Bukan mudah menelan kenyataan apabila anak yang dilahirkan dan dibesarkan sihat selama ini tiba-tiba dikhabarkan mengidap sejenis kanser satu dalam seribu, iaitu kanser yang jarang-jarang ditemui. Selama ini hidup sang ibu tak lekang dengan tawa, riang anakanda tercinta, tak semena-mena segalanya lenyap sekelip mata. Ternyata ianya cukup pahit untuk ditelan.

Mazilla Wahab, 33, dan suaminya, Wan Mohd Sarih Wan Ishak, 34, antara insan yang terpilih diuji Allah SWT. Anak bongsu mereka, Wan Nur Durrah Dayana yang baru sahaja berusia dua tahun kini menderita kanser. Biarpun perit, tetapi inilah realiti yang perlu dihadam, mereka perlu tabah mendepani hari-hari mendatang.

Menurut Mazilla Wahab, proses kehamilannya saling tak tumpah seperti dua kakaknya iaitu Wan Nur Durrah Dammia, 7, dan Wan Nur Durrah Dalysa 5. Dalam usia kandungan 37 minggu Wan Nur Durrah Dayana atau panggilan manjanya Dayana selamat dilahirkan secara normal.

Mazilla Tak Kuat, Anak Hidap Leukimia JMML Penyakit Satu Dalam SERIBU

Kerap Demam
Kelahirannya juga tiada beza dengan adik-beradiknya yang lain. Malahan teruja sang ibu apabila saat melahirkan Dayana, dirinya tidak perlu dijahit kerana dirinya tidak mengalami luka teruk.

“Setelah Dayana berusia sebulan, dia sudah mula kerap demam. Seperti ibu-ibu lain, saya juga tak terkecuali rasa bimbang bila anak tak sihat. Bertambah susah hati apabila suhu Dayana mencapai 40 darjah ke atas apabila dia demam.

“Sehinggalah satu hari, Dayana kejang dan sawan, jadi kami bawa dia ke hospital. Selepas diberi antibiotik, selepas seminggu, dua dia demam lagi. Selalu Dayana demam dengan suhu yang tinggi, kemudian bagi ubat pun tak jalan dan suhunya tetap tidak turun. Bayangkan setiap bulan Dayana akan demam dan kami perlu bawa dia ke hospital. Hospital bagaikan rumah nombor dua buat Dayana.

‘Walau pun kerap keluar, masuk hospital, doktor beritahu yang anak kami tidak hidap apa-apa penyakit setelah Dayana diperiksa. Menurut doktor, Dayana hanya demam biasa. Buat masa itu kami memang gembira apabila mendengar jawapan doktor.

“Tetapi demamnya tetap berlarutan hinggalah mengalami sawan buat kali kedua. Setelah pemeriksaan biasa tidak menemui apa-apa penyakit atau petanda, doktor minta izin untuk periksa air tulang belakang anak kami,” cerita Mazilla satu-persatu.

IKLAN
Mazilla Tak Kuat, Anak Hidap Leukimia JMML Penyakit Satu Dalam SERIBU

Keputusan Prosedur Air Tulang Belakang

Pada peringkat permulaan, Mazilla dan suaminya sepakat tidak membenarkan doktor mengambil air tulang belakang Dayana. Mereka berdua terpengaruh dengan desas-desus tentang bahayanya prosedur ini. Namun setelah melihat keadaan Dayana yang kerap demam membuatkan mereka berubah fikiran.

Walau pun hati masih lagi berbelah bahagi, akhirnya Mazilla yakin hanya prosedur ini yang mampu merungkai penyakit sebenar yang dialami anak bongsunya. Tatkala mendapat keputusan hasil daripada prosedur air tulang belakang, hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan Mazilla apabila anaknya disahkan menghidap kanser 1 dalam seribu iaitu leukimia jenis JMML.

Bermulah episod Mazilla dan suaminya menguruskan anak yang sakit serta memerlukan perhatian yang khusus. Sesungguhnya pengalaman membesarkan anak yang sakit amatlah sukar dan memerlukan kesabaran yang cukup tinggi. Di samping itu, persediaan emosi, fizikal dan mental yang kuat setiap masa amat diperlukan.

IKLAN

Sepedih mana ujian, Mazilla redha dengan ketentuan-Nya. Ternyata sejak Dayana sakit, rutin keluarga ini berubah secara total. Suaminya yang merupakan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang kerap bertugas di luar kawasan membuatkan Mazilla satu-satunya insan yang perlu berkonban jiwa dan raga.

“Dahulu mungkin saya bebas mahu ke mana, kini tidak lagi kerana perlu berulang- alik ke hospital sahaja. Kadang-kadang, baru dua hari di rumah, Dayana perlu dimasukkan ke wad semula. Kali ini rasanya sudah berbulan lamanya kami berada di hospital.

“Kehidupan kami berubah sekeluarga berubah serta-merta kerana dua anak saya yang lain terpaksa dihantar dan bersekolah di kampung halaman. Mereka tinggal bersama datuk dan nenek di Kelantan. Saya terpaksa terpisah dengan mereka kerana saya berada di Shah Alam menguruskan adik mereka. Segala aktiviti lain juga terpaksa dihadkan buat masa ini.

“Walau pun sedih, saya cuba kuatkan hati demi secebis senyuman dan sentiasa berfikiran positif untuk sesuatu yang bahagia. Pada mulanya, kami sekeluarga teramat sukar menerima kenyataan ini. Segalanya terasa bagaikan mimpi dan sama sekali cuba menafikan berita ini. Tapi apakan daya, realiti tetap realiti,” jelas Mazilla lagi.

IKLAN
Mazilla Tak Kuat, Anak Hidap Leukimia JMML Penyakit Satu Dalam SERIBU

Sumber Kekuatan

Setiap kali berdepan dengan kesedihan, ibu kepada tiga anak ini mencuba sebaik mungkin mencari kekuatan. Perkara yang membuatkan ibu ini terus kuat adalah mengenangkan telatah dan aksi Dayana ketika dia sihat. Momen indah itu menjadi penguat buat Mazilla terus tabah untuk hadapi ujian ini dan sentiasa berdoa agar anaknya kembali sembuh seperti sediakala.

Selain itu, sokongan daripada orang sekeliling terutama suami, keluarga dan saudara-mara serta kawan-kawan yang tidak putus-putus memberi semangat menjadikan Mazilla wanita yang kuat dan penyabar.

“Memang sedih setiap kali melihat Dayana demam, tubuhnya akan kebiruan terutama pada bahagian kaki, mulut, kuku dan perut. Perut anak saya juga semakin hari makin membesar. Hati dan limpa Dayana juga membengkak dengan mendadak sekali setiap kali dia demam.

“Oleh sebab itu, saya sentiasa mengharapkan keajaiban berlaku. Saya juga berharap Dayana akan sembuh dan dapat membesar seperti orang lain. Saya juga mahukan dia mampu melalui hari-hari mendatang seperti anak-anak yang lain di luar sana. Walaupun penyakitnya satu dalam seribu, saya sentiasa mengharapkan keajaiban.

“Mungkin dari pandangan mata kasar nampak saya kuat, tetapi setiap kali bersedih, saya akan menangis sepuas-puasnya dalam bilik air. Saya juga berusaha mengelak daripada menangis di depan anak yang sakit supaya dia tahu kita kuat. Secara tak langsung, dia akan kuat untuk melawan penyakitnya", katanya sebelum mengakhiri perbualan.

Mazilla Tak Kuat, Anak Hidap Leukimia JMML Penyakit Satu Dalam SERIBU

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI