KOTA TINGGI 16 Dis. – Pelumba Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing, Mohd. Hafiz Nor Azman, 22, meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ketika menyertai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2018 di Dataran Bandar Penawar di sini petang tadi.
Pelumba berasal dari Perak itu disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Kota Tinggi selepas terbabit dalam kemalangan pada pusingan terakhir kejuaran, kira-kira pukul 4 petang.
Difahamkan, kemalangan berlaku ketika pelumba tengah laju dan memasuki pusingan terakhir daripada keseluruhan 15 pusingan perlumbaan itu.
Laporan berita seperti di atas yang terpampang di dada akhbar dan di laman web serta media sosial telah mengejutkan peminat sukan lumba motor dan rakyat Malaysia. Pemergian Mohd Hafiz memang tidak di sangka dan sehingga kini ahli keluarganya masih lagi bersedih dengan apa yang berlaku.
Ibu dan Bapa pelumba ini, Rohana binti Hamzah, 52, dan Nor Azman bin Mad Darus, 55, tidak mampu bercerita setiap kali ada yang bertanya mengenai kejadian yang berlaku. Keluarga pelumba motor ini menetap di Simpang Pulai, Ipoh.
Namun MW rasa berterima kasih kepada Nor Shaziela Binti Nor Azman, kakak sulung Allahyarham Mohd Hafiz yang sudi berkongsi cerita mengimbas kembali kenangan bersama adik tersayang. Berkali-kali wanita berusia 31 tahun ini memohon maaf kerana tidak dapat melayan permintaan penulis untuk ditemuramah sebelum ini.
Dua Kali Sehari Pergi Kubur Adik
Cerita Nor Shaziela tidak lama selepas adiknya meninggal dunia, dia dan ibu bapanya telah menunaikan umrah.
“ Sebenarnya setiap kali jika adik menang dan dapat berdiri di podium, dia akan belanja keluarga makan. Pada pertengahan tahun 2018, dia memang nekad setiap kali dia menang perlumbaan dia akan menyimpan duit untuk membawa ibu, ayah dan saya untuk menunaikan umrah.
” Segalanya sudah cukup. Malah sebelum dia pergi last race hari itu, memang dia ada beritahu saya yang dia akan buat bayaran ke umrah dan pergi menunaikan umrah selepas tamat perlumbaan. Tetapi impiannya itu tidak kesampaian.”
Dia dan keluarga masih bersedih dengan pemergian Mohd Hafiz, namun demi mahu menunaikan hasrat Allahyarham jugalah menyebabkan mereka meneruskan ziarah umrah tersebut.
“ Alhamdulillah, selepas kami menunaikan umrah, kami kuat sikit. Cuma kadang-kadang ini apabila teringat arwah adik, mesti kami akan sedih. Emak terutamanya, memang sedih. Sekarang ini dalam sehari dua kali kami pergi menziarah kubur adik.
Ads
” Emak sentiasa rindukan adik. Sebab itu dia masih menyimpan barang-barang lumba adik. Dia tidak bagi kami ubah sudut tempat meletak barang adik itu. Setiap kali dia rindu dia akan pergi ke sudut itu dan melihat dan memegang barang-barang lumba adik itu,” cerita Nor Shaziela dengan sayunya.
Mahu Ibu bapa Teman Ketika Berlumba
Mengimbas semula kejadian pada hari tersebut, Nor Shaziela dan adik-beradiknya yang lain menonton siaran langsung perlumbaan tersebut di rumah. Seperti biasa , ibu bapanya yang menemani Mohd Hafiz. Namun ketika kejadian, ibu bapanya duduk di lokasi lain dalam trek perlumbaan tersebut.
“ Setiap kali perlumbaan di dalam negara, adik memang mahukan ibu dan ayah pergi melihatnya berlumba. Sebab itu ibu dan ayah pergi. Kami adik-beradik melihat sahaja perlumbaan itu di televisyen.
” Pada hari Sabtu sehari sebelum kejadiaan, adik memang mencatat masa terpantas. Pada hari Ahad itu dia bermula di petak hadapan. Pada 2nd lap terakhir perlumbaan, ahli pasukannya terbabas dan melanggar papan tanda penaja.
” Adik tidak dapat mengelak dan melanggar kayu papan tanda yang telah dilanggar oleh ahli pasukannya itu.
” Setelah kemalangan adik dihantar terus ke hospital Kota Tinggi. Perjalanan dari trek ke hospital mengambil masa 1 jam. Saya dapat tahu semasa kejadian dia bernafas lagi. Tetapi tidak ada alat perubatan yang boleh diberi kepada dia.
Ads
” Jururawat yang Bersama dengan adik di dalam ambulan ada beritahu lebih kurang 20 minit lagi hendak sampai ke hospital barulah dia menghembuskan nafas terakhir.”
Nor Shaziela juga berkata ibu bapanya telah dibawa oleh pasukan adiknya menaiki kenderaan lain mengejar ambulan itu sehinggalah sampai di hospital. Namun sebaik sahaja adik sampai ke hospital doktor telah mengesahkan yang adiknya itu telah meninggal dunia.
“ Mak telah menelefon saya dalam pukul 6 petang beritahu adik sudah tidak ada. Ketika itu berada di rumah segera memberitahu saudara mara. Kami telah menguruskan apa yang perlu di rumah. Adik telah dikebumikan di tanah perkuburan Saidina Umar Al-Khatab, Simpang Pulai yang terletak berhampiran dengan rumah kami,” ujarnya sayu.
Ikut Minat Ayah Jadi Pelumba Motor
Mohd Hafiz anak ketiga dari 4 beradik. Cerita Nor Shaziela, adiknya memang minat bidang lumba motor kerana sebelum ini ayah mereka adalah pelumba cub prix era 90-an.
“ Adik bermula dengan pocket bike semasa umur 7 tahun. Selepas itu dia aktif dalam perlumbaan motocross dan seterusnya masuk dalam bidang cub prix pada tahun 2010. Kami sekeluarga memang menyokong minat dia itu. Kami juga sokong segala bidang yang dia ceburi.
” Hubungan kami memang rapat. Dia seorang adik yang baik, adik yang mengambil berat hal keluarga, dan sentiasa mahukan keluarga yang terbaik dalam apa pun.
Ads
” Kami tahu perlumbaaan motosikal ini memang berisiko tinggi. Sejak berkecimpung dalam bidang ini juga adik memang sudah banyak kali mengalami kecederaan akibat kemalangan tetapi kecederaan itu tidak teruk.
” Saya rasa walaupun dia sudah tidak ada, apa yang dibuatnya itu amat bermakna. Dia minat bidang ini. Kami sekeluarga sokong minat dia. Selain berlumba dia masih juga belajar di Politeknik Ungku Omar. Dia mengambil jurusan Kejuruteraan Mekanikal.
” Kami juga rasa kalau dia tidak minat lagi dalam bidang ini, mungkin dia akan berjaya satu hari nanti sebab pelajaran dia juga akan bagus,” ujarnya lagi.
Tiada Lagi Baju Raya Sedondon
Pada tahun sebelum keluarga ini menyambut Ramadan dan syawal dalam suasana yang meriah. Namun pada tahun ini suasara suram menyelubungi. Ini diakui sendiri oleh Nor Syaziela.
“ Sedih memang sedih pada tahun ini. Selalunya kami berenam. Pada tahun ini kami berlima. Baju raya sudah tidak sedondon lagi pada tahun ini. Tidak lengkap rasanya raya pada tahun ini.
” Bulan puasa ini, saya akan ingat saat kami bersahur. Adik suka sangat lauk ayam masak merah. Kalau ada lauk itu sudah pasti dia akan menambah nasi. Kami pasti akan gelak tengok dia berselera makan ketika bersahur.Tahun ini tidak ada lagi saat-saat begitu.”
Apa yang pasti Nor Shaziela pasti akan sentiasa merindui adiknya itu.
“ Adik seorang yang baik. Dia hormat ibu bapa dan orang tua. Dia tidak pernah tinggi suara. Dia juga suka menolong orang. Hafiz suka tengok orang lain gembira. Sibuk macam mana pun dia tidak akan tinggal solat. Itu sebab apabila dia sudah tidak ada sekarang ini kami rasa kehilangan yang amat sangat..
Saya pasti akan teringat gelak tawa dia. Ketika makan Bersama keluarga, kadan-kadang dia suka buat lawak. Saya juga rindu hendak tengok dia race,” luah Nor Shaziela mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tengku Ampuan Pahang mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya dijemput menyampaikan syarahan berprestij di Universiti Oxford, United Kingdom, pada Khamis. Detik ini bukan sahaja mengangkat martabat negeri Pahang, tetapi turut menampilkan warisan intelektual Melayu-Islam di pentas dunia.
