Tenaga amat penting ketika berpuasa. Anda mahu tambah tenaga ketika berpuasa? Apa kata makan pisang kerana buah yang dikenali dengan nama saintifiknya Musa Paradisiaca ini mampu menambahkan tenaga ketika anda menjalani ibadah berpuasa.

Di kalangan rakyat Malaysia, buah pisang paling popular dimakan setelah digoreng dan dijadikan kerepek pisang.Tidak salah memakan pisang goreng dan kerepek pisang. Tetapi digalakkan untuk makan pisang segar  jika mahu mendapatkan khasiat buah yang bebas lemak, bebas kolesterol,  kandungan garam yang rendah serta kaya dengan vitamin dan potassium ini.

Anda tahukah apa khasiat dan zat-zat, vitamin dan mineral  yang terdapat dalam sebiji pisang?

1-Penambah tenaga yang hilang

Tubuh menggunakan karbohidrat sebagai sumber utama mendapatkan tenaga. Biasanya mereka yang suka bersenam atau bersukan akan memilih untuk memakan pisang  bagi menggantikan tenaga yang hilang sewaktu melakukan aktiviti sihat itu. Oleh itu tidak hairanlah jika buah pisang boleh  dijadikan makanan tambahan lain yang dimakan bersama makanan biasa anda makan pada waktu bersahur kerana ia akan memberikan tenaga yang diperlukan untuk menjalani urusan seharian ketika berpuasa.

2-Mencegah kekejangan otot.

Pisang memang terkenal dengan kandungan potassium yang tinggi. Lebih kurang 400 mg potassium terdapat dalam sebiji pisang bersaiz sederhana. Potassium amat perlu untuk fungsi saraf dan otot yang baik. Ia juga perlu bagi mengekalkan keseimbangan kesihatan cecair dalam tubuh. Potassium dalam pisang dikatakan boleh membantu mencegah kekejangan otot selepas bersenam.

IKLAN

3-Memperbaik penyerapan zat-zat lain.

Jangan tak percaya. Buah pisang juga mengandungi sejumlah vitamin C yang baik. Sebiji pisang dikatakan menyedia lebih 10 mg vitamin C atau lebih kurang 15 peratus nilai vitamin C yang disyorkan untuk tubuh. Vitamin C mampu merangsang kesihatan sistem dan sel-sel tubuh. Ia juga mampu memperbaik penyerapan zat-zat lain seperti besi.

4-Membina sel-sel baru.

Tahukah anda pisang juga merupakan sumber terbaik vitamin B-6 atau dikenali sebagai pyridoxine. Biasanya Vitamin B-6 lebih banyak ditemui dalam produk daripada haiwan. Vitamin B-6 digunakan oleh tubuh untuk membina sel-sel baru. Sebiji pisang dikatakan menyediakan 35 peratus nilai seharian vitamin B-6 yang diperlukan tubuh.

IKLAN

5-Baik untuk kesihatan tulang

Orang dewasa memerlukan lebih kurang 1.8 dan 2.3 mg mangan setiap hari. Mangan amat perlu untuk kesihatan tulang dan metabolisme tubuh. Pisang adalah sumber baik mangan. Sebiji pisang bersaiz sederhana menyediakan lebih kurang .3 mg mangan.

6-Memudahkan proses pencernaan.

Serat dalam pemakanan amat diperlukan untuk membantu anda rasa kenyang lebih lama. Ia juga penting bagi memudahkan proses pencernaan berjalan lancar. Sebiji buah pisang dikatakan mengandungi lebih kurang 3 gm serat pemakanan. Pilihlah buah pisang bagi memastikan pencernaan dalam usus berjalan lancar.

IKLAN

Pisang turut mengandungi bahan prebiotik fructooligosaccharide. Ia menyediakan zat untuk bakteria baik yang ada dalam perut. Prebiotik adalah komponen serat mudah larut yang terdapat dalam makan yang boleh merangsang pertumbuhan bakteria dalam sistem pencernaan dan membantu menghasilkan enzim pencernaan.

7-Mengurangkan kemurungan

Buah pisang dikatakan mampu mengurangkan kemurungan kerana ia mengandungi tryptophan yang akan ditukar kepada serotonin apabila dimakan. Serotonin terkenal sebagai kimia untuk memperbaiki mood atau perasaan.

8-Ada banyak lagi Vitamin dan mineral lain

Selain zat-zat yang disebutkan tadi, buah pisang turut menyediakan sejumlah kecil vitamin dan mineral lain. Sebiji pisang ada juga mengandungi zat besi, magnesium, kalsium, fosforus, vitamin A, vitamin E, folat, karotena dan choline. Terdapat juga sedikit asid amino di dalam buah ini.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI