Dilahirkan tak sempurna seperti insan lain sudah pasti membuatkan hati kecilnya merasa kekurangan. Tidak dinafikan, pada mulanya jejaka ini malu dengan keadaan dirinya yang kelainan keupayaan berbanding teman sebaya kerana mengalami kecacatan anggota di bahagian kaki.

“ Seingat saya, sejak kecil, saya berasa segan dan tidak yakin pada diri untuk berkawan dengan orang lain akibat dilahirkan dengan kecacatan di bahagian kaki. Namun, lama-kelamaan bila sudah biasa, saya menjadi berani untuk berdepan dengan semua ini.

“ Keistimewaan yang saya miliki, pandai memasak sejak kecil. Daripada darjah tiga saya dah masuk dapur dan buat kerja rumah. Bila ibu bapa saya pergi menoreh getah , saya suka mengemas rumah, cuci pinggan mangkuk dan memasak. Saya memang gemar habiskan masa menolong ibu di dapur.

“Maklumlah keluarga saya besar, saya mempunyai 11 orang adik beradik dan saya anak ke-7. Dalam keluarga, hanya saya seorang yang kelainan upaya (OKU) sejak kecil lagi. Tetapi saya tidak pernah putus asa dan berazam dan bercita-cita ingin memiliki perniagaan sendiri,”ungkap Mohd Norizuddin Ibrahim, 39 tahun.

Biar pun mengalami kelainan upaya, Norizuddin meneruskan persekolahan seperti kanak-kanak. Malahan hubungannya dengan rakan-rakan juga cukup baik. Mereka sama sekali tidak pernah meminggirkan Norizuddin kerana dia mampu membuktikan dirinya boleh berdikari seperti orang lain.

Biar pun hidup susah, arwah ibu dan ayah Norizuddin tidak pernah mengabaikan keperluannya dalam mendapat pendidikan sempurna. Terdapat segelintir rakan sebaya suka mengejek kekurangan lelaki ini, tetapi Norizuddin tidak mempedulikannya. Sebaliknya setiap ejekan itu menjadi pemangkin semangat buatnya meneruskan kehidupan.

Malu Kerana Berbeza Dengan Orang Lain, Kini Norizudin Mampu Jana Pendapatan Sendiri

Berusaha Mengubah Diri

Tamat sahaja Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),Norizuddin mengambil keputusan untuk berhijrah ke Shah Alam, Selangor, untuk mencari peluang pekerjaan. Alhamdulillah dirinya mendapat kerja di sebuah kilang sebagai operator pengeluaran. Dalam masa yang sama, Norizuddin turut mengumpul wang untuk menyambung pelajaran.

Akhirnya dia berjaya menyambung pelajaran di kolej swasta iaitu Pusat Teknologi Dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) di Kota Bharu, Kelantan. Di sana Norizuddin mengambil jurusan Pembantu Tadbir Sistem Maklumat. Lelaki ini sedar keluarga bukanlah orang yang senang, oleh hal yang demikian, Norizuddin bekerja sambil belajar bagi menampung kos belajar di kolej.

IKLAN

Usai tamat belajar, Norizuddin kembali ke Shah Alam untuk mencari peluang pekerjaan. Ternyata rezeki sentiasa menyebelahi Norizuddin apabila dirinya dapat bekerja di sebuah kilang sebelum bertukar-tukar kerja di beberapa kilang dan syarikat berbeza.

Setiap tempat kerja memberi pengalaman berbeza pada Norizuddin dan dia mampu belajar banyak perkara kerana setiap tempat kerja berbeza cara kerjanya. Perkara ini memberi keseronokan padanya kerana mengetahui selok-belok satu-satu syarikat.

Malu Kerana Berbeza Dengan Orang Lain, Kini Norizudin Mampu Jana Pendapatan Sendiri

Diuji Sakit

Dalam keseronokannya mencari rezeki, akhirnya Norizuddin diuji pula dengan ujian sakit. Penyakit tersebut membuatkan lelaki bersemangat besar ini mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan berubat di kampung halamannya. Biar pun hatinya kecewa, tetapi sebagai hamba-Nya, Norizuddin terpaksa kuat dan bersabar atas ujian yang berlaku ke atas dirinya.