Syarahan Bertemakan Warisan Melayu-Islam Yang Dilupakan
Menurut kenyataan Kesultanan Pahang di Facebook, baginda mempersembahkan syarahan bertajuk “Pahang: Warisan Perlembagaan dan Maritim Melayu-Islam Yang Dilupakan”. Baginda menjelaskan dengan jelas dan terperinci mengenai Hukum Kanun Pahang, yang dianggap sebagai Perlembagaan Melayu-Islam tertua bagi sebuah tamadun berdaulat.
Dalam penyampaian ilmiah itu, baginda menekankan betapa pentingnya memahami asas perundangan Melayu yang sering diketepikan daripada naratif arus perdana. Hukum Kanun Pahang bukan sekadar dokumen sejarah, tetapi rangka asas kepada sistem pemerintahan, adat, serta struktur sosial masyarakat Melayu pada era tersebut.
Pahang Sebagai Entiti Ketamadunan Kukuh
Baginda turut mengupas kedudukan Pahang sebagai sebuah entiti yang memiliki tradisi intelektual tersendiri, serta ketamadunan yang terbentuk daripada jaringan perdagangan maritim, hubungan diplomatik, dan pengaruh ulama terdahulu. Huraian ini menunjukkan bahawa warisan Pahang bukan sekadar kenangan sejarah, tetapi nadi yang membentuk identiti Melayu-Islam sehingga hari ini.
Penekanan terhadap kepentingan memahami sejarah ini mengajak khalayak untuk melihat kembali tamadun Melayu melalui perspektif yang lebih tepat dan seimbang. Baginda mengetengahkan bahawa rekod kolonial bukan satu-satunya rujukan, dan warisan asli Melayu harus diberi tempat sewajarnya dalam penyelidikan akademik.
Pengiktirafan Antarabangsa
Kehadiran baginda di Universiti Oxford disambut sebagai satu penghormatan yang besar, bukan sahaja kepada institusi diraja Pahang tetapi juga Malaysia secara keseluruhan. Ia membuktikan minat global terhadap sejarah Melayu-Islam dan komitmen untuk memahami semula keagungan tamadun serantau melalui sumber yang sahih.
Para akademik, penyelidik dan pelajar antarabangsa yang hadir turut mendapat peluang melihat sisi baharu sejarah Melayu yang jarang diketengahkan. Melalui syarahan ini, Pahang ditampilkan sebagai sebuah negeri yang memiliki akar budaya dan perundangan yang mantap serta berkembang melalui interaksi maritim.
Signifikan Ilmiah Dan Kebangsaan
Dengan gaya penyampaian yang ilmiah dan penuh wibawa, baginda tidak sekadar menyampaikan fakta sejarah, tetapi membuka ruang kepada perbincangan baharu mengenai kedudukan warisan Melayu-Islam dalam akademia global. Syarahan ini mengingatkan bahawa tamadun Melayu memiliki sistem perundangan, struktur sosial, dan kekuatan maritim yang tidak boleh dipandang ringan.
Melalui perspektif baharu ini, syarahan tersebut memberi nafas segar kepada usaha mengangkat kembali identiti dan sejarah asal bangsa. Ia juga memberikan dorongan kepada generasi muda untuk meneruskan kajian, pemeliharaan, dan penghargaan terhadap khazanah warisan negara.
Mencipta Sejarah Untuk Masa Hadapan
Syarahan Tengku Ampuan Pahang di Universiti Oxford menjadi detik bersejarah yang membuka lembaran baharu dalam pengiktirafan global terhadap warisan Melayu-Islam. Ia bukan sahaja mencerminkan ketokohan baginda, tetapi turut membuktikan bahawa sejarah dan peradaban Pahang mempunyai pengaruh mendalam dalam landskap ketamadunan serantau.
Kejayaan ini diharapkan dapat menjadi inspirasi untuk memperkukuh pemahaman mengenai sejarah negara serta mengembalikan warisan Melayu-Islam ke tempat yang sewajarnya di peringkat antarabangsa. Detik bersejarah ini akan terus dikenang sebagai tonggak yang mengangkat maruah dan warisan bangsa ke persada ilmu dunia.
Jodoh itu rahsia tuhan. Sebagai manusia, dalam usaha mencari jodoh tak bermakna, wanita tak boleh berusaha untuk mendapatkannya. Dan usaha mencari jodoh itu tentulah ada macam-macam caranya.
Mengulas isu ‘wanita jadi bodoh-bodoh sikit demi jodoh’ yang sedang viral ketika ini BroOhsem, Akhtar Syamir pula berpendapat, untuk mencari jodoh tidak semestinya seseorang itu (tentunya wanita) perlu meletakkan dirinya di bawah lelaki. Apatah lagi melepaskan segala impian dan cita-cita.
Kerana akhirnya nanti jodoh anda itu perlu diletakkan bersebelahan dengan anda, sama-sama melakar kejayaan rumah tangga bersama. Hadamkan seterusnya.
Meraikan Kepimpinan Lelaki, Tak Bermakna Wanita Perlu Bodoh-bodoh Sikit
Nak mencari jodoh, tidak semestinya anda perlu meletakkan diri anda di bawah lelaki dan melepaskan segala impian dan cita-cita.
Jika wanita itu berjaya di atas hasil titik peluh serta usahanya sendiri, apa salahnya? Sejak bila ia seakan menjadi satu kesalahan pula?
Sejak bila pula jodoh ditentukan oleh paras testosterone apabila wanita itu buat apa yang lelaki buat? Adakah berkerjaya dan berjaya itu hanya hak milik mutlak lelaki sahaja?
Saya pasti ramai wanita yang berjaya, berkerjaya tetapi masih belum bertemu jodoh akan tersinggung dengan persepsi sebegitu.
Kenapa mesti kita letakkan isteri di belakang suami sedangkan dia boleh berada di sebelah sambil tangannya dipegang erat saat kejayaan itu dikecapi?
Sudah tiba masanya kita ubah persepsi yang menggambarkan suami dan isteri adalah dua entiti yang berbeza di dalam keluarga. Benar, ada peranan yang boleh dimainkan, tetapi ini tidak bermakna seorang mesti di hadapan dan seorang lagi mesti di belakang.
Akhirnya Suami Isteri Itu Perlu Bergandingan
Kita kena pandang institusi kekeluargaan dan perhubungan suami isteri ini sebagai SATU entiti. Ianya satu proses simbiosis di mana suami dan isteri saling memerlukan antara satu sama lain.
Terutamanya pada zaman sekarang apabila isteri sendiri bersama-sama keluar bekerja mencari rezeki untuk keluarga. Di situasi ini, adakah anda masih rasa isteri perlu berada di belakang suami? Bukankah tempatnya di sebelah kamu, berusaha untuk keluarga, berkorban untuk keluarga?
Bagi isteri suri rumah pula, tanpa mereka, keluarga pasti tidak boleh berfungsi dengan sempurna. Persetujuan, janji dan kata sepakat yang dicapai sewaktu membuat keputusan bersama untuk hidup dengan corak keluarga sebegini amatlah penting dan perlu dihargai.
Impian dan cita-cita isteri itu perlu dipikul si suami jika mahu isteri menjadi suri rumah. Jika tidak, jangan sesekali terdetik pun untuk minta isteri menjadi suri rumah.
Tak Perlu Jadi Bodoh-bodoh Untuk Disayangi
Kita tidak perlu jadi bodoh-bodoh untuk disayangi. Saling faham memahami, kasih sayang dan cinta bukan lahir dari kuasa atau kelebihan seseorang berbanding pasangannya.
Ia terhasil dari hati dan perasaan, dari kefahaman berkenaan apa yang pasangan perlukan, apa yang disukai, apa yang tidak disukai, layanan yang diterima, diberi dan saling hormat menghormati.
Benar, jika kita sememangnya kurang mahir berkenaan satu-satu perkara mungkin boleh jadi satu perkara yang sweet dalam perhubungan.
Sebagai contoh, seorang suami berusaha untuk melipat kain baju. Walaupun lipatannya tidak kemas, si isteri tetap hargai dan anggap usaha untuk membantu itu satu perbuatan yang sweet sangat.
Kalau si isteri pula kurang mahir memasak, tetapi cuba juga masak untuk suami, ianya satu usaha yang patut dihargai dan ianya memang sweet walaupun tak menjadi.
Inilah yang patut kita fokuskan. Menghargai usaha dan percubaan untuk membahagiakan. Bukannya fokus untuk jadi bodoh-bodoh supaya disayangi.
Raikan Kebahagiaan Pasangan Bersama
Jika isteri kita berjaya, kita raikan kejayaannya. Kita kongsi kebahagiaan itu bersama. Kita tidak perlu rasa tercabar pun. Sebab minda kita sudah tetapkan yang keluarga itu satu. Isteri adalah sebahagian dari keluarga, jika dia berjaya, keluarga juga akan berjaya. Jika dia gembira, keluarga juga akan gembira.
Sama juga dengan suami. Kejayaannya adalah milik bersama.
Kepada para wanita, teruskan berusaha untuk mencapai impian hidup anda. Jika di dalam perjalanan menuju kejayaan itu anda berjumpa dengan orang yang anda cintai, jadikan impian itu satu impian bersama. Dan jika tidak sekarang, mungkin nanti.
Jika belum lagi, saya doakan anda akan bertemu orang yang akan menyayangi anda, yang dapat melihat anda melepasi segala kejayaan-kejayaan yang telah anda kecapi.
Tak Bermakna Perlu Letak Diri Di Bawah Pasangan
Ingat, membahagiakan pasangan tidak bererti anda perlu meletakkan diri anda di bawah pasangan. Suami yang sentiasa menjadi Imam juga boleh menyayangi tanpa perlu rasa tercabar dengan kekuatan dan kejayaan isteri.
Berdirilah bersebelahan. Peganglah erat tangan pasangan anda. Hadapi ujian dan kejayaan di dalam kehidupan ini bersama-sama. Bukan untuk orang lain pun, untuk keluarga kita sendiri juga.
Sekadar meluahkan apa yang bermain di fikiran. Semoga dapat mendetikkan sesuatu.
Atas permintaan ibu Acap, Siti Maznah Khamis, 58 malam ini mak ayah sekalian, sedekahkanlah ayat Kursi untuk anaknya yang hilang di Gua Tempurung sejak 23 March lalu.
“Saya minta sangat rakyat Malaysia tolong sedekahkan ayat Kursi untuk Mohammad Ashraf malam ini, sekali pun cukuplah.” Itulah permintaan ibu Acap yang redha dengan dugaan kehilangan anak kelima dari tujuh beradik itu,
Setelah 25 hari pelbagai usaha dilakukan dalam mencari anaknya itu. Namun masih belum ditemui jejaknya, dan akhirnya ibu ini aku dengan ketentuanNya.
“Apa-apapun terserah kepada Allah SWT selepas kita berusaha berhempas pulas, meredah hutan belantara, menuruni sungai, melalui bukit, gua semua sekali.”
“Cukup dah, kami rasa usaha itu sangat-sangat besar untuk mencari anak saya. Di mana nokhtahnya itu hanya Allah yang tahu. Kita memang tiada daya dan tidak tahu nokhtahnya di mana dan kita akan terus berdoa.”
“Acap tidak pernah hilang. Dia sentiasa ada cerita-cerita menarik dan cerita yang baik-baik selama dia mengikuti semua sekali aktiviti.”
“Baik di Lombok, Indonesia atau Sabah dan dekat mana-mana sekalipun, dia memang baik dan memang suka cerita dan gembira. Bila balik (mendaki) tiada yang cerita sedih.”
Biar Benarkan Orang Kampung Yang Cari
Sebagaimana yang dikongsikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudiin, penduduk kampung meminta agar mereka dibenarkan mencari Acap dengan cara mereka sendiri.
“Kita diberitahu kes yang sama pernah berlaku sebelum ini. Penduduk kampung berjaya mencari orang yang hilang menggunakan cara mereka.”
“Penduduk di sini meminta orang awam yang bukan penduduk keluar seketika dari kawasan berkenaan.”
“Pada prinsipnya, pihak PDRM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat bersetuju untuk tangguhkan, cuma kena bincang bila dan berapa hari nak ditangguhkan. Dan yang penting bincang dengan persatuan penduduk di sini untuk fahamkan operasi pencarian mereka.”
“Kita kena bersiap sedia sekiranya apa-apa terjadi dan sudah sedia berikan pertolongan sokongan.”
Terima Kasih Sukarelawan..
Kata ibu Acap lagi, keluarganya tidak melupakan usaha sukarelawan di setiap pelosok negara yang terlibat dalam misi pencarian anaknya itu.
“Untuk pejuang dan sukarelawan yang mencari yang kata tidak didendang, saya doakan untuk terus tabah dan bertahan dalam usaha mencari Acap.”
“Saya juga mengucapkan terima kasih, tidak terbalas saya dan keluarga atas jasa kepada semua yang susah payah turun melihat dan menyelesaikan keadaan dan meneruskan usaha ini,”
Tragedi kemalangan van kilang di Jalan Mount Erskine meragut nyawa seorang wanita dan mencederakan tujuh yang lain. Kisah sebak suami dan keluarga ini menyentuh hati ramai.