Panas sungguh hati bila suami yang betul-betul kita cinta, sayang separuh mati mengkhianati cinta luhur isteri. Betapa parah sekali pun, ingat ya.. buruk suami atau isteri, jangan sesekali ‘up’ di media sosial.
Itu kepantangan besar dalam mewujudkan sebuah keluarga yang damai lagi harmoni. Mungkin ada yang menyangkal saranan ini.
Alasannya, perbuatan jahat suami atau isteri perlu didedahkan. Biar semua tahu siapa sebenarnya ‘malaikat’ yang kau sanjung-sanjungkan itu. Hakikatnya, itu hanyalah bisikan-bisikan nakal yang akhirnya akan buatkan hati kita makin parah.
Alasan Kenapa Tak Boleh Up Buruk Suami Isteri Di Media Sosial
Terlalu Ramai Yang Jadi ‘Batu Api’ Nanti
Niatnya mahu mencari sokongan. Sayangnya apabila kisah sudah menjadi terlalu diketahui umum, anda hanya akan membaca saranan yang tak masuk akal lagi menyakitkan.
Bukan semua orang ikhlas nak bantu kita pun. Sebaik-baiknya, carilah orang tua, dapatkan nasihat perundangan yang betul dan tepat.
Itu lebih membuatkan anda terlihat sebagai isteri atau suami yang tegas dan jangan sesekali kau berani nak buat main-main.
Ads
‘Batu api’ yang hadir melalui komen-komen aib ini nanti hanya akan membuatkan rumah tangga yang boleh diselamatkan, langsung hanyut dilanda badai. Parah!
Jahat Macam Mana Pun, Maruah Suami Atau Isteri Kena Dijaga
Marah memang marah, tapi jangan mudah sangat terpengaruh dengan emosi marah, kecewa atau sakit hati. Kerana selagi dia masih suami atau isteri, rasa hormat itu kena ada.
Bawa berbincang secara matang. Sungguh, bila hati masing-masing tengah panas. Memang nak tengok muka pun menyampah.
Ads
Tapi berilah masa 3 hari untuk bertenang. Selepas hari ketiga kalau tak boleh juga selesai. Jangan berdiam diri, minta bantuan ahli keluarga.
Sebaiknya biarlah cuma keluarga dan anda yang mengetahuinya. Janganlah dikisahkan kepada orang lain. Kerana bila sampai ke pengetahuan orang lain, tempiasnya akan balik juga pada diri sendiri.
Nanti lagi sukar untuk kita berdepan dengan bermacam-macam persepsi dan pandangan. Sudahnya, dia yang bersalah tak ada apa-apa, kita yang teraniaya pula digossip yang bukan-bukan oleh mereka yang tak kan faham.
Ads
Jika Sudah Terdedah, Bila Berbaik Semula Kita Juga Yang Malu
Bukan semua orang ikhlas nak tengok kita bahagia. Ada tu cuma berpura-pura simpati. Di belakang, guntingnya lebih tajam menikam.
Bayangkan konflik selesai, kita berdamai dengan suami atau isteri.
Biarpun kita terlihat bahagia, orang tetap mengata. Kita juga nanti yang sakit hati. Mulalah cakap, kau orang tak faham cuma boleh mengata.
Walhal punca itu datang daripada kita.
Berfikirlah matang, dan bertindaklah dengan tenang. Moga kita dapat menghidupkan rahmah dalam hubungan suami isteri yang Allah anugerahkan untuk kita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tak ramai lelaki yang mampu setia bila muncul orang ketiga, apatah lagi bila yang hadir itu kononnya bekas kekasihnya dulu.
Mulalah diimbas balik zaman bercinta dulu-dulu walau hakikatnya sudah mempunyai zuriat. Sekelip mata pengorbanan isteri dilupakan dan perasaannya diketepikan sampai remuk redam.
Sebelum hubungan pergi lebih jauh, cuba hadam perkongsian saudara Firdaus Shakirin ini sejenak.
“Apa yang kita suka, belum tentu terbaik untuk kita..”
Bila dah berumah tangga ni, kadang-kadang Allah nak uji kesetiaan kita, maka Dia duga perasaan kita dengan hadirnya orang ketiga dalam hubungan kita.
Tak ramai yang mampu lepas dari ujian kesetiaan ini, jadi dilayani orang ketiga lebih dari yang pertama. Maka kita dah gagal dengan ujian ini, kita dah tak setia pada yang pertama.
Jika kita memilih untuk setia, Allah permudahkan lagi hidup kita. Allah bagi ganjarannya dan pahala sebab kita jaga hubungan kita, kita jaga ikhtilat kita, kita jaga ‘masjid’ kita.
Yang pertama itulah yang bersusah payah dengan kita, yang pertama itulah yang ada ketika kita dibawah, ketika kita tiada apa-apa dan ketika kita bukan siapa-siapa. Yang pertama itulah yang dahulunya sumber kekuatan kita tapi bila kita dah nampak yang ketiga, maka yang pertama dah menjadi sejarah.
Apa dibuatnya semua serba tak kena, sengaja diungkit-ungkit kesalahannya, disebut-sebut kekurangannya. Pengorbanannya jadi sia-sia.
Sedangkan dalam kita tak sedar, yang sebenarnya kita dah tewas dan gagal dalam ujian-Nya, kita leka, kita alpa. Kita tewas dengan nafsu kita sendiri, kita gagal mengawal hati kita sendiri.
Itu baru satu, banyak dan pelbagai lagi ujian yang bakal kita tempuhi, kalau kita tak mampu nak setia pada yang satu, dua, tiga, empat pun masih tidak akan cukup untuk kita.
Hargai apa yang kita dah ada, sebelum ianya tiada.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sudah banyak kali terbaca kes suami curang sebab jumpa bekas kekasih, kali ini terkena pada kawan sendiri. Tak sangka sungguh sebab kalau tengok sebelum ini kehidupannya cukup bahagia, malah Allah siap hadiahkan seorang anak buat pengikat kasih sayang.
Namun semuanya berubah sekelip mata selepas suaminya mula jatuh hati pada bekas kekasih zaman sekolah. Yang pelik, bekas kekasihnya itu janda anak dua. Ditakdirkan jadi janda pun sebab suaminya ada perempuan lain. Tergamak pula dia lukakan hati perempuan lain walau rumah tangganya pun roboh sebab orang ketiga!
Lagi menyakitkan, suaminya mula menjalinkan hubungan dengan perempuan itu selepas tahu dia jadi janda anak dua. Kononnya nak cuba bantu bagi semangat, tup tup diri sendiri ‘lemah semangat’. Lebur sampai akhirnya dia pula rasa nak tolong dengan bagi peluang itu menumpang kasih.
Hmmm… Kasihan. Si isteri langsung tak tahu, sampai lah kantoi sebab ternampak ucapan hari lahir dan luahan hati perempuan itu dalam phone. Gitulah, sembunyi macam mana pun akhirnya isteri tahu juga. Sebab Allah dah bagi satu kelebihan isteri ini ada naluri keenam. Jangan berani-berani nak sembunyi.
Cuba nak selamatkan rumah tangga, yang isteri gigih tanya suami cerita sebenar. Sampai mengaku dibuatnya! Dan bila tanya perempuan tu pula, tak mengaku. Tapi bila hantar balik screenshot ucapan hari lahir yang dia pernah bagi, terus ‘diblock’. Ewaahh… tanpa ucapan maaf, senang saja dia habiskan cerita. Yang si isteri ni susah hati dan TAWAR HATI sebab rasa cintanya dikhianati. Ni nak salahkan siapa?
Salah suami bagi peluang atau salah si perempuan yang bagi ruang?
Ikutkan hati memang geram dengan perangai perempuan yang suka merosakkan rumah tangga orang macam ini, dia tak sedar ke tindakannya salah?
Kita ni, kalau betul nak bahagia… Janganlah sampai curi kebahagiaan orang lain. Ya, betul cinta itu buta. Tetapi cuba berfikir dulu guna otak dan letak diri sendiri dalam kasut orang tu. Seronok ke cipta bahagia sendiri atas kesedihan orang lain?
Haaa… Itu nasihat dan tanya, nak suruh sedar tindakan kita itu salah dan masih boleh dibaiki.
Biasalah, bila cinta menguasai dalam diri, si lelaki yang berstatus ayah dan suami orang langsung tak rasa bersalah. Yang dia nampak, kasihan bekas kekasihnya sudah tiada suami. Habis, sanggup pula nak biarkan isteri sendiri tak ada suami? Kalau niat nak berpoligami sekali pun, mahu ke isteri tu? Cuba fikir dulu sebelum buat keputusan. Tapi sepatutnya, berfikir sebelum dengar luahan perempuan lain. Bila dah dengar masalah perempuan lain, itu yang jadi pintu hati diketuk rasa nak buka pintu bagi orang ketiga masuk!
Ingat balik dan sedar diri. Golongan isteri ni walau kerjanya hebat daripada si suami, pendidikannya lagi tinggi berbanding suami, berpangkat tinggi daripada suami, tinggi lagi gaji dari suami, tapi sebab sayang, dia rendahkan semuanya dan nampak setaraf dengan suaminya. Langsung tak kisah bantu kewangan ekonomi rumah tangga, sebabnya sayang!
Itu pun masih ada hati nak cari yang baru?
Ya, sebenarnya tak salah kalau nak berpoligami tapi biarlah kena caranya. Perempuan, kalau nak suami orang tolonglah jujur. Dan lelaki kalau ada hati nak kahwin dua, terus terang dengan isteri. Bawa berbincang. Jangan sampai isteri rasa tertipu yang akhirnya rasa tak sanggup nak teruskan hubungan sebagai suami isteri. Itu lagi bahaya, sebab kesannya si anak lah!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Setiap pasangan berkahwin pastinya inginkan kebahagiaan berkekalan hingga ke akhir hayat. Namun andai jodoh telah tertulis, mahligai dibina roboh di pertengahan jalan, tiada siapa yang mampu menidakkannya.
Perceraian adalah perkara harus yang paling di benci oleh Allah, jadikanlah ia sebagai langkah terakhir dalam menyelesaikan masalah perkahwinan. Dinasihatkan agar solat istikharah terlebih dahulu mohon pertunjuk Allah untuk tabahkan hati untuk memohon perceraian, jika perceraian adalah jalan terbaik setelah menimbangkan pelbagai aspek buat diri sendiri, keluarga dan baik di sisi Islam mohonlah kekuatan untuk terus tabah meneruskannya.
Sebaliknya jika terus hidup bersama dengan suami adalah yang terbaik di sisi Allah maka mohonkan kekuatan untuk menjadi isteri solehah sehingga mampu memimpin suami agar menjadi suami soleh seterusnya hidup bahagia seterusnya.
Terdapat beberapa prosedur yang perlu dilalui dalam memfailkan perceraian.
Jika telah nekad ingin bercerai boleh terus ke Mahkamah Syariah berhampiran (dekat tempat tinggal). Contohnya, kalau jika tinggal di Putrajaya pergilah ke Mahkamah Syariah Putrajaya, jika di Shah Alam pergilah ke Mahkamah Rendah Shah Alam.
Bagi tujuan pendaftaran kes, hanya Pemohon sama ada suami atau isteri perlu hadir ke Mahkamah memandangkan ia hanya untuk mendaftarkan kes.
Dapatkan borang mohon untuk bercerai dan isi. Bawa bersama surat nikah, surat beranak anak-anak, kad pengenalan dll yang berkaitan jika nak pasti apa perkara perlu sila berhubung dahulu (telefon) mahkamah berkenaan.
Selepas hantar borang Tuan/Puan akan diberi tarikh panggilan ke mahkamah (sebutan/bicara) dalam tempoh 21 hari. Tuan/Puan juga boleh dapatkan khidmat rundingan dari Pegawai Sulh apabila di perlukan (kalau perlu kena mohon hadir majlis sulh).Biasanya terus sebutan/bicara. Kalau suami setuju cerai biasanya kes ringkas dan diakhiri lafaz cerai.
Namun jika tidak mungkin perlu pinda kes kepada mohon cerai taklik atau fasakh mengikut alasan yang berkaitan. Alasan taklik ikut lafaz taklik di belakang surat nikah, alasan fasakh lihat seksyen 52 Akta Keluarga.
Seksyen 52. Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh
(a) bahawa tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;
(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(c) bahawa suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;
(d) bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (Nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
(f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali mujbirnya sebelum dia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain—
(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau
(ii) berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; atau
(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau
(iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau
(v) menghalang isteri daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau
(vi) jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak;
(i) bahawa walau pun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya;
(j) bahawa isteri tidak memberi keizinan akan perkahwinan itu atau keizinannya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak;
(k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun berkebolehan memberi keizinan yang sah, adalah seorang yang kecelaruan mental, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord. 31 tahun 1952] bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, atau Ordinan Lunatik bagi Wilayah Persekutuan Labuan [Sabah Bab 74] dan kecelaruan mentalnya adalah daripada suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin;
(l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.
(1A) Mana-mana orang yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapatkan perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh atas alasan bahawa isteri menjadi tidak upaya yang menghalang persetubuhan.
(2) Tiada apa-apa perintah boleh dibuat atas alasan dalam perenggan (1)(c) sehingga hukuman itu telah dikemukakan dan suami telahpun menjalani satu tahun daripada hukuman itu.
(3) Sebelum membuat suatu perintah atas alasan dalam perenggan (1)(e) Mahkamah hendaklah, atas permohonan suami, membuat suatu perintah menghendaki suami memuaskan hati Mahkamah dalam tempoh enam bulan dari tarikh perintah itu bahawa dia tidak lagi mati pucuk, dan jika suami memuaskan hati Mahkamah sedemikian dalam tempoh itu, tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas alasan itu.
(4) Tiada apa-apa perintah boleh dibuat atas mana-mana alasan dalam subseksyen (1) jika suami memuaskan hati Mahkamah bahawa isteri, dengan mengetahui bahawa adalah terbuka kepadanya untuk mendapatkan perkahwinan itu ditolak, telah bertingkah laku terhadap suaminya dengan cara yang menyebabkan suami mempercayai dengan munasabah bahawa isteri tidak akan menolak perkahwinan itu, dan bahawa adalah tidak adil kepada suami jika dibuat perintah itu.
MW: Semoga perkongsian info ini bermanfaat, menjadi panduan buat para wanita yang teraniaya untuk melepaskan ikatan perkahwinan dan mendapat hak yang sewajarnya.
Buang bayi lelaki baru lahir belakang rumah bongkar sumbang mahram dua beradik bawah umur di Besut. Ketahui kronologi penuh, siasatan polis dan tindakan lanjut.