadiran seorang kakak, akan lebih baik dalam berkomunikasi dengan pasangannya. Yang lebih menarik dari kajian ini, dibuktikan bahawa selepas ketiadaan orang tua kelak, kakaklah yang akan mengambil alih tanggungjawab mak ayah untuk memastikan adik-beradiknya saling bersatu.
Anugerah Adik Beradik Cuma Sekali
Sebab itulah anda kena faham di sini, mungkin hari ini anda ada berselisih faham dengan adik beradik. Anggaplah itu cuma pertelingkahan atau perselisihan pendapat yang kecil yang terjadi pada kalian.
Ini kerana, biar apa pun terjadi, air dicincang takkan putus dan adik beradiklah yang akan sentiasa mengingat dan membantu anda kelak. Justeru, pastikan anda saling rapat dan menjaga anugerah hubungan adik beradik yang Allah berikan untuk anda. Yang mana, hadiah tuhan beri ini cuma satu saja di dunia ini.. Jagalah ia.
Sumber : goodfullness.net
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kalau ditanya siapa yang tidak mahu menjadi kaya. Tentu saja jawapannya semua orang mahu menjadi kaya. Cuma rasa kaya yang bagaimana yang diri inginkan?
Adakah dengan melihat kehidupan orang lain yang lebih baik di media sosial, lalu kita pun menginginkannya. Atau bila melihat suami orang lain lebih romantik, maka mula memaksa suami pun jadi sebegitu.
Bak perkongsian Siti Suryani Yaakop ini, jika begitulah keinginan hati. Maka, penatlah kita nanti.
Lama Tak Buka Facebook, Orang Tunjuk Macam-macam
Semalam kawan saya bagitahu. Lama dia tak tengok FB. Sebab dia boleh jadi stress. Orang tunjuk macam-macam. Tapi suami dia sedang ada masalah dalam kerja. Jadi untuk bagi tenang, dia tak tengok. Takut boleh jadi teringin nak juga.
Betul lah tu.
Saya ingat. Ada satu masa tu, ada seseorang ajak saya join dia bisnes. Dia kata saya nampak macam memerlukan.
Saya cuba buat tak tahu. Tapi entah. Malam tu, tak boleh brain dah. Asyik terfikir apa maksud dia. Akhirnya saya tanya juga pada suami.
Suami saya gelak je. Entah macamana dia boleh rasa benda tu lucu saya pun tak tahu. Bila saya tanya, dia cuma jawab,
“Hanya sebab orang kata awak nampak memerlukan, tiba-tiba pulak awak rasa memerlukan. Sedangkan selama ni awak tak pernah kata apa pun. Rasa okay. Rasa cukup. Maknanya kalau begitulah, awak masih hidup bergantung pada pandangan makhluk. Penat tu“.
Betul. Pun betul.
Saya pakai kereta Malaysia.
Beg pun main sauk apa yang ada.
Kasut pun jenis pakai yang sama saja.
Barang kemas pun tak bergayut mana.
Baju pun takdak jenama apa.
Biasa je semua.
Mungkin hidup kita yang biasa ni nampak miskin di mata orang. Tak pun kita rasa kita miskin di mata orang. Padahalnya kita okay je. Tapi sebab orang kata. Dan sebab kita tengok. Boleh saja perasaan ‘kaya’ tu hilang habis ke mana-mana.
Lalu Rasa Kaya Itu Macamana
Perasaan kaya tu apa?
Rasa kaya tu rasa cukup.
Cukup.
Selama ni cukup. Walau tak banyak tapi takda apa yang kurang. Nak buat apa pun semua senang. Boleh lagi bantu orang. Nak memberi ni bukan nak kena tunggu harta bergunung ganang. Yang takda cumalah sebanyak-banyak dan semewah-mewah barang.
Tapi begitulah.
Mudahnya mata, telinga, rasa, nafsu dan ingin kita berubah dek mata, telinga, rasa, nafsu dan ingin orang lain. Kita okay je selama ni. Takda masalah apa. Tapi sikit je orang kata, habis hilang rasa syukur dan redha. Dan betapa mudah juga mata, telinga, rasa, nafsu dan ingin kita berubah dek tengok orang lain.
Suami kita baik. Dia okay. Walau bukan jenis reti buat kerja rumah tapi bila minta tolong, dia tolong. Dia takda la bagi duit nafkah sampai beribu tapi kita tak pernah lagi makan sampai bercatu. Memang dia tak bagi emas berkati tapi dia juga tak pernah sakitkan kita punya hati.
Anak kita baik. Dia okay. Walau dia bukan top student tapi dia takda masalah di sekolah. Walau dia bukan budak paling cemerlang tapi semangat nak belajar tak pernah hilang. Walau kadang dia buat kita marah tapi ada masa dia bantu urusan kita jadi mudah.
Kawan kita baik. Dia okay. Biasa la kalau dia bergurau kasar, terkutuk, terkata. Kita pun faham dia. Tak kisah mana. Dia pun ada baiknya juga. Dah kita pun bukan lah sesuci mana. Kita anggap benda macam tu biasa.
Kita faham. Dunia ini ujian. Ada benda kita dapat. Ada benda kita cuma boleh lihat. Dan kita aman sampailah kita dengar apa orang kata. Kita baca apa orang tulis. Kita takut apa orang fikir. Kita malu apa orang tengok. Padahal takda apa yang salah pun dengan hidup kita. Dan kita pun tak buat salah juga.
Akhirnya begitu saya belajar. Boleh lihat dengan mata. Boleh dengar dengan telinga. Boleh baca di mana-mana. Tapi bukan kena ikut semua.
Kita tak boleh kawal orang.
Yang boleh dikawal, kita.
Yang baru jenguk tahun 2022,
Siti Suryani Yaakop
#kaknis
Mingguan Wanita : Bila mana rasa syukur mengatasi segala, lihatlah apa pun yang terhidang depan mata. InsyaAllah, hati akan lebih berdamai dengan rezeki dan ketentuan tuhan.
Tuntutan membesarkan anak sendirian memaksa ibu menjadi kreatif, baik dari segi kekuatan emosi mahupun pencarian nafkah keluarga. Sikap lemah apatah lagi tak redha dengan ujian tuhan perlu dibuang jauh-jauh. Redha menjadikan ibu lebih kuat dan tabah.
Ini pengalaman Puan Zureiny Zulkafly yang bekerja sebagai pengasuh dalam masa sama membesarkan dua orang anaknya sendirian selepas ketiadaan suami. Salah satu tip membesarkan anak sendirian ini adalah tidak terlalu ego dengan anak. Selanjutnya boleh fahamkan prinsipnya dalam perkongsian beliau ini.
Ibu Ini Macam Mana Orangnya?
Selepas pemergian hubby, anak-anak bergantung harap dan kasih sayang sepenuhnya pada saya. Ainalah yang paling ketara sampaikan tidak mahu berenggang dengan saya. Memang saya lemah jiwa bila tengok anak matanya yang seakan mengharap saya menghantarnya ke sekolah setiap hari. Memang hati saya diruntun pilu bila tidur setiap malam dia akan memeluk saya seeratnya. Seakan tidak mahu melepaskan.
Saya terasa lelah dengan amanah yang berat ini. Rasa senget bahu saya ini. Kadang-kadang saya jadi terlalu penat. Letih dan hilang segala kudrat. Saya bukan mahu jadi hebat. Cukuplah sekadar menunaikan tanggungjawab menurut apa yang mampu saya buat.
Saya akan menangis sendirian merindui hubby. Kalaulah dia masih ada, rasanya saya sudah menangis di ribaannya. Paling tidak pun saya akan mengomel bercerita tak tentu hujung pangkal kepala ekor. Hubby akan mendengar walaupun saya rasa dia seperti tidak mengendahkan. Rupa-rupanya dia faham bila dia jawab “Sabarlah.”
Memang itulah yang selalu dia pesan pada saya. Mendengar perkataan sabar mampu menghilangkan segala kedukaan hati. Meredakan marah yang tersembunyi. Melenyapkan segala dendam yang berapi. Meleraikan segala kekusutan jiwa. Sekarang ini saya terlalu rindu mendengar perkataan sabar dari mulutnya. Betapa saya mengharapkan akan mendengar kata-kata itu di telinga saya.
Begitu juga soal saya dan anak-anak. Bukan mudah mereka hidup tanpa seorang ayah. Saya cuba memahami perasaan mereka. Cuba mengerti apa yang mereka ingini. Bila anak-anak menjawab mereka ‘Ok’ saya terasa dibohongi. Benarkah mereka tidak apa-apa? Atau sekadar menjaga hati saya.
Saya masih merasa kepiluan bila hubby pergi. Tak kan semudah itu anak-anak sembuh dari kehilangan ini. Saya usaha sebaiknya untuk menjaga kedua mereka seperti yang hubby amanahkan. Saya lindung keperitan saya dengan sikap saya yang tegas. Saya tutup kelemahan saya dengan sikap saya yang sangat melindungi. Akhirnya, saya buntu dengan sikap saya sendiri. Saya panggil anak-anak dan secara jujur saya bertanya kepada keduanya.
“Adik, kalau ada yang tanya adik, ibu ni orang yang macam mana…adik jawab apa?”
“Ibu garang!” Terpacul kata-kata itu dari bibir Aina yang mungil. Spontan jawapannya. Saya pun terkejut.
“Ibu garang sangat ke dik?” Aina tersenyum simpul. Mengulum senyumnya. Tak tahulah kalau dia sengaja menyakat saya. Pada saya, itu jawapan yang jujur dari hatinya.
“Ayah garang tak dik?” Saya mengumpan Aina.
“Tak. Ayah tak garang. Ayah baik. Ayah selalu bawak adik pergi taman.” Haih…celoteh sungguh budak kecil ini.
“Tak baik tau adik jawab macam tu. Ibu garang sebab ibu sayang kita.” Tiba-tiba Afrina menyampuk. Saya ketawa tengok muka Afrina yang berkerut memandang adiknya.
“Kalau orang tanya, Fina jawab apa?”
“Ibu ni pendidik.” Lagilah saya terkejut dengan jawapan anak sulung saya ini.
“Maksud Fina?”
“Ibu kan didik kakak dengan adik. Banyak yang ibu ajar,” jawab dia ringkas.
“Ye ke?” Afrina mengangguk.
Fahamkan Prinsip Ini
Dari situ, barulah saya faham pandangan kedua anak saya adalah berbeza terhadap saya. Mungkin kerana faktor usia ataupun faktor kematangan. Afrina yang sudah berusia 13 tahun merasakan saya telah mendidiknya dengan baik. Mengajarnya tentang betul salah, buruk dan baik. Mengajarnya untuk hidup berdikari tanpa ayah di sisi.
Berbanding Aina yang baru 5 tahun, apa yang dia harapkan adalah tumpuan dan kasih sayang. Itulah sebabnya mengapa dia kata saya garang. Dia rasa saya tak perlu marah atau tegas dengan dia sebab dia cuma inginkan perhatian saya sahaja. Dia selalu fikir dia tak buat salah apa-apa.
Cuma yang saya tahu, segarang-garang saya macam singa (ni Aina yang cakap) saya tidak merotan anak. Saya tidak menghukum anak tanpa sebab. Saya hanya tegas terhadap sesuatu disiplin. Kalaulah saya ni betul-betul garang, rasanya anak-anak asuhan pun tak kan nak dengan saya. Tak mungkin saya bertahan hampir 10 tahun sebagai pengasuh anak-anak.
Okey…saya pun belajar perkara baru ketika itu. Sebagai ibu atau bapa, jangan terlalu taksub dengan status kita sehinggakan kita ego dengan anak-anak. Tidak pula terlalu beralah sehinggakan anak hilang hormat dan pijak kepala. Apa yang Afrina dan Aina cakap telah menjelaskan siapa saya sebenarnya. Pandangan mereka menjadi panduan untuk saya. Juga menjadi kekuatan untuk saya meneruskan kehidupan ini bersama mereka.
Terima kasih abang kerana abang telah mendoakan saya sebelum ini. “Didik anak-anak abang dengan baik. Abang nak anak-anak pandai macam Yang. Sekolah elok-elok. Ajar agama. Jangan biar anak-anak jadi macam abang.”
Mulanya saya memang tidak faham maksud hubby. Dia selalu ulang kata-kata ni sejak dari Afrina kecil lagi. Sehinggalah kami dikurniakan Aina pun, dia cakap perkara yang sama. Rupa-rupanya hubby pesan didik anak-anaknya menjadi orang yang berilmu kerana orang yang ada ilmu akan tahu mana letak dirinya. Walaupun hubby tiada segulung ijazah tetapi kebaikan akhlak hubby banyak diwarisi oleh anak-anak. Dan sikap saya yang tegas sebenarnya yang akan membantu segala didikan hubby kekal dalam diri anak-anaknya. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan pahala berpanjangan untuk hubby kerana kebaikannya terhadap kami.
Saat ini cuba tanya pada diri sendiri. Siapa kita pada pandangan anak-anak? Hanya mereka yang lebih mengetahui.
Sumber/Foto: zureinyzulkafly.blogspot.my via Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Polis mengesahkan nota terakhir suspek tikam berusia 14 tahun dirampas ketika tangkapan, bukan di lokasi kejadian. Frasa “Dunia ini palsu, saya sudah menang” kini disiasat bagi mengenal pasti motif sebenar.