Setelah sembuh seperti sediakala, Norizuddin dengan semangat baru berhijrah lagi ke Petaling Jaya untuk mencari kerja dan rezeki tidak pernah salah alamat apabila dia diterima bekerja sebagai pentadbiran di Syarikat IQ Work.

IKLAN

“Selepas dua tahun iaitu pada 2012, saya terpaksa balik kampung untuk menjaga kedua ibu bapa saya. Disebabkan saya sukar melakukan kerja-kerja berat seperti kerja kampung, jadi saya ambil keputusan untuk berniaga di kampung.

“Saya mula belajar buat kuih karipap mini daripada ibu saya. Dari situlah kawan-kawan dan jiran mula menempah kuih dari saya serta sebahagiannya saya letak di kedai berdekatan. Dapatlah sedikit duit untuk tampung hidup saya ketika itu.

“Sekali lagi saya dan keluarga diuji apabila kampung saya dilanda banjir besar pada tahun 2014 dan rumah saya dibawa arus. Saya kehilangan rumah untuk saya jadikan tempat berniaga dan berteduh. Saya terpaksa menumpang tinggal dengan keluarga angkat.

“Selepas dua tahun, saya bersyukur rumah saya siap, dengan tekad yang tinggi saya mula berniaga kembali. Bagi menambah kemahiran yang ada, saya turut mengikuti kursus jangka panjang selama enam bulan bertempat di Pusat Bimbingan Usahawan Melor di bawah bimbingan Jabatan Pertanian,” jelasnya yang kini menguasai 15 resipi makanan ringan.

Menyedari tempahan roti dan kek tidak mengikut musim, Norizuddin mengambil keputusan untuk menjual produk ini pula. Selepas setahun ibunya pergi menghadap Ilahi, seterusnya bapanya pula meninggal dunia pada tahun 2016. Kini tinggallah Norizuddin sebatang kara. Adik beradik lain pula tinggal berjauhan.

IKLAN

Malu Kerana Berbeza Dengan Orang Lain, Kini Norizudin Mampu Jana Pendapatan Sendiri

Berniaga Kek & Roti

 Menurut anak kelahiran Kampung Manek Urai, Kuala Krai, Kelantan ini lagi, kini sumber rezekinya bergantung sepenuhnya kepada perniagaan membuat kek dan roti.

Di samping itu, penggerak dan inspirasi untuk Norizuddin terus berjaya hingga saat ini ialah daripada bantuan daripada badan kerajaan dan swasta terutamanya Jabatan Pertanian, Peladang, MARA, Jabatan Kebajikan Masyarakat,TEKUN dan Pusat Internet Manek Urai Baru.

Alhamdulillah, biar pun Norizuddin mengalami kelainan upaya, rakan-rakan normal yang lainnya dapat memberi kerjasama yang baik untuknya meneruskan perniagaan. Mereka antara insan yang banyak membantu Norizuddin dari segi penghantaran , membeli barang mentah dan pembungkusan. Ada segelintir daripada mereka, turut mengambil produknya untuk dijual dan mempromosi pada orang lain.

“Pandangan masyarakat hari ini pada golongan OKU sangat baik dan mereka cukup prihatin dengan keperluan saya. Selain itu tidak ketinggalan, saya turut menyertai aktiviti bersama rakan senasib.

“Kami saling tolong-menolong dan sentiasa bertukar pendapat supaya tidak mudah putus asa dalam perniagaan dan bagi semangat sesama kami untuk terus kuat meneruskan kehidupan.

“Saya berazam untuk memiliki sebuah perniagaan yang besar, miliki kedai sendiri dan mempunyai pekerja kerana ingin membantu orang kampung yang tidak ada kerja dan dapat memberi mereka sumber pendapatan,” akhiri Norizuddin.

RALAT: Seluruh warga kerja majalah Mingguan Wanita memohon maaf atas kesilapan pada tajuk kolum Ku Gapai Bintang keluaran bulan September 2018 Volume 2, ‘Norizudin Rajin Cari Rezeki Walau Tanpa Kaki”, sebenarnya Norizudin hanya mengalami kecacatan anggota pada bahagian kaki seperti yang dijelaskan di dalam teks. Harap maklum.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI