Masa bercinta OK, tetiba dah kahwin ada suami yang saja nak halang urusan isteri dengan keluarganya. Nak balik kampung sesekali pun susah, dah kenapa?
Apa salahnya suami bagi peluang isteri bermanja dengan keluarganya, bukan orang lain pun. Bak kata saudara Firdaus Shakirin…
“Dia boleh terima keluarga kita, kenapa kita susah nak terima keluarga dia…?”
Jangan Dihalang Urusan Isteri Dengan Keluarga
Sebagai suami, ada hal yang kita perlu bertegas, ada hal yang kita perlu bertolak ansur. Semua suami nak isteri hormat dia, nak isteri taat dia… maka jadilah seorang suami yang baik.
Baik yang macam mana?
Ads
Bertolak ansur dengan urusan dunia, dan bertegas dengan urusan akhirat.
Bab aurat, bab solat, bab puasa, tatacara pemakaian diluar umah, dengan siapa dia boleh bergaul, keluar, berhubung adalah antara bab yang kita perlu bertegas. Bab hubungan dengan ibu bapa dia, itu bab dunia, maka perlu ada tolak ansur dengan isteri.
Keluarga dia, keluarga kita.
Ads
Adil lah dalam membahagikan urusan terutamanya urusan balik kampung antara kedua-duanya. Jangan melebihkan kampung kita dari kampung dia. Dia pun rindu kedua orang tuanya, namun dia terikat dengan status dia sebagai isteri kepada kita.
Tergamak Biarkan Isteri Balik Kampung Sorang?
Jika kita tak dapat teman dia balik ke kampung, maka telefon keluarganya. Cakap kita bekerja, atau balik hantar isteri, bertemu dengan mertua, cakap kat mertua, ada urusan kerja, tak dapat tinggal di sana. Jangan bagi isteri balik kampung seorang diri, nanti keluarga, adik beradiknya dan masyarakat sekeliling akan beranggapan bahawa dia ada masalah dengan suaminya, atau rumah tangga dia sedang bergolak.
Jika ibu atau ayahnya sakit, perlukan seseorang untuk menjaga, maka bagi kebenaran untuk dia jaga atau bawa orang tuanya datang ke rumah kita.
Ads
Sebab salah satu cara nak menggembirakan isteri, adalah jangan menghalang urusannya dengan keluarganya.. Bawa dia balik rumah keluarganya, bergaul dengan keluarganya, bawa keluarganya bercuti jika mampu, pandai bawa diri dalam keluarganya dan sebagainya.
Kehidupan wanita bernama Rosnah bt Nordin berubah seratus peratus sebaik tragedi kemalangan meratus nyawa suaminya berlaku kira-kira lapan tahun lalu.
Tidak pernah terlintas dalam fikirannya akan bersendirian tanpa suami membesarkan anak-anak yang semakin meningkat dewasa.
Namun takdir Tuhan siapa yang mampu menghalang. Rosnah hanya mampu memanjatkan doa pada Ilahi agar memudahkan kehidupannya sebaik bergelar ibu tunggal. Kini ibu kepada empat orang cahayamata lelaki ini bahagia semakin redha dengan apa yang telah berlaku.
Masih kekal dalam ingatan Rosnah saat-saat suami menghembuskan nafas di hadapan matanya. Kelihatan air bergenang pada matanya ketika mengingati kembali saat-saat tersebut.
“ Kemalangan itu berlaku pada bulan Ramadan 2011. Suami saya seorang pemandu bas pelancong. Hari itu dia mahu membawa saya melihat bas yang dia bawa. Suami akan bawa saya ke mana-mana sahaja pada hari dia cuti.
Habis tengok bas, kami balik. Dalam kereta suami dan saya bersembang. Cadangnya keesokan hari selepas bersahur kami mahu balik ke kampung. Sedang kami bersembang itu secara tiba-tiba kereta yang dipandu suami terkeluar dari laluan jalan.
Suami mahu masuk ke laluan jalan semula. Tetapi lain yang berlaku. Kereta kami terbabas. Mungkin suami tertekan minyak menyebabkan kereta tidak dapat dikawal dan akhirnya kereta terlanggar tiang pembahagi jalan.
