gigi kuning

Memang malu dan rasa rendah diri bila barisan gigi mulai kekuningan dan nafas pula berbau.Lebih-lebih lagi kalau diri tu seorang wanita. Kawan-kawan mungkin malu nak tegur, tapi memang boleh perasan bila kita bercakap, ekspresi mereka mula berubah, rasa tak selesa dan menjauhkan diri. Lebih parah, bila suami pun tak nak dekat sebab nafas berbau busuk.

Keyakinan diri seorang wanita pasti akan lebih terserlah dengan senyuman yang terukir di bibir di samping barisan gigi bersih dan sihat tersusun indah serta nafas berbau segar. Berikut merupakan amalan penjagaan gigi yang sebenar agar kekal bersih dan sihat bagi mengelakkan masalah nafas berbau, gigi rosak, berlubang dan kekuningan:

1.Berus gigi tiga kali sehari Memberus gigi setiap kali selepas makan akan membuatkan anda rasa segar dan mulut sentiasa bersih, serta menjamin kesihatan gigi dan gusi. Disarankan memberus gigi tiga kali sehari, pada waktu pagi, tengah hari dan sebelum tidur. Amalan menggosok gigi sebelum tidur dapat membersihkan sisa makanan dan mengelakkan bakteria daripada membiak ketika tidur.

2. Jaga pemakanan Kurangkan makanan yang agak manis dan melekit seperti manisan dan coklat kerana akan menyebabkan ia melekat di celah-celah gigi. Seeloknya, minum air putih dan berkumur-kumur setiap kali lepas makan. Ini dikatakan penjagaan atau pembersihan gigi sementara.

3. Gunakan pencuci mulut berflorida Sebaiknya, kumur dengan pencuci mulut berflorida sekali sehari sebelum tidur, selepas beberapa minit memberus gigi. Pilih pencuci mulut berflorida yang tiada kandungan alkohol kerana ia boleh menyebabkan ulser bagi yang mempunyai gusi sensitif.

IKLAN

4. Dapatkan rawatan di klinik gigi untuk pemeriksaan Disarankan untuk melakukan pemeriksaan gigi dan pemutihan gigi secara berkala, sebaik-baiknya enam bulan sekali. Carilah doktor gigi yang sanggup meluangkan sedikit masa untuk berbincang tentang penjagaan gigi dan kesihatan mulut yang betul.

5. Memberus gigi sejam selepas makan Jangan lupa untuk berkumur dengan air putih selepas anda selesai makan. Selain itu anda digalakkan memberus gigi sejam selepas makan. Tetapi, anda tidak disarankan melakukannya sebaik sahaja selepas akan kerana ia akan menyebabkan gigi anda mudah rapuh dan rosak.

6. Kunyah ‘chewing gum’ selepas makan Mengunyah gula-gula getah selepas makan berfungsi sebagai agen pembersih sisa-sisa makanan pada gigi. Cuma, apa yang perlu anda pastikan, pilih gula-gula getah yang kurang mengandungi gula dan tidak manis.

IKLAN

PERLU TAHU!

-Plak ialah selaput melekit tidak berwarna dan dihasilkan bakteria yang sentiasa terbentuk pada permukaan gigi yang menjadi punca masalah utama mulut seperti bau busuk, pereputan gigi dan penyakit gusi.

-Menggunakan berus gigi dengan teknik yang betul, flos dan berkumur mulut adalah cara termudah untuk menyingkirkan plak.

IKLAN

-Semasa memberus gigi, halakan berus 45 darjah ke arah gusi dan putarkan kepala berus dalam gerakan bulatan dengan perlahan.

-Gunakan berus gigi yang sesuai dan tukar setiap tiga bulan.

-Kurangkan makan makanan manis, terutamanya sebelum tidur. Makanan manis menyebabkan banyak bakteria dan kuman mudah melekat pada gigi.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI