Mak mentua sering kali dikatakan tidak mempunyai hubungan baik dengan menantu perempuan. Entah di mana silapnya. Ia sering kali terjadi sedangkan sepatutnya hubungan itu umpama emak dan anak kandung. Sebenarnya banyak faktor penyebabnya.
Kecil Hati Dengan Sikap Mak Mentua
Kali ini, seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Sya saja, ingin berkongsi luahan rasa terhadap sikap mak mentua terhadapnya.
Kenali aku sebagai Sya, berusia 30-an. Aku merupakan seorang suri rumah tangga, ibu kepada empat orang cahaya mata yang kini berusia 17, 15, 14 dan 10 tahun. Suami bekerja di sebuah syarikat swasta, berpangkat pegawai. Syukur, hidup kami serba cukup walau pun hanya suami yang bekerja.
Aku bersyukur kerana memiliki suami yang penyayang. Dia melayanku dengan baik. Sering kali membantuku menguruskan hal rumah tangga. Cuma yang sering kali membuatkan diriku rasa sedih dan tertekan adalah sikap maknya iaitu mak mentuaku sendiri.
Aku menantu kedua dalam rumah tangga. Suami anak kedua. Yang sulung perempuan dan empat lagi adik iparku semua lelaki. Bermakna mak mentuaku ada lima orang menantu perempuan dan seorang menantu lelaki.
Ads
Sebenarnya sudah lama ku perhatikan sikap mak mentua terhadap diriku. Bila aku balik kampung, aku yang akan dikerah ke dapur, buat itu dan ini. Berbanding menantu-menantu lain. Bukan aku kisah sangat kerana aku memang suka masak. Tapi kadangkala kata-kata mak mentua buat aku kecil hati. “ Alah, biar je Sya masak. Dia bukan kerja.”
Nasib baik biras-birasku memahami. Turut membantu di dapur. Di saat itu juga biasa kami akan bertanya khabar sambil memasak.
Mak Mentua Masakkan Makanan Kesukaan Menantu Lain
Kalau balik rumah mentua, macam-macam aku bawa makanan yang ku masak balik. Aku seronok bila anak-anak saudara makan. Kebetulan kakak ipar sekeluarga tinggal di sebelah rumah mak mentua dan boleh dikatakan sepanjang masa berada di rumah nenek mereka.
Kakak dan abag ipar selalu puji aku pandai masak. Tapi mak mentua hanya mencebik saja. Katanya mestilah aku kena pandai masak. Dah tak kerja. Banyak masa di rumah. Buat apa kalau tak asah bakat memasak.
Mak mentua pun pandai masak tapi tak pernah nak masakan makanan kegemaranku. Tapi kalau menantu-menantu lain, siap masakkan bila balik.
Ads
Tiap kali ada kata-kata yang menguris hati, aku diam saja. Aku bernasib baik kerana suami sangat memahami. Dia sentiasa akan tenangkan aku. Mungkin kerana itu juga aku mampu bersabar dan bertahan.
Berhenti Atas Pilihan
Cuma aku pernah kenakan syarat pada suami, paling lama aku boleh bertahan tiga hari saja duduk di rumah mentua. Sebabnya sabarku makin nipis bila asyik diperli mak mentua. Seolah tak suka dengan aku yang tak bekerja.
Agaknya dia lupa, aku bukan tak berpelajaran. Aku lulusan universiti dan pernah bekerja, makan gaji. Tapi aku berhenti atas kemahuan sendiri kerana nak fokus pada anak-anak. Suami juga bersetuju.
Mak mentua pantang kalau tengok aku pakai baju baru atau suami belikan barang kemas baru. Pasti berdesing telingaku disindir. Katanya aku membazir dan tahu menghabiskan duit suami saja! Ya Tuhan, aku tak pernah minta suami belikan hadiah mahal. Cuma bila ada rezeki lebih, suami akan belikan.
Cuba Jimat Cermat
Aku cermat orangnya. Dan aku akan masak sendiri dan jarang makan di luar kecuali nak meraikan apa-apa hari istimewa. Aku tak nak membazir dan selagi boleh aku cuba berjimat. Tapi bila tahu kami makan di luar, mak mentua pasti marah-marah. Katanya membazir. Suruh je aku masak sebab aku kan tak kerja.
Ads
Aku tak faham kenapa mak mentuaku bersikap begitu. Dia sendiri pun suri rumah tangga dan arwah ayah mentua dulu pencen kerajaan. Jadi, dia tahu bagaimana hidup suri rumah tangga seharian. Apakah kerana aku tak mampu belikan dia hadiah seperti menantu lain? Entahlah.
Mak Mentua Marah Suami Bantu Kerja Rumah
Begitu juga kalau dia ke rumah kami, aku takkan benarkan suami membantuku buat kerja rumah. Sebabnya nanti dimarahi mak mentua. Katanya kenapa susahkan suami yang penat kerja. Akulah yang kena buat semua sebab aku tak kerja. Sekali lagi, aku hanya diam. Malas nak menjawab.
Cuma, aku tak tahu sampai bila aku boleh bersabar. Aku takut nanti bila kesabaranku hilang dan aku melenting, buruk jadinya. Sebab itu aku sentiasa berdoa pada Tuhan agar aku terus dikurniakan kesabaran.
Apa pun, dia tetap mak mentua yang perlu aku hormati dan sayangi. Namun terus terang, sikapnya itu tak membuatkan aku rasa sayang padanya. Yang ada cuma rasa hormat sebagai ibu kepada suamiku. Jahatkah aku?
Ibu ini, Marlisa Azura Abdul Ghani sentiasa ingatkan diri, penting untuknya amalkan tip untuk pastikan anak-anak kecilnya telah dihantar dengan selamat ke taska. Bagi mengelakkan terlupa hingga terjadinya kes tertinggal anak dalam kereta.
“Saya nak share tips dan petua untuk mengelakkan kita daripada tertinggal anak di dalam kereta. Maklumlah sekarang ni banyak sangat kes bayi tertinggal di dalam kereta kerana ibubapa terlupa.
“Rutin harian saya setiap pagi menghantar anak di taska. Waktu pagilah waktu yang paling sibuk. Banyak perkara yang nak kena fikir. Hal pejabat lagi. Tambahan kita ni seorang ibu yang memang sibuk menyediakan keperluan suami dan anak-anak jadi tak mustahil kita boleh terlupa anak kita masih di dalam kereta.
“Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, saya ingin berkongsi beberapa langkah supaya tiada lagi kes anak tertinggal dalam kereta berlaku.”
6 Langkah Penting Selamatkan Anak Dari Tertinggal Dalam Kereta
1. Letak handbag, briefcase yang selalu kita bawa ke pejabat di bawah kaki tempat duduk belakang. Sebelum masuk ke pejabat, mesti kita akan mengambil handbeg atau briefcase tersebutkan. Jadi kita akan ke tempat duduk belakang. Secara tak langsung kita akan sedar anak kita dah takde dekat carseat dia.
2. Set alarm di handphone. Saya set alarm setiap hari jam 8.00 pagi yang mana masa ni saya selalu tiba di pejabat. Setiap jam 8.00 pagi alarm tu akan berbunyi dan saya set “Hantar anak taska”. Cara tu memang bagus untuk ibubapa yang sibuk.
3. Pasang center mirror (cermin pandang belakang) yang jenis round wide yang boleh nampak belakang dengan luas. Setiap kali anda pandang cermin tu, anda akan nampak anak anda di dalam car seatnya di belakang.
4. Pesan dekat pasangan kita. Minta dia selalu ingatkan kita yang kita dah hantar anak ke taska. Minta dia whatsup kita setiap pagi “anak dah hantar ke sayang”.
5. Berpakat dengan pengasuh atau nursery tempat anak kita tinggal. Jika kita tidak menghantar anak, minta mereka bertanya kenapa tuan/puan tak hantar anak hari ini.
6. Jangan pasang tinted kereta gelap-gelap. In case tertinggal anak kat dalam, orang lalu lalang kat luar boleh nampak. Itu sahaja tips dan petua saya yang boleh dikongsi kepada orang lain.
Semoga tiada lagi bayi mati kerana tertinggal di dalam kereta kerana kecuaian ibubapa itu sendiri.
Bekerja Dari Rumah? Syukur, kerana masih banyak syarikat yang membenarkan staf bekerja dari rumah dan diberikan gaji penuh. Alhamdulillah! Sekurang-kurang kita masih ada sumber pendapatan sedangkan ramai yang telah hilang sumber pendapatan. Maka bersyukurlah dan penuhi tanggungjawab yang syarikat amanahkan.
Tak Mudah Ye!
Walau bagaimana pun, bekerja dari rumah tak semudah yang disangka, apatah lagi bagi yang telah berkeluarga. Memanglah tak perlu bersiap-siap dan memandu menempuh jem ke opis. Tapi banyak komitmen lain yang perlu diambil kira. Takkan nak menghadap kerja 24 jam. Nak juga kemas rumah, cuci baju dan masak untuk keluarga. Sebab itu, kena berdisiplin dan bijak atur masa sendiri.
Mungkin ramai isteri yang mengalami situasi ini; Pada awalnya, bimbang tak boleh nak fokus kerja di rumah kerana akan diganggu anak-anak. Namun hakikatnya, kadangkala yang jadi masalahnya bukan anak, tapi suami!
Bila dah isteri 24 jam depan mata, macam-macam permintaan pula. Minta masak itu dan ini, sehingga mengalahkan anak-anak. Isteri baru nak buka laptop, dah kena panggil. Bila beritahu ada kerja, muka masam mencuka dan merajuk. Dikatakan isteri sengaja cari alasan. Sebenarnya lagi senang nak pujuk anak berbanding suami.
Ada suami yang tak habis-habis request isteri masak itu dan ini hinggakan banyak masa isteri di dapur. Apron di tubuh pun tak sempat kering. Alasan suami, inilah waktu isteri nak tunaikan segala keinginannya. Tapi, bagaimana pula dengan kerja anda? Bila nak buat? Dia pula acah-acah sibuk memanjang.
Bincang Dan Saling Memahami
Memandangkan tempoh PKP telah dipanjangkan, bermakna makin banyak juga kerja yang mungkin ‘pending’ dan perlu diuruskan di rumah.
Kalau tak nak diganggu suami dengan permintaan pelik-pelik sepanjang masa, buat perjanjian dan bincang dengan suami secepat mungkin. Terangkan situasi kerja anda di rumah. Mungkin selama ini dia kurang faham atau buat-buat tak faham!
Walau pun duduk di rumah, tapi anda masih ada tanggungjawab yang harus dipenuhi untuk syarikat. Jadi suami MESTI faham dan bertolak ansur.
Ambil Tanggungjawab Masing-Masing
Bagi suami yang juga perlu bekerja dari rumah, anda perlu bincang elok-elok soal uruskan anak terutama jika anak masih kecil. Bila dia perlu jaga anak dan bila pula giliran anda. Jadi, tak timbul dua-dua nak buat kerja dan anak-anak terabai. Susah juga tu.
Mungkin waktu pagi, ketika isteri memasak sarapan, suami boleh fokus pada kerjnya dahulu. Selepas itu, isteri pula ambil waktu untuk buat kerja dan rehat. Suami tolong jagakan anak. Kata orang, gilir-gilir.
Bincangkan dengan suami jika pada hari itu anda perlu ‘menghadiri’ mesyuarat secara online dan agak sibuk. Jadi, mungkin anda boleh masak satu hidangan berat sekali gus untuk sarapan dan makan tengah hari. Jangan pula nanti suami muncung sedepa isteri tak masuk dapur masak makan tengah hari.
Begitu juga sekiranya suami ada kerja yang mendesak, isteri kena faham dan bertolak ansur. Yang penting, sentiasa berbincang.
Wujudkan Ruang Kerja Sendiri
Sebenarnya lagi mudah jika suami juga perlu bekerja dari rumah kerana sekurangnya dia sedar ada kerja perlu disiapkan seharian. Mungkin anda dan suami boleh sepakat untuk sama-sama buat kerja rumah dahulu dan siapkan anak-anak. Kemudian, barulah masing-masing boleh fokus kerja. Seeloknya ada sudut kerja masing-masing juga ye.
Apa pun, berbincanglah. Semoga tak ada suami isteri yang bermasam muka pula gara-gara kerja dari rumah ye…Keluarga penting, kerja pun penting!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Hari raya bakal menjelma, pasti banyak undangan rumah terbuka untuk dihadiri. Memang seronok setiap kali hari raya dapat berkunjung ke rumah sanak saudara dan rakan taulan sambil menikmati juadah enak yang dihidangkan oleh tuan rumah. Pernah tular suatu ketika keletah anak-anak kecil yang menimbulkan masalah ketika berkunjung ke rumah terbuka. Untuk ibu-ibu khususnya yang mempunyai anak-anak yang sedang membesar atau lasak, perkara sedemikian perlu diambil kira supaya keselesaan bukan sahaja oleh tuan rumah yang menjemput malah keluarga anda yang diundang ketika rumah terbuka.
Dalam hal sebegini anak-anak tidak boleh disalahkan kerana mungkin mereka belum boleh membezakan apa yang baik dan buruk. Justeru sebagai ibu atau bapa memainkan peranan penting untuk membentuk akhlak dan adab anak-anak sejak dari kecil.
Selain daripada menekankan adab-adab ketika berkunjung ke rumah orang lain, ada beberapa tip yang mungkin boleh dijadikan panduan untuk mendidik dan mengawal anak-anak ketika beraya atau menghadiri rumah terbuka kelak.
Bawa barang permainan dari rumah
Anak-anak kecil memang suka berebut barang permainan. Jadi tak hairanlah kalau pergi ke rumah orang saudara mara yang turut mempunyai anak kecil, adegan berebut akan berlaku. Paling tidak pun mereka akan mencari sesuatu dalam rumah yang dikunjungi untuk bermain. Jadi bagi mengelakkan hal tersebut berlaku, bawalah barang permainan yang menjadi kegemaran mereka Bersama. Barulah anda pun boleh berborak dan menikmati hidangan enak tanpa gangguan daripada anak yang meragam.
Selalu ingatkan anak untuk berkelakuan baik
Jangan terlalu asyik bersembang sehinggakan tak ambil tahu apa yang anak anda sedang buat di rumah orang. Sesekali jelingan mata anda mungkin membuatkan mereka rasa gerun. Jika mereka buat sesuatu yang tidak baik di mata seharusnya anda menegur dan bukan membiarkan sahaja anak dengan kelakuan tersebut. Tak perlu menegur dengan kasar, sebaliknya memberitahu mereka dengan tegas supaya anak kecil anda tidak mengulangi kesalahan yang sama.
Pilih rumah yang sesuai untuk dikunjungi dan hadkan masa kunjungan
Ibu dan ayah pasti sudah arif dengan keletah dan perilaku anak masing-masing ketika berkunjung ke rumah saudara mara atau teman-teman. Ada yang teruja setiap kali berjumpa orang ramai membuatkan mereka bertindak agak agresif daripada biasa. Jangan terlalu lama bertandang ke rumah orang lain kerana mungkin sahaja anak kecil anda cepat berasa bosan dan memerlukan perhatian dari anda. Rumah yang bakal anda kunjungi juga pasti sudah diketahui pemiliknya siapa, jadi jika perlu menolak undangan tersebut, berilah alasan yang baik dan munasabah. Pasti mereka faham dengan situasi anda.
Pujuk anak
Jika anak anda meragam atau mengamuk di rumah orang, jangan cepat melenting dan marah kerana itu akan membuatkan mereka lebih memberontak. Ibu dan ayah perlu pujuk si kecil dan tenteramkan mereka. Alih perhatian si kecil dengan memberikan minuman sejuk atau makanan kegemaran mereka. Jika amukan terlalu teruk, peluklah anak anda dan pujuk dengan lembut agar mereka rasa lebih tenang.
Sentiasa berfikiran positif dan sabar
Ini adalah perkara paling penting bagi yang bergelar ibu bapa. Bukan mudah untuk menangani anak yang sedang membesar. Macam-macam hal yang perlu ibu bapa perlu hadapi dengan sabar untuk membesarkan seorang anak. Jangan risau kerana semua ini boleh diatasi dengan ilmu dan kesabaran. Lagipun, perkara sebegini adalah normal bagi seorang kanak-kanak yang sedang membesar dan bukan selamanya anak-anak akan bersikap begini.
Jangan pula disebabkan anak-anak, kita berasa stress nak keluar beraya. Risau jika anak tumpahkan air, bergaduh, mengamuk, dan macam-macam hal lagi. Lagipun, perkara ini adalah normal dan ianya sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai ibu bapa untuk mendidik si anak agar menjaga perlakuan dan adab sejak dari kecil. Maka, didiklah anak sewajarnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.