Akibat kemalangan saya mengalami kecederaan teruk. Tangan kanan seperti tercabut. Manakala peha dan leher tidak boleh bergerak. Kalau melihatkan kecederaan teruk itu, seperti saya yang akan meninggal dunia. Suami pula luarannya tidak ada apa-apa. Dia mengalami kecederaan dalaman.
Sebaik dikeluarkan dari kereta oleh orang yang berada di tempat kejadian, saya dibaringkan berdekatan dengan suami. Kami tidak dapat melihat satu sama lain tetapi saya mendengar suara suami. Dia tanya bagaimana keadaan saya. Dia juga minta air untuk diminum. Saya juga mendengar dia bercakap seorang diri bagaimana dengan anak-anak kalau dia mati.
Tidak lama kemudian, saya dan suami dibawa ke hospital. Kecederaan suami rupanya agak parah. Melihatkan keadaan suami itu, doktor telah membawa saya yang ketika itu memang teruk kecederaan yang dialami untuk bertemu dengan suami. Sempat lagi saya bertemu suami sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.”
Betapa sedihnya Rosnah apabila suami tersayang pergi meninggalkannya. Hatinya semakin pedih memikirkan nasib diri dan anak-anak kerana mereka telah kehilangan ketua keluarga pencari rezeki utama.
“ Sewaktu suami hidup saya tidak bekerja. Anak sulung saya pernah menyuarakan hasrat untuk berhenti belajar tetapi saya tidak benarkan. Saya mahu semua anak-anak saya meneruskan pelajaran. Biarlah saya sahaja mencari kerja untuk menyara mereka.”
Rosnah dan anak-anak tinggal di Bandar Tun Razak selepas kematian suami. Mereka tinggal di rumah sewa yang diduduki bersama suami ketika arwah masih hidup. Tanpa suami, kini anak-anak menjadi penguat semangat buat Rosnah untuk meneruskan kehidupan.
“ Selepas saya keluar hospital, saya cari kerja. Nasib baik ada kawan yang baik hati membenarkan saya menjaga gerai nasi lemak miliknya. Saya ingat lagi saya bekerja dalam keadaan tangan yang ‘tergantung’. Walau sudah ada kerja hati saya tetap tidak tenang kerana perlu memikirkan bagaimana mahu mencari rumah baru kerana tuan rumah yang menyewakan rumahnya kepada kami mahu mengambil semula rumahnya.
Ke hulu hilir saya memohon rumah DBKL. Akhirnya berkat doa yang tidak putus-putus pada Allah, saya mendapat sebuah rumah di PPR Kg Muhibbah, KL. Bersyukur saya kerana selesai masalah besar dalam hidup saya ketika itu.”
Berpindah ke rumah baru menyebabkan Rosnah perlu mencari kerja baru. Rosnah mengambil keputusan menjadi pengasuh menjaga anak jiran di rumahnya kerana dia memang suka kanak-kanak.
“ Mula-mula saya menjaga tiga orang budak. Selepas itu bertambah lagi seorang. Lama juga saya jadi pengasuh. Namun tanpa sebarang sebab, ibu mereka telah mengambil mereka semula. Hati saya jadi tidak senang kerana punca pendapatan sudah tidak ada.
Namun kuasa doa itu amat besar. Tidak sampai dua minggu tanpa sebarang kerja, tiba-tiba cikgu Tadika Kemas di kawasan perumahan saya menelefon. Dia menawarkan kerja sebagai pembantu cikgu Tadika kerana dia mahu membuka kelas Tadika baru.
Saya terima tawaran tersebut. Bermula dari situlah saya jadi Pembantu Cikgu Tadika. Walaupun pendapatan di Tadika tidak banyak seperti jadi pengasuh namun saya bersyukur. Saya seronok kerja di Tadika kerana jiwa saya dekat dengan budak-budak.”
Diam tidak diam sudah 7 tahun Rosnah bekerja sebagai Pembantu Cikgu Tadika di PPR Kg Muhibbah.
Bergelar ibu tunggal satu cabaran hebat buat Rosnah. Dia sentiasa berhadapan dengan pandangan serong dan negatif masyarakat sekeliling. Apa sahaja perkara yang dibuatnya sudah pasti ada yang mengeji.
Namun Rosnah cekalkan hati dan sentiasa tabah dalam menghadapi segala cabaran. Bagi memastikan dirinya sentiasa berada dalam keadaan positif, Rosnah sentiasa cuba aktif dalam aktiviti di blok tempat tinggalnya dan juga di surau. Rosnah juga aktif dalam Persatuan Ibu Tunggal Bandar Tun Razak, Cheras.
“ Saya berterima kasih kepada Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Bandar Tun Razak Puan Nani Zakaria yang sentiasa mengadakan aktviti bermanfaat buat ahli-ahli persatuan. Saya seronok menyertai persatuan kerana mendapat kawan-kawan baru.”
Akhir kata Rosnah sempat menitip nasihat kepada wanita bergelar ibu tunggal lain agar kuat menghadapi kehidupan mendatang.
“ Jadi ibu tunggal segala-galanya kita kena buat. Hendak tidak hendak kita perlu berhadapan dengan setiap cabaran yang berada di hadapan mata. Jaga anak dengan baik kerana anak adalah harta yang ditinggalkan suami.
Saya sendiri rasa bersyukur kerana sejak ditinggalkan arwah suami, saya mampu membesar dan memberi pelajaran pada 4 orang anak yang kini 3 telah pun berjaya. Namun masih ada debaran dan kerisauan menunggu yang bongsu yang kini sedang belajar dalam tingkatan 6. Apa pun saya sentiasa ingat yang baik, fikir yang baik, minta yang baik, doa yang baik. Allah akan bagi yang terbaik. InsyaAllah,”akhirinya.
Foto: Azfarina Sulaiman
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“Boleh tak letakkan semula tuala di tempat yang disediakan bila sudah pakai…” “Gosok pakaian kena ikut garisan dia, jangan ada dua atau tiga garisan lain..”
Susahnya bila dapat pasangan yang cerewet. Semua benda yang dilakukan tidak betul di
matanya. Ikutkan hati boleh bergaduh tetapi mengenakan sifatnya yang demikian, jadi lebih baik ikut sahaja. Tapi sampai bila?
Nak tahu macam mana nak layan pasangan yang cerewet ini, Dr Ben Fadzil Mohd Salleh, Business Forencic Psychologist Grand Master, ada caranya.
Sebelum & Selepas Kahwin
Cerewet adalah satu perangai yang ada pada di setiap individu dan untuk memuaskan diri buat sementara sahaja sehingga niatnya tercapai. Hanya jenis-jenis cerewet dan tahapnya adalah berbeza.
Sebelum berkahwin, kita hanya mengetahui seseorang itu cerewet dari persahabatan, maklumat atau daripada pergaulan yang kita pernah lalui, diberitahu oleh ibu, bapa, adik beradik dan kawan rapat atau daripada pandangan kita sendiri yang telah mempunyai pengalaman yang lalui bersama.
Cerewet terperinci seterusnya akan kita ketahui selepas mengahwini pasangan kita itu.
Setelah berkahwin kita harus melayani cerewet pasangan tanpa boleh berpatah balik ke pangkal jalan malah harus meneruskan kidupan cerewet bersama.
Ada kala cerewet ini boleh diterima semasa bercinta sebelum dan selepas kahwin tetapi akan diluahkan isi hati sekiranya terjadi apa apa pergaduhan dan selisih faham di mana pasangan akan menyalahkan di antara sesama sendiri
Jenis jenis cerewet adalah termasuk:
Kebersihan rumah, bilik air, pakaian dan diri, keterampilan, mengatur peralatan di rumah
serta tempat kerja,
Meneliti pergaulan, memilih makanan, tempat yang ingin dilawati, cara bekerja yang
mengikuti undang-undang, pandangan yang sering kali berbeza,
Cara menjalankan kehidupan seperti penggunaan bilik air (tandas), kebersihan, cara tidur, makan dan juga apa apa saja penyediaan.
Dari segi klinikal ia juga boleh disifatkan sebagai orang yang mempunyai penyakit OCD.
Bila Pasangan Cerewet…
Anda boleh mengetahui perangai pasangan cerewet sekiranya dia sering membetulkan cara anda mengikut caranya dalam membuat sesuatu kerja serta membuat pilihan. Sering mengingatkan anda tentang kebersihan, sususan, cara-cara melakukan sesuatu dan membuat kerja semula selepas anda melakukannya
Pasangan Boleh Jadi Cerewet….
Dari segi kajian psikologii, seseorang itu mula cerewet bila dia semasa kecil mengalami
sakit yang tidak boleh kawal dan cerewetnya itu datang selepas dia pulih. Anda boleh
melihatnya bila dia mula memilih jenis makanan dari rasa, rupa, khasiat, cara susunan
makanan dan lain-lain lagi mengikut suka hatinya sahaja. Pasangan boleh menjadi cerewet
sekiranya dia telah mengamalkankan dari kecil lagi atau mempelajarinya semasa dia mula
membesar, belajar dari seseorang juga melihat dan mula mempunyai pengalaman untuk melakukan.
Perangai Pencetus Cerewet
Semestinya, perangai mempunyai pengaruh di dalam perangai cerewet ini. Contoh. isteri mahu melihat baju kotor dikumpulkan di dalam bakul baju kotor tetapi suami hanya baling baju tersebut k edalam bakul, sekira baju yang dia baling tidak masuk, tiada apa yang akan berlaku. Dia tidak mahu mengangkatnya malah akan biarkan sahaja sehingga si isteri
mengangkat dan masuk ka dalam bakul.
Cerewet Boleh Diterima Apabila…
Bagi setiap pasangan, asalkan cerewet itu tidak menyusahkan, memalukan, memaksa atau
menyuruh untuk melakukan sesuatu yang bercanggah dari kerelaan mereka dan boleh menerimanya, itu tidak menjadi masalah. Contohnya sekira pasangan cerewet mereka sering membetulkan kelakuan suaminya dengan cara-cara yang dianggap betul dari pandangan isterinya.
Cerewet serta leter yang tidak henti-henti serta sering tidak berpuas hati tentang apa yang
telah dilakukan, sering diperbetulakn atau selalu kena marah ini akan menimbulkan keretakan atau ketegangan di dalam perhubungan suami isteri.
Suami Atau Isteri Lebih Cerewet?
Cerewet seorang isteri seringkali adalah lebih teruk dari seorang suami. Sifat seorang
perempuan adalah lebih teliti dan terperinci dari lelaki. Isteri memang memerlukan sesuatu
yang lebih sempurna dan teratur. Walhal suami, walaupun tidak semua dianggap mudah tetapi pastika nia tidak memeningkan kepala.
Tangani Suami @ Isteri Cerewet
1.Perangai cerewet ini ada hadnya iaitu cerewet tidak boleh diulang-ulang, sering atau suka diingatkan atau diperbetulkan seperti mengingatkan seorang kanak-kanak. Sekiranya pasangan ini tidak boleh lari dari kelakuan cerewetnya, ia hendaklah dilakukan dengan cara jenaka dan manja. Perlu diingatkan tiada orang yang suka disuruh atau dipaksa. Cerewet perlu berkomunikasi dan kalau boleh ia hendaklah dilakukan dengan rasional.
Bila Suami Cerewet
Bagi lelaki yang panas baran atau tidak suka di tegur tentang perbuatannya sudah tentu dia tidak akan suka di perlakukan seperti dileteri atau ditegur serta diperbetulkan kelakuan
dia. Lelaki itu akan memberontak dengan menunjukkan dirinya tidak bersetuju bila ditegur.
Kemungkinan semasa dalam mood sayang, si suami akan melakukannya tanpa bantahan tetapi sekiranya kasih sayang itu berkurangan, perangai sebenarnya akan timbul. Suami perlu memahami isteri, mood dan emosi isterinya.
Bila Isteri Cerewet
Setiap pasangan perlu berkomunikasi tentang cerewetnya perangai masing-masing supaya ia mudah difahami. Isteri perlu memahami jiwa suaminya itu, dari mana datangnya, keluarganya, fahamannya serta pembawakannya. Sekira suami itu pembersih dan teratur, isteri boleh faham dan boleh ikut tetapi sekiranya suami itu seorang pengotor, isteri yang tidak cerewet pun boleh jadi cerewet.
Bila Suami Isteri Cerewet…
Sekiranya kedua-dua pasangan mempunyai sifat yang cerewet, ia hendaklah banyak kan
berkomunikasi dan berbincang secara terbuka, sedia menerima kekuatan dan kelemahan pasangan serta perlu banyak mengawal kemarahan dan stres. Dengar dan fahami apa yang dikatakan dan apa yang dia mahu. Jangan bertindak kasar atau agresif jika tidak setuju tapi perlu bercakap untuk pasangan fahami isi hati kita Cerewet ini jika dilayan dengan kasih sayang, cerewet ini akan hilang.
Nasihat Untuk Suami Isteri
Sekiranya jika salah seorang mempunyai sifat cerewet, pasangannya janganlah melepaskan geram tetapi memahami isteri atau suami dengan banyak bertanya kenapa ia di lakukan begitu dan kenapa kalau ia dilakukan begini atau bagaimana kalau ia dilakukan dengan lain cara. Minta pandangan dari tuan punya badan tentang cerewetnya.
Tip Terbaik Suami Isteri
Dalam isu kecerewetan ini kedua-dua pasangan hendaklah bertolak ansur dan menerima kritikan serta ingin diperbetulkan. Suami atau isteri janganlah melihatnya seperti pandangan yang negatif serta memberontak dan marah. Kemungkinan besar orang yang cerewet ini menghadapi sakit OCD dan perlukan rawatan. Bagilah peluang dan masa untuk salah sorang memperbaiki keadaan dengan membetulkan serta menyesuaikan diri mereka bersama. Sekiranya salah seorang memerlukan rawatan atau terapi bantulah dia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kalau cerita bab harta pusaka, yang adik beradik pun boleh jadi gaduh mulut. Tambah kalau masing-masing dah berumah tangga dan ada komitmen. Ini cerita golongan yang tak amanah, maknanya tak semua yang pentingkan diri sendiri.
Ada yang baik hati dan faham dengan hukum agama, dia mungkin berfikir ke mana harta pusaka patut diagihkan. Nak lebih panjang isu harta pusaka, jemput hadam perkongsian saudara Firdaus Shakirin sejenak.
Harta Pusaka Adik-Beradik Yang Meninggal : Tanggungjawab atau Durian Runtuh?
Bila seseorang itu meninggal dunia, yang dibawanya hanya 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yg bermanfaat dan doa dari anak yang soleh/solehah.
Harta benda, rumah, kereta, tanah, gelang tangan, saham, semua ini akan ditinggalkan dan dinamakan harta pusaka, harta peninggalan si mati.
Sebagai org islam, kita ada option untuk mewasiatkan harta kita tu, atau menghibahkan harta tersebut sebelum kita meninggal dunia dan jika kita tak sempat untuk buat kedua-dua cara ini, maka harta pusaka peninggalan itu akan dibahagi secara FARAID.
Jika kita selaku adik beradik kepada si mati (simati ialah adik, abg, kakak kita) ada menerima bahagian tersebut, sejumlah harta & wang ringgit daripada pembahagian faraid, adakah itu durian runtuh, rezeki terpijak ataupun tanggungjawab?
Masyarakat kita, bila dapat sesuatu hasil dari faraid, yang dipandangnya adalah harta tersebut sahaja. Dia akan fikir, nak jual atau tak tanah itu, duit tu nak melancong mana atau beli apa.
Tahukah kita yang harta/duit tersebut datang beserta tanggungjawab untuk menjaga apa yang ditinggalkan si mati?
Iaitu anak-anak si mati… anak saudara kita? Anak kepada abang kita/kakak kita/adik kita yang telah meninggal dunia. Sepupu kepada anak-anak kita.
Berapa ramai yang masih menjaga, mengambil tahu anak-anak adik beradiknya yang telah meninggal dunia? Mugkin ada, tapi tak banyak, yang banyak, buat hal sendiri, jaga rumahtangga sendiri.
Anak si mati makan ke tak, tak tahu. Ada duit untuk belajar ke tak, tak tahu. Kesusahan, kepayahan dan keperitan hidup mereka setelah ayah atau ibunya pergi, juga kita tidak mengambil tahu.
Sekadar ingin mengingatkan, kita masih bertanggung jawab terhadap anak-anak si mati. Itu anak-anak adik beradik kita. Walaupun kita tiada apa-apa lagi pertalian dengan bekas isterinya/ bekas suaminya, balu simati, tapi hubugan dengan anak simati masih ada.
Cubalah mengambil tahu tentang kebajikan hidup anak-anak si mati dan menolongnya sekadar yang kita mampu. Jangan abaikan tanggungjawab ini, sebab ini sebahagian daripada tanggungjawab kita sebagai adik beradik si mati.
Jangan sekadar guna apa yang kita dapat dari si mati untuk kepentingan diri sendiri.